Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Harimau sakit!

Posted: 20 Nov 2012 10:25 AM PST

APA lagi alasan ketua jurulatih Datuk K Rajagobal kali ini selepas menyaksikan Harimau Malaya seperti semakin 'tenat' apabila pasukan juara Asia Tenggara itu sekadar seri 1-1 menentang Bangladesh dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Skrip sama diulangi ketika seri dengan Hong Kong minggu lalu dengan kesilapan pemain pertahanan di minit akhir meragut peluang Malaysia mendapat kemenangan moral menjelang sepak mula Piala Suzuki AFF Ahad ini.


Selepas percubaan pertama penyerang Norshahrul Idlan Talaha di depan gol pada minit kedua tersasar, permainan kemudian ternyata hambar.

Kesilapan sama seperti mudah kehilangan bola dan gerakan kurang tersusun masih lagi membelenggu pemain negara sedangkan mereka hanya berdepan Bangladesh yang lebih terkenal dengan sukan kriket.


Tiada percubaan tepat ke arah gol dalam tempoh 24 minit permainan sehinggalah tandukan Khyril Muhymeen Zambri yang menyambut sepakan sudut kapten Safiq Rahim menggegar gawang pasukan pelawat.


Ia jaringan pertama pemain Kedah itu di peringkat antarabangsa selepas meledak satu gol ketika membantu Malaysia menewaskan Nepal 4-0 dalam kejohanan Pestabola Merdeka Oktober 2008.

Bangladesh, pasukan di ranking ke-171 dunia berbanding Malaysia, 163, hanya sekali menguji Farizal Marlias menerusi sepakan Waly Faisal sebelum tamat babak pertama.


Beberapa pertukaran dilakukan Rajagobal pada separuh masa kedua namun skuad negara seakan tiada perubahan apabila bergelut untuk menguasai bola.

Biarpun Bangladesh yang dikendalikan Saiful Bari Titu kehilangan Pranotosh Kumer Das kerana menerima kad merah pada minit ke-77, usaha keras mereka untuk mencipta gol penyamaan berhasil enam minit kemudian.


Kesilapan Irwan Fadzli Idrus menjatuhkan Mithun Chowdhry mendorong pengadil Nagor Amir Noor Mohamed tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.


Jahid Hasan Ameli menceriakan lebih 1,000 penyokong Bangladesh apabila tenang menyempurnakan sepakan itu menewaskan Farizal di minit ke-83.


Tiada lagi perlawanan ujian buat Harimau Malaya selepas ini yang akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki Ahad ini menentang Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


Yu Yang nafi bersara

Posted: 20 Nov 2012 10:20 AM PST

HONG KONG: Bintang badminton wanita China, Yu Yang menafikan ingin bersara selepas dibatalkan penyertaan pada temasya Sukan Olimpik London sebaliknya mahu memberi tumpuan penuh terhadap permainannya selepas merangkul gelaran pertama sejak kembali beraksi.

Yu Yang yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik serta rakan gandingannya, Wang Xiaoli adalah antara lapan pemain beregu yang dibatalkan penyertaan di London selepas sengaja kalah bagi membolehkan mereka mendapat undian lebih selesa pada pusingan suku akhir.


Yu Yang, 26, kemudian mencuri tumpuan apabila bergandingan semula dengan Wang untuk memenangi Terbuka China minggu lalu sejak mengumumkan untuk bersara sehari selepas penyertaannya dibatalkan Ogos lalu.

"Ini kali terakhir saya beraksi. Selamat tinggal Persekutuan Badminton Dunia (WBF) selamat tinggal sukan badminton yang saya cintai," katanya di laman blog peribadi.


"Selepas bekerja keras dan cuba mengatasi masalah kecederaan, penyertaan kami dibatalkan. Anda memusnahkan impian kami." Bagaimanapun, Yu Yang yang juga akan beraksi bersama Xiaoli pada Terbuka Hong Kong minggu ini, mendakwa tidak pernah memutuskan untuk bersara.


"Saya tidak pernah kata mahu bersara. Orang lain yang berkata begitu, bukan keluar dari mulut saya.

"Hukuman itu amat mengejutkan kerana tidak pernah berlaku dalam sukan badminton. Tapi keputusan itu dibuat WBF dan tiga lagi beregu daripada dua negara turut menerima hukuman sama.


"Kami tidak dapat melakukan apa-apa selain menerimanya saja. "Ada masanya kami akan berdepan situasi gembira dan sebaliknya dalam hidup ini dan apa yang boleh kami lakukan ialah cuba mengawal perasaan ketika berdepan situasi seperti itu. Kini saya mahu beraksi semula." Ahad lalu, Yu Yang dan Xiaoli menewaskan pilihan keenam dari Jepun, Miyuki Maeda dan Satoko Suetsuna di Shanghai untuk muncul juara Terbuka China. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Red Bull bimbang masalah alternator

Posted: 20 Nov 2012 10:19 AM PST

AUSTIN (Texas): Ketua Eksekutif Red Bull, Christian Horner mengaku kerosakan alternator menyaksikan Mark Webber gagal menamatkan perlumbaan di Grand Prix Amerika Syarikat dan senario itu merisaukan mereka menjelang perlumbaan terakhir di Brazil yang bakal memutuskan juara dunia musim ini.

Kerosakan alternator jentera Webber yang ketiga dialami Red Bull pada musim ini dan ia berlaku ketika pasukan meraikan kejuaraan keseluruhan kategori pengeluar buat kali ketiga berturut-turut.


Webber terpaksa bersara pada pusingan ke-17 ketika menduduki tempat ketiga dan kekecewaan itu bukan saja menjejaskan kegembiraan mereka di Texas tapi memaksa Renault mengumumkan akan membekalkan spesifikasi alternator terkini untuk perlumbaan di Interlagos.

"Kami bimbang kerana ia kali ketiga kerosakan itu berlaku. Kami perlu meneliti masalah ini.


"Saya rasa spesifikasi terbaru sudah digunakan pasukan lain. Harap alat sama akan kami gunakan pada perlumbaan di Brazil," katanya.


Ketua operasi trek Renault, Remi Taffin mengulas rancangan mereka untuk perlumbaan di Brazil.

"Kami akan gunakan altenator baru yang sudah lulus semua ujian," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


‘Drama terakhir’ Bayern, Valencia

Posted: 20 Nov 2012 10:19 AM PST

VALENCIA (Sepanyol): Bayern Munich menganggap pertembungan dengan pendahulu bersama Kumpulan F, Valencia umpama perlawanan akhir dalam usaha mengesahkan tiket ke pusingan kedua Liga Juara-Juara musim ini.

Finalis musim lalu itu berkunjung ke Mestalla dengan sembilan mata daripada empat perlawanan termasuk menewaskan Valencia, 2-1 pada perlawanan terakhir kumpulan dan satu lagi kemenangan akan melayakkan kelab Jerman itu ke saingan kalah mati.


"Kedua-dua pasukan pasti memburu kemenangan," kata pemain tengah Sepanyol, Javi Martinez.

"Jika menang, kami layak ke pusingan seterusnya. Ia umpama final mini dalam kumpulan.


"Aksi di Stadium Mestalla amat sukar. Setiap kali saya ke sana ketika bersama Athletic Bilbao, kami sering berdepan masalah. Kini saya bersama Bayern dan ini adalah cerita berbeza." Martinez yang merangkul kejuaraan Piala Dunia 2010 dan Euro 2012, mengikat kontrak bersama kelab Jerman itu dengan nilai 40 juta euro (RM156.6 juta) daripada Bilbao, Ogos lalu tapi jarang digunakan jurulatih Jupp Heynckes.


"Ketika tiba di Bayern, salah satu perkara pertama saya lakukan adalah berjumpa Heynckes dan membuat perancangan musim ini," kata pemain berusia 24 tahun itu.

"Bersama Bilbao musim lalu, saya bermain lebih 60 perlawanan dan hingga akhir musim panas, saya hanya berehat sembilan hari selepas Euro 2012 dan Olimpik London.


"Kami putuskan untuk mengambil satu langkah pada satu masa. Tidak masuk akal jika saya bermain setiap perlawanan, kerana saya berkemungkinan besar akan cedera dalam tempoh hanya dua bulan." Heynckes berkata, beliau puas hati dengan kemajuan ditunjukkan Martinez setakat ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Roma benam Torino

Posted: 20 Nov 2012 10:19 AM PST

MILAN (Itali): Penyerang Itali, Pablo Osvaldo dan pemain tengah Bosnia, Miralem Pjanic masing-masing menjaringkan satu gol pada lewat permainan babak kedua untuk membantu Roma menewaskan Torino, 2-0 di laman sendiri, kelmarin.

Roma bermula cemerlang musim ini namun prestasi mereka mula diragui selepas skuad Giallorossi itu tewas 2-3 di tangan Lazio pada perlawanan ke-13, pertembungan derby Rome minggu lalu.


Bagaimanapun, Osvaldo berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan selepas Marquinhos dijatuhkan Angelo Ogbonna dan Danilo D'Ambrosio dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Torino dari Belgium, Jean-Francois pada minit ke-71.

Torino yang kecewa dengan keputusan pengadil menghadiahkan penalti membuat bantahan hingga Giampiero Ventura dilayang kad merah.


Roma kemudian mengukuhkan kedudukan apabila rembatan Pjanic ditampan pertahanan Torino, Alesandro Gazzi ke gawang sendiri.


Juventus yang melayan kunjungan Chelsea dalam saingan kumpulan H Liga Juara-Juaran, awal pagi esok kekal di tangga teratas Serie A dengan kelebihan empat mata di depan Inter Milan.

Roma kini di tangga keenam, 12 mata di belakang Juventus dan tiga mata di belakang Lazio di kedudukan kelima manakala Torino di tempat ke-13. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


FFA usaha bawa Beckham

Posted: 20 Nov 2012 10:18 AM PST

SYDNEY: Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) mengumumkan usaha kini giat dilaksanakan untuk membawa David Beckham beraksi di liga negara itu dan sekurang-kurangnya empat kelab dilapor berminat mendapatkan khidmatnya manakala sebuah kelab mengesahkan akan membuat tawaran lumayan.

Spekulasi mengenai pemain berusia 37 tahun itu menyertai Liga A Australia bermula sejak FFA menyatakan ejennya menyuarakan kesediaan bekas kapten England itu untuk beraksi di Australia.


Bekham menafikan khabar angin itu tapi kelmarin mengesahkan aksi bersama Major League Amerika Syarikat (AS) sudah berakhir apabila kontraknya bersama LA Galaxy tamat awal bulan depan, lantas meningkatkan usaha kelab dari Australia mendapatkannya.

"Saya melalui tempoh istimewa di LA Galaxy. Bagaimanapun, saya mahu mengalami satu lagi pengalaman sebagai cabaran terakhir sebelum menamatkan kerjaya bola sepak," kata Beckham.


"Beckham mengesahkan final Piala MLS sebagai perlawanan terakhir bersama Galaxy. Perebutan kini bermula," demikian twitter pasukan Perth Glory dari Liga A yang sudah melamar bekas bintang Manchester United itu untuk 10 perlawanan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


‘Jangan putus harapan’

Posted: 20 Nov 2012 10:18 AM PST

MANCHESTER: Sergio Aguero menggesa rakan sepasukan di Manchester City supaya tidak putus harapan demi menghidupkan kembali peluang kempen Liga Juara-Juara dengan mengatasi Real Madrid, awal pagi esok.

Selepas seri 2-2 di laman sendiri dengan Ajax pada perlawanan terakhir, juara Inggeris itu kini tidak boleh membuat sebarang kesilapan dan harus menewaskan skuad kendalian Jose Mourinho di Stadium Etihad bagi menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan kedua.


Bagaimanapun, mengikut rekod terdahulu, peluang mereka kini terlalu tipis.

Hanya dua pasukan sebelum ini yang layak daripada situasi sama seperti mereka selepas mengharungi empat perlawanan kumpulan iaitu Lokomotiv Moscow pada 2002 dan Porto 2004. City turut perlu menewaskan Borussia Dortmund di tempat lawan pada perlawanan terakhir kumpulan sambil mengharapkan keputusan perlawanan lain membantu mereka.


Aguero yang meledak dua gol ketika City membelasah Aston Villa, 5-0 hujung minggu lalu tidak pernah menewaskan Real ketika beraksi bersama musuh setempat, Atletico namun menaruh harapan dapat menghapuskan badi itu.


"Kami tidak boleh mengalah. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan," kata bintang Argentina itu.

"Situasi semasa sememangnya sangat sukar kerana kami bukan hanya bergantung kepada diri sendiri tapi juga kepada keputusan lain.


"Senario pada masa menyebabkan keadaan itu lebih penting berbanding jika kami berada dalam kedudukan lebih baik. Ia mungkin pelik tapi saya tetap yakin. Kami mesti menang perlawanan ini.

"Kami memiliki pasukan hebat dan sudah tiba masa untuk membuktikannya." Pengurus City, Roberto Mancini sudah mengumumkan peluang melangkah ke pusingan kalah mati sudah berkubur selepas seri dengan Ajax yang menyebabkan mereka terperosok di tangga terbawah Kumpulan D dengan dua mata.


Tapi selepas kemenangan ke atas Villa yang menyaksikan City berada di tangga teratas Liga Perdana, nadanya sedikit berubah.


"Kami mahu melakukan tugas dengan baik. Kami tidak mempunyai peluang yang cerah untuk layak tapi akan cuba habis-habisan," kata pengendali dari Itali itu yang menyaksikan anak buahnya tumpas 2-3 di Madrid pada aksi pertama kumpulan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Harap kekal momentum

Posted: 20 Nov 2012 10:18 AM PST

LONDON: Arsene Wenger berharap Arsenal boleh mengekalkan momentum membelasah Tottenham untuk memburu tempat ke pusingan kedua Liga Juara-Juara dengan memastikan tiga mata pada pertembungan menentang Montpellier, awal pagi esok.

Anak buah Wenger merakam kemenangan besar 5-2 ke atas musuh setempat, Tottenham di Stadium Emirates, Sabtu lalu untuk kembali menyuntik keyakinan kelab Utara London itu selepas hanya menang satu daripada empat perlawanan terakhir liga.


Kemenangan Arsenal itu dilihat tepat pada masanya kerana Gunners tidak boleh melakukan kesilapan berdepan Montpellier.

Arsenal menduduki tangga kedua Kumpulan B, satu mata di belakang Schalke dan kegagalan menewaskan juara Perancis itu menyebabkan skuad kendalian Wenger berdepan situasi sukar menentang pasukan di tangga ketiga, Olympiakos pada perlawanan terakhir kumpulan.


Namun dengan Schalke melayan kunjungan Olympiakos, kemenangan Arsenal dan kelab Jerman itu minggu ini akan menjamin tempat mereka ke peringkat kalah mati.


Wenger meletakkan harapan tinggi agar kemenangan pertembungan setempat dengan Spurs merubah senario di Emirates.

"Keputusan itu pasti mengembalikan keyakinan pemain," kata Wenger.


"Tiada yang istimewa dalam pasukan ini dan saya gembira mereka bermain cemerlang apabila mendapat keyakinan.

"Kami memperoleh keyakinan daripada keputusan ini dan akan digunakan untuk perlawanan seterusnya.


"Kami mempamerkan kualiti, semangat dan kerjasama tinggi sepasukan dan itulah yang saya mahukan daripada pasukan ini." Ketika Wenger yakin untuk melihat Arsenal terus mara, pemain tengah Gunners, Aaron Ramsey sedar tiada ruang untuk melakukan kesilapan kerana mereka hanya mendahului Olympiakos dengan kelebihan satu mata.


"Saingan kumpulan ini sengit dan kami perlu menang perlawanan ini di gelanggang sendiri. Kami boleh melakukannya bagi mengukuhkan kedudukan untuk layak ke peringkat kalah mati," kata Ramsey. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Dortmund tekad baiki rekod kelab Jerman

Posted: 20 Nov 2012 10:17 AM PST

AMSTERDAM: Borussia Dortmund perlu memperbaiki rekod buruk kelab Bundesliga di Amsterdam apabila bertemu Ajax, awal pagi esok dalam misi memburu satu mata untuk mengesahkan tempat ke pusingan kedua Liga Juara-Juara.

Juara Jerman itu hadir di bandaraya Belanda itu selaku pendahulu Kumpulan D dengan lapan mata dan hanya memerlukan seri untuk beraksi di pusingan kalah mati.


Ajax yang mengumpul empat di tangga ketiga selepas seri 2-2 di Manchester City pada aksi terakhir manakala Real Madrid, tujuh mata di tempat kedua.

Sejarah menunjukkan Dortmund berdepan tugas getir kerana Ajax memenangi 12 daripada 13 perlawanan terakhir menentang kelab Budnesliga.


Kelab Jerman itu turun beraksi pada perlawanan kelima kumpulan dengan semangat baru selepas merakam kemenangan 3-2 ke atas Greuther Fuerth untuk kekal di tempat keempat di belakang Bayern Munich dengan penyerang Poland, Robert Lewandowski meledak dua gol manakala pemain tengah, Mario Goetze menghasilkan gol ketiga.


Lewandoski menjaringkan gol penting lewat permainan untuk membantu Dortmund menewaskan Ajax, 1-0 pada pertembungan pertama, September lalu.

Pertahanan tengah, Neven Subotic berkata, meskipun hanya perlu seri, Dortmund tetap bernafsu untuk memungut tiga mata penuh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Hughes belum dipecat

Posted: 20 Nov 2012 07:49 AM PST

LONDON: Pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers kelmarin menegaskan pengendali dari Wales, Mark Hughes kekal pengurus kelab itu sehari selepas khabar angin di laman sosial Twitter mendakwa beliau sudah dipecat.

"Khabar angin yang mendakwa Hughes dipecat tidak benar," menurut Ketua Media dan Komunikasi kelab barat London itu, Ian J Taylor.


Kekalahan 1-3 di laman sendiri kepada pasukan yang berada di zon penyingkiran, Southampton menyebabkan QPR masih belum mencatat sebarang kemenangan musim ini dan ketinggalan lima mata kepada pasukan di tempat ke-17, Reading.

Hughes bertemu ketua eksekutif QPR, Philip Beard, individu yang dihantar pengerusi kelab, Tan Sri Tony Fernandes untuk memecat pengurus sebelum ini, Neil Warnock di padang latihan kelab itu kelmarin.


"Kami berada dalam keadaan terdesak. Jika tidak meningkatkan kedudukan liga dalam empat perlawanan, saya terpaksa melakukan perubahan." Malah Fernandes kelihatan ragu-ragu untuk mempertahankan bekas penyerang Wales itu selepas tewas Sabtu lalu walaupun pengurus terbabit mempunyai karier cemerlang bersama Manchester United dan Chelsea selain gergasi Eropah, Barcelona dan Bayern Munich.


"Saya kecewa," kata Fernandes di Twitter. "Saya dan pemegang saham berusaha sepenuh hati memajukan kelab ini. Kami melakukan apa yang termampu untuk menyokong pemain dan pengurusan.

"Saya hanya mampu memohon maaf kepada penyokong QPR. Kami pasti terus berjuang. Penyokong keutamaan kami. Semua pihak termasuk saya mengecewakan penyokong.


"Sebahagian besar daripada kami perlu menilai dengan mendalam komitmen yang sudah diberikan. QPR memiliki penyokong hebat dan mereka berhak memperoleh pengalaman lebih baik." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


No comments:

Post a Comment