Harian Metro: Setempat


Harian Metro: Setempat


Posted: 15 Nov 2012 01:48 PM PST
KUALA LUMPUR: Kemakmuran di Malaysia dimanfaatkan sepenuhnya warga asing apabila mereka dikesan mula monopoli beberapa perniagaan.
Maka tidak hairan apabila satu kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendapati sekurang-kurangnya 30 perkampungan, taman perumahan, pasar dan lokasi perniagaan di Lembah Klang dikesan diduduki warga asing. Malah, tinjauan Harian Metro semalam mendapati warga asing tidak memilih perniagaan asalkan ia mendapat pulangan lumayan.

Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang ditemui enggan memberi kerjasama berikutan bimbang perniagaan terjejas.
Pemilik perniagaan cuci kereta yang hanya dikenali sebagai Asadul mendakwa, perniagaan bersama lima rakan dari Bangladesh itu dijalankan selepas pemiliknya wanita tempatan enggan meneruskan perniagaan berikutan mengalami kerugian.

"Saya bekerja dengan dia 10 tahun. Bila dia nak tutup, saya dan rakan ambil alih, tetapi masih menggunakan lesen perniagaannya.

"Perniagaan ini masih untung, cuma tidak banyak kerana lokasi tidak strategik," katanya ketika ditemui di Kampung Wira Damai, Gombak, dekat sini, semalam.
Hasil kajian Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi UIAM, Prof Dr Fatimah Daud mengenai penempatan dan taburan pendatang warga asing sejak lebih 10 tahun lalu mendapati jumlah warga asing di sesuatu kawasan meningkat mendadak kerana wujud peluang pekerjaan dan perniagaan.

Antara faktor mendorong warga asing gemarkan sesuatu kawasan untuk dijadikan tempat tinggal atau memulakan perniagaan kerana ada saudara-mara dan rakan mereka di kawasan terbabit. Peniaga telefon bimbit di Chow Kit warga Indonesia yang mahu dikenali sebagai Putik berkata, walaupun kadar sewa RM1,500 untuk satu lot kedai yang dikongsi bersama lima peniaga lain agak tinggi, tetapi ia tidak mendatangkan masalah kerana masih mendapat keuntungan.
"Warga tempatan kurang minat dalam perniagaan ini kerana keuntungannya tidak berlipat kali ganda.

"Walaupun keuntungan tidak seberapa, tetapi bila ia diuruskan dengan bijak, keuntungan tetap ada," katanya yang turut mendakwa memperoleh RM2,000 hingga RM3,500 sebulan.

Peruncit dari Acheh, Indonesia Achmad Bachtiar, 49, berkata, kemakmuran di Malaysia dimanfaatkan sepenuhnya warga asing.

"Modal tidak menjadi masalah kerana kami bantu membantu antara satu sama lain," katanya ketika ditemui di kedai runcitnya di Damansara Pelangi.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 01:45 PM PST
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius mengenai kerosakan jalan di sekitar ibu negara dan kerja pembaikan serta penurapan jalan sedang dan akan dijalankan bagi mengelakkan masalah kepada orang awam.
Terbaru, kerja menaik taraf Jalan Ampang yang dilaporkan rosak oleh Harian Metro, kelmarin juga tidak terkecuali.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya merancang projek jangka panjang dan jangka pendek bagi memastikan keadaan jalan terbabit yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan berada dalam keadaan yang baik.
"DBKL membuka tawaran tender kepada kontraktor pada pertengahan Disember depan bagi kerja penurapan jalan dan kami menjangkakan ia mula dilaksanakan dua bulan dari sekarang.

"Kedua, kerja menaik taraf Jalan Jelatek hingga ke Jalan Pahang bermula pada awal 2013 dan kontraktor sudah dilantik bagi projek ini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Ahmad Phesal berkata, kerja pengisaran dan penurapan Jalan Ampang ke Jalan Tun Razak juga dalam pelaksanaan bagi memastikan kerosakan diperbaiki.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 01:44 PM PST
KUALA TERENGGANU: "Saya hampir berputus asa kerana tiada siapa datang membantu walaupun beberapa kali menjerit meminta tolong selepas nampak ada bot lalu tidak jauh dari lokasi bot saya dihanyutkan," kata Salim Musa, 66, yang bertarung nyawa terapung hampir 27 jam di laut sebelum diselamatkan, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 petang Selasa lalu, dia yang keluar berseorangan ke laut di perairan Tok Jembal, di sini, untuk menangkap ikan berdepan detik mencemaskan apabila bot gentian kaca dinaikinya terbalik dipukul ombak menyebabkannya tidak dapat pulang ke jeti.

Namun, Salim berkata, nasibnya baik apabila diselamatkan sekumpulan nelayan yang menemuinya terapung di perairan Pulau Kapas, Marang, 40 batu nautika dari tempatnya kali terakhir dilihat pada jam 5.40 petang kelmarin.
Ketika ditemui di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Kambing, di sini, kelmarin, Salim yang juga nelayan sejak 50 tahun lalu berkata, dia ke laut jam 6.30 pagi Selasa lalu untuk memancing sebelum mengambil keputusan pulang lapan jam kemudian.

"Ketika itu saya yang berada di perairan Tok Jembal cuba mengisi minyak, tetapi gagal kerana keadaan laut bergelora sebelum bot dipukul ombak besar lalu terbalik.

"Pada masa sama, enjin bot jatuh ke laut. Mujur saya sempat berpaut pada bot yang terbalik. Sepanjang tempoh itu, saya hanya berdoa semoga diselamatkan.
"Lebih menyedihkan apabila terkenangkan isteri dan ahli keluarga lain yang pasti resah menantikan kepulangan saya," katanya. Sementara itu, Pengarah Operasi Daerah Maritim 9 APMM Kuala Terengganu, Leftenan Komander Maritim Mohamad Zainal berkata, sebuah kapal dan dua bot dengan kekuatan 32 anggota agensi terbabit diarah menjalankan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 9.40 pagi kelmarin.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 01:17 PM PST
BETONG: Misteri bau busuk yang dihidu seorang lelaki ketika mengunjungi rumah abangnya semalam, membawa kepada penemuan mayat empat beranak yang sudah berulat dipercayai meninggal dunia tiga hari sebelum itu di sebuah rumah di Kampung Lubuk Chepong, Pusa, di sini.
Kejadian disedari lelaki berusia 43 tahun itu yang bertandang ke rumah abangnya di kampung berkenaan sebelum terhidu bau meloyakan, jam 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Sarifuddin Mustafa berkata, lelaki itu adik kepada seorang mangsa yang kemudian menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong bergegas ke rumah mangsa sebelum menemui mayat empat beranak dalam keadaan berulat.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Zaidi Pandi, 62, isterinya dikenali sebagai Saemah, 53, anak perempuan pasangan itu, Noratikah, 20, dan anak lelaki, Mohd Khaizel, 27.

"Ketika tiba di rumah mangsa, anggota polis memecah pintu berikutan dikunci dari dalam. Sejurus pintu dibuka, polis menemui seorang lelaki berusia 62 tahun bersama isterinya berusia 53 tahun serta anak lelaki dan perempuan masing-masing berusia 27 dan 20 tahun dalam keadaan berulat.
"Sejurus selepas penemuan mayat, polis menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada ia berkaitan kes rompakan atau sebaliknya, namun tiada bukti ditemui.

"Malah, keadaan rumah berkunci dari dalam selain tiada kesan ceroboh serta senjata ditemui ketika siasatan dijalankan," katanya ketika dihubungi, semalam.
Sarifuddin berkata, berikutan itu polis membuka kertas siasatan sebagai mati mengejut.

"Setakat ini, polis tidak boleh membuat kesimpulan mengenai kematian mangsa berikutan tiada unsur jenayah ditemui," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 01:17 PM PST
KOTA KINABALU: Hasrat dua bersaudara mengutip hasil sarang burung walet di ladang sawit milik keluarga mereka terbantut apabila diculik lima lelaki bersenjata api dan melarikan mangsa menggunakan bot dalam kejadian di sebuah ladang berhampiran Felda Sahabat 15, kira-kira 150 kilometer dari Lahad Datu, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.30 petang, kedua-dua mangsa yang menggunakan nama keluarga 'Tung' masing-masing berusia 33 dan 25 tahun berada di rumah ternakan burung walet bersama dua lagi pekerja sebelum didatangi kumpulan terbabit.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, seorang daripada lima anggota kumpulan berkenaan memakai topeng dan bersenjata api mengarahkan kedua-dua mangsa mengikuti mereka, manakala dua lagi pekerja tidak diapa-apakan.
"Mangsa dibawa berjalan kaki sejauh dua kilometer sebelum tiba di pantai di Kampung Manakayang lalu menaiki bot menuju ke lokasi yang tidak dikenal pasti.

"Kedua-dua mangsa adalah pengurus serta penolong pengurus ladang berkenaan.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 01:13 PM PST
REMBAU: Seorang mangsa kemalangan di Taman Sedia Raja, Chembong, dekat sini, yang kehilangan upaya berjalan, merayu bantuan orang ramai bagi membiayai kos pembedahan tulang pahanya di Hospital Putrajaya (HP).
Wanita terbabit, P Ambigawaty, 48, kini berkerusi roda terpaksa bergantung dan menumpang di rumah anak saudaranya, A Kavitha, 33.

Menurutnya, semuanya bermula 10 tahun lalu apabila dia terjatuh di tempat kerja di Salak Tinggi, Selangor, menyebabkan tulang paha kanannya patah.
Katanya, dia menjalani pembedahan di HP bagi memasukkan besi pada tulang paha, namun dua tahun kemudian doktor memberitahu terdapat jangkitan kuman menyebabkan dia perlu dibedah sekali lagi dengan kos RM10,000.

Menurut Ambigawaty, dengan keadaan diri yang tidak bekerja, dia buntu memikirkan nasibnya.

"Saya memang tiada wang. Segala makan minum dan kos perubatan sebelum ini anak saudara yang banyak membantu. Saya kasihan melihat dia juga ada keluarga perlu ditanggung tetapi saya tiada tempat lain untuk dituju sebab itu masih menumpang di rumahnya," katanya, ketika ditemui dalam Majlis Sumbangan Hari Deepavali Cawangan MIC Dun Chembong di Balai Raya Taman KSNS, Chembong, baru-baru ini.
Katanya, dia baru menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150, namun masih tidak mencukupi kerana setiap bulan dia perlu membuat rawatan susulan di HP kerana kesnya dirujuk di sana.

"Anak saudara terpaksa menyewa teksi dengan tambang pergi balik RM180. Saya terpaksa meminta ehsan anak saudara dan suaminya kerana kesempitan wang dan mujur mereka sedia membantu.
"Jika boleh saya tidak menyusahkan mereka sekeluarga yang cukup baik melayan saya.

"Saya tidak boleh tidur lena disebabkan tulang kaki sering sakit dan berharap ada pihak yang ikhlas dan prihatin terhadap penderitaan yang dialami," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi anak saudaranya, Kavitha di talian telefon bimbit 010-3434639.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 01:07 PM PST
KEPALA BATAS: Tindakan terburu-buru seorang lelaki warga Myanmar keluar dari simpang tiga dekat Permatang Tok Gelam di sini, nyaris meragut nyawa penunggang motosikal wanita yang hamil enam bulan, petang kelmarin.
Berikutan kejadian itu, Norhidayati Hashim, 32, bimbang kandungannya terjejas kerana dia mendakwa turut ditimpa motosikalnya selepas berlanggar dengan motosikal ditunggang lelaki terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa seorang Pembantu Makmal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mutiara, Pulau Pinang menunggang motosikal Yamaha dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Muda, dekat sini.
Sebaik tiba di tempat kejadian, lelaki Myanmar yang menunggang motosikal Honda Wave dari Teluk Air Tawar secara tiba-tiba keluar dari simpang dan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum berlaku perlanggaran.

Berikutan itu kedua-dua mangsa terjatuh, manakala Norhidayati ditimpa motosikal sendiri sebelum dibantu penduduk yang melihat kejadian.

Kebetulan adik Norhidayati, Norshafikah, 25, yang melalui jalan sama berhenti untuk melihat kemalangan itu sebelum terkejut sebaik mendapati kakaknya menjadi mangsa.
Norshafikah menenangkan kakaknya yang hampir pengsan sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan, manakala lelaki Myanmar terbabit berusia 50-an ditahan penduduk.

Menurut Norshafikah, kakaknya cedera di kaki kiri.
Sementara itu, lelaki Myanmar terbabit yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) mendakwa dia tidak nampak mangsa dari arah kanan kerana ada sebuah kereta di depannya yang juga mahu keluar dari simpang.

"Saya tidak nampak motosikal mangsa sebab pandangan terhalang oleh kereta lalu keluar dari simpang menyebabkan berlaku perlanggaran," katanya.

Lelaki terbabit diserahkan kepada polis, tetapi enggan dihantar ke hospital walaupun mendakwa mengalami kesakitan di bahu kanan.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 01:08 PM PST
BALING: Seorang kakitangan Pejabat Agama Daerah Pengkalan Hulu (PADPU) merayu abang kandungnya, Ahmad Zulbairi Ishak, 39, yang menghilangkan diri sejak 12 tahun lalu pulang ke pangkuan keluarga.
Mohd Johari Ishak, 34, berkata abangnya keluar dari rumah mereka di Kampung Tanjung Kala, Gerik dan hendak mencari kerja sehinggalah ke hari ini dia tidak pernah pulang ke rumah.

Menurutnya, rakan abangnya memberitahu dia berada di sekitar Perak dan bekerja di sebuah kilang simen di Kuala Kangsar namun tidak pernah menemuinya walaupun pernah mencarinya.
"Saya puas mencarinya dengan mengedar gambarnya kepada rakan di serata tempat namun tidak pernah mendapat khabar di mana dia tinggal.

"Saya tidak tahu di mana dia berada meskipun arwah bapa, Ishak Arshad selalu merinduinya sehinggalah ayah menghembus nafas terakhir bulan lalu ketika berusia 72 tahun, manakala ibu, Jauriah Mat Hasan meninggal dunia sejak 23 tahun lalu," katanya.

Mohd Johari yang sudah berkeluarga dan dikurniakan dua cahaya mata kini tinggal di kampung isterinya, Norlela Mohd Rashid, 28, di Kampung Pak Bong, Mukim Kupang, di sini, sejak tujuh tahun lalu.
Menurutnya, kali terakhir dia pernah terserempak dengan abangnya pada tahun 2006 ketika sama-sama beratur untuk membeli tiket perlawanan bola sepak di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang ketika menyaksikan perlawanan antara Pulau Pinang menentang Perak.

"Bagaimanapun saya tidak sempat mengejarnya kerana ketika itu penuh sesak dengan penonton malah, cuba memanggil namanya berulang kali tetapi selepas melihat kelibat saya dia terus menghilangkan diri.
"Saya tidak tahu apa salah saya dan terus mencarinya di dalam stadium namun tidak berjumpa," katanya.

Katanya, abangnya anak kedua daripada tiga adik beradik manakala kakak sulung mereka, Norfazilah, 42, tinggal di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu. "Abang tidak pernah bergaduh dengan arwah ayah atau dengan kakak tetapi tidak tahu apa sebabnya dia berkerat rotan tidak mahu pulang ke rumah menjenguk kami sekeluarga.

"Saya merayu kepada abang supaya pulang ke pangkuan keluarga dan menziarahi pusara ibu dan ayah.

"Mereka yang mengenali dan tahu di mana abang saya berada boleh menghubungi di talian 013-4775789," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 01:06 PM PST
MERU: Misteri tompokan darah atas katil membongkar seorang wanita 24 tahun melahirkan anak hasil hubungan terlarang dengan pendatang Bangladesh di sebuah rumah di Jalan Haji Salleh off Jalan Meru di sini, petang semalam.
Bayi lelaki cukup sifat itu dipercayai dilahirkan kira-kira jam 4 petang kelmarin di rumah yang disewa wanita itu serta kakaknya dan dipercayai bayi itu mati ketika dilahirkan.

Kakak wanita itu yang tidak mengetahui adiknya hamil atau bersalin, menemui bayi berkenaan di atas katil tanpa tilam dan ternampak kesan darah.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, sejurus mengetahui kejadian itu, kakak wanita itu yang berusia 27 tahun, bekerja sebagai penyelia sebuah pasar raya di sini, segera melaporkan kepada polis.

Menurutnya, wanita berkenaan yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya, menjalin hubungan dengan seorang lelaki Bangladesh sehingga mengandung.

"Bagaimanapun, teman lelakinya sudah pulang ke negara asal sejak Mac lalu.
"Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dihantar ke tempat kejadian membantu siasatan dan menemui tali pusat bayi terbabit dalam beg plastik di rumah itu," katanya.

Menurutnya, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, bagi mengetahui usia dan punca kematian.
Wanita itu dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyembunyikan kelahiran.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 01:02 PM PST
JOHOR BAHRU: Bermodalkan kata-kata manis dan statusnya sebagai doktor di sebuah klinik swasta, seorang lelaki berusia 44 tahun bukan saja bijak memikat wanita untuk dijadikan isteri, malah mengikis wang teman hidupnya itu.
Bagaimanapun, tembelang sebenar terbongkar apabila isterinya hidup menderita selepas lelaki terbabit mula mengikis wang serta sanggup menjadikan isteri sebagai penjamin untuk memohon pinjaman bank sebelum akhirnya menceraikan dan meninggalkan wanita berkenaan menanggung hutang dengan institusi perbankan.
Bekas isteri pertama lelaki itu, Nora Ahmad, 42, ketika mendedahkan masalahnya pada sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Johor Bahru, di sini, semalam berkata, suaminya pernah mempunyai empat isteri wanita tempatan pada satu masa, tetapi tiga daripada mereka diceraikan sebelum lelaki itu menghilangkan diri bersama isteri keempat.
Jururawat klinik swasta itu berkata, bekas suaminya itu meninggalkan beban hutang kepadanya apabila secara menipu menggunakan tandatangannya ketika memohon pinjaman di sebuah institusi perbankan tanpa pengetahuannya.

Menurutnya, akibatnya, dia kini berdepan risiko diisytihar muflis menyebabkannya bingung memikirkan nasib apabila saban hari diburu institusi perbankan yang menuntutnya menjelaskan hutang RM58,000.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

No comments:

Post a Comment