Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Si mabuk cemar masjid

Posted: 24 Nov 2012 05:17 AM PST

KANGAR: Bukan sahaja menceroboh dalam keadaan mabuk, malah enam lelaki turut melempar tin arak ke dalam pagar Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis, dekat sini, selepas bertengkar dengan pengawal keselamatan, Khamis lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam apabila kumpulan lelaki berusia 30-an terbabit dikatakan mahu bersantai di tepi pantai bersebelahan masjid sebelum menceroboh melalui sebuah pintu pagar rumah ibadat itu menyebabkan tindakan mereka disedari pengawal keselamatan bertugas.


Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Addul Rahman Mohd Noordin berkata, seorang daripada mereka berbadan agak gempal sukar memanjat sebelum tindakannya disedari pengawal keselamatan masjid terapung itu.

Katanya, sebaik suspek menyedari tindakannya dilihat pengawal keselamatan, dia cuba melarikan diri tetapi gagal berbuat demikian.


"Suspek kemudian dibantu rakannya melawan pengawal keselamatan di situ selepas diarahkan keluar dari kawasan masjid menyebabkan berlaku pertengkaran di antara mereka.


"Semua suspek yang mabuk berkenaan tidak puas hati dengan tindakan pengurusan tidak membenarkan mereka masuk ke kawasan masjid untuk ke pantai bersebelahan sambil memaki-hamun pengawal keselamatan terbabit," katanya di sini, semalam.

Menurut Abdul Rahman, semua mereka kemudian beredar dari kawasan berkenaan sebelum melontarkan beberapa tin minuman keras yang diminum ke arah masjid.


Katanya, kumpulan lelaki itu kemudian beredar menaiki sebuah kereta Proton Iswara, tetapi nombor pendaftaran kenderaan terbabit berjaya dicatatkan pengawal keselamatan.

"Sejurus itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Kuala Perlis sebelum polis menahan semua suspek di Pauh di sini, awal pagi semalam (kelmarin). Semua mereka kemudian ditahan sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.


Katanya, kes berkenaan boleh mengundang rasa marah orang ramai dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Dibunuh ketika keluar minum dengan kawan

Posted: 24 Nov 2012 05:14 AM PST

KLANG: "Dia hanya beritahu mahu keluar minum bersama rakannya," kata Logeswari, 20-an, isteri kepada T Sivanesan, 32, yang dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemui di tepi padang permainan kanak-kanak di Taman Sentosa, di sini, semalam.

Logeswari ketika ditemui berkata, suaminya keluar dari rumah mereka kira-kira jam 2 pagi semalam untuk minum bersama empat rakannya di restoran berhampiran padang permainan kanak-kanak itu. "Saya tidak tahu apa masalahnya sebelum ini. Saya terkejut apabila dihubungi polis pagi tadi (semalam) memaklumkan mayatnya dijumpai di padang permainan ini," kata ibu kepada dua anak perempuan berusia lima bulan dan tiga tahun ini ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.


Difahamkan, sebelum kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Sivanesan dipercayai bergaduh di restoran itu sebelum melarikan diri ke padang permainan kanak-kanak itu.

Mangsa kemudian dipukul dan ditikam dengan objek tajam di tepi papan gelungsur di padang permainan itu. Mangsa yang parah kemudian cuba melarikan diri namun rebah kira-kira 30 meter dari tempat dia dipukul sebelum meninggal dunia.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 10 pagi semalam memaklumkan penemuan mayat terbabit.


Beliau berkata, pemeriksaan forensik mendapati ada kesan tikaman di bahagian punggung mangsa dan kesan cedera di belakang kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

"Mangsa dipercayai bergaduh sebelum dipukul lebih daripada seorang suspek di kawasan padang permainan kanak-kanak itu. Seorang lagi rakan mangsa yang identitinya belum dikenali turut cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini," katanya.


Mohamad berkata, hasil siasatan juga mendapati mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan curi kenderaan.

Katanya, polis juga tidak menemui sebarang senjata di kawasan berhampiran dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Tidak ambil tindakan

Posted: 24 Nov 2012 05:13 AM PST

SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan tidak bercadang mengambil tindakan terhadap seorang wanita berhubung insiden tiga anaknya dilarikan penjenayah selepas ditinggalkan dalam kereta tanpa dimatikan enjin, di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya di Senawang, dekat sini, Khamis lalu.

Pengarahnya, Abdullah Hanapi berkata, ia berdasarkan atas pertimbangan tertentu termasuk perbuatan itu bukan disengajakan oleh wanita berusia 42 tahun itu.


"Meskipun ada peruntukan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 mengenai sebarang tindakan menjurus kepada penganiayaan terhadap kanak-kanak boleh diambil tindakan, JKM perlu membuat penilaian menyeluruh mengenainya.

"Dalam kes ini, pihak kami berpendapat, wanita berkenaan mungkin tidak sengaja, malah tidak menjangka kejadian itu boleh berlaku. "Justeru, JKM tidak bercadang mengambil tindakan terhadapnya," katanya ketika dihubungi di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Tawar pakej maksiat

Posted: 24 Nov 2012 05:12 AM PST

KUALA LUMPUR: Pusat karaoke dan kolam memancing yang menjadi tumpuan segelintir warga emas untuk memancing sambil berhibur dengan pelayan pelanggan (GRO) dipercayai bersekongkol menawarkan pakej maksiat kepada pengunjung termasuk beragama Islam.

Ini berikutan tinjauan wartawan Metro Ahad mendapati segelintir pengunjung beragama Islam dilihat selamba meneguk minuman keras di gerai minuman yang dikendalikan kolam memancing terbabit, manakala sebuah premis snuker bersebelahan pusat karaoke dijadikan tempat berjudi di kalangan pengunjung. Lebih mencurigakan, bahagian dalam pusat karaoke berkenaan diawasi lebih lapan kamera litar tertutup (CCTV) seolah-olah khuatir kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.


Pakej melalaikan itu jelas menarik perhatian pengunjung hingga sanggup menipu keluarga kononnya memancing. Pemerhatian wartawan mendapati beberapa penunggang motosikal yang baru tiba di kolam itu dengan membawa bersama joran, meninggalkan kelengkapan memancing mereka di kenderaan atau kaunter dan terus memasuki pusat karaoke terbabit.

Seorang pekerja warga asing di kolam memancing itu bagaimanapun berdolak-dalik mengenai kaitan kedua-dua premis berkenaan.


Dia mendakwa premis pusat hiburan terbabit disewakan dan pihak pengurusan kolam tidak campur tangan dalam sebarang aktiviti dijalankannya.


Bagaimanapun, kebanyakan pelanggan tetap kolam memancing itu ketika ditanya mendakwa kedua-dua premis berkenaan mempunyai kaitan di antara satu sama lain dan aktiviti yang disediakan sebagai pelaris bagi menarik perhatian pengunjung supaya tidak beralih ke kolam pancing lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Tindakan jika ingkari syarat

Posted: 24 Nov 2012 05:12 AM PST

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas termasuk pembatalan lesen boleh diambil terhadap premis hiburan jika didapati menjalankan perniagaan tidak menepati peraturan serta kriteria ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, pusat hiburan perlu memohon lesen hiburan.


Beliau berkata, lesen hiburan terbahagi kepada empat jenis iaitu hiburan malam, hiburan permainan, hiburan semasa dan hiburan (panggung wayang). Menurutnya, tindakan boleh diambil terhadap premis yang memohon lesen hiburan permainan tetapi pada masa sama menjalankan aktiviti hiburan malam.

"Definasi hiburan malam terbahagi kepada dua bahagian iaitu muzik dan nyanyian serta muzik, nyanyian dan tari-menari. Contoh muzik dan nyanyian ialah karaoke, live band, one piece band, deejay (DJ) manakala muzik, nyanyian dan tari menari ialah karaoke, live band, disko dan dangdut,.


"Sementara definasi hiburan permainan pula aktiviti hiburan yang diadakan dalam jangka masa panjang di dalam tempat hiburan atau dalam premis bangunan yang sudah mendapat lesen premis perniagaan hiburan atau lesen premis yang dibenarkan. Contohnya pusat hiburan sekeluarga, boling, snuker, billiard, pool, hiburan dengan mesin hiburan (kiddy rides dan mesin simulator) dan juke box," katanya.


Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap pusat karaoke di sebuah kolam memancing bagi memastikan ia menjalankan operasi mengikut syarat ditetapkan.

Katanya, bagi setiap kesalahan atau pelanggaran syarat lesen hiburan, pemilik pusat hiburan akan diberikan surat tunjuk sebab yang perlu dijawab dalam masa 14 hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Meruntuhkan institusi keluarga

Posted: 24 Nov 2012 05:12 AM PST

KUALA LUMPUR: Kewujudan sebuah pusat karaoke dangdut bersebelahan kolam memancing yang turut menyediakan pelayan pelanggan (GRO) sebagai tarikan utama dibimbangi menimbulkan masalah gejala sosial dan meruntuhkan institusi kekeluargaan di kalangan penduduk berhampiran.

Penduduk yang ditemui menyuarakan kebimbangan itu berikutan pusat hiburan terbabit menjadi tumpuan ramai pengunjung terutama kaki pancing sekitar Lembah Klang.


"Sebelum ini saya selalu bawa keluarga mengunjungi kolam itu kerana ia turut menyediakan kemudahan tempat makan kepada pengunjung. Bagaimanapun, suasana di kolam berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah tidak mesra keluarga.

"Ia disebabkan pusat karaoke bersebelahan kolam terbabit beransur-ansur bertukar menjadi pusat hiburan dangdut dan dipercayai kini turut menyediakan khidmat GRO," kata seorang penduduk di kawasan perumahan berhampiran yang hanya mahu dikenali Salmah, 40an.


Dia mendakwa, perkara itu menjejaskan keharmonian keluarga penduduk selepas beberapa jirannya mengadu mengenai perubahan sikap suami mereka yang makin kerap mengunjungi kolam terbabit dengan alasan untuk memancing.


Ia berikutan tarikan hiburan dangdut yang biasanya hanya diminati golongan lelaki berusia dan kehadiran pelayan wanita memburukkan lagi keadaan.

Sehubungan itu, suri rumah berkenaan berkata, kolam memancing terbabit didapati sudah tidak sesuai lagi untuk dikunjungi kaki pancing bersama keluarga terutama pada waktu malam bagi mengelak anak mereka terpengaruh dengan gejala tidak sihat.


"Saya percaya sudah banyak rumah tangga pengunjung yang asalnya datang ke kolam berkenaan hanya untuk memancing, musnah dan berantakan disebabkan kewujudan pusat hiburan berkenaan.

"Justeru, saya dan ramai lagi jiran di kalangan suri rumah di sini, berharap tindakan segera dapat diambil pihak bertanggungjawab bagi mengelak masalah bertambah buruk selain memastikan kesahihan operasi pusat hiburan terbabit," katanya.


Selain itu, waktu operasi pusat hiburan berkenaan yang berlarutan sehingga awal pagi turut mengganggu ketenteraman penduduk berhampiran khasnya penghuni pangsapuri yang hanya terletak kira-kira 100 meter dari situ.


"Penghuni yang tinggal di rumah blok bersebelahan kolam terbabit paling teruk terjejas kerana selain bunyi kenderaan keluar masuk ke kolam yang beroperasi 24 jam itu, kini kami terpaksa berdepan pula bunyi bising daripada pusat hiburan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Atasi tanah runtuh

Posted: 24 Nov 2012 05:11 AM PST

SEREMBAN: Masalah tanah runtuh yang menjejaskan tiga rumah penduduk di Kampung Baru Sikamat, dekat sini, sejak kelmarin, akan diatasi segera melalui kerja pembaikan bagi menjamin keselamatan penghuninya.

Pegawai Khas Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Taslim Khan Kutub Din berkata, pihaknya bersama pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, sudah melawat lokasi kejadian dan mendapati ia berpunca daripada aliran air dari Sungai Sikamat berikutan hujan lebat sejak awal bulan ini.


Katanya, runtuhan membabitkan bahagian luar pagar rumah penduduk manakala sebuah rumah mengalami kerosakan teruk pada pagar dan dinding.

"Runtuhan berlaku berikutan aliran air yang deras ketika hujan lebat, tambahan pula kedudukan rumah mangsa berhampiran Sungai Sikamat.


"Perkara ini sudah dikemukakan kepada pejabat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan beliau sendiri sudah mengarahkan kerja membaikinya dilakukan secepat mungkin.


"Berdasarkan pemerhatian dan kajian, kita jangkakan kos baik pulih kira-kira RM50,000 dan akan mendapatkan kontraktor secepat mungkin bagi melaksanakan kerja pembaikan," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, seorang daripada mangsa, Wong Chung Wong, 56, berkata runtuhan tanah itu berlaku pada jam 12 tengah malam, dan dia tersentak apabila terdengar bunyi runtuhan dan terasa gegaran seperti gempa bumi sebelum keluar dan mendapati pagar rumahnya runtuh.


Menurutnya, dia sekeluarga bimbang untuk tidur di rumahnya dan terpaksa menumpang di rumah abangnya di Taman Megaway Sikamat.

"Sejak tinggal di sini lebih 30 tahun, ini adalah kejadian runtuhan yang terbesar pernah berlaku apabila tangki rumah saya juga condong kesan hakisan sungai.


"Saya amat berharap pihak berwajib dapat membantu dan mengambil tindakan sewajarnya, demi kepentingan dan keselamatan kami sekeluarga serta penduduk berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Bimbang kaki putus

Posted: 24 Nov 2012 05:10 AM PST

DUNGUN: "Anggota bomba terpaksa berhati-hati kerana bimbang kaki mangsa yang tersepit itu boleh terputus," kata Abdul Hamid Majid, 50, salah seorang saksi kemalangan membabitkan sebuah kereta di Kilometer 65.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Kampung Batu Pelanduk, dekat sini, semalam.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Proton Persona, Mohd Hishamuddin Mohd Husain, 27, terbabas selepas melalui satu selekoh tajam lalu melekat di pokok kelapa, kira-kira jam 2.30 pagi.

Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa parah di kepala dan kaki kanan manakala kaki kiri yang hancur terpaksa dipotong selepas dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Abdul Hamid yang juga Ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Rantau Abang selepas selesai bermesyuarat.


"Saya tidak berani membantu mangsa kerana enjin kereta itu berasap kuat dan saya bimbang ia boleh meletup," katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Terkejut jumpa mayat

Posted: 24 Nov 2012 05:10 AM PST

PETALING JAYA: Seorang tukang cuci di Flat Impian Seri Setia, Jalan SS9A/14, Sungai Way di sini, yang sedang menjalankan kerja pembersihan di bumbung tingkat dua bangunan itu terkejut apabila menemui sekujur tubuh dalam keadaan terlentang dengan bahagian kepala berdarah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, tukang cuci wanita berusia 30-an itu menemui mayat lelaki berpakaian lengkap di satu sudut bumbung berkenaan sebelum memanggil seorang ahli jawatankuasa (AJK) persatuan penduduk flat itu bagi memaklumkan kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mereka kemudian menghubungi polis kerana menyangka lelaki terbabit mangsa pembunuhan.

Menurutnya, sepasukan polis dengan bantuan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bergegas ke lokasi bagi menyiasat.


"Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit bukan mangsa pembunuhan, sebaliknya akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Kecoh awan berwarna

Posted: 24 Nov 2012 05:08 AM PST

MELAKA: Penduduk Kampung Balai Panjang, Melaka Tengah, di sini, gempar seketika selepas melihat satu tompokan awan berwarna-warni di langit, pagi semalam.

Kejadian disedari kira-kira jam 11.30 pagi apabila seorang penduduk yang menyaksikan fenomena itu memaklumkan kepada penduduk lain.


Menurut seorang penduduk, Mahat Baba, 55, dia menyedari kejadian itu apabila dimaklumkan jiran selepas pulang dari pasar.

"Sebaik sampai ke rumah, saya nampak ramai orang berkumpul sambil memandang ke arah langit dan terkejut selepas diberitahu mengenai perkara itu.


"Kepulan awan itu mempunyai sekurang-kurangnya lima warna dan dapat dilihat dengan jelas, malah ada penduduk merakam gambar itu menggunakan telefon bimbit," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, kepulan awan berwarna-warni berkenaan bagaimanapun mulai hilang selepas kira-kira setengah jam kemudian.

Katanya, kejadian itu pertama dialami penduduk kampung dan menganggapnya sebagai kebesaran Allah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


No comments:

Post a Comment