Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


RM77j urus PPR

Posted: 25 Nov 2012 12:15 PM PST

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah melantik 77 kontraktor dengan kos keseluruhan RM77 juta untuk menyelenggara Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kebanyakan kontraktor yang dilantik sudah selesai urusan kontrak bagi memulakan kerja penyelenggaraan dalam masa terdekat.


"Apa yang diharapkan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab secepat mungkin kerana ada kawasan menanti proses penyelenggaraan dijalankan. Proses penyelenggaraan ini dipantau DBKL dan saya sudah memberi sasaran kepada Datuk Bandar dan DBKL supaya menyelesaikannya dalam masa tiga bulan," katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Futsal Piala Pusingan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Kejohanan Bola Jaring Piala Pusingan Datuk Bandar Kuala Lumpur di sini, semalam.

Menurutnya, aspek penyelenggaraan merangkumi pelbagai aduan penduduk PPR antaranya resapan dan bocor akibat hujan. Kos projek untuk satu kontraktor adalah RM1 juta dan kerja penyelenggaraan dilakukan di kawasan masing-masing.


"Proses ini dilakukan berdasarkan audit kerosakan yang dibuat sejak April lalu," katanya.


Sementara itu, DBKL membelanjakan RM2.1 juta untuk pembinaan 26 gelanggang baru dan 11 gelanggang dibaik pulih yang sudah dijalankan pada tahun ini manakala 12 gelanggang baru dibina pada tahun depan.

Katanya, gelanggang baru ini membawa konsep tiga dalam satu yang boleh digunakan untuk kemudahan sukan futsal, bola jaring dan sepak takraw. Kos satu gelanggang baru adalah RM83,000 manakala RM23,000 digunakan untuk kos baik pulih.


"Aktiviti sukan ini sangat penting untuk menggalak warga kota mengamalkan gaya hidup sihat untuk jangka masa panjang. Taraf kesihatan warga kota perlu dipertingkat dan pada masa sama sukan diperkasakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


‘Kami dah beri kelonggaran’

Posted: 25 Nov 2012 12:13 PM PST

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap dengan pendirian tidak membenarkan peniaga di Bazar Larut Malam (Uptown) Danau Kota Setapak berniaga pada setiap Isnin dan Selasa, meskipun pada cuti sekolah.

Timbalan Pengarah (Pembangunan Sosio Ekonomi) DBKL, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata, keputusan itu dibuat berikutan rungutan penduduk yang mahu bazar terbabit dipindahkan ke tempat lain.


"Kami sudah beri kelonggaran sebelum ini iaitu peniaga boleh meneruskan perniagaan kecuali pada Isnin dan Selasa, sedangkan permintaan penduduk mahukan bazar itu dipindahkan terus dari lokasi berkenaan.

"Namun mereka (peniaga) memohon melanjutkan tempoh perniagaan setiap hari sempena cuti sekolah, namun kami tidak luluskan kerana mengambil kira kepentingan penduduk," katanya selepas majlis penutup Pertandingan Akhir Kejohanan Futsal Piala Pusingan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Kejohanan Bola Jaring Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur di PPR Kerinchi, semalam. Mohd Amin Nordin juga berkata, DBKL mengenal pasti lokasi sesuai bagi memindahkan peniaga ini supaya mereka boleh meneruskan perniagaan setiap hari tanpa mengganggu kawasan penduduk.


"Tapak baru itu akan memberi kepuasan kepada peniaga dan menyelesaikan masalah penduduk di Danau Kota yang mendakwa bazar terbabit mengganggu keselesaan mereka sejak beroperasi tujuh tahun lalu," katanya. — Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


6 berparang heret amah

Posted: 25 Nov 2012 12:12 PM PST

KUALA LUMPUR: Satu keluarga kerugian RM150,000 selepas rumah mereka di Petaling, di sini, disamun enam lelaki bersenjatakan parang yang memanjat pagar rumah ketika amah menjemur pakaian jam 7 pagi, sebelum menyamun mangsa, Jumaat lalu.

Menurut sumber, belum sempat amah itu berbuat apa-apa, semua suspek sudah berada dalam rumah dan mengarahkannya mendiamkan diri.


"Ketika itu majikannya yang berada di bilik tidur dan tidak menyedari rumahnya dipecah masuk. Suspek mengheret amah itu ke tingkat atas dan mengurungnya bersama anak majikannya dalam bilik.

"Suspek masuk dalam bilik tidur utama dan mengarahkan pemilik menyerahkan wang tunai dan barangan berharga," katanya.


Sumber berkata, mangsa yang ketakutan menyerahkan jam tangan berharga serta membuka peti besi mengandungi wang tunai bernilai hampir RM40,000, barang kemas bernilai RM100,000, pelbagai jam tangan berjenama dan telefon bimbit.


Suspek melarikan diri tanpa mencederakan mangsa manakala mangsa membuat laporan di Balai Polis Petaling.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Az-Lee Abdullah mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Hari jadi berdarah

Posted: 25 Nov 2012 12:11 PM PST

GEORGETOWN: Hari jadi berdarah. Itu yang dilalui seorang lelaki apabila ditikam dan ditetak sekumpulan 10 lelaki yang menyerangnya ketika mangsa menyambut hari lahir ke-24 di rumahnya, di sebuah flat, di Farlim, malam kelmarin.

Lebih menyedihkan, mangsa yang dikenali sebagai Vikinesraj ditetak dan ditikam di depan teman wanitanya sebelum kumpulan lelaki terbabit melarikan diri, jam 9.30 malam.


Dalam kejadian itu, mangsa ditikam di perut serta tangannya ditetak kumpulan lelaki terbabit dan dia kini bertarung nyawa selepas mengalami kecederaan teruk.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku ketika mangsa turun ke tingkat bawah rumah untuk menjemput teman wanitanya yang datang kerana mahu bersama-sama menyambut majlis hari lahir lelaki itu.


"Bagaimanapun, ketika itu kumpulan lelaki terbabit sudah menunggu mangsa dan sejurus melihat kelibatnya, mereka menyerang dan mengamuk dengan menetak mangsa.


"Mangsa tidak berdaya melawan dan rebah. Kejadian itu dilihat teman wanitanya sebelum dia serta beberapa rakan menghubungi ambulans," katanya.

Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit yang melihat mangsa rebah beredar menaiki lima motosikal dan mangsa kini masih dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).


"Polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu berlaku disebabkan angkara dendam antara mangsa dan kumpulan lelaki terbabit," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.


Menurutnya, setakat ini, polis sudah menahan seorang lelaki berusia 20-an dan merampas beberapa senjata tajam yang ditemui bersamanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Tak sempat joli

Posted: 25 Nov 2012 12:10 PM PST

KANGAR: Seorang penjenayah yang memecah masuk rumah seorang pemilik kedai jahit bersama dua rakannya hanya mampu berjoli sakan seketika sebelum ditahan dalam tempoh 12 jam di sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Ketil-Baling, Sungai Petani, Kedah, kelmarin.

Pemeriksaan lanjut ke atas suspek berusia 42 tahun itu berjaya menemui semula RM7,000 dalam sebuah beg, barang kemas, tiga telefon bimbit termasuk sebuah milik mangsa, wang tunai RM1,543 dalam poket seluar serta sepucuk pistol Colt .22 bersarung bersama tujuh butir peluru.


Sebelum itu, lelaki dari Padang Besar terbabit dikatakan memecah masuk rumah mangsa bersama dua rakannannya dengan bersenjatakan pistol dan pisau rambo dalam kejadian di Taman Utara Jejawi, Arau, dekat sini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Nashir Ya berkata, penjenayah memasuki rumah melalui tingkap sebelum mengejut dan mengugut mangsa dan isterinya. "Anak lelaki mangsa berusia 22 tahun yang menyedari kejadian itu cuba melawan menggunakan besi sebelum diugut akan ditembak jika membuat bising," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perlis, di sini, semalam.

Nashir berkata, berdasarkan maklumat sepasukan anggota berjaya mengesan suspek sebelum menahannya ketika membuat transaksi di mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak, kira-kira jam 3.40 petang hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Toni lari ikut janda

Posted: 25 Nov 2012 12:09 PM PST

KUALA LUMPUR: Sebelum ini, kerap berlaku anak gadis tempatan dilarikan atau berkahwin tanpa kebenaran dengan lelaki Indonesia namun bagi Normarina Senin, 40, situasi agak berbeza apabila anak lelakinya gagal dikesan selepas berkahwin dengan seorang janda dari negara itu.

Normarina Senin, 40, berkata dalam usaha menjejak anaknya, Mohd Toni Muhammad, 22, dia mendapat tahu pemuda itu berkahwin dengan seorang janda dari Indonesia berusia 30-an menggunakan khidmat sindiket pernikahan haram dengan bayaran RM250.


Menurutnya, dia mengetahui anaknya berkahwin melalui sindiket berkenaan selepas dimaklumkan majikan wanita Indonesia itu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.

"Saya diberitahu anak saya berkahwin dengan wanita Indonesia itu pada 27 Oktober lalu di sebuah flat di Kepong. Dengan hanya membayar RM250 sindiket itu menguruskan perkahwinan anak saya dan saya sebagai ibunya langsung tidak tahu apa-apa.


"Saya diberitahu, sindiket itu menggunakan seorang jurunikah warga Indonesia manakala saksinya pula adalah lelaki tempatan," katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.


Menurutnya, sebaik mengetahui perkara itu dia terus membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 28 Oktober lalu.

Normarina berkata, susulan laporan yang dibuat, dia difahamkan Jawi cuba menahan anaknya serta wanita Indonesia itu untuk disoal siasat, namun kedua-duanya melarikan diri dan gagal dikesan hingga kini.


"Sudah puas saya menghubungi telefon bimbit anak saya, namun gagal. Berikutan itu, saya turut membuat laporan polis di Balai Polis Kepong pada 4 Ogos lalu," katanya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenan namun enggan mengulas lanjut.


Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai supaya menggunakan saluran yang betul untuk berkahwin bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan sindiket pernikahan tidak bertauliah.


Sementara itu, Penasihat media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, perkahwinan pasangan itu tidak sah kerana mereka menggunakan jurunikah dan wali yang tidak sah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Mata mesin pencanai pecah belah jari

Posted: 25 Nov 2012 12:08 PM PST

KUALA TERENGGANU: "Entah bagaimana mata mesin pencanai itu boleh pecah secara tiba-tiba," kata Mohd Hafizuddin Yahya, 21, yang terlantar di hospital sejak lima hari lalu apabila tangan kirinya nyaris putus akibat terkena mata mesin pencanai yang pecah ketika menjalankan kerja pemasangan kabel elektrik bawah tanah di Kampung Bukit Payung, Marang.

Ketika ditemui di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam, Mohd Hafizuddin berkata, dalam kejadian jam 4 petang Rabu lalu, dia memotong paip besi menggunakan mesin pencanai.


Namun malang katanya, mata mesin pencanai yang digunakan untuk memotong paip besi berkenaan berkecai dan membelah bahagian kulit ibu jari kirinya sehingga ke jari telunjuk.

"Darah banyak keluar dan saya bergegas meminta bantuan rakan untuk menghantar saya ke HSNZ bagi mendapatkan rawatan.


"Doktor mengenakan lebih 30 jahitan untuk menutup kesan terbelah pada tangan kiri itu," katanya.


Pendawai elektrik itu berkata, kejadian berkenaan menyebabkan dia dimasukkan ke hospital bagi membolehkan jururawat memantau dan memberikan rawatan susulan kepadanya.

"Saya bersyukur kerana mata mesin pencanai hanya terkena pada tangan dan tidak terkena pada leher, kalau tidak saya tidak tahulah apa terjadi.


"Kejadian itu menyebabkan saya trauma menggunakan mesin pencanai lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Penjaga pub maut ditetak 10 lelaki

Posted: 25 Nov 2012 12:08 PM PST

BATU PAHAT: Rutin harian seorang penjaga pub yang berehat sambil menikmati minuman bersama rakan di depan pub tempat dia bekerja berakhir tragedi, apabila maut ditetak 10 lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di pekan Yong Peng dekat sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, warga tempatan dikenali sebagai Pabu, 24, maut selepas ditetak dua kali di kepala, manakala pergelangan tangan kanannya putus dan tangan kirinya hancur ketika duduk berbual bersama tiga rakannya.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ketika kejadian tiba-tiba mangsa didatangi dua kereta Perodua Myvi dan Proton Persona dinaiki lapan hingga 10 lelaki bersenjatakan parang.

Menurutnya, mangsa menyedari kehadiran dua kereta itu cuba melarikan diri, namun dikejar dan dikepung suspek sebelum menyerangnya menggunakan parang.


"Tiga lagi rakan mangsa yang cemas dengan kejadian terus melarikan diri dan tidak dikejar suspek.


"Mangsa yang mengalami pendarahan teruk selain tangan kanannya terputus dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, untuk mendapatkan rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital," katanya, semalam.

Din berkata, semua suspek berusia 20-an hingga 30-an terus melarikan diri sejurus kejadian dan gerakan mengesan mereka giat dijalankan.


"Hasil siasatan awal kami percayai motif kejadian disebabkan dendam, namun siasatan menyeluruh dijalankan bagi memastikan semua suspek dikenal pasti dan ditahan secepat mungkin.

"Kami percaya serangan ini sudah dirancang kerana suspek mengetahui mangsa bekerja di pub itu serta tahu waktu pub berkenaan tamat," katanya.


Menurutnya, siasatan mendapati mangsa berasal dari Yong Peng dan sudah berkahwin, namun belum mempunyai anak.


"Kami memohon kerjasama orang awam dan saksi kejadian tampil memberikan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di talian 07-4343999 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Kejutan seminggu kahwin

Posted: 25 Nov 2012 12:07 PM PST

JOHOR BAHRU: "Suami memberitahu akan memberi kejutan selepas kami berumah tangga dan tinggal di rumah ibu mentua di Skudai namun saya terkejut apabila mendapati kejutan itu sebenarnya berita tahniah atas kelahiran anak sulungnya," kata Aminah Abu, 21, semalam.

Menurutnya, lebih mendukacitakan berita itu diketahuinya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar seorang wanita kepada suaminya berusia 21 tahun ketika baru seminggu berumah tangga.

Aminah berkata, SMS itu membongkar rahsia suaminya, seorang jurukimpal bahawa dia sebenarnya berpoligami dan memalsukan statusnya yang mengaku bujang sebelum mereka bernikah.

Katanya, suaminya itu turut tergamak melangsungkan perkahwinan ketika isteri pertama sarat mengandung.


"Sejak mengetahui rahsianya itu, kehidupan kami berubah apabila suami sering menjadikan saya sebagai alat melepaskan geram.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


4 sawa jadi ‘pengapit’

Posted: 25 Nov 2012 12:06 PM PST

AMPANG: Empat ular sawa mengiringi perarakan sepasang pengantin baru pada majlis persandingan mereka di Kondominium Tiara Ampang, Jalan Ampang, di sini, semalam.

Kehadiran binatang itu memberi kelainan pada majlis perkahwinan Mohd Azrif Mohd Tarmizi, 25, dan pasangannya, Azzilah Samat, 25.


Selain ular sawa, turut dibawa pada majlis perkahwinan yang dihadiri kira-kira 2,000 tetamu itu ialah seekor burung kakak tua.

Semua binatang itu dibawa dari ladang pembiakan haiwan eksotik milik keluarga berkenaan di Pangsun, Hulu Langat.


Azzilah ketika ditemui berkata, dia sengaja memilih tema itu untuk diabadikan sebagai kenangan terindah sepanjang hayat malah suaminya diberitahu pada saat-saat akhir.


"Suami mulanya agak kekok dan geli dengan ular, tetapi selepas dipaksa, dia akhirnya akur dan mula memberanikan diri memegang ular.

"Saya bersyukur kerana semua yang dirancang berjalan lancar sekali gus akan dikenang sepanjang hayat kami," katanya yang merancang berbulan madu di Pulau Redang, Terengganu.


Sebelum itu, pasangan mempelai yang memilih konsep Inggeris dan perkahwinan dalam taman diarak sanak saudara serta teman diiringi paluan kompang kira-kira 500 meter memasuki dewan utama.

Mohd Azrif ketika ditemui tidak dapat menyembunyikan perasaan takut dan gugup bila memegang ular buat pertama kali.


"Saya sebenarnya tak takut ular, tapi geli. Bagaimanapun lepas dipaksa isteri dan sanak saudara, saya beranikan diri untuk memegang serta lilit di leher.


"Ini pengalaman pertama dan ia sesuatu yang menyeronokkan," katanya.


Sementara itu, kakak ipar Azzilah, Suzana Ghazali berkata, binatang eksotik itu dibawa bagi memenuhi impian persandingan pasangan berkenaan.


"Sebenarnya kami memilih perkahwinan berkonsepkan dalam taman dan Inggeris, malah perancangan ini dibuat setahun lalu.


"Bagaimanapun, saat akhir dia (Azzilah) nak lain daripada lain dan kami sekeluarga cuba memenuhi impiannya dengan binatang eksotik yang ternyata diterima mereka," katanya.


Suzana berkata, ular yang dibawa itu jenis Ular Sawa Afrika dan Ular Sawa Burma.


Sementara itu, majlis turut diserikan dengan tarian dan acara memotong kek.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


No comments:

Post a Comment