Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


90 kali bedah untuk tampan

Posted: 25 Nov 2012 11:41 AM PST

NEW YORK: Justin Jedlica sudah menjalani 90 pembedahan plastik untuk mendapatkan susuk tubuh yang sempurna.

Lelaki berusia 32 tahun ini sudah membelanjakan lebih RM300,000 sepanjang 10 tahun lalu dalam usaha untuk kelihatan seperti anak patung hidup.


Dengan mukanya yang cantik, dia memiliki bentuk tubuh seperti GI Joe, lengkap dengan perut berulas dan lengan berotot, semuanya diperoleh tanpa mengangkat berat atau bersenam di gym.

Seperti anak patung plastik, semua ototnya adalah palsu. Hampir setiap inci bahagian atas tubuhnya diltiupi dengan implan, lapor ABC News.


Selain itu, Justin juga menjalani pelbagai pembedahan hidung, pipi, tulang kening serta bibir untuk mendapatkan muka yang sempurna.


Malah, pinggulnya yang tegang juga palsu, hasil kerja pakar bedah yang memberinya implan pinggul.

Jedlica mengaku dia boleh melakukan senaman untuk mendapatkan bentuk tubuh seperti itu tetapi enggan melakukan aktiviti itu yang disifatkannya sebagai tidak menarik dan tidak glamor.


Ketaksubannya dengan penampilan itu bermula ketika berusia belasan tahun apabila dia tidak sukakan saiz hidungnya yang dianggap terlalu besar.

Dia melakukan lima pembedahan untuk mendapatkan hidung yang ideal.


Bagaimanapun, menurut Jedlica, dia masih belum 100 peratus berpuas hati dengannya, sambil menunjukkan kepada wartawan keadaan hidung yang diingininya.


Dari hidung, dia melakukan pembedahan untuk mencantikkan pinggul, dada dan kemudian lengan.


Jedlica berkata, dia tidak melihat sebarang alasan untuk menghentikan ketaksubannya terhadap pembedahan plastik.


Katanya, pembedahan pertama hidungnya adalah satu keperluan sementara yang lain hanya kemahuannya saja. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Gangnam Style catat rekod tontonan di Youtube

Posted: 25 Nov 2012 11:38 AM PST

SEOUL: Video 'Gangnam Style' oleh sensasi pop Korea Selatan, Psy, semalam menjadi video paling banyak ditonton di YouTube.

Video berkenaan mencatatkan lebih 805 juta tontonan. mengalahkan 'Baby' oleh penyanyi remaja dari Kanada, Justin Bieber.

Penyanyi berusia 34 tahun itu menjadi terkenal sejak 'Gangnam Style,' yang menyaksikan dia melakukan tarian kuda, mendapat sambutan hangat sejak diterbitkan pada Julai lalu.

Sehingga petang kelmarin, video muzik itu mengumpulkan catatan 805 juta tontonan, berbanding 'Baby' yang mencatatkan 803 juta.


YouTube berkata, video itu 'mendapat sambutan di peringkat global yang tidak pernah kami saksikan sebelum ini.


"Setiap hari, 'Gangnam Style' ditonton antara tujuh hingga 10 juta kali berbanding 350,000 hingga 500,000 untuk Baby," kata Kevin Allocca, Pengurus Trend Youtube, dalam blognya.

'Gangnam Style' mencatatkan rekod itu hanya dalam masa empat bulan.

Lagu Psy yang menceritakan mengenai kawasan kediaman elit di Seoul, menduduki carta muzik teratas di Britain ke Australia dan menjadi sebutan orang kenamaan, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon.

Sementara itu, populariti Psy yang nama sebenarnya Park Jae-Sang terus meningkat dengan mendapat penghormatan dalam industri muzik awal bulan ini apabila membuat persembahan bersama ikon pop, Madonna di konsertnya di Madison Square Garden, New York.

Dalam wawancara dengan CNN baru-baru ini, Psy mendedahkan rancangan untuk menerbitkan lagu terbaru dengan lirik berbahasa Inggeris dan Korea. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Pengarang letak jawatan kerana siar gambar Kate

Posted: 25 Nov 2012 11:37 AM PST

DUBLIN: Pengarang akhbar Irish Daily Star meletak jawatan berikutan penerbitan kontroversi gambar separuh bogel Duchess of Cambridge, Kate Middleton.

Michael O'Kane digantung tugas pada September sementara siasatan dalaman dilakukan berhubung keputusan tabloid itu untuk menyiarkan gambar Kate dan Putera William berjemur ketika bercuti di Perancis.

Dalam satu kenyataan semalam, akhbar itu berkata: "Penerbitan gambar itu pada 15 September mencetuskan isu dengan pemegang saham Independent Star Limited.

"Setelah menimbang isu itu, O'Kane mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai pengarang serta-merta."


Taikun media, Richard Desmond, pemilik kumpulan Northern and Shell yang memiliki akhbar itu bersama-sama Independent News and Media dari Ireland, sebelum ini mengancam untuk menutup operasi di Dublin.


Bagaimanapun, sumber semalam berkata, pemilik saham bekerjasama untuk meningkatkan masa depan akhbar berkenaan yang mempunyai 120 pekerja.

Setakat ini, tidak ada perubahan mengenai usahasama yang dijalinkan sejak 25 tahun lalu selepas perletakan jawatan O'Kane.

Satu sumber lain berkata, perubahan akan dilakukan pada masa depan tetapi persetujuan mengenainya masih belum dicapai.

Sumber lain pula berkata, tidak ada perkembangan mengenai gesaan supaya menutup akhbar itu.

September lalu, Desmond berkata, dia begitu marah terhadap keputusan untuk menyiarkan gambar berkenaan dan mengambil langkah serta-merta bagi mengakhiri usahasama itu.

Independent News dan Media berkata, O'Kane sentiasa bertindak profesional dan bersesuaian untuk kepentingan akhbar itu. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Polis tipu dalam ujian

Posted: 25 Nov 2012 11:32 AM PST

MANILA: Tiga belas anggota polis Filipina dipecat dan lebih 350 lagi disiasat kerana disyaki menipu dalam ujian bertulis, kata badan pentadbiran polis, semalam.

Suruhanjaya Polis Nasional berkata, keputusan ujian yang diambil tahun lalu oleh 386 orang di bandar Zamboanga dikira tidak sah kerana terlalu ramai yang memberi jawapan salah yang sama.

Ujian itu diambil oleh calon anggota polis dan juga anggota polis sedia ada yang mahu naik pangkat.

Penipuan itu didedah baru-baru ini dan mereka yang mengambil ujian kemasukan itu telah ditauliahkan ke dalam pasukan polis.


Ketua Polis Wilayah, Superintenden Napoleon Estilles berkata, 13 anggota telah dipecat dan yang lain masih disiasat dan boleh dibuang kerja.


Dia tidak menjelaskan bagaimana penipuan itu terbongkar.

"Lembaga pemecatan mendapati mereka bersalah... kerana tidak jujur," kat Estilles.

Kontroversi itu mendedahkan masalah rasuah yang dialami polis negara ini, tetapi sering menafikan mereka tidak cekap dalam media tempatan.

Pada 2010, seorang anggota polis yang dipecat atas dakwaan rasuah, merampas sebuah bas membawa pelancong Hong Kong.

Pasukan Polis yang cuba menyelamat membuat kesilapan sehingga menyebabkan lapan tebusan maut, begitu juga dengan perampas bas itu. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Polis serbu klinik gugur janin, 3 ditahan

Posted: 25 Nov 2012 11:32 AM PST

PATTAYA: Polis semalam menahan tiga orang dalam serbuan di klinik pengguguran janin di Pattaya. Mayat janin perempuan berusia kira-kira lima bulan yang baru digugurkan oleh seorang wanita berusia 20 tahun turut ditemui di klinik itu.

Polis menahan Arkhom Sarnmano, 31, seorang pemandu teksi motosikal yang membawa wanita itu ke klinik, di mana dia dikatakan diupah untuk membawa ramai wanita mengandung untuk menjalani pengguguran.

Turut ditahan, Jitra Masiyapak, 21, penyambut tetamu klinik itu dan Somjai Buasaen, 45, yang disyaki melakukan pengguguran janin untuk wanita itu. Janin itu ditemui dalam plastik hitam berdekatan.

Somjai dilaporkan mengaku telah membuka klinik itu bertahun-tahun lamanya dan telah ditangkap empat kali. Dia dilepaskan dengan ikat jamin dan membuka semula klinik itu kerana dia memperoleh pendapatan tinggi daripada kerjanya itu.


Setiap pengguguran janin dikenakan bayaran sekurang-kurangnya 10,000 baht (RM996).


Polis berkata, pemilik sebenar klinik itu adalah Charnwit Sattayaprasert, seorang doktor yang melarikan diri dari waran tangkap. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Yingluck berdepan undi tidak percaya di Parlimen

Posted: 25 Nov 2012 11:31 AM PST

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra berdepan perbahasan mengenai usul undi tidak percaya yang dilancarkan oleh pembangkang di Parlimen, sehari selepas tunjuk perasaan bertukar ganas di Bangkok, semalam.

Tetapi usul yang turut mensasarkan kepada tiga lagi menteri kerajaan, mungkin tidak akan diluluskan oleh dewan yang didominasi oleh parti Yingluck iaitu Party Puea Thai dan sekutu gabungannya.

"Perdana Menteri gagal untuk menguruskan negara ini seperti dijanjikan. Dia membenarkan rasuah," kata anggota Parlimen barisan pembangkang Parti Demokrat, Jurin Laksanavisit pada permulaan pembahasan itu yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari.

"Dia juga membenarkan orang luar mempengaruhinya dan mengawal pengurusannya," katanya, secara halus merujuk kepada abang Yingluck, bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.


Yingluck yang dituduh sebagai pemimpin boneka abangnya oleh pesaingnya memberitahu wartawan dia "yakin" kerajaannya mampu mempertahankan dirinya.


Sekutu pemerintahannya yang terdiri daripada enam parti yang ditubuhkan selepas parti Puea Thai memenangi pilihan raya pada Jun 2011, mengawal kira-kira 60 peratus kerusi dalam Dewan Perwakilan.

Perbahasan itu yang akan disusuli dengan undi tidak percaya pada hari Rabu, dibuat sehari selepas polis bertembung dengan penunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


PM Filipina mahu perbicaraan dibuat secara langsung

Posted: 25 Nov 2012 11:31 AM PST

MANILA: Selepas dituduh tidak mampu memberi keadilan kepada mangsa pembunuhan beramai-ramai di Maguidanao, Istana Malacanang menggesa sipaya liputan lintas langsung media dibenarkan dalam perbicaraan kira-kira 200 orang yang dituduh membunuh 58 orang termasuk 32 wartawan.

Jurucakap Presiden, Edwin Lacierda menyalahkan ketiadaan siaran langsung perbicaraan itu memberi tanggapan bahawa pengurusan Benigno "tidak berbuat apa-apa" untuk mangsa pembunuhan itu.

"Masalahnya perbicaraan itu tidak disiar secara langsung. Mudah berkata kerajaan tidak buat apa-apa," katanya.

Katanya, Presiden Benigno telah meminta supaya perbicaraan itu dibuat secara langsung supaya masyarakat tahu apa yang berlaku. - MT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Polis Filipina tahan bekas pekerja keluarga Ampatuan

Posted: 25 Nov 2012 11:30 AM PST

MANILA: Polis Filipina menahan bekas pekerja keluarga berpengaruh yang bertanggungjawab atas pembunuhan 58 orang pada 2009, dalam satu kes pembunuhan beramai-ramai politik terburuk negara ini.

Bong Andal tidak melawan ketika ditahan di bandar Midsayap kelmarin, menjadikan dia suspek ke 106 ditangkap dan 91 lagi masih dicari, kata polis dalam satu keyataan.

Tangkapan itu dibuat sehari selepas ulang tahun ketiga pembunuhan itu dan atas gesaan keluarga mangsa supaya tuduhan ke atas keluarga Ampatuan dan tentera persendirian yang melakukan pembunuhan itu dibuat secepat mungkin.

Keluarga Ampatuan dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai pada 2009 di kubu kuat mereka, wilayah Maguindanao untuk menghalang pesaing mereka, Esmael Mangudadatu daripada bertanding dalam pilihan raya tahun 2010.


Antara yang terkorban termasuk isteri Mangudadatu dan adiknya, peguam mereka dan sejumlah wartawan. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


109 pekerja rentung

Posted: 25 Nov 2012 11:30 AM PST

ASHULIA: Seramai 109 orang terbunuh apabila sebuah kilang pakaian dijilat api, kebakaran industri terburuk dalam sejarah Bangladesh, semalam.

Ramai pekerja terpaksa terjun menerusi tingkap untuk menyelamatkan diri daripada asap dan api.


Anggota bomba mengambil masa beberapa jam untuk mengawal kebakaran itu yang bermula di tingkat bawah bangunan enam tingkat kilang Tazreen Fashion, kira-kira 30 kilometer ke utara Dhaka.

Mangsa yang terselamat menceritakan bagaimana kakitangan, kebanyakannya wanita, terdesak untuk menyelamatkan diri daripada kilang berkenaan yang mengeluarkan pakaian berjenama antarabangsa, termasuk rangkaian Belanda, C&A dan Li & Pung, syarikat yang berpusat di Hong Kong.


"Saya terhidu asap dan lari ke bawah. Saya dapati kawasan itu sudah dipenuhi dengan asap tebal.


"Bersama seorang rakan, saya memecahkan tingkap di tingkat dua dan terjun ke bumbung bangunan sebelah.

"Tangan saya patah, tetapi saya selamat," kata Rabiul Islam.


Menurutnya, ramai rakannya mati dalam kejadian itu.

Bangladesh menjadi pusat membuat pakaian kerana upah buruhnya yang murah. Sejumlah besar jenama popular menggunakan kilang di negara itu untuk mengeluarkan produk bagi dieksport ke pasaran Barat.


Namun, standard keselamatan di kilang negara itu amat rendah.


Pesuruhjaya Daerah, Yusuf Harun memberitahu wartawan, seramai 109 orang terbunuh, termasuk beberapa pekerja yang mati selepas terjun dari tingkat atas.


Kira-kira 100 orang turut cedera.


"Kami meletakkan mayat di kawasan lapang sebuah sekolah berhampiran. Sebahagiannya sudahpun diambil oleh anggota keluarga," kata Yusuf.


Pengarah Bomba, Mejar Mahbub berkata, kebanyakan mangsa mati lemas selepas terperangkap dalam kebakaran yang bermula di tingkat bawah. "Kilang itu mempunyai tiga pintu keluar tetapi kerana kebakaran berlaku di tingkat bawah, pekerja tidak boleh turun," katanya.


Pemilik kilang, Delwar Hossain memberitahu wartawan menerusi telefon, punca kebakaran masih belum dapat dipastikan tetapi menolak dakwaan kilang itu tidak selamat.


"Ia kerugian besar bagi kakitangan dan kilang saya. Ini kali pertama kebakaran berlaku di satu daripada tujuh kilang saya," katanya.


Tuba Group, syarikat induk Tazreen Fashion, dalam laman webnya berkata, kilang itu dibuka pada 2009 dan mempunyai 1,630 pekerja. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


1.5 juta mohon 20,000 jawatan kerajaan

Posted: 25 Nov 2012 11:28 AM PST

BEIJING: Sekolah dan universiti di seluruh China semalam dipenuhi ratusan ribu pencari pekerjaan untuk menduduki ujian perkhidmatawan awam kebangsaan.

Akhbar Beijing Times melaporkan, 1.5 juta orang mendaftar untuk menduduki peperiksaan berkenaan. Jumlah itu lebih 30 kali lebih ramai berbanding 10 tahun lalu.


Ujian tahun ini bertujuan untuk mencari calon bagi mengisi 20,000 jawatan kosong dalam sektor awam.

Pertambahan mendadak pemohon sejak beberapa tahun lalu didorong oleh pendapat bahawa jawatan awam nenawarkan kestabilan dan status. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


No comments:

Post a Comment