Harian Metro: Arena


Harian Metro: Arena


Posted: 16 Nov 2012 07:50 AM PST
ANGIN Pulau Pangkor diharap mampu meredakan tekanan dihadapi skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal pada masa ini.
Program selama tiga hari bermula semalam di Pan Pacific Resort, Perak diatur tepat pada waktunya ketika 24 pemain amat memerlukan rehat serta program motivasi untuk menyuntik semangat menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki yang bermula Ahad depan.

Menurut pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal, selepas keletihan mengharungi kempen Liga Malaysia serta aksi persahabatan antarabangsa sebelum ini, pemain negara harus diberi rehat sebelum kembali fokus terhadap misi mempertahankan kejuaraan.
"Walaupun masa ini digunakan untuk pemain berehat tapi ia tetap diisi pelbagai program bagi meningkatkan semangat dan kerjasama berpasukan.

"Tidak banyak bezanya modul program ini berbanding yang kita lakukan di Pulau Langkawi bagi persediaan Piala AFF dua tahun lalu dan saya harap selepas pulang ke Kuala Lumpur, semua pemain kembali bersemangat dan yakin menggalas misi mempertahankan kejuaraan," katanya kepada Arena Metro semalam.

Suntikan semangat diperlukan anak buah Rajagobal selepas mereka gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan pemanas badan dengan Vietnam 0-1, Thailand 0-2 dan Hong Kong 1-1 hingga mengundang kritikan semua pihak yang mula bimbang kemampuan Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan di laman sendiri tahun ini.
Bagaimanapun Subahan tetap yakin, Harimau Malaya akan kembali 'segar' selepas bercuti dan mereka sebenarnya seperti 'harimau terluka' apabila turun membuka kempen Kumpulan B menentang Singapura.

"Saya tidak pernah risau dengan kemampuan skuad negara, bukan kita nak mendabik dada. Tidak mengapa kita kalah dalam persiapan ini dan itu membuatkan pemain seperti harimau terluka dan mereka akan lebih bersemangat serta tidak memperlekeh pasukan lain dalam kejohanan sebenar." Skuad kebangsaan akan pulang ke Kuala Lumpur pagi esok untuk menyambung latihan seperti biasa bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan Bangladesh Selasa ini di Stadium Shah Alam.
Malaysia yang melakar sejarah muncul juara Piala AFF buat kali pertama dengan menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2 pada final 2010 akan bersaing bersama pasukan naib juara itu serta Singapura dan Laos dalam Kumpulan B.

Manakala tuan rumah bersama Thailand, akan melayan Filipina, Vietnam dan Myanmar bagi kempen Kumpulan A di Bangkok.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 16 Nov 2012 07:44 AM PST
FANLING (Hong Kong): Pemain nombor satu dunia serta juara bertahan, Rory McIlroy, kini terlepas peluang mempertahan gelaran Terbuka Hong Kong akibat masalah pukulan putt dan juga terlalu letih.
Pemain berusia 23 tahun itu sedar perlu melakukan catatan rendah selepas memulakan aksi dengan tiga atas par 73, semalam.

Bagaimanapun, pada lubang ke-11, dia melakukan pukulan ke bunker dan terlepas peluang melakukan birdie sekali gus mengakhiri peluangnya untuk meneruskan cabaran.
Dia mencatat bogey pada lubang keempat, selepas puttnya sedikit tersasar, ketujuh akibat gagal mengagak kepantasan green dan kelapan apabila puttnya tersasar sekali lagi.

McIlroy awalnya berpeluang meneruskan cabaran ke hari ketiga dan melepasi had kelayakan tiga atas par sebelum lubang terakhir.

Bagaimanapun, dia terlepas peluang melakukan birdie dan sekadar mencatat dua atas par 72 bagi catatan keseluruhan 145.
"Saya bermasalah di par lima lubang ke-11 dan ia merosakkan permainan hari ini.

"Pada mulanya saya berada di landasan tepat untuk meneruskan cabaran dan memenangi kejohanan tapi semuanya tidak menjadi selepas lubang itu.
"Kini saya perlu memperbaiki pukulan putt sebelum beraksi di Dubai minggu depan," kata juara PGA Amerika Syarikat (AS) itu. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 16 Nov 2012 07:43 AM PST
AUSTIN: Mark Webber memberi amaran, daun gugur dan suhu musim luruh Texas mampu mengundang masalah kepada tayar jentera pasukannya, Red Bull pada perlumbaan Grand Prix Amerika Syarikat (AS) bermula hari ini.
Menurutnya, Red Bull tidak memiliki kelebihan di litar baru yang dibina di pinggir Austin andai tayar yang mereka gunakan tidak berfungsi dengan baik.

"Selain perlumbaan di Abu Dhabi, prestasi pasukan amat memberangsangkan.
"Kami mempamerkan prestasi mantap di Abu Dhabi selepas mengungguli saingan di Suzuka. Malah Red Bull juga hebat di Korea dan India.

"Faktor suhu bakal memainkan peranan penting andai kami ingin meneruskan aksi pada tahap yang sama. Jika tayar tidak berfungsi di selekoh, tiada apa yang boleh kami lakukan.

"Kami perlu semua aspek berjalan lancar. Bagi saya susun atur litar tidak penting, suhu dan tayar penting," kata Webber.
Amaran keras itu disuarakan Webber selepas pereka litar dari Jerman, Hermann Tilke mendakwa susun atur litar AS itu akan menghidangkan cabaran terhebat buat pelumba pada musim ini. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 16 Nov 2012 07:43 AM PST
HONG KONG: Pelumba Portugal, Luis Filipe de Sousa Carreira terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Macau, semalam.
Jawatankuasa penganjur berkata, Carreira maut selepas mengalami kecederaan parah.

"Tiada pelumba lain terbabit dalam kemalangan itu. Susulan itu, perlumbaan dihentikan serta-merta.
"Selepas diperiksa doktor, Carreira lantas dibawa ambulans ke hospital," ulas penganjur.

Malangnya, pelumba berusia 35 tahun dari Lisbon itu meninggal dunia kira-kira 30 minit kemudian.

"Jawatankuasa GP Macau sudah menghubungi keluarganya serta rakan sepasukan dan mengucapkan takziah.
"Kejadian berlaku selepas 60 tahun GP ini dianjur," kata Penyelaras Jawatankuasa Grand Prix Macau, Joao Manuel Costa Antunes. Tahun lalu, pelumba berusia 24 tahun, Marco Simoncelli maut dalam kemalangan di MotoGP Malaysia, Sepang dan perlumbaan turut dibatalkan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 16 Nov 2012 07:42 AM PST
MADRID: Barcelona hanya tercicir dua mata pada musim ini dan kini mendahului musuh utama, Real Madrid dengan kelebihan lapan mata namun pemain pertahanan, Gerard Pique mengaku benteng mereka belum cukup ampuh.
Skuad Catalan dibimbing jurulatih baru, Tito Vilanova yang ada kalanya hanya menggunakan dua pemain pertahanan dengan kedua-dua pemain bek kanan dan kiri dibenarkan berada di barisan depan, menjaringkan purata lebih tiga gol setiap perlawanan dan mengumpul 36 gol setakat ini.

Namun menjelang pertemuan menentang Zaragoza, hari ini, Pique meluahkan kebimbangannya kerana mereka juga mudah melepaskan gol.
"Lawan menjaringkan gol setiap kali menyerang kubu kami dan saya tidak pasti sebabnya namun kami beri memikirkan masalah ini," katanya. "Kami menjaringkan lebih banyak gol berbanding musim lalu, sudah tentu apabila mengamalkan strategi menyerang, anda berdepan risiko lebih tinggi dan perlu memperbaiki strategi bertahan." Gawang Barca bolos 14 gol, paling banyak dilepaskan pada peringkat ini dalam tempoh 12 tahun.

Masalah kecederaan turut menjadi punca senario itu biarpun Pique kembali ke posisi pertahanan tengah ketika melakar kemenangan ke atas Mallorca minggu lalu dan kini Carles Puyol sudah bersedia untuk diturunkan semula.

Real ketinggalan selepas bermula hambar namun kini sudah mendapat sentuhan dengan Cristiano Ronaldo kembali ke prestasi sebenar tapi Pique percaya Barca lebih mantap kerana kehadiran Lionel Messi.
"Saya hormati mereka yang percaya Ronaldo layak dianugerah pemain Terbaik Eropah tapi saya tinggal bersama Leo dan dia seperti makhluk asing manakala Cristiano pula manusia terbaik," katanya. "Saya rakan pasukan Cristiano di Manchester (United) dan dia sentiasa berusaha keras bagaimanapun tapi dia tidak setaraf Messi." - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 16 Nov 2012 07:42 AM PST
MILAN: Lazio berharap mempamerkan rentak cemerlang apabila berkunjung ke Juventus dalam usaha memperbaiki rekod buruk beraksi di tempat lawan.
Juventus kini mendahului liga mengatasi Inter Milan dengan kelebihan empat mata selepas membelasah Pescara, 6-1 manakala seteru utama mereka tewas mengejut 2-3 di tangan Atalanta. Inter dijangka meraih tiga mata apabila bertemu Cagliari di tempat sendiri, Juve sedar perlu menggunakan setiap peluang untuk mendapatkan tiga mata.

"Kami memulakan musim ini dengan baik dan mengumpul banyak mata tapi masih banyak lagi perlawanan dan perlu terus kekal sebagai pendahulu," kata pemain kelahiran Ghana, Kwadwo Asamoah.
Lazio boleh mengambil peluang daripada kekalahan mengejut 1-3 pasukan juara kepada Inter dua minggu lalu namun aksi pasukan Vladimir Petkovic tidak konsisten. Kekalahan pertama kepada Napoli yang menyaksikan Edinson Cavani menjaringkan jaringan hatrik untuk melakar kemenangan 3-0, Petkovic hanya mampu melihat pasukannya dibelasah Catania, 0-4, dua minggu lalu.

Lazio kemudian seri 1-1 dengan Torino di tempat sendiri dan tewas 0-2 apabila bertandang ke Fiorentina.

Keseluruhan, Lazio hanya mengumpul sembilan mata daripada 22 mata sepanjang perlawanan di tempat lawan musim ini dan statistik menentang Juve nyata tidak memihak kepada mereka. Selepas 68 perlawanan bertandang ke gelanggang Old Lady of Turin, Lazio hanya menang lapan dan seri 17 kali.
Juve juga sukar untuk ditewaskan di tempat sendiri tapi jika mereka tewas, Inter dan Napoli pasti menggunakannya untuk menang perlawanan masing-masing. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 16 Nov 2012 07:42 AM PST
SYDNEY: David Beckham dilapor akan berhijrah ke Liga A selepas Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) selepas pengurusan bekas kapten England menyuarakan minat untuk beraksi di liga itu.
Menurut pegawai FFA, perbincangan sudah dilakukan untuk memastikan Beckham dapat beraksi dalam Liga A pada musim 2012-13.

"Tindakan pengurusan pemain seperti Beckham menunjukkan Liga A kini semakin diiktiraf dunia," umum FFA.
"Beckham bintang dunia dan dia menjadi satu lagi nama besar yang akan beraksi di Liga A selepas Alessandro Del Piero, Emile Heskey dan Shinji Ono." Bagaimanapun, perbincangan dengan bekas pemain tengah Manchester United dan Real Madrid itu baru di peringkat awal.

Menurut media Australia, Beckham, 37, kini beraksi bersama LA Galaxy, berminat mengikat perjanjian bagi 10 perlawanan untuk aksi terakhir Liga Utama bola sepak musim ini. Kontrak Beckham dalam MSL tamat Disember ini dan dia dikaitkan dengan New York Red Bulls oleh media Amerika Syarikat dengan spekulasi mendakwa penghijrahan itu akan membenarkan isterinya, Victoria mengembangkan karier fesyennya.

Del Piero, Heskey dan Ono kini menyertai kelab Liga A dan kehadiran mereka meningkatkan imej liga bola sepak Australia.
Media tempatan melaporkan Sydney FC, Western Sydney, Melbourne dan Brisbane Roar dianggap destinasi yang mungkin menjadi pilihan Beckham. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 16 Nov 2012 07:40 AM PST
LONDON: Andre Villas-Boas percaya Tottenham Hotspur perlu menamatkan kempen liga musim ini di atas Arsenal untuk kali pertama sejak 1995 demi merebut tiket ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Pengurus Spurs itu menjangkakan perebutan kejuaraan akan membabitkan Manchester United, Manchester City dan Chelsea manakala dua kelab Utara London itu bersaing mendapat tempat terakhir kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana.

Skuad kendalian Arsene Wenger melayan kunjungan Spurs pada pertembungan setempat itu dengan hanya satu mata memisahkan kedua-dua pasukan selepas Arsenal menyingkirkan musuh ketat itu pada penghujung musim lalu bagi menempah tiket ke Liga Juara-Juara.
Ketika ditanya sama ada Spurs boleh menamatkan kempen liga mengatasi Arsenal, Villas-Boas berkata: "Kami perlu melakukannya. Pastinya United, City dan Chelsea pasukan pilihan mencabar kejuaraan.

"Kami mahu meraih salah satu tempat teratas tapi ia sukar. Mereka memiliki pasukan mantap tapi kami berusaha merapatkan jurang. Sukar untuk mengharungi kelayakan Liga Juara-Juara kerana banyak perlawanan perlu diharungi jika menamatkan kedudukan di tangga keempat liga." Pada masa ini tiga kelab mendahului Spurs dan Arsenal dalam perebutan tempat keempat iaitu Everton, West Brom dan West Ham dan mampu mengancam impian kelab London itu yang merosot hingga gagal menang dua perlawanan terakhir liga.

"Kedua-dua pasukan pernah menduduki kedudukan lebih baik tapi kami membuktikan boleh melakukan lebih baik," kata Villas-Boas.
Spurs belum pasti menurunkan Aaron Lennon, Jermain Defoe dan Kyle Walker yang tidak beraksi bersama England akibat kecederaan hamstring manakala Mousa Dembele pula sakit pinggul. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 16 Nov 2012 07:40 AM PST
LONDON: Perebutan gelaran Liga Perdana pasti menarik dengan tiga pasukan pilihan turun beraksi namun pertarungan mengelak penyingkiran daripada saingan pasukan elit kelab Inggeris itu juga sengit.
Di kelompok teratas, peneraju Manchester United berkunjung ke Norwich hari ini dengan kelebihan dua mata ke atas juara bertahan Manchester City yang melayan Aston Villa di laman sendiri.

Juara Eropah, Chelsea, ketinggalan tiga mata di tangga ketiga, bertandang ke West Brom yang kini menghuni tempat kelima liga. Ia bakal menyaksikan pertembungan antara pengurus Blues Roberto Mancini dan Baggies, Steve Clarke yang pernah menjadi penolong pengurus di Stamford Bridge.
Dalam era pemain Liga Perdana sering dikritik kerana lebih memandang bayaran lumayan, pemain veteran United Rio Ferdinand pula mendakwa keinginan meraih kejuaraan lebih kuat.

"Sebanyak mana duit ada tidak penting, di penghujung karier, apa yang akan anda banggakan adalah pencapaian," kata Ferdinand.

"Jika menang sesuatu dan terus menang untuk kelab yang hebat ini, ia akan terus diperkatakan. Saya tidak akan hanya berehat dan bercakap berapa banyak duit yang saya ada." Aksi City di Eastland pasti mencuri tumpuan terutama penjaga gol England, Joe Hart yang ditewaskan empat kali oleh penyerang Zlatan Ibrahimovic ketika Sweden menewaskan England 4-2 termasuk jaringan sepakan akrobatik dalam aksi persahabatan pertengahan minggu ini.
Namun situasi berbeza buat pasukan tercorot QPR yang menanti kunjungan pasukan kedua terbawah Southampton di Loftus Road yang bergelut untuk kekal dalam saingan Liga Perdana.

Kelab Barat London, QPR belum mencatat kemenangan dalam 11 perlawanan Liga Perdana musim ini manakala Southampton hanya melakar satu kemenangan dalam penampilan semula selepas tujuh tahun tersisih dari saingan Liga Perdana.
Pemilik QPR dari Malaysia , Tony Fernandes setakat ini masih memberi sokongan padu kepada pengurus Mark Hughes. Manakala pengurus Southampton, Nigel Adkins juga turut mendapat sokongan ahli lembaga pengarah kelabnya.

Pertarungan setempat Utara London antara Arsenal dan Tottenham menyaksikan kedua-dua kelab bersaing merampas tempat dalam kelompok empat terbaik sementara Everton yang mahu mengekalkan cabaran di tempat teratas menanti kedatangan Reading.

Liverpool dijangka terus menagih sentuhan berbisa Luis Suarez yang sudah meledak 11 gol musim ini, lapan jaringan daripada 11 perlawanan Liga Perdana. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 16 Nov 2012 07:37 AM PST
PARIS: Penjaga gol Hugo Lloris mahu pengurus Spurs, Andre Villas-Boas memberi jawapan mengenai masa depannya di White Hart Lane.
Tonggak utama skuad kebangsaan Perancis itu kini menjadi pilihan kedua di Spurs sejak AVB membelinya dari Lyon dengan harga �12 juta (RM58.5 juta).

Lloris mengaku sukar menerima situasi dihadapinya pada masa ini.
"Pengurus Tottenham sudah membuat pilihan. Saya berlatih dan melakukan dengan maksimum tapi keputusan yang beliau buat sukar diterima.

"Kedudukan saya perlu dijelaskan oleh pengurus," katanya.

Lloris membayangkan akan meninggalkan kelab itu jika situasi itu tidak berubah namun mungkin tidak boleh berhijrah Januari ini kerana sudah beraksi untuk Lyon dan Tottenham musim ini.
Ketika ditanya adakah dia akan berpindah, dia menjawab: "Saya berasa lebih senang di kelab ini tapi apa saja boleh berlaku." Lloris hanya tampil sekali dalam kesebelasan utama bagi aksi Liga Perdana kerana AVB lebih berminat menurunkan Brad Friedel.

"Bila anda seorang pesaing, anda mahu untuk berada di atas padang.
"Saya senang berada di sini kerana diterima baik pemain, peminat dan pegawai kelab," kata kapten Perancis itu.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menyelar AVB kerana sering meletakkan Lloris di bangku simpanan di White Hart Lane.

"Saya tidak boleh mempertikai pilihan Didier. Beliau pengurus kebangsaan Perancis, beliau boleh buat apa yang beliau mahu. Saya hormati pemilihan pengurus lain," sindir AVB. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

No comments:

Post a Comment