Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bantu kurang kesesakan

Posted: 21 Nov 2012 06:58 PM PST

KUALA LUMPUR: Pembukaan persimpangan bertingkat di Jalan Tun Razak menghubungkan Jalan Pudu, Jalan Cheras dan Jalan Chan Sow Lin dijangka dapat mengurangkan 40 peratus kesesakan di kawasan itu.

Persimpangan bertingkat dengan kos pembinaan bernilai RM60 juta itu yang mula dibina pada 19 April 2007 mengalami beberapa masalah sehingga berlaku kelewatan daripada tarikh asal sepatutnya disiapkan iaitu pada 18 Ogos 2009.


Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, walaupun berlaku sedikit kelewatan namun atas kesungguhan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta syarikat System Engineering dan Construction Sdn Bhd, ia berjaya disiapkan pada 14 September lalu.

Menurutnya, kelewatan itu disebabkan kelulusan yang perlu diperoleh daripada pihak Smart kerana ia dibina di atas terowong Smart, masalah pengalihan kemudahan utiliti seperti kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM), Syarikat Telekomunikasi serta pengalihan paip air Syabas.


Katanya, dengan pembukaan secara rasmi persimpangan bertingkat itu akan membawa banyak kemudahan kepada pengguna dan menjadikan jajaran sistem aliran trafik lebih kemas serta tersusun.


"Kenderaan yang melalui Jalan Cheras sudah mencapai tahap maksimum sehingga diberi jolokan 'Cheras Crawl'. Pembinaan jejambat ini meyakinkan kita dapat mengurangkan kesesakan dan seterusnya memudahkan pengguna jalan raya," katanya selepas Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat itu, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Asrama budak pintar

Posted: 21 Nov 2012 06:56 PM PST

BANTING: Program Permata Negara (Permata) bercadang membina sekolah menengah berasrama penuh untuk peserta Program Permata Insan di kawasan kampus Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai, Negeri Sembilan, di sini.

Penaung Permata, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pada dasarnya cadangan berkenaan sudah diluluskan Jabatan Perdana Menteri (JPM), namun peruntukan untuk membina sekolah asrama berkenaan belum diputuskan.


Rosmah berkata, sekolah itu kelak mampu menampung 250 pelajar dan perancangan membabitkan spesifikasi serta reka bentuk bangunan sedang giat dijalankan supaya jumlah dana yang diperlukan untuk pembinaannya dapat dikenal pasti.

"Kita amat berharap melalui sekolah ini nanti, pelajar program Permata mampu dididik berterusan di samping mempunyai sebuah lokasi institusi pendidikan khas untuk mereka belajar.


"Berdasarkan perbincangan, Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersetuju menyalurkan dana, namun ia harus menepati keperluan sekolah iaitu membabitkan pembinaan dan keperluan pembelajaran di situ nanti," katanya yang ditemui di Sekolah Menengah Sains Banting, di sini, semalam.


Rosmah menghadiri program Lawatan Kerja ke Program Kem Permata Insan 2012, 'Menjana Cendiakawan Islam' yang turut dihadiri Naib Canselor Usim, Prof Datuk Dr Muhamad Muda.

Program Permata Insan adalah program naungan Akademi Permata Insan Usim bagi melahirkan kanak-kanak pintar yang mampu menjadi individu yang bukan hanya lengkap dengan ilmu profesional, tetapi juga ilmu agama.


Sementara itu, Penyelaras Program Permata Insan, Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Usim berkata, pihaknya memerlukan kira-kira setahun untuk merancang akademik di sekolah berkenaan.

Mohd Rushdan berkata, sekolah asrama berkenaan itu akan siap sepenuhnya menjelang dua tahun akan datang dan tenaga pengajar di situ nanti akan membabitkan pensyarah di universiti berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Tidak berganjak

Posted: 21 Nov 2012 12:22 PM PST

KUALA LUMPUR: "Keputusan yang dibuat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu sudah cukup adil untuk kepentingan peniaga dan penduduk setempat.

"Saya tidak ubah pendirian itu," kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.


Menurut beliau, 333 peniaga di tapak Uptown Danau Kota, Taman Setapak Indah, tidak sewajarnya mempertikaikan keputusan DBKL membenarkan mereka berniaga di situ hanya lima hari seminggu.

Katanya, selain memikirkan keperluan peniaga, pihak berkuasa itu juga perlu melihat kepentingan komuniti setempat yang tidak bersetuju jika peniaga berniaga tujuh hari seminggu.


"Jadi sebagai penyelesaian untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak, kami ambil jalan tengah dan hanya membenarkan peniaga beroperasi selain Isnin dan Selasa.


"Kalau mereka kata mempunyai 333 peniaga, DBKL lebih prihatin dan melihat lebih daripada itu iaitu mungkin lebih 1,500 peniaga akan terbabit jika setiap peniaga mempunyai lima pekerja.

"Tapi, mereka perlu fikir, komuniti setempat juga mempunyai hak untuk bersuara," katanya selepas merasmikan Seminar dan Bengkel Pengurusan Sisa Mampan Melalui Kaedah Kitar Semula di Hotel Shangri-La, di sini, semalam.


Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai desakan Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Uptown Danau Kota, Ahmad Fauzi Abdul Karim yang mahu DBKL membenarkan mereka berniaga tujuh hari seminggu sempena cuti sekolah pada November dan Disember ini.

Beliau yang mewakili 333 peniaga terbabit berkata, sudah setahun mereka bersabar dan akur arahan DBKL supaya tidak berniaga pada setiap Isnin dan Selasa sehingga ada dalam kalangan mereka menanggung kerugian ribuan ringgit.


Menurut Ahmad Fauzi, pada tahun lalu, jika dicampur keseluruhan bilangan hari tidak berniaga, mereka sudah menutup perniagaan 96 hari yang bersamaan tiga bulan.


Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah yang tampil bersama peniaga memberi tempoh seminggu kepada DBKL untuk mengatasi masalah terbabit atau jika tidak, mereka akan berkumpul di pintu masuk bangunan Parlimen bagi mendesak isu itu segera diselesaikan.


Mengulas hasrat perhimpunan itu, Ahmad Phesal berkata, DBKL tidak berganjak dengan keputusan itu walaupun peniaga masih berdegil.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Buru suspek pecah rumah

Posted: 21 Nov 2012 12:22 PM PST

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur memburu 16 lelaki berusia 24 hingga 54 tahun bagi membantu siasatan beberapa kes pecah rumah dan curi di ibu kota sejak 2006.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, semua suspek itu terbabit dalam beberapa kes jenayah, termasuk pecah rumah dan curi sejak 2006 hingga kini.


Beliau berkata, semua suspek dikehendaki mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara dan denda serta sebatan. "Ada antara mereka memiliki 16 rekod jenayah, tetapi bukan dari satu kumpulan.

"Semua mereka terbabit lebih daripada satu kes dan secara keseluruhan, 16 suspek itu terbabit lebih 20 kes pecah rumah di ibu kota," katanya pada sidang media di sini, semalam.


Beliau berkata, antara suspek yang diburu ialah Mohd Sani Mohd Arifin, 32, beralamat terakhir Repuh Jagong, Bukit Panau, Tanah Merah, Tan Poi Tong, 54, beralamat terakhir di 520, Sungai Jarom, Jenjarom, Muhamad Sanawi Mansor, 23, alamat terakhir di 1413, Jalan Sri Putri 4/4, Taman Putri, Kulai Johor dan Ramu a/l Muthusamy, 35, beralamat terakhir di N0. 4, Batu 15 ½, Templer Park, Selangor.


Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berdekatan, Rakan Cop dan Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03-21460613.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Linangan air mata anak 5A

Posted: 21 Nov 2012 12:19 PM PST

KAMPAR: "Ayah orang paling gembira selepas mengetahui saya mendapat 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Isnin lalu," kata Siti Aishah Mohd Hafez, 12, anak sulung Mohd Hafez Yunos, 39, seorang daripada empat yang terbunuh.

Dia yang berlinangan air mata sambil ditenangkan gurunya, Che Rozila Ahmad Rapidi memberitahu turut dinobatkan sebagai pelajar cemerlang Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al Marbawi, Kuala Kangsar, Perak sejurus keputusan UPSR diumumkan.


"Ayah terlalu gembira dan hilang kata-kata. Dia begitu bangga dengan kejayaan yang saya terima," katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kampar, di sini.

Menurutnya, dia dan adiknya, Siti Hadibah, 10, dijaga bapanya yang menetap di Taman Impiana, Kuala Kangsar, Perak, manakala ibunya, Norazian Mohamed Abd Rashid, 30-an, tinggal di Kuala Lumpur kerana bekerja di syarikat Kumpulan UEM.


"Sebaik mendapat keputusan UPSR, saya dan adik pergi ke Kuala Lumpur untuk menemani ibu yang bekerja di sana.


"Ayah seorang yang warak dan kerap menghadiri majlis ilmu dan agama di taman perumahan yang kami duduki. Walaupun sibuk, ayah tetap menghantar saya dan adik ke sekolah setiap hari," katanya.

Menurutnya, arwah kerap menghubunginya melalui telefon bimbit untuk bertanya khabar selain melepaskan rasa rindu.


Sementara itu Norazian berkata, arwah ada menghubungi telefon bimbitnya semalam dan memesan supaya dia menjaga anak mereka dengan baik selain tidak lupa menyuruh mereka menunaikan solat lima waktu.

"Saya sedih dan terkejut. Semua ini berlaku secara mengejut," katanya yang tidak dapat menahan air mata sambil membaca Yasin di luar bilik mayat Hospital Kampar, tengah hari semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Arwah luah hasrat cari pekerjaan lain

Posted: 21 Nov 2012 12:18 PM PST

IPOH: "Abang sering mengeluh hendak mencari pekerjaan lain kerana berasa penat dan kerap pulang lewat malam," kata Mohd Fairuz Mohd Rodzi, 26, adik kepada Ismady Mohd Rodzi, 32, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 294.1, Lebuhraya Utara - Selatan, di sini, semalam.

Menurut Fairuz, sebelum kejadian, mereka sekeluarga sempat makan malam bersama sebelum arwah keluar bekerja kira-kira jam 9 malam kelmarin.


"Kami makan malam seperti biasa. Saya tidak bekerja di lokasi kemalangan awal pagi semalam kerana mengambil cuti bagi menyelesaikan urusan peribadi.

"Jika saya bekerja...mungkin saya juga jadi mangsa," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.


Menurutnya, arwah mempunyai seorang anak, Haikal Daniel, berusia setahun enam bulan yang kini tinggal bersama bekas isteri, Faizah Mohamad, 30, di Kulim, Kedah sejak hampir setahun lalu.


Fairuz berkata, arwah anak kedua daripada tiga beradik, seorang yang rajin bekerja dan suka membantu mereka dalam kesusahan.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Rodzi Kulup Bidin, 57, meluahkan rasa kecewa dengan kemalangan ngeri menimpa anaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Tak nampak kon

Posted: 21 Nov 2012 12:15 PM PST

GOPENG: "Pemandu treler terbabit memberitahu dia tidak nampak kon keselamatan dan empat kenderaan yang diletak di lorong kecemasan," Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon.

Menurutnya, siasatan awal polis berhubung kemalangan ngeri yang meragut empat nyawa itu juga mendapati ketika kejadian cuaca gelap dan hujan renyai manakala keadaan jalan sedikit bercerun.

"Siasatan lanjut masih dilakukan dan pemandu treler terbabit akan ditahan selepas menjalani rawatan untuk diambil keterangan," katanya.

Beliau berkata, kemalangan berlaku ketika lapan pekerja syarikat Projek Penyelenggara Lebuhraya Berhad (Propel) yang terbabit baru hendak memulakan kerja penyelenggaraan menyambung kabel optik di lorong kecemasan lebuh raya.


"Kemalangan berlaku apabila treler terbabit dalam perjalanan dari Johor Bahru ke utara merempuh empat kenderaan iaitu Proton Iswara, pacuan empat roda Mitsubishi Triton, van Nissan dan lori seberat satu tan diletakkan sebaris di laluan sama.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Terpelanting dalam longkang

Posted: 21 Nov 2012 12:13 PM PST

GOPENG: "Saya hanya sempat mendengar bunyi brek disusuli dentuman kuat sebelum melambung ke dalam longkang di bahu lebuh raya," kata mangsa terselamat, Dino Azmi, 36.

Dia yang ditemui wartawan Harian Metro dalam keadaan terlantar kesakitan di lokasi kejadian mendakwa kejadian berlaku terlalu pantas dan mereka tidak sempat mengelak atau menyelamatkan diri.


"Saya terpelanting ke dalam longkang sejauh lebih tiga meter. Dalam kesakitan, saya merangkak keluar.

"Saya hanya mampu mendengar bunyi jeritan kesakitan dari rakan terselamat tapi tak mampu membantu mereka," katanya.


Dia yang berasal dari Tambun, Ipoh, berkata ada antara rakannya terputus tubuh dan pecah kepala hingga gagal dikenal pasti identiti.


"Saya tidak dapat berdiri lama sebelum terbaring semula di bahu lebuh raya akibat kesakitan di pinggang dan kaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Amukan suami

Posted: 21 Nov 2012 12:12 PM PST

SIBU: Hanya kerana mempersoalkan wang perbelanjaan rumah tidak mencukupi, seorang wanita dibelasah suaminya dengan hulu kapak sehingga cedera di tengkuk dan mata dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Upper Lanang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Suri, 39, berasal dari Kota Sentosa, Kuching, dibelasah suaminya yang berusia 33 tahun selepas berlaku pertengkaran ketika mereka berbincang mengenai wang perbelanjaan.

Suri berkata, suaminya yang bekerja di syarikat pembalakan tiba-tiba berang lalu mengambil kapak di dapur dan terus menghayunkan bahagian hulu kapak ke arahnya.

Menurutnya, walaupun dia beberapa kali merayu minta dilepaskan, suaminya terus bertindak ganas dengan menampar muka mangsa beberapa kali sehingga lebam.


"Saya hanya dapat melarikan diri pagi ini (semalam) untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sibu dan nekad membuat laporan di Balai Polis Sentral.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Timbang pemberian zakat kepada penghidap HIV, Aids

Posted: 21 Nov 2012 12:12 PM PST

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri diminta supaya mempertimbangkan pemberian zakat kepada penghidap HIV dan Aids, terutama yang terlantar sakit, malah menjadikan mereka kumpulan asnaf layak terima bantuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata penghidap penyakit membawa maut itu mempunyai keperluan untuk melayakkan mereka dibantu dengan dana zakat tertakluk di bawah riqab asnaf yang menjelaskan seseorang dalam tawanan.


"Kita minta mereka dikategorikan dalam satu daripada lapan asnaf riqab ini yang menjelaskan orang dalam tawanan, tapi kalau pesakit ini, maknanya mereka ditawan penyakitlah dan boleh digunakan dana zakat ini untuk dia mendapatkan rawatan bersesuaian.

"Jumlah wajar diterima itu terpulang kepada kos rawatan, tapi di hospital semuanya ditanggung. Cuma mungkin perlu diambil kira, keperluan sara hidup mereka atau yang terlantar sakit itu, siapa yang menjaganya," katanya pada sidang media di sini, semalam.


Beliau terdahulu merasmikan majlis penutup Persidangan Antarabangsa Islam dan HIV/Aids 2012 yang disertai membabitkan 300 peserta dari 15 negara sejak dua hari lalu.


Hadir sama, Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit (Penyakit Berjangkit) dan Ketua Sektor (Aids/STI), Kementerian Kesihatan, Dr Sha'ari Ngadiman; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Razali Shahabudin dan Pengerusi Yayasan Ikhtimam Malaysia, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


No comments:

Post a Comment