Harian Metro: Global


Harian Metro: Global


Posted: 10 Nov 2012 01:19 PM PST
LONDON: Penyanyi sensasi Korea Selatan, PSY menerima sijil Rekod Dunia Guinness ketika ditemuramah di studio Radio 1 BBC di sini, semalam.
PSY, yang terkenal dengan lagu Gangnam Style menerima sijil berkenaan selepas mengalahkan LMFAO dan Justin Bieber untuk 'Like' paling banyak bagi video dalam YouTube. Video Gangnam Style mencatatkan 4,911,081 'Like' sejak mula dimuatnaikkan pada 15 Julai lalu.

"Saya begitu teruja," kata PSY yang nama sebenarnya Park Jae-sang selepas menerima sijil berkenaan. "Inilah sijil pertama saya. Saya tidak pernah menerima sijil di sekolah," katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:17 PM PST
RIYADH: Lebih 5,000 gadis bawah umur 14 tahun melangsungkan perkahwinan di Arab Saudi.
Media negara itu memetik aktivis sosial, Ali Abdul Rahman al-Roumi sebagai berkata,ia bagaimanapun bukan satu trend yang berlaku di negara berkenaan.
Beliau tidak menyebut tempoh masa perkahwinan itu berlangsung.
"Terdapat 5,622 perkahwinan membabitkan gadis babawah 14 tahun. Masalah ini dijangka tidak akan selesai meskipun jika kerajaan menetapkan had umur untuk mendirikan rumah tangga.

"Malah, langkah itu, jika diambil, mungkin akan mencetuskan masalah lebih besar," kata Ali, yang juga ahli akademik di Universiti Islam Imam Mohammad Bin Saud.

Pada masa sama, beliau juga tidak bersetuju dengan mereka yang menentang langkah untuk menetapkan had umur untuk berkahwin.
Katanya, tindakan yang perlu dilakukan ialah mengambil kira usia pengantin lelaki dan perempuan tidak terlalu jauh dan memastikan jumlah wang hantaran tidak terlalu mahal bagi mengelak daripada perbuatan yang disifatkan sebagai 'menjual anak kepada orang kaya.
Menurutnya, kebanyakan perkahwinan bawah umur itu berlaku di kawasan pedalaman kerana kecenderungan ibu bapa untuk mengahwinkan anak mereka dengan lelaki tua yang kaya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Syura, Abdullah Bin Saleh Al Haeithi berkata, Kementerian Kehakiman sedang mengkaji pelaksanaan had umur untuk berkahwin. - GN
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:17 PM PST
LONDON: Jaguh pecut dunia, Usian Bolt mungkin bergabung dengan chef selebriti, Gordon Ramsay untuk membuka sebuah restoran bertemakan olahraga.
Menurut Usain, dia berminat untuk membuka restoran berkenaan di London.

"Saya sukakan makanan dan saya sukakan sukan.
"Saya mempunyai impian untuk menggabungkan kedua-duanya.

"Masalah yang dihadapi oleh kebanyakan restoran bertema ialah kualiti makanan yang tidak mencapai tahap.

"Jika saya membuka restoran bertemakan olahraga, saya akan memastikan ia yang terbaik. "Kerana itu, saya bercadang bergabung dengan Gordon Ramsay. "Dia chef paling baik di dunia dan mempunyai personaliti," kata Usain.
Usain akan berada di London Januari ini dan berhasrat berbincang dengan Ramsay mengenai rancangannya itu. - TS
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:16 PM PST
ANKARA: Media Turki melaporkan 17 anggota tentera negara itu terbunuh dalam kemalangan helikopter, semalam.
Kemalangan berlaku di tenggara negara itu.

Rangkaian televisyen Channel 24 memetik Gabenor wilayah Siirt, Ahmet Aydin sebagai berkata, helikopter terbabit terhempas di daerah Pervan.
Laporan lain menyatakan, kejadian berlaku dalam kabus tebal di kawasan pergunungan di daerah terbabit.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca kemalangan. Pejuang Kurdis dikatakan aktif di kawasan berkenaan.

Tentera Turki melancarkan operasi untuk mengusir pejuang berkenaan sejak beberapa bulan lalu. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:16 PM PST
OHIO: Doktor seorang banduan yang menanti hukuman mati memberitahu mahkamah di sini semalam, pesakitnya terlalu gemuk untuk menjalani suntikan maut dan kerana itu tidak boleh menjalani hukuman berkenaan.
"Kerana tidak mempunyai vena pada lengan, tangan atau kaki untuk disuntik kerana terlalu gemuk, dia tidak boleh menjalani hukuman mati," kata Doktor Sergio Bergese. Ronald Post, 53, sepatutnya menjalani hukuman itu pada 16 Januari depan atas kesalahan membunuh seorang kerani hotel, Grance Vantz pada 1983.

Post, 53, yang seberat 270 kilogram mahukan mahkamah membatalkan hukuman itu atas alasan berat badannya akan menyebabkan dia mengalami kesakitan amat sangat ketika menjalani proses berkenaan.
Menurut Bergese, Post juga mempunyai parut pada lengan kiri dan kanannya akibat cubaan membunuh diri. Parut berkenaan menyebabkan dia tidak boleh disuntik.

Sementara itu, waris mangsanya yang mendesak pihak berkuasa meneruskan hukuman itu, menyifatkan alasan Post sebagai jenaka. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:15 PM PST
YANGON: Sebuah kereta api membawa petrol tergelincir dan terbakar semalam, menyebabkan 25 orang rentung dan 62 cedera.
Kebanyakan mangsa ialah penduduk kampung yang cuba mengambil minyak yang tumpah akibat kemalangan itu.

Televisyen Myanmar melaporkan, kebakaran berlaku selepas tiga gerabak penuh dengan petrol terbalik berhampiran sebuah kampung di daerah Kanbalu, berhampiran sempadan India, kira-kira 500 kilometer ke utara Yangon.
Penduduk Kampung Chek- gyi berebut-rebut untuk mengambil minyak yang tumpah apabila mereka terperangkap dalam kebakaran itu.

Kira-kira 70 peratus daripada 60 juta penduduk Myanmar tinggal di ladang dan minyak begitu sukar diperoleh.

Seorang pegawai Jabatan Keretapi Myanmar memberitahu wartawan, angka kematian mungkin meningkat memandangkan sebahagian mangsa cedera parah. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:15 PM PST
RIYADH: Seorang angkasawan Russia semalam berkata, bandar suci Makkah dan Madinah adalah yang paling terang dan cantik apabila dilihat dari angkasa lepas.
Angkasawan berkenaan memberitahu demikian kepada pelajar Arab Saudi yang menyertai program Persatuan Kembara Angkasa Lepas semalam.

"Ketika berada di angkasa lepas, kami tidak berdepan dengan masalah untuk merakam gambar bandar raya di bumi pada siang hari.
"Tetapi, sebelah malam, ia begitu rumit dan anda perlu menggunakan teknik khas. Namun, saya berjaya merakam gambar beberapa bandar waktu itu. "Yang mengejutkan saya, ialah Makkah dan Madinah begitu terang berbanding bandar lain di seluruh dunia ketika waktu malam," kata angkasawan Anatoly Ivanishin.

Menurutnya, bandar lain tidak begitu jelas ketika itu tetapi pemandangan Makkah dan Madinah begitu menakjubkan dan tidak diduga. - AN
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:14 PM PST
WASHINGTON: Pengarah Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), David Petraues meletak jawatan semalam kerana terbabit dalam hubungan sulit.
Perletakan jawatannya mengejutkan Washington, tiga hari selepas pemilihan semula Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).

Ia juga berlaku sejurus sebelum Petraues memberi keterangan mengenai kegagalan CIA melindungi Konsulat AS di Libya dan dua hari sebelum dia menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60. "Selepas berkahwin selama 37 tahun, saya bertindak kurang bijak dengan menjalinkan hubungan sulit. "Perbuatan itu tidak boleh diterima, baik sebagai suami dan juga pemimpin sebuah agensi seperti CIA," kata Petraeus dalam satu kenyataan. Hubungan itu terbongkar ketika FBI melakukan pengawasan terhadap e-mel Petraeus.
Menurut sumber, bekas jeneral empat bintang itu yang pernah mengetuai tentera AS di Iraq dan Afghanistan menjalinkan hubungan sulit dengan penulis biografinya yang juga pegawai tentera simpananan, Paula Broadwell.

Obama dilapor menerima perletakan jawatan Petraues Jumaat lalu. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:14 PM PST
TOKYO: Penganjur maraton Beijing tidak membenarkan pelari Jepun mengambil bahagian kerana faktor keselamatan selepas sengketa baru meletus berkait dengan perebutan wilayah antara kedua-dua negara.
Maraton berkenaan dijadual berlangsung 25 November ini dan kira-kira 26,000 orang sudah menandatangani untuk menyertainya sejak pendaftaran dibuka Khamis lalu.
Syarikat Jepun seperti Canon menaja acara tahunan itu sehingga tahun lalu tetapi tidak berbuat demikian tahun ini.
Tindakan Jepun mengisytiharkan beberapa pulau yang menjadi rebutan dengan Beijing mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di beberapa bandar raya China September lalu dengan mensasarkan rakyat, perniagaan dan misi diplomatik negara itu.

Sejak itu atlet Jepun dan China menarik diri daripada beberapa acara sukan di kedua-dua negara atas alasan keselamatan. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

No comments:

Post a Comment