Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Seks untuk dapat kontrak

Posted: 28 Nov 2012 01:42 PM PST

BEIJING: Inilah wanita yang dirakam mengadakan seks dengan pegawai Parti Komunis China dalam video yang tersebar di Internet sehingga menggemparkan seluruh negara itu.

Lei Zhengfu, ketua parti peringkat daerah di Chongqing, bandar di barat daya China, dipecat selepas video itu tersebar awal bulan ini.

Wanita itu mulanya didakwa perempuan simpanan Lei. Bagaimanapun, laporan terbaru berkata, dia sebenarnya pelacur yang diupah oleh sebuah syarikat pembinaan bagi mendapatkan kontrak daripada pegawai terbabit.

Zhao Hongxia yang berusia 18 tahun ketika video itu dirakam pada 2007, menulis dalam blognya bahawa dia dibayar RM25,000 untuk tidur bersama Lei.


Katanya, wang berkenaan digunakan untuk membayar bil perubatan bapanya.


Zhao yang kini berusaia 23 tahun dan sudah menjadi jururawat berkata, dia ditawarkan wang itu oleh ketua sebuah syarikat hartanah.

"Dia berterus terang, bertanya sama ada saya mahu jadi pelacur, melayani pegawai kerajaan yang mempunyai hubungan perniagaan dengannya," kata Zhao.

Video itu mencetuskan satu lagi skandal dalam Parti Komunis di bandar yang sebelum ini diketuai oleh Bo Xilai, ahli politik yang dipecat sebelum ini.

Bagaimanapun, ia mungkin hanya satu permulaan apabila seorang bekas wartawan berkata, dia mungkin mendedahkan video serupa membabitkan lebih ramai pegawai bandar raya itu sedikit masa lagi.

Parti itu sebelum ini berdepan dengan skandal yang menyebabkan pemecatan Bo dan memburukkan lagi reputasi parti di mata orang ramai.

Chongqing, bandar raya yang diketuainya, digambarkan oleh pendakwa raya dan media sebagai penuh dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Isteri Bo didapati bersalah membunuh seorang ahli perniagaan Britain sementara dia sendiri berdepan dengan tuduhan rasuah serta menghalang keadilan dalam kes pembunuhan itu.

Berita mengenai video seks itu yang dipercayai dirakam pada 2007 hanya tersebar bulan ini ketika barisan pemimpin baru China meningkatkan usaha memerangi rasuah.

Video itu tersebar di Internet negara itu pada 20 November selepas imej rakaman itu dimuatnaikkan oleh bekas wartawan, Zhu Ruifen menerusi laman webnya yang didaftarkan di Hong Kong.

Video berkenaan yang dirakam secara sulit dari meja sebelah katil menunjukkan Lei mengadakan seks dengan wanita itu.

Zhu memberitahu wartawan bahawa Zhao, yang wajahnya tidak kelihatan dalam gambar yang dipetik daripada video itu, diupah oleh sebuah syarikat pembinaan untuk tidur dengan Lei sebagai balasan memperoleh kontrak.

Syarikat itu kemudian cuba menggunakan video itu untuk memeras lebih banyak kontrak daripada Lei.

Zhu berkata, dia memperoleh video itu daripada petugas Biro Keselamatan Awam Chongqing yang tidak mahu dikenali.

Menurutnya, dia juga diberikan video serupa membabitkan lima pegawai bandar raya itu yang lain tetapi kini berusaha mengesahkan kandungannya sebelum mendedahkannya kepada umum. - DT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Muka tertusuk pemutar skru

Posted: 28 Nov 2012 01:40 PM PST

BEIJING: Seorang kanak-kanak perempuan cedera selepas sebatang pemutar skru tertusuk pada mukanya.

Jiali dari Tianshui di wilayah Gansu, jatuh tersembam pada pemutar skru yang dipegangnya ketika melawat neneknya hingga menyebabkan alat itu menembusi hidungnya hingga ke soket mata.

Dia bernasib baik kerana pemutar berkenaan tidak terkena otaknya.

Kanak-kanak itu kemudian dikejarkan ke hospital. Pakar perubatan melakukan beberapa siri imbasan sinar-X bagi memastikan dia tidak mengalami kecederaan berkekalan.


Pemutar berkenaan tertusuk begitu kuat dan berhampiran otaknya hingga menyebabkan doktor pada mulanya tidak pasti sama ada boleh menariknya keluar tanpa menyebabkan kecederaan serius berpanjangan pada Jiali.


Jiali dibawa ke hospital tempatan tetapi dipindahkan dua kali kerana kakitangan merasakan mereka tidak dapat menangani kes itu.

Satu sumber berkata: "Ada kebimbangan pemutar skru itu tidak dapat dicabut dengan selamat. Dua hospital pertama tidak dapat memikirkan tindakan yang perlu dilakukan. Mereka tidak pernah berdepan dengan kes seperti itu sebelum ini."

Bagaimanapun, ketua pakar bedah di hospital ketiga, Yu Qin mampu melakukannya kerana pernah berdepan dengan kes sama. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Menteri ditegah ke luar negara

Posted: 28 Nov 2012 01:39 PM PST

JAKARTA: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam mengarah menterinya agar berada di dalam negara dan memberi fokus untuk menyelesaikan program kerajaan tahun ini.

"Jika tidak penting, mereka tidak perlu pergi ke luar negara," katanya dalam ucapan ketika membuka mesyuarat Kabinet di Istana Negara. Susilo berkata, larangan menteri Kabinet berkunjung ke luar negara akan mendorong mereka menyelesaikan agenda untuk tahun ini.


"Setiap menteri boleh menjalankan penilaian dan melihat apa yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan tugasan bulan depan," katanya.

Dia juga berkata, semua menteri perlu membuat perancangan untuk tahun depan menjelang akhir tahun ini. "Usah tunggu hingga pertengahan tahun depan atau akhir tahun depan. Semua tugasan perlu ditetapkan pada Januari," katanya. Spekulasi tersebar menyatakan larangan berkunjung ke luar negara adalah sebagai persediaan buat menteri kemungkinan berlakunya rombakan Kabinet dalam beberapa minggu lagi.


Khabar angin turut beredar bahawa perpecahan dalam Kabinet mendorong kepada rombakan awal tahun depan. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Yingluck terselamat undi tidak percaya

Posted: 28 Nov 2012 01:38 PM PST

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra semalam dengan mudah mengenepikan undi tidak percaya oleh pembangkang di Parlimen yang menuduhnya gagal membanteras rasuah.

Yingluck, Perdana Menteri wanita pertama Thailand memenangi 308 daripada 467 undian, mengekalkan sokongan juga daripada parti luar selain enam parti gabungannya yang menguasai tiga perlima kerusi di Dewan Rakyat.


Bekas ahli perniagaan itu memimpin Thailand pada Ogos tahun lalu selepas kemenangan besar partinya Puea Thai dalam pilihan raya yang mempunyai kaitan rapat dengan abangnya, bekas perdana menteri digulingkan Thaksin Shinawatra.

"Parlimen mengundi Perdana Menteri Yingluck agar terus memerintah," kata Speaker dewan, Somsak Kiatsuranont membuat pengumuman selepas undian, tiga hari selepas perdebatan oleh ahli Parlimen. Timbalan Perdana Menteri, Chalerm Yubumrung; Menteri Pertahanan, Sukumpol Suwanatat dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Chat Kuladilok turut terselamat daripada usul terbabit.


Yingluck dituduh pembangkang utama, Parti Demokrat menggalak rasuah - terutama dalam skim kontroversi pembelian beras kerajaan dan menjadi boneka kepada abangnya. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Mogok drebar bas China di Singapura berakhir

Posted: 28 Nov 2012 01:38 PM PST

SINGAPURA: Mogok pekerja pertama selepas 26 tahun kian berakhir di republik ini semalam apabila kebanyakan pemandu bas dari China yang berhenti bekerja untuk menuntut gaji lebih tinggi melaporkan diri untuk bertugas.

Operator pengangkutan kerajaan, SMRT berkata, hanya enam pemandu gagal tampil pada syif pagi berbanding jumlah keseluruhan 171 pada Isnin lalu. Syarikat juga sedang menyiasat mengapa mereka tidak hadir.


Pemandu dari China yang tidak menganggotai kesatuan sekerja dan tidak mengeluarkan pengisytiharan mogok memberitahu wartawan, mereka membantah diskriminasi bayaran gaji kerana rakan sejawat mereka dari Malaysia mendapat gaji lebih tinggi untuk pekerjaan sama. Kerajaan mengsiytiharkan tindakan mogok itu sebagai haram dan mendorong polis melakukan siasatan.

Mogok dan bentuk tindakan industri jarang berlaku di Singapura, di mana kesatuan sekerja saling bekerjasama dengan kerajaan dan sektor swasta menjadikan bandar raya pelabuhan itu tempat yang menarik untuk pelabur asing.


Mogok terakhir di Singapura berlaku pada 1986, kata Menteri Tenaga Kerja.


Mogok adalah haram kepada pekerja "khidmat penting" seperti pengangkutan kecuali mereka memberi notis 14 hari sebelum mengadakan mogok dan perlu menepati syarat lain. Hukuman melakukan mogok haram adalah denda hingga Sg$2,000 (RM4,990) atau penjara maksimum selama setahun atau kedua-duanya sekali. Mogok itu bermula apabila pemandu China enggan menaiki bas ulang-alik dari asrama mereka ke stesen berhampiran Isnin lalu. Media tempatan melaporkan sesetengah pemandu tidak menyedari mereka melanggar undang-undang Singapura. - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


14 kilogram ganja ditinggalkan di lot parkir

Posted: 28 Nov 2012 01:38 PM PST

BANGKOK: Polis menemui 14 kilogram ganja dalam beg plastik ditinggalkan di lot parkir dekat kelab lumba kuda Bangkok dan mengesyaki ia sebagai lokasi penghantaran dadah.

Seorang pengawal keselamatan berkata, dia ternampak kereta sedan berwarna gangsa diparkir di tempat itu, di mana dadah berkenaan ditemui. "Kereta itu berhenti betul-betul di tempat itu. Seorang lelaki keluar dan meletakkan plastik beg berkenaan sebelum meninggalkan tempat itu secara tergesa-gesa," katanya kepada polis. Menurutnya, dia bimbang jika barang itu adalah bom lalu menghubungi polis. Polis mengesyaki kawasan itu sebagai lokasi di mana pengedar menghantar dadah. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


3 wanita warga emas maut dirempuh treler

Posted: 28 Nov 2012 01:38 PM PST

CHAIYAPHUM (Thailand): Polis sedang mengesan seorang pemandu treler di mana kenderaannya menaiki laluan kaki lima dan membunuh tiga wanita tua yang menunggu untuk melintas jalan.

Tiga warga emas itu terbunuh di jalan raya bertentangan dengan sebuah kuil di tambon Chaturas.


Polis menemui mayat mereka bergelimpangan di seberang simpang di mana nahas berlaku, semalam.

Menurut saksi, treler 10 roda itu menaiki kaki lima dan terus merempuh tiga wanita terbabit yang menunggu untuk melintas jalan. Ketiga-tiganya dalam perjalanan ke kuil untuk upacara keagamaan pada waktu pagi. Saksi berkata, treler terbabit dipandu laju dan pemandunya hilang kawalan sebelum terbabas menaiki laluan kaki lima itu.


Polis merujuk kepada bukti nahas melalui kamera pengawasan di kawasan itu dan sedang menjejaki pemandu treler terbabit yang melarikan diri selepas nahas. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Dibunuh sebab muzik

Posted: 28 Nov 2012 01:37 PM PST

MIAMI: Seorang remaja di Florida, ditembak mati oleh lelaki yang beberapa minit sebelum itu telah meminta mangsa dan rakannya mengurangkan bunyi muzik dari stereo kereta mereka, kata pegawai polis, semalam.

Leftenan Rob Schoonover dari Jabatan Sheriff berkata, Jordan Davis, 17, ditembak sekurang-kurangnya dua kali oleh Michael Dunn, seorang ahli perniagaan berusia 45 tahun yang ditahan selepas kejadian Jumaat lalu di Jacksonville.

Kejadian itu berlaku apabila Dunn, seorang lelaki berkulit putih, berdepan dengan Davis, seorang lelaki kulit hitam dan memberitahunya bunyi muzik dari kereta SUV remaja itu, terlalu kuat.

"Jordan dan Dunn bertengkar dan Dunn mengeluarkan senjata api dan menembak lapan atau sembilan kali dan peluru mengenai tubuh Jordan dua kali. Tiada mangsa lain cedera," kata Schoonover.


Tiada senjata api lain ditemui dalam SUV itu.


Teman wanita Dunn membeli-belah di kedai berdekatan ketika kejadian itu berlaku.

Dunn ke situ untuk menghadiri majlis perkahwinan anak lelakinya.

Dia meninggalkan tempat kejadian dan kembali ke hotelnya tetapi polis berjaya menjejaki Dunn melalui rakaman kamera litar tertutup.

Bapa mangsa, Ron Davis memberitahu rangkaian televisyen tempatan, dia mahu keadilan ditegakkan, "tidak kira sama ada melalui sistem perundangan" atau Tuhan.

"Tuhan akan menghukum perbuatannya, jadi saya takkan buat apa-apa terhadapnya," kata Davis kepada saluran televisyen WAWS.

Februari lalu, masalah perkauman memuncak di Florida apabila seorang remaja kulit hitam tidak bersenjata, Trayvon Martin, ditembak mati oleh seorang penyelaras kejiranan Hispanik, George Zimmerman. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Wanita obes meninggal dunia sebelum sempat pulang ke NY

Posted: 28 Nov 2012 01:36 PM PST

NEW YORK: Seorang wanita yang sangat obes, yang melawat negara kelahirannya, Hungary, meninggal dunia ketika berusaha mendapatkan pesawat yang boleh menerbangkannya pulang.

Keluarganya dilaporkan mahu menyaman syarikat penerbangan yang enggan membawanya atas sebab saiz badannya yang besar.

Janos Soltesz dan isterinya Vilma, wanita obes dari Bronx, melawat Hungary tetapi tidak boleh terbang pulang Oktober lalu apabila syarikat penerbangan Delta dan KLM berkata, dengan badan seberat 180 kilogram, Vilma tidak muat kerusi pesawat.

Apabila pesawat bersesuaian ditemui, sembilan hari selepas tarikh sebenar penerbangannya, Vilma, 56 meninggal dunia, lapor CBS.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Polis Eropah tumpas kumpulan seludup pendatang Iran

Posted: 28 Nov 2012 01:36 PM PST

THE HAGUE: Polis berjaya tumpas rangkaian utama penyeludupan manusia dari Iran ke Eropah di mana mereka diberi dokumen palsu untuk perjalanan ke Britain atau Kanada, kata Europol (Polis Eropah), semalam.

Badan polis terbesar di Eropah itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari ibu pejabatnya di The Hague berkata, "Sebelas suspek diberkas pada awal pagi Isnin di Sepanyol dan tujuh di Britain."

Dua puluh suspek lagi ditahan dalam "Operasi Marlo" yang dilakukan oleh Polis Sepanyol pada Ogos 2011 dan juga melibatkan Agensi Sempadan Britain. Operasi itu disokong oleh Europol.

Kumpulan itu, yang beroperasi luar Sepanyol, dikatakan meminta jumlah wang yang besar daripada pendatang Iran, sehingga 18,000 euro (RM70,874) sebelum menyeludup mereka ke Turki dengan kereta dan kemudian melintasi sempadan ke Greek.


"Mereka mengambil kesempatan meneruskan perjalanan secara bebas ke negara Kesatuan Eropah lain," kata Europol. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


No comments:

Post a Comment