Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tak cuak lagi?

Posted: 27 Nov 2012 08:00 AM PST

KETIKA pemain pasukan lain fokus dalam persiapan menghadapi perlawanan kedua Piala AFF, pemain Harimau Malaya pula sibuk menguruskan isu perpindahan dengan kelab baru.

Itulah realiti yang berlaku dalam kancah bola sepak negara ini apabila ada pihak yang seakan tidak sensitif perihal mana satu keutamaan yang perlu diberikan.


Pagi semalam berlangsungnya prosiding isu perpindahan penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha dan majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) oleh Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di ibu pejabat badan induk bola sepak tanah air di Kelana Jaya.

Yang menjadi persoalannya, adakah wajar prosiding itu diadakan sehari sebelum perlawanan penting skuad kebangsaan menentang Laos hari ini ataupun perlu ditangguhkan terlebih dulu bagi memberi fokus sepenuhnya pada kejohanan Piala AFF? Walaupun kehadiran Norshahrul itu mendapat pelepasan Datuk K Rajagobal, namun ketua jurulatih kebangsaan itu tidak menafikan fokus seharusnya diberikan kepada aksi kedua Kumpulan B menentang Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.


"Betul kata anda (wartawan), fokus pasukan Malaysia kepada perlawanan menentang Laos lebih penting," katanya ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media semalam.


"Dia (Norshahrul) perlu menyelesaikan perkara itu pagi ini (semalam), tapi saya sudah bercakap dengannya bahawa fokus utamanya tidak boleh lari. Saya rasa ia tidak menjadi masalah kerana kita sudah lihat sendiri ketika bertemu Singapura pada perlawanan pertama, dia mempamerkan aksi mengagumkan.

"Saya akan berjumpa dengannya sekali lagi, tapi perkara ini saya pasti tidak akan mengganggu fokusnya. Saya tidak mahu terlalu mengawalnya kerana dia perlu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin, tapi ini juga tidak bermaksud saya tidak menjaga pemain saya," katanya.


Hasil prosiding itu menyaksikan Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo bebas daripada ikatan kontrak bersama Kelantan dan dibenarkan beraksi dengan pasukan lain musim depan.

Ketika nasibnya untuk berhijrah ke Johor semakin cerah, peluangnya untuk diturunkan menentang Laos pula masih samar kerana dia dilaporkan mengalami masalah jangkitan di bahagian telinga yang menyebabkannya hilang keseimbangan badan, muntah-muntah dan pening kepala.


Itu pastinya mengundang keresahan Rajagobal yang mengharapkan sentuhan Norshahrul yang beraksi baik biarpun Malaysia tewas 0-3 di tangan Singapura pada perlawanan pertama, Ahad lalu.


"Dia memang mengalami masalah kesihatan, namun ia bukanlah benda baru kerana perkara ini berlaku sejak dua minggu lalu. Apa pun saya akan bertanyakan kepada doktor mengenai tahap kesihatannya malam ini (tadi), saya harap dia tidak diketepikan daripada skuad kebangsaan dalam masa terdekat ini," katanya.


Mengulas mengenai aksi menentang skuad kendalian Kokichi Kimura hari ini, Rajagobal mengulas mereka tiada pilihan lain selain memungut tiga mata penuh sebelum membuat perhitungan dengan Indonesia, Sabtu ini untuk menghidupkan peluang mempertahankan kejuaraan.


"Saya lihat Laos memiliki semangat melawan, kesungguhan dan bagus dalam membuat serangan balas pantas. Tapi saya yakin dengan kemampuan pemain saya dan kami perlu meraih tiga mata daripada perlawanan ini.


"Sememangnya saya akan membuat pertukaran pemain, anda hanya perlu tunggu dan lihat esok (hari ini)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Napoli bangkit

Posted: 27 Nov 2012 07:57 AM PST

ROME: Napoli melonjak ke tangga kedua Serie A hasil kemenangan 1-0 ke atas pasukan di tangga tercorot Cagliari manakala pencabar kejuaraan Inter Milan mengalami kekalahan 0-1 kepada Parma semalam.

Napoli ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Juventus, terpaksa mengharapkan gol pada babak kedua menerusi Marek Hamsik (gambar) dan memintas Inter yang dikecewakan menerusi gol Nicola Sansone di penghujung permainan.


Juventus yang kalah 0-1 kepada AC Milan, kelmarin, mengumpul 32 mata daripada 14 perlawanan, Napoli pula 30 mata mendahului Fiorentina dan Inter pula dengan 28 mata.

Napoli tanpa penyerang Edinson Cavani yang digantung perlawanan dan Goran Pandev yang masih cedera, terpaksa bekerja keras untuk menumpaskan Cagliari dengan jaringan Hamsik pada minit ke-73 sudah cukup untuk mereka meraih tiga mata.


Cagliari dinafikan sepakan penalti selepas Alessandro Gamberini menjatuhkan pemain tengah Daniele Conti, yang kemudian menyambut bola sepakan sudut Thiago Ribeiro yang terkena tiang sebelum rehat.


Napoli lebih banyak bertahan pada babak kedua namun berjaya menembusi gawang lawan apabila Juan Zuniga melakukan larian ke dalam kotak penalti minit ke-72 dan mengumpan bola kepada Hamsik yang melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Michael Agazzi.

Gol itu mencetuskan rasa tidak puas hati Cagliari yang mendakwa pemain Slovakia itu dalam kedudukan ofsaid.


"Ia perlawanan yang sukar, tapi kami beraksi dengan baik," kata jurulatih Napoli, Walter Mazzarri kepada Sky Italia. "Kami bergelut seketika pada babak kedua tapi saya harus memuji persembahan pemain." Ketika ditanya mengenai peluang pasukannya memenangi Serie A, beliau berkata: "Saya langsung tidak memikirkan soal kejuaraan. Kita akan lihat di mana kita berada di penghujung musim."- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Espanyol pecat Pochettino

Posted: 27 Nov 2012 07:57 AM PST

MADRID: Menduduki tangga terbawah liga Sepanyol selepas 13 perlawanan, Espanyol akhirnya memecat jurulatih dari Argentina, Mauricio Pochettino dan pengarah sukan kelab itu.

"Pochettino tidak lagi menjadi jurulatih pasukan utama kelab ini berkuatkuasa malam ini (semalam), selepas kami bersetuju dengan perjanjian untuk menamatkan kontrak," jelas kelab yang berpangkalan di Barcelona itu.


Pengarah Sukan Espanyol, Ramon Planes turut dipecat oleh kelab itu.

Pochettino bersama kelab itu selama tiga musim namun dengan hanya dua kemenangan selepas 13 perlawanan setakat ini, presiden baru kelab itu, Joan Collet bertindak membuat keputusan drastik.


Akhbar sukan harian, Marca melaporkan Espanyol kini mengadakan perbincangan dengan jurulatih Mexico, Javier Aguirre yang sebelum ini pernah melatih Atletico Madrid dan Real Zaragoza.


Espanyol hanya mengumpul sembilan mata setakat ini namun lima kelab lagi hanya mendahului mereka dengan lima mata bagi bersaing untuk keluar dari zon penyingkiran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Brazil nafi ikat Guardiola

Posted: 27 Nov 2012 07:56 AM PST

RIO DE JANEIRO: Presiden Konfederasi Bola Sepak Brazil, Jose Maria Marin menafikan khabar angin juara dunia lima kali itu akan mengikat bekas jurulatih Barcelona, Pep Guardiola menjelang kempen Piala Dunia 2014.

"Peluang mendapatkan khidmat jurulatih luar sangat tipis. Kami sudah memenangi Piala Dunia bersama jurulatih dari Brazil dan saya tidak fikir jurulatih luar satu keperluan," katanya. Sumber terdekat dengan Guardiola berkata, Brazil adalah satu-satunya pasukan yang Guardiola bersedia untuk menjadi jurulatih selepas Mano Menezes dipecat Jumaat lalu.


Beliau mengendalikan skuad kebangsaan itu selama dua tahun setengah.

"Perkara yang berlalu biar berlalu. Kami kini perlu memikirkan mengenai masa depan dan ini adalah ketikanya untuk mencari calon paling sesuai mengendalikan pasukan yang mencatat keputusan tidak konsisten," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Mancini tuntut taji penyerang

Posted: 27 Nov 2012 07:55 AM PST

WIGAN: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menuntut penyerangnya kembali mempamerkan ketajaman ketika memberikan kelab itu kejuaraan liga buat kali pertama sejak 1968 pada Mei lalu.

City bertandang ke Stadium DW berdepan Wigan Athletic awal pagi esok selepas terikat tanpa jaringan dengan juara Eropah, Chelsea, Ahad lalu menyebabkan mereka ketinggalan satu mata berbanding Manchester United dalam saingan Liga Perdana.


Walaupun keputusan di Stamford Bridge bukan sesuatu yang mengaibkan dengan meraih satu mata, pengurus City itu sudah mula bimbang.

Tiada pesaing di jentera serangan yang lebih hebat berbanding City yang mempunyai Sergio Aguero, Edin Dzeko, Carlos Tevez dan Mario Balotelli namun apabila semuanya diberikan peluang untuk menggegar gawang Chelsea, mereka gagal melakukannya.


Hanya United menjaringkan lebih banyak gol mengatasi 25 jaringan dilakukan City, perbandingan musim lalu mendedahkan kenapa Mancini bimbang.


City sudah menjaringkan 43 gol pada peringkat ini musim lalu dengan mencatatkan kemenangan 6-1 di Old Trafford dan 5-1 di Tottenham Hotspur manakala masing-masing 10 gol sudah dijaringkan Aguero dan Dzeko.

Dzeko ketika ini mengumpul enam gol sama seperti Tevez manakala Aguero meledak lima.


Ketika impian di Liga Juara-Juara sudah berkubur, Mancini mahu menamatkan situasi suram itu dengan mengubah tumpuan pasukannya mengekalkan gelaran Liga Perdana, pencapaian yang hanya dilakukan United dan Chelsea sebelum ini.

Beliau juga tidak lupa bahawa hanya perbezaan jaringan memisahkan City dan United selepas kedua-dua kelab menamatkan saingan dengan 89 mata musim lalu dalam salah satu aksi hari terakhir yang mendebarkan.


"Saya tidak tahu berapa banyak kami melakukan hantaran silang (di Chelsea) dan tidak mempunyai pemain dalam kotak penalti. Ini tidak boleh berterusan berlaku," kata Mancini.


"Kami mempunyai empat penyerang yang bagus namun saya mahu mereka bekerja keras dan menjaringkan gol apabila mempunyai peluang. Mereka penyerang dan itu adalah tugas mereka, bukannya bertahan.


"Sudah pasti mereka perlu turun untuk bertahan namun mereka perlu memanfaatkan peluang. Mereka penyerang yang terbilang." -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Idam beraksi bersama Henry

Posted: 27 Nov 2012 07:55 AM PST

LIVERPOOL: Olivier Giroud menggalakkan pengurus Arsenal, Arsene Wenger mendapatkan khidmat Thierry Henry pada Januari ini, katanya menjelang kunjungan Gunners ke Everton dalam saingan Liga Perdana, awal pagi esok.

Henry yang juga penyerang New York Red Bulls kini menjalani latihan di Arsenal untuk mengekalkan tahap kecergasannya ketika tempoh rehat saingan MLS dan Wenger memberi bayangan terhadap kemungkinan untuk melengkapkan perpindahan penyerang itu.


Henry, penjaring terbanyak Arsenal melakukan perpindahan yang sama musim lalu dan Giroud berkata dia akan menikmati prospek bergandingan bersama pemain berusia 35 tahun itu bagi menyertai kelab buat kali ketiga.

"Henry merindui kemeriahan Liga Perdana. Namun dia tidak memberitahu saya bila akan kembali. Adalah sesuatu yang hebat untuk beraksi bersamanya," kata Giroud.


Wenger bagaimanapun terlebih dulu perlu bimbang mengenai kunjungan ke Goodison Park menentang Everton ketika mereka akan cuba untuk kembali mencatatkan kemenangan selepas minggu yang mengecewakan susulan terikat tanpa jaringan di Aston Villa. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Reds optimis aksi konsisten

Posted: 27 Nov 2012 07:55 AM PST

LONDON: Pemain pertahanan tengah Liverpool, Jordan Henderson, optimis skuadnya akan kekal konsisten ketika beraksi di Tottenham Hotspur, awal pagi esok.

Skuad kendalian Brendan Rodgers itu masih berada di luar kelompok 10 terbaik Liga Perdana Inggeris dengan sekadar memenangi satu daripada enam perlawanan di tempat lawan setakat ini.


Bagaimanapun, Liverpool mula menampilkan aksi mantap ketika seri tanpa jaringan dengan Swansea City kelmarin, memanjangkan rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan sejak penghujung September lalu.

Hakikatnya catatan rekod itu menyumbang pada keyakinan kukuh Henderson terhadap skuadnya, yang mana prestasinya turut tidak kurang hebat ketika ini. Lantaran itu, Reds dijangka terus bangkit.


"Saya yakin kami akan terus konsisten serta bangkit ke kedudukan lebih tinggi.


"Wujud keyakinan serta semangat kerjasama tinggi di kalangan pemain. Setiap pemain memainkan peranan masing-masing seperti yang dimahukan pengurus. Saya rasa prestasi skuad bertambah baik sejak beberapa minggu lalu. Maka, kami teruja untuk beraksi esok," kata Henderson. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Tagih bisa Anderson

Posted: 27 Nov 2012 07:54 AM PST

MANCHESTER: Pemain tengah, Anderson mungkin kembali beraksi untuk Manchester United di laman sendiri menentang West Ham United awal pagi esok selepas pulih daripada kecederaan dan penggantungan.

Pengurus United, Alex Ferguson perlu membuat beberapa keputusan penting sebelum membariskan kesebelasan utama kerana posisi tengah pasukannya cukup bermasalah.


Paul Scholes berdepan penggantungan selepas menerima kad kuning ketika menentang Queens Park Rangers, sambil Darren Fletcher yang menjaringkan gol pada perlawanan itu bakal direhatkan kerana menghidap penyakit usus.

Pemain sayap Antonio Valencia pula dijangka tidak diturunkan berdepan pasukan Sam Allardyce kerana kecederaan bahu sehingga tidak diturunkan pada perlawanan menentang QPR tempoh hari sementara Nani sah tidak beraksi kerana masalah hamstring.


Justeru, tumpuan kini terarah kepada pemain Brazil, Anderson yang gagal memberi persembahan setaraf nilainya �20 juta (RM97.6 juta) ketika berpindah dari Porto pada 2007.


Peningkatan pemain berusia 24 tahun itu tidak begitu lancar selepas sering diulit kecederaan serta sentiasa hilang fokus dalam perlawanan, malah dia hanya bermain dalam 60 perlawanan sepanjang lima tahun berada di Old Trafford.

Bagaimanapun aksinya ketika dimasukkan sebagai pemain gantian, berjaya mengubah corak permainan yang ketika itu United ketinggalan 1-0 sehingga akhirnya muncul pemenang.


"Kemasukannya memberi impak. Anderson masuk dan mengubah permainan," kata penjaga gol Anders Lindegaard.

"Dia antara pemain terbaik dunia ketika mengawal bola, melakukan hantaran dan gerakan dinamik. Dia menunjukkan cara untuk mengubah rentak permainan, memang seorang pemain bijak." -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Beri Benitez peluang: Cech

Posted: 27 Nov 2012 07:54 AM PST

LONDON: Penjaga gol Chelsea, Petr Cech mahu Rafael Benitez diberi peluang untuk mencipta sesuatu di kelab itu, menjelang pertemuan getir setempat dengan Fulham awal pagi esok.

Benitez hanya mengharapkan penyokong kelab yang menentangnya, menerima kehadirannya meskipun perlawanan pertama pengurus itu tidak memberi petanda bahawa Chelsea akan bangkit dalam tempoh singkat.


Perlawanan awal pagi esok menjadi perlawanan kedua Benitez membimbing Chelsea selepas mengambil alih daripada Roberto Di Matteo ketika Fulham berkunjung ke Stamford Bridge, tiga hari selepas Chelsea terikat tanpa jaringan dengan juara bertahan Manchester City di laman sendiri.

Pengurus dari Sepanyol itu mendapat petunjuk awal pada perlawanan terbabit, betapa peminat tidak dapat menerima kehadirannya dengan kebencian mendalam atas dasar permusuhan lalu antara Chelsea dengan bekas kelab yang dibimbingnya, Liverpool.


Ada di kalangan peminat merancang untuk mengadakan protes berterusan, menyukarkan lagi pasukan itu bermain di gelanggang sendiri dalam misi memulihkan musim yang lesu ini.


"Saya rasa kebencian akan berterusan," kata Tim Rolls, antara pemegang saham Chelsea Pitch Owners, yang menerajui kelab peminat bebas milik Chelsea.

"Jika beliau berjaya membawa banyak kejayaan dengan memenangi banyak perlawanan, beliau mungkin diterima namun peminat tidak akan menyanyikan namanya." -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Hafiz harap tuah

Posted: 27 Nov 2012 07:53 AM PST

MOHD Hafiz Nor Azman mengharapkan tuah menyebelahinya bagi membolehkannya bergelar juara keseluruhan kategori Wira menjelang pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang hujung minggu ini.

Pelumba Team Mos Track Pro Yamaha Racing itu saling bertukar kedudukan pendahulu sepanjang musim ini bersama pencabar utama, Fakhrusy Syakirin Rostam dari pasukan AAP Mazoil Armstrong Motorsport.


Setakat tujuh pusingan lalu, Hafiz berada di tangga teratas namun Fakhrusy merampas gelaran itu apabila menjuarai Pusingan 7 di Kluang dan kemudian melebarkan kedudukan selepas memenangi Pusingan 8 di Melaka.

Namun usaha mencatat kemenangan hatrik di Pusingan 9 di Litar Sepang menyaksikan Fakhrusy terjatuh pada sesi kelayakan dan gagal melayakkan diri ke perlumbaan akhir sekali gus membuka ruang buat Hafiz yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat untuk kembali menerajui kedudukan teratas dengan kutipan 165 mata.


Fakhrusy jatuh ke tangga kedua dengan ketinggalan enam mata manakala Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Yamaha YY Pang) di tangga ketiga dengan 123 mata.


"Saya begitu bernasib baik di Sepang dan saya harap ia akan berterusan di Batu Kawan pada minggu ini. Sewaktu di Sepang, saya jangkakan Fakhrusy akan terus melebarkan kedudukan di tangga teratas. Malah ketika di Sepang juga, dia seakan-akan dapat meneruskan kemenangan selepas catatan masanya cukup pantas dan sukar dikejar pelumba lain.

"Malangnya, dia terjatuh ketika sesi kelayakan dan gagal untuk ke perlumbaan akhir. Ini menunjukkan apa saja boleh berlaku kepada pelumba dalam perlumbaan seperti ini. Ini menjadi peringatan kepada saya supaya turut berhati-hati sewaktu di Batu Kawan nanti," kata Hafiz lagi.


"Malah ketika ini saya hanya enam mata mengatasi Fakhrusy. Jadi pada perlumbaan terakhir ini saya perlu menamatkan perlumbaan di depannya. Setidak-tidaknya, mengekori satu kedudukan saja di belakangnya. Sebagai persediaan, pasukan saya sudah menyediakan jentera pada tahap optimum untuk perlumbaan minggu ini. Kami juga sudah mengkaji bentuk litar Batu Kawan dan merancang strategi terbaik.

"Pada masa sama saya juga tidak boleh melakukan sebarang kesilapan nanti. Saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlumbaan minggu ini bagi memastikan gelaran Wira akan berada dalam genggaman saya, mudah-mudahan tuah akan turut mengiringi saya nanti."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


No comments:

Post a Comment