Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Telefon pintar boleh lipat

Posted: 21 Nov 2012 09:33 AM PST

SEOUL: Kedatangan tahun baru tidak lama lagi mungkin turut menampakkan peralihan terkini kepada evolusi telefon pintar.

Syarikat Samsung dilaporkan semakin gigih menghasilkan telefon bimbit menggunakan skrin fleksibel dan tahan pecah sehingga ia boleh dilentur, digulung atau dilipat untuk disimpan dalam dompet. Menurut media, syarikat teknologi gergasi Korea Selatan itu kini dalam peringkat akhir pembangunan telefon pintar fleksibel itu dan dijangka sedia untuk dipasarkan tahun depan. Penemuan terbaru itu dibuat hasil penggunaan diod pemancar cahaya organik (OLED) yang amat nipis dan boleh dipasang pada bahan seperti plastik atau lingkaran tembaga. Sambung bukan satu-satunya syarikat yang membuat pelaburan besar dalam penyelidikan menghasilkan skrin menggunakan OLED.


Selain Samsung, syarikat dari Jepun, Sony, serta LG Display - juga dari Korea Selatan - turut melancarkan prototaip seumpama itu. Bagaimanapun, Sambung menjadi syarikat pertama menjanjikan tarikh pengeluarannya dengan sumber yang rapat dengan syarikat itu memberitahu Wall Street Journal, produk berkenaan akan dipasarkan pada separuh pertama 2013.

Melihat kepada tarikh pelancaran produk penting dalam siri S Samsung itu, pemerhati berpendapat, produk teknologi skrin fleksibel berkenaan mungkin dinamakan S4. Penghasilan itu dibuat ketika pengeluar telefon pintar dan tablet mencari jalan mencipta produk berbeza daripada apa yang ada di pasaran. Pengarah Telefon Bimbit dan Paparan Baru IHS Electronics and Media, Vinita Jakhanwal, berkata AMOLED fleksibel boleh membantu Sambung menghasilkan produk unik di pasaran. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Dadah RM750 juta dalam penggelek jalan dari China

Posted: 21 Nov 2012 09:06 AM PST

SYDNEY: Polis Australia merampas kokain dan methamphetamine bernilai A$237 juta (RM751 juta) yang disembunyikan dalam sebuah jentera penggelek jalan dibawa dari China, semalam.

Jurucakap polis Australia berkata, mereka menahan dua lelaki, masing-masing dari Kanada dan Amerika Syarikat (AS) di Sydney selepas menemui 350 kilogram dadah berkenaan.


Katanya, kedua-dua lelaki terbabit didakwa mengimport dadah dan berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan. Ia adalah rampasan kedua terbesar polis Australia dalam tempoh seminggu.

Pada 16 November lalu, polis menahan sebuah bot membawa 200 kilogram kokain selepas ia dilaporkan melarikan diri dari Tonga. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Pelajar cemerlang tidak didedah

Posted: 21 Nov 2012 09:05 AM PST

SINGAPURA: Singapura tidak akan menyiarkan nama pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan di negar ini untuk mengurangkan tekanan akademik ke atas kanak-kanak.Namun begitu, langkah itu menerima reaksi berbeza.

Apabila keputusan Peperiksaan Meninggalkan Sekolah Rendah (PSLE) dikeluarkan hari ini, media tidak lagi menyiarkan nama pelajar cemerlang seperti biasa dilakukan setiap tahun.

Jurucakap Kementerian Pendidikan berkata, langkah itu dibuat untuk mengingatkan pelajar dan ibu bapa bahawa kecemerlangan akademi hanyalah "satu aspek dalam progres dan kemajuan keseluruhan pelajar."

Kementerian juga akan berhenti menyiarkan nama pelajar cemerlang dalam peperiksaan peringkat sekolah menengah.


Seperti masyarakat lain di Asia Timur, masyarakat di Singapura juga amat mementingkan pelajaran tetapi obsesi terhadap keputusan cemerlang dikatakan menyebabkan pelajar dan ibu bapa tertekan.

Ia juga menggalakkan cara pembelajaran mengingat fakta dan bukan berfikir secara kritikal.

Tekanan akademik juga dikatakan menyebakan kanak-kanak di rantau ini membunuh diri dan mengalami gangguan psikologi.

Pelajar cemerlang dalam peperiksaan PSLE, biasanya dijamin masuk ke sekolah menengah elit di samping mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara, tetapi mereka yang gagal kadang-kadang tidak diterima masyarakat.

Keputusan kementerian untuk tidak lagi menyiarkan nama pelajar cemerlang di media, menerima reaksi berbeza.

"Ada pelajar yang tidak cemerlang ketika di sekolah rendah, tetapi berjaya dalam hidup," kata pengetua sekolah rendah, Kelvin Tay.

Tapi, ada yang tidak bersetuju dengan pandangannya.

"Kami suka membaca cerita mengenai orang yang berjaya dalam bidang sukan dan di dunia perniagaan. Ini kerana kita perlukan seorang untuk dijadikan contoh," kata Mazlita ABdul Jabbar, seorang akauntan di mana anak lelakinya mendapat tempat kedua untuk pelajar paling cemerlang, tahun lalu. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


RM6.37 bilion untuk besarkan Lapangan Terbang Soekarno-Hatta

Posted: 21 Nov 2012 09:03 AM PST

JAKARTA: Pengendali lapangan terbang terbesar Indonesia, PT Angkasa Pura II, cuba mendapatkan Rp20 trilion (RM6.37 bilion) pinjaman komersial dan bon bermula tahun depan untuk membiayai pembangunan lapangan terbang utama negara ini yang menelan belanja AS$2.7 bilion (RM8.26 bilion), kata ketua pegawai eksekutifnya, semalam.

Tri S. Sunoko berkata, syarikat milik negara itu mensasarkan projek Lapangan Terbang Soekarno-Hatta itu siap sepenuhnya pada 2015. Lapangan terbang itu tidak mampu menampung pertambahan jumlah penumpang ketika ekonomi Indonesia yang semakin meningkat.

"Lapangan terbang ini mampu menampung 62 juta pengguna setiap tahun menjelang 2015, sebaik saja projek pembangunan ini selesai," katanya. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Deejay warga Amerika ditangkap edar dadah kepada pengunjung kelab di Manila

Posted: 21 Nov 2012 09:02 AM PST

MANILA: Polis Filipina menahan seorang deejay kelab warga Amerika yang disyaki mengedar dadah kepada pengunjung kaya di sebuah pesta, kata Polis AntiNarkotik, semalam.

Ketua Inspektor Roque Merdegia berkata, sepuluh kilogram methamphetamine hydroklorida (syabu) dan sejumlah kecil kokain ditemui di apartmen dan kenderaan milik Bryan Hill.

Pengarah Eksekutif Unit AntiNarkotik, Superintendan Kanan, Prudencio Banas berkata, Hill, 32 tahun adalah suspek pengedar dadah kepada pengunjung kelab di Manila.

"Hill yang bekerja sebagai deejay di kelab, mempunyai rakan subahat yang membekalkan dadah kepada pengunjung," katanya. -MT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Bekas pembantu Imelda Marcos didakwa jual lukisan Monet

Posted: 21 Nov 2012 09:01 AM PST

NEW YORK: Bekas setiausaha peribadi Imelda Marcos, isteri Presiden Filipina yang disingkir, Ferdinand Marcos, didakwa berkomplot untuk menjual lukisan Monet kepunyaan Imelda.

Vilma Bautista, 74 adalah seorang daripada tiga yang didakwa berkomplot untuk memiliki dan menjual karya berharga" kepunyaan Imelda Marcos dan "menyimpan hasil jualan untuk kegunaan sendiri," kata pejabat Pendakwa Raya di Manhattan.

Mereka juga didakwa mahu menyembunyikan hasil jualan itu daripada pihak berkuasa cukai Amerika Syarikat.

Lukisan Monet itu dijual dengan harga AS$32 juta (RM98 juta) pada 2010 dan merupakan satu daripada beberapa lukisan berharga dan harta mewah milik Imelda yang dikumpul ketika zaman pemerintahan suaminya yang digulingkan pada 1986.


Kerajaan Filipina berusaha untuk mendapatkan kembali harta selepas revolusi itu tetapi kebanyakannya sudah hilang.


"Beberapa lukisan dan barang berharga hilang daripada kerajaan Filipina, termasuk dari rumah milik Konsulat Filipina di Manhattan," kata Pejabat Pendakwa Raya. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Hantar senjata ke Gaza: Iran

Posted: 21 Nov 2012 09:00 AM PST

DUBAI: Iran semalam menggesa negara Arab mencontohi negara itu dengan menyalurkan bantuan ketenteraan kepada penduduk Palestin.

Speaker Parlimen Iran, Ali Larijani, berkata kezaliman dilakukan rejim Zionis ke atas Gaza kini adalah keganasan terancang.


"Kami berbesar hati kerana bantuan diberikan kepada Palestin berkesan dan negara Arab masih terus mengadakan mesyuarat.

"Negara Arab sepatutnya tahu Palestin tidak perlukan kata-kata atau mesyuarat," katanya dilaporkan agensi berita Fars. Israel meneruskan kempen keganasan ke atas Gaza melalui serangan udara awal pagi semalam kononnya dalam usaha mereka menghalang kumpulan Hamas melancarkan roket ke wilayahnya.


Tel Aviv mendakwa, serangan roket dilancar pejuang Palestin ke wilayah Israel menakutkan penduduk di selatan negara itu sejak bertahun-tahun lalu. Ali berkata, mesej Iran adalah jelas, iaitu jika negara Arab mahu menolong Palestin, mereka perlu memberi bantuan ketenteraan. Sebelum ini, pegawai Iran enggan memberi komen mengenai dakwaan Teheran membekalkan roket Fajr-5 kepada Hamas.


Kelmarin, serangan roket itu ke wilayah Eshkol di selatan Israel, membunuh seorang tentera Israel dan seorang penduduk dan mencederakan sekurang-kurangnya 15 tentera Zionis. Insiden itu menjadikan jumlah korban akibat tindak balas Palestin meningkat kepada lima orang, selain kira-kira 45 yang lain, termasuk 20 tentera, cedera. Di pihak Palestin pula, lebih 145 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, dibunuh dengan lebih 1,100 lagi cedera dalam lebih 1,450 serangan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Bangunan pejabat AFP bergegar diserang roket

Posted: 21 Nov 2012 08:59 AM PST

GAZA CITY: Sebuah bangunan menempatkan pejabat agensi berita AFP di Gaza City terkena serangan udara tentera Israel malam kelmarin, kata petugas agensi itu semalam.

Jurugambar AFP, Mahmud Hams, berkata dia berada di tingkat empat bangunan berkenaan ketika serangan berlaku.


Bagaimanapun, Mahmud bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan.

"Sekurang-kurangnya tiga roket mengenai bangunan ini," katanya. Walaupun bergegar, Mahmud berkata, dia tidak menyangka bangunan berkenaan diserang. Selepas lima minit, katanya, mereka terdengar dua lagi letupan kuat yang turut menggegarkan bangunan berkenaan. "Saya mencapai kamera dan meninggalkan pejabat bersama peralatan lain dengan meredah asap di laluan keluar," katanya. Sementara itu, Israel mengesahkan mereka mengebom sebuah bangunan lapan tingkat di kawasan penempatan Rimal. Jurucakapnya berkata, sasaran mereka ialah tingkat tujuh bangunan itu yang menempatkan bilik operasi perisikan Hamas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Rumah penasihat PM Hamas ranap dibom

Posted: 21 Nov 2012 08:59 AM PST

GAZA: Pesawat tentera Israel mengebom rumah Ketua Penasihat Perdana Menteri Hamas dalam serangan yang masuk hari kelapan, semalam.

Penduduk setempat berkata, jet tentera rejim Zionis itu melepaskan tembakan amaran ke arah rumah Essam al-Daalees yang bekerja rapat dengan dengan Ismail Haniyeh.


Sejurus kemudian, kata saksi, tentera Israel mula menembak terus ke bangunan berkenaan yang berada di Kem Pelarian Nusseirat, tengah Gaza, menyebabkan ia ranap sepenuhnya. Seorang penduduk yang berada berhampiran cedera akibat serangan itu. Saksi berkata, rumah berkenaan dikosongkan sebelum ini.

Sejurus selepas serangan itu, Essam berkata, Hamas akan terus menjalankan tanggungjawabnya dan pencerobohan Zionis akan ditumpaskan. Israel mendakwa serangan ke atas Gaza dilancarkan untuk menghentikan ancaman roket berterusan dari situ. Lebih 140 orang terbunuh - dengan lebih separuh orang awam - sejak kempen keganasan itu dilancarkan Israel. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Sebuah bas di ibu negara Yahudi dibom: 17 cedera

Posted: 21 Nov 2012 08:58 AM PST

TEL AVIV: Seramai 17 orang cedera dalam letupan sebuah bas berhampiran Kementerian Pertahanan Israel semalam.

Pegawai kerajaan berkata, "serangan pengganas" itu berlaku ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) berada di negara itu untuk berunding dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagi mencari jalan menamatkan sengketa ketika ini. Jurucakap agensi kecemasan Israel berkata, seorang mangsa cedera agak parah, selain tiga lagi agak sederhana dan tujuh luka ringan.


"Enam mangsa dirawat kerana terkejut," katanya. Sementara itu, polis berkata, letupan berlaku di JalanShaul HaMelech, di belakang Kementerian Pertahanan Israel. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


No comments:

Post a Comment