Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Sumbat mayat dalam tong drum

Posted: 18 Nov 2012 07:49 AM PST

ANDERSON (Carolina Selatan): Polis menahan seorang lelaki yang didakwa membunuh dua orang lebih sebulan lalu dan menyumbatkan mayat mereka dalam tong drum sebelum membuangnya ke dalam tasik di sini.

Pihak berkuasa semalam menahan John Michael Young di bandar Anderson, tempat di mana mayat berkenaan ditemui.


Polis berkata, Young ditahan kira-kira jam 1 pagi di kediamannya di West Lake Street di sini. Dia didakwa dengan dua pertuduhan bunuh dan memindahkan mayat secara tidak sah. Polis mendakwa dua pertuduhan terhadapnya selepas menggeledah kediamannya tidak jauh dari Tasik Hartwell, merampas mesin gergaji dan beberapa bilah parang, kata jurucakap Sherif daerah Anderson, Chad McBride. Polis berkata dalam waran tangkap bahawa Young disyaki membunuh Tony McGinnis, 52, September lalu dan Andrea Mitchell, 37, Oktober lalu dengan membelasah mereka di kepala dalam hutan dekat kediamannya. Polis tidak menyatakan motif pembunuhan itu tetapi berkata, mangsa bukan dibunuh secara rawak.

"Kami percaya suspek mensasarkan mangsa atas alasan tertentu.


"Saya tidak percaya suspek berada di sana mensasarkan mangsa secara rawak tanpa sebarang alasan," kata McBride. Mayat Andrea ditemui Rabu lalu dalam tong plastik yang separuh tenggelam di dalam tasik berkenaan selepas seorang pegawai polis melihat tong itu dan memeriksanya.


Polis kembali ke tasik itu keesokan harinya dan menemui mayat McGinnis yang dikerat dalam tong drum kira-kira 10 kaki dalam air.

Dua mangsa itu saling mengenali dan turut mempunyai beberapa teman lain yang sama.


Suspek kedua, Shaine David Fischer ditahan dan didakwa dengan dua pertuduhan subahat dalam pembunuhan itu. Polis berkata, dia membantu Young membuang mayat mangsa dalam tasik. Waran tangkap menyatakan Fischer mengakui peranannya dalam pembunuhan itu dan membawa polis kepada penangkapan Young. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


‘Barbie Manusia’ nafi guna teknik pertindihan imej

Posted: 18 Nov 2012 07:45 AM PST

LONDON: Dengan pinggangnya yang ramping, penampilan yang menawan dan payudara yang tersembul "Barbie Manusia" telah menjadi fenomena yang menggemparkan.

Namun, penampilannya yang kelihatan lebih daripada manusia biasa dalam satu video terbaru menimbulkan keraguan atas dakwaannya dia tidak menggunakan teknik pertindihan imej Photoshop dalam sesi fotografinya. Laman web TheDirty.com telah memuat naik beberapa video terbaru menunjukkan Valeria Lukyanova atau nama sebenar "Barbie Manusia" kelihatan nyata berbeza berbanding dengan penampilannya dalam foto biasa.


Pengasas laman web itu, Nik Richie menggelarnya 'Michael Jackson Ukraine'.

"Gadis itu adalah palsu. Dia menggunakan teknik tindihan imej terhadap fotonya sejak dia mula dikenali di Internet," tulis seseorang tanpa nama dalam komen TheDirty.com.


"Videonya tidak menggunakan teknik pertindihan imej. Adakah dia masih kelihatan sama? Ada bertan lagi video di luar sana dan seperti yang anda lihat, dia kelihatan tidak sama seperti fotonya yang menggunakan teknik pertindihan imej." Laman itu turut menuduh Valeria sebagai bekas pengantin tempahan.


Valeria menafikan dia menjalani pembedahan plastik atau menggunakan teknik pertindihan imej dalam fotonya.

Dalam satu daripada video terbarunya, Valeria memerengkan kepalanya di sudut yang tidak selesa dan membuka peluang untuk pelbagau kritikan dilemparkan, tetapi kelihatan seperti perempuan biasa berbanding imej Barbie yang diketengahkan hingga namanya melonjak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Bom kereta api: 1 maut, 15 cedera

Posted: 18 Nov 2012 07:44 AM PST

BANGKOK: Pejuang pemisah Islam disyaki meletupkan bom di bawah sebuah kereta api menyebabkan seorang terbunuh dan 15 cedera di selatan Thailand, semalam.

Letupan itu menyebabkan seorang sukarelawan pertahanan mati di laluan kereta api dekat daerah Rueso di Narathiwat, satu daripada wilayah sempadan mempunyai majoriti penduduk Islam yang mengalami konflik sejak lapan tahun lalu.

Mereka yang cedera termasuk penumpang dan pekerja laluan kereta api. Tiada pelancong asing dipercayai berada di dalam kereta api tempatan yang rosak teruk akibat letupan bom itu.

Di daerah Rangae, Narathiwat, seorang wanita terbunuh manakala anak lelakinya cedera parah dalam serangan senjata, awal pagi semalam.


Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 8 pagi di sebuah jalan dekat Ban Luk Khao di tambon Tanyong Limo, daerah Rangae.


Polis berkata, Halimo Royi, 53, dan anak lelakinya, Abdulloh, 25, menunggang motosikal pulang dari ladang getah di Ban Lubo Diyae.

Dua lelaki bermotosikal mengekori mereka dan penunggangnya melepaskan tembakan dengan raifal AK47.

Tembakan itu mengenai badan Halimo dan Abdulloh. Halimo maut serta-merta manakala anaknya cedera parah.

Polis menemui lebih 10 kelongsong peluru AK47 di tempat kejadian.

Di wilayah Yala semalam, kira-kira 300 orang, termasuk orang awam, ketua agama dan pegawai kerajaan, anggota polis dan tentera mengambil bahagian dalam upacara keagamaan berdoa untuk keamanan dan mengakhiri keganasan di wilayah selatan. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Rakyat Malaysia ditahan cuba seludup 3.1kg syabu ke Batam

Posted: 18 Nov 2012 07:43 AM PST

BATAM: Pegawai Kastam menahan seorang rakyat Malaysia, Ng Peng Chong kerana disyaki cuba menyeludup 3.1 kilogram kristal methampethamine (syabu) melalui Pelabuhan Tengah Batam, Kepulauan Riau, semalam.

Jurucakap Kastam Batam, Susila Brata berkata, Chong yang dalam perjalanan dari Pelabuhan Stulang Laut di Malaysia menaiki feri MV Indomas I, kelihatan keberatan melalui pintu pemeriksaan keselamatan ber-X-ray di pelabuhan itu.

Katanya, memandangkan kelakuannya mencurigakan, pegawai memeriksa tubuhnya dan menemui serbuk kristal putih dalam bungkusan yang dililit di pinggangnya.

Susila berkata, mereka masih menyoal siasat Chong dan akan membawanya ke hospital untuk memastikan dia tidak menyembunyikan dadah di dalam badannya.


Pihak kastam akan menyerahkan kes itu kepada polis selepas siasatan mereka selesai, katanya.


Kebanyakan pengeluar dadah dari Malaysia, terutama pengeluar syabu, menjual dadah mereka ke Indonesia melalui pelabuhan sempadan seperti di Batam, Bintan dan Karimun di Kepulauan Riau. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Penulis blog mengaku bedah wajah

Posted: 18 Nov 2012 07:43 AM PST

SINGAPURA: Kenyataannya, kecantikan akan membuka banyak pintu peluang kepada seseorang itu.

Penulis blog tempatan, Peggy Heng, 23, tanpa segan silu mengaku membuat pembedahan kosmetik untuk meningkatkan kariernya sebagai seorang model dan peserta pertandingan kecantikan.

Sebelum ini, dia sering mengkritik mereka yang sanggup melakukan pembedahan kosmetik untuk kelihatan cantik.

Perubahan sikapnya jelas. Seperti ramai yang dipengaruhi oleh kecantikan, dia turut terikut-ikut kerana mahu menjadi terkenal dan kaya melalui kecantikan wajah.


Malah, dia menjadi seorang mata duitan, sekali lagi tanpa segan silu.


Sebelum perjalanannya ke Seoul untuk pembedahan kosmetik Julai lalu, dia menawarkan The New Paper, paparan eksklusif untuk apa yang dilalui ketika pembedahan itu.

Minggu ini, Heng mahu berkongsi mengenai perjalanan menjadi seorang yang cantik.

"Saya rasa sangat gembira sekarang malah lebih yakin daripada dulu," katanya.

Katanya, "Sebelum ini saya bimbang sudut mana untuk kelihatan cantik di depan kamera tetapi sekarang saya tidak bimbang lagi dan sangat gembira dengan hasilnya."

Pembedahan mata dan hidung, menelan belanja 16 juta won (RM45,000 dan ditaja oleh syarikat pembedahan kosmetik Korea, Item Clinic.

Katanya, tidak semua orang nampak perbezaan sebelum dan selepas pembedahan kosmetik itu dan hanya anggota keluarga terdekat dapat melihat bahagian mana yang melalui pembedahan kosmetik.

Ini kerana orang ramai perlu melihatnya tanpa mengenakan alat mekap.

Antara kekurangan yang tidak disukainya sebelum pembedahan termasuk mata yang kecil, hidung bulat, dagu lebar. - TNP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Pelajar Indonesia protes serangan Israel atas Gaza

Posted: 18 Nov 2012 07:42 AM PST

JAKARTA: Beratus-ratus pelajar Islam melakukan tunjuk perasaan di sini, mengutuk serangan udara rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza, semalam.

Kira-kira 1,000 pelajar membawa bendera Palestin, gambar kemusnahan di Gaza dan mangsa sambil menjerit slogan "Selamatkan Gaza, Selamatkan Kemanusiaan" dalam bahasa Inggeris di luar bangunan Kedutaan Amerika Syarikat.

"Kami menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin yang menderita akibat perang terbaru ini," kata penyelaras tunjuk perasaan itu, Yousef Saiful Gunawan, 21.

Katanya, "Amerika adalah negara yang selalu memperjuangkan hak asasi manusia tetapi mengapa ia tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan serangan Israel? Israel adalah sebenar-benar pengganas."


Serangan udara Israel di Gaza kelmarin, menyebabkan 16 rakyat Palestin terbunuh dan serangan terbaru ke atas pusat media dan rumah penduduk awal pagi semalam, menyebabkan lebih ramai mati dan cedera. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Banduan cuba larikan diri terkena kejutan elektrik

Posted: 18 Nov 2012 07:41 AM PST

PATHUM THANI: Percubaan tiga banduan melarikan diri dari Penjara Sam Khok dengan memanjat dinding penjara gagal.

Dua berjaya ditangkap, manakala seorang lagi terkena kejutan elektrik, kata polis semalam.

Superintenden Polis Sam Kok, Kolonel Prawit Muangnuan berkata, banduan yang terkena kejutan elektrik adalah Sompan Saengsee. Dia dipenjara atas kesalahan menyimpan senjata api.

Dua banduan yang ditangkap ialah Decha Chimpli dan Suriya Chimpli.


Decha ditangkap ketika cuba melarikan diri sementara Suriya berjaya melarikan diri selama beberapa jam sebelum ditangkap. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Tentera darat Israel sedia ceroboh Gaza

Posted: 18 Nov 2012 07:41 AM PST

SEMENANJUNG GAZA: Israel mengebom pejuang Palestin di Semenanjung Gaza dari udara dan laut untuk hari kelima berturut-turut semalam dan bersedia untuk melakukan pencerobohan darat, selain menolak kemungkinan untuk berdamai.

Tembakan pejuang Palestin ke arah Israel reda pada waktu malam tetapi bermula kembali pada waktu pagi dengan roket mensasarkan pusat perdagangannya, Tel Aviv untuk hari keempat.


Dua peluru berpandunya ditembak jatuh oleh peluru berpandu 'Iron Dome' milik Israel. Bercakap sejurus selepas serangan, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, negaranya sudah bersedia untuk memperluaskan serangan.

"Kami menjangka serangan bertalu-talu daripada Hamas dan tentera kami sudah bersedia untuk memperluaskan operasi mereka," katanya dalam mesyuarat Kabinet tanpa mengulas maklumat lanjut mengenainya.


Seramai 51 penduduk Palestin dengan separuh daripadanya orang awam, termasuk 14 kanak-kanak terbunuh, manakala ratusan lagi cedera sejak Israel memulakan serangan, kata pihak berkuasa Palestin. Sementara itu, lebih 500 roket ditembak dari Gaza ke Israel membunuh tiga orang awam dan mencederakan puluhan yang lain.


Israel melancarkan serangan udara secara intensif sejak Rabu lalu membunuh komander tentera Hamas yang memerintah Gaza dan menolak rundingan damai dengan negara Yahudi itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Aktivis padam puluhan laman web kerajaan, institusi Yahudi

Posted: 18 Nov 2012 07:40 AM PST

TEL AVIV: Kumpulan aktivis dalam talian yang tidak bernama semalam berkata, ia telah menutup puluhan laman web agensi kerajaan Israel dan bank utama sebagai bantahan terhadap serangan udara negara Yahudi itu ke atas Gaza.

Penggodam itu berkata, operasi mereka bergelar "OpIsrael" sama ada telah merosakkan atau memadamkan sepenuhnya lebih 650 laman web institusi awam dan persendirian, termasuk Bank Jurusalem yang menjadi satu daripada pusat kewangan utama negara Yahudi itu.


"Pangkalan data Bank Jerusalem sudah dipadamkan," kata kumpulan itu dalam Twitter bersebelahan satu kaitan kepada laman web tidak berfungsi bank itu. Ia juga mendakwa telah menutup sebentar laman web kementerian luar sebagai bantahan terhadap ancaman Israel untuk menghentikan komunikasi Internet di Semenanjung Gaza. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


No comments:

Post a Comment