Harian Metro: Arena


Harian Metro: Arena


Posted: 15 Nov 2012 11:52 AM PST
DENGAN masa yang semakin suntuk, ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal akhirnya tidak dapat membendung kekecewaan dengan aksi longlai anak buahnya yang hanya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Hong Kong pada perlawanan persahabatan antarabangsa kelmarin.
Prestasi yang dipersembahkan skuad Harimau Malaya di Stadium Shah Alam itu langsung tidak menggambarkan perwatakan juara Piala AFF Suzuki sekali gus membuatkan Rajagobal perlu mencari formula terbaik sebelum kejohanan bermula pada 25 November ini.

Janji untuk bangkit selepas dua kekalahan di tangan Vietnam 0-1 dan Thailand 0-2 sebelum ini gagal dikotakan malah yang lebih mengecewakan apabila pemain gagal mempamerkan permainan menarik.
"Hong Kong bermain lebih agresif, rajin dan bertenaga. Pada babak kedua kita bangkit tapi tidak mempamerkan permainan sebenar.

"Perlawanan ini bagus untuk saya melihat karektor beberapa pemain yang saya fikir mempamerkan permainan mengecewakan. Saya akan memberitahu pemain saya tidak puas hati, sekarang masa sudah suntuk dan saya sudah kenal pasti pemain yang tidak akan berada dalam senarai 22 pemain," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.

Satu-satunya peluang untuk skuad kebangsaan mendapatkan kemenangan penyuntik semangat adalah aksi pemanas badan terakhir menentang pasukan kerdil Bangladesh pada 20 November ini di Stadium Shah Alam.
"Perlawanan dengan Bangladesh adalah persiapan terakhir sebelum kejohanan bermula. Selepas itu pemain tidak boleh memberi alasan lagi, mereka perlu bangkit dan bersedia menghadapi perlawanan sebenar," katanya yang membimbing Harimau Malaya merangkul Piala AFF dua tahun lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih Hong Kong, Kim Pan Gon berkata, pasukannya berhak menang perlawanan itu kerana mencipta lebih banyak peluang khususnya pada babak pertama.
"Pasukan saya layak mendapat keputusan ini walaupun kami berpeluang untuk menang kerana bermain lebih agresif untuk menjaringkan gol," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 11:45 AM PST
EAST RUTHERFORD (New Jersey): Penyerang Brazil, Neymar muncul bintang negaranya menjelang persiapan Piala Dunia 2014 selepas meledak jaringan pada minit ke-64 ketika Brazil bekerja keras untuk mengikat Colombia, 1-1.
Neymar, 20, berpeluang meletakkan Brazil di hadapan pada babak kedua namun sepakan penaltinya melepasi palang gol pada perlawanan yang disaksikan 38,624 penonton di Stadium MetLife, New York.

Penonton menyaksikan perlawanan Brazil itu kurang berbanding 77,223 ketika mereka bertemu pada Ogos 2010 akibat masalah pengangkutan berikutan ribut Sandy.
James Rodriguez membuka jaringan buat Colombia pada minit ke-44.

Brazil dianugerah sepakan penalti pada minit ke-81 selepas Pablo Armero menolak jatuh Daniel Alves dalam kawasan penalti.

Neymar mengambil beberapa langkah sebelum mengambil sepakan itu namun pendekatannya itu gagal apabila bola melepasi palang gol sekali gus menggagalkan peluang Brazil mendahului pasukan yang tidak pernah menewaskan mereka dalam tempoh 21 tahun.
Brazil memiliki beberapa peluang namun gagal disempurnakan.

Kaka terlepas peluang pertama pada minit ke-18 dan tandukan Neymar dari jarak dekat hasil hantaran Alves berjaya diselamatkan penjaga gol Colombia, David Ospina minit ke-24. Sepakan jarak jauh Kaka yang kembali bersama skuad kebangsaan buat pertama kali sejak Piala Dunia 2010 turut terkena palang pada minit ke-32. Brazil menang 15 kali, kalah dua dan seri lapan pada pertemuan menentang Colombia. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 11:44 AM PST
RIYADH: Lionel Messi melakar sesuatu yang jarang berlaku apabila Argentina hanya mampu seri tanpa jaringan ketika bertemu Arab Saudi dalam aksi persahabatan, kelmarin.
Messi meledak dua gol buat Barcelona hujung minggu lalu ketika menewaskan Real Mallorca dengan pemain pakar itu kini menghasilkan 76 gol sepanjang tahun ini, mengatasi rekod Pele yang menjaringkan 75 gol pada 1958 dan sembilan gol lagi membolehkannya menyamai rekod sepanjang zaman dilakar Gerd Mueller, 85 gol pada 1972.

Namun dia terlepas peluang merapati rekod Mueller apabila buntu mencipta gol dalam perlawanan yang tidak menarik itu.
Messi turut gagal memperbaiki pencapaian 12 gol sewaktu menyarung jersi kebangsaan tahun ini dan jika satu gol berjaya dijaringkan di sini membolehkannya berkongsi rekod dengan Gabriel Batistuta.

Arab Saudi, pasukan ranking ke-112 Fifa boleh mengaibkan pelawat berdasarkan aksi cemerlang dan keputusan ofsaid merobek impian tuan rumah menghasilkan gol apabila percubaan Osama Al Harbi dibatalkan pada minit ke-29.

Terdahulu, sepakan Mohammad Al Sahlawi yang tersasar turut menguji penjaga gol lawan, Sergio Romero.
Pada hujung perlawanan pemain Manchester City, Sergio Aguero cuba mendapatkan sepakan penalti namun pengadil perlawanan menyifatkan ia berlaku di luar kawasan kotak penalti.

Selepas sejam beraksi, Aguero menyelinap masuk dari sebelah kanan untuk menghantar bola silang kepada kepada Messi namun gagal disempurnakan. Yasir Al Shahrani berjaya menghalang percubaan Messi dari luar kotak penalti.
Argentina kini perlu kembali fokus untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2014 di Brazil. Pendahulu kumpulan itu akan menentang Venezuela pada aksi kelayakan pada 22 Mac sebelum bertemu Bolivia, empat hari kemudian. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 11:44 AM PST
TOKYO: Bintang Inter Milan, Yuto Nagatomo meningkatkan keyakinan Jepun selepas melakar kemenangan sukar 2-1 ke atas Oman dan menghidupkan peluang juara Asia itu layak ke Piala Dunia 2014.
Jepun menguasai hampir keseluruhan perlawanan dalam cuaca panas di ibu negara Oman, Muscat namun tergugat menerus jaringan penyamaan pada minit ke77 sebelum dua pemain yang beraksi di VfB Stuttgart, Gotoku Sakai dan Shinji Okazaki bergabung untuk meledak jaringan kemenangan pada lewat perlawanan.

Jepun yang belum tewas menang empat dari lima perlawanan pusingan kelayakan, memiliki kelebihan lapan mata dengan baki tiga perlawanan dan selesa untuk layak ke Brazil. Pasukan Samurai Biru itu menamatkan kempen pada Mac ini. Mereka akan menentang Jordan di tempat lawan, melayan kunjungan Australia dan berkunjung ke Iraq dalam usaha merealisasikan misi layak buat kali kelima berturut-turut ke Piala Dunia.
"Ini adalah keputusan daripada hasil usaha keras dan keyakinan tinggi dalam situasi sukar," kata pemain pertahanan Inter, Nagatomo di Muscat.

Jepun mendahului perlawanan pada minit ke-20 menerusi jaringan penyerang FC Nuremberg, Hiroshi Kiyotake namun sepakan percuma lewat babak kedua dari Ahmed Mubarak memberi petanda perlawanan itu akan bertambah menarik.

Ketika Oman memberi tekanan kepada juara, pemain Stuttgart, Sakai melepaskan diri dari sebelah kiri dan hantaran silangnya ditampan Yasuhito Endo untuk memudahkan tugas Okazaki meledak jaringan.
Juara Piala Asia 2007, Iraq, kembali menghidupkan peluang apabila meledakkan jaringan lewat untuk menang 1-0 ke atas Jordan bagi melonjakkan tempat mereka daripada tempat tercorot ke tempat ketiga di belakang Jepun dan Australia yang beraksi kurang satu perlawanan dalam aksi Kumpulan B.

Uzbekistan turut bangkit menerusi jaringan lewat perlawanan untuk mengejutkan pendahulu Kumpulan A, Iran dengan kemenangan 1-0 di Stadium Azadi, Teheran.
Australia meraih kelebihan psikologi selepas menang 2-1 dalam perlawanan persahabatan ke atas Korea Selatan, hasil jaringan jarak dekat Robert Cornthwaite pada minit ke-87. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 11:44 AM PST
PANAMA CITY: Pedro kini meledak tujuh gol dalam lima perlawanan antarabangsa terakhir selepas Sepanyol yang tidak tampil dengan kekuatan sebenar membenam cabaran Panama, 5-1 dalam aksi persahabatan berat sebelah, awal pagi semalam sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah kepada 16 perlawanan pada tahun ini.
Juara dunia dan Eropah itu mendahului 3-0 pada babak pertama di Panama City menerusi dua jaringan Pedro dan satu gol David Villa, jaringan ke-53 dalam 85 penampilan penjaring terbanyak Sepanyol itu yang tampil sebagai kapten pada perlawanan itu.

Perlawanan terakhir 2012 itu tanpa barisan tengah, Xavi dan Xabi Alonso yang direhatkan dan skuad kendalian Vicente del Bosque terlepas banyak peluang sebelum pemain gantian Sergio Ramos menambah gol hasil sepakan percuma menarik pada minit ke-82.
Jesus Navas kemudian membuka ruang buat Markel Susaeta meledak gol jarak dekat dalam penampilan pertamanya dua minit kemudian dan penyokong tuah rumah dihadiahkan jaringan sagu hati hasil sepakan penalti Gabriel Gomez yang melambung bola menewaskan Iker Casillas pada minit ke-87.

"Keseimbangan antara strategi dan bakat memberikan kami kelebihan," kata Del Bosque. "Kami serius menghadapi perlawanan ini, komitmen tinggi pemain dan dominasi tidak membenarkan lawan mencipta banyak peluang.

"Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol pada babak kedua namun mengambil mudah permainan." Perlawanan di Stadium Rommel Fernandez antara pasukan nombor satu dan ke-46 dunia itu ada kalanya umpama sesi latihan buat barisan Sepanyol dan Del Bosque mencuba beberapa pemain yang tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama sebelum ini.
Pedro yang meledak hatrik ketika menentang Belarus pada kelayakan Piala Dunia bulan lalu menerima umpanan dari rakan sepasukan di Barcelona, Andres Iniesta untuk mengatasi pertahanan tuan rumah bagi jaringan pembukaan pada minit ke-16.

Iniesta kemudian meluru ke dalam kotak penalti untuk membuka ruang kepada seorang lagi pemain Barca, Villa pada minit ke-29 dan Juan Mata memberi Pedro peluang terbuka menjaringkan gol ketiga Sepanyol ketika babak pertama berbaki dua minit.
Del Bosque menggantikan Pedro, Iniesta dan Mata dengan Roberto Soldado, Cesc Fabregas dan Jesus Navas selepas rehat. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 11:43 AM PST
PARMA (Itali): Pemain gantian babak kedua, Bafetimbi Gomis meledak jaringan kemenangan pada minit ke-68 untuk membantu Perancis mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Itali yang tewas buat kali kelima berturut-turut dalam aksi persahabatan, awal pagi semalam.
Pemain AC Milan, Stephan El Shaarawy membuka jaringan untuk tuan rumah pada minit ke-30 namun Perancis menyamakan kedudukan menerusi gerakan individu penyerang Marseille, Mathieu Valbuena.

Gomis masuk pada minit ke-60 dan lapan minit kemudian menjaringkan gol kemenangan perlawanan. Meskipun Itali bersaing hebat namun skuad kendalian Cesare Prandelli terpaksa menelan hakikat mengalami kekalahan kelima sejak kecundang 0-2 di Poland setahun lalu.
"Saya rela tewas perlawanan ini dan melihat pemain mempamerkan sedikit peningkatan berbanding meraih kemenangan dan tidak melihat apa-apa perkembangan," kata Prandelli.

Perancis menurunkan hampir semua kesebelasan utama yang seri 1-1 dengan juara dunia dan Eropah, Sepanyol pada perlawanan kelayakan Piala Dunia.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps yang juga bekas pemain Juventus gembira pasukannya mencatat kemenangan menentang pasukan berkualiti walaupun kehilangan beberapa pemain utama.
"Mereka mendominasi kami dan boleh menyamakan kedudukan namun kami turut berpeluang menjaringkan gol ketiga," katanya.

Prandelli menurunkan barisan eksperimen agar skuad kendaliannya mampu kembali mencabar perebutan tiket ke Piala Dunia Brazil pada 2014.
Bintang Bawah 21 Tahun Perancis yang beraksi untuk Paris Saint Germain, Marco Verratti tampil buat kali kedua dalam skuad senior beraksi di belakang tiga penyerang, El Shaarawy, pemain Lazio, Antonio Candreva dan Mario Balotelli. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 11:43 AM PST
AMSTERDAM: Kapten Jerman, Philipp Lahm menganggap keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Belanda sudah memadam beberapa kesilapan barisan pertahanan ketika terikat 4-4 dengan Sweden bulan lalu.
Meskipun tiada aksi menarik pada pertemuan di Arena Amsterdam, awal pagi semalam akibat kecederaan dan penarikan pemain utama, Lahm berkata, keputusan itu penting untuk barisan pertahanan.

Jerman dikejutkan apabila gagal mempertahankan kelebihan empat gol untuk diikat Sweden, 4-4 pada kelayakan Piala Dunia bulan lalu apabila tuan rumah melepaskan empat gol dalam baki 30 minit di Berlin.
"Kedua-dua pasukan beraksi dengan baik namun tidak banyak peluang tercipta," kata Lahm.

"Ini adalah sangat positif selepas kami terikat 4-4 pada perlawanan terakhir.

"Kami tidak mahu melepaskan sebarang gol dan berjaya melakukannya, keputusan seri adil." Jurulatih Belanda, Louis van Gaal dan rakan sejawatnya di Jerman, Joachim Loew menggunakan perlawanan itu sebagai satu eksperimen.
Van Gaal memberikan penjaga gol Ajax, Kenneth Vermeer penampilan pertama manakala penyerang Fenerbahce, Dirk Kuyt mengetuai Belanda.

Trio yang beraksi di Jerman, Arjen Robben, Rafael van der Vaart dan Ibrahim Afellay mengetuai barisan depan dengan penyerang Schalke 04, Klaas-Jan Huntelaar berada di bangku simpanan manakala Robin van Persie dan Wesley Sneijder direhatkan kerana cedera, Belanda memperoleh peluang terbaik tapi Robben mensia-siakan peluang terbuka pada babak pertama selepas penjaga gol Jerman, Manuel Neuer cemerlang menghalang rembatan kencang Eljero Elia di sebelah kiri gawang.
Tuan rumah kini gagal menewaskan Jerman sejak November 2002. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 11:42 AM PST
STOCKHOLM: Zlatan Ibrahimovic dipuji selepas meledak empat gol termasuk jaringan sepakan akrobatik ketika membantu Sweden menewaskan England 4-2.
Gol pembukaan Ibrahimovic pada minit ke-20 membolehkannya menjadi pemain pertama menjaringkan gol di Stockholm Friends Arena namun England hampir menjejaskan kegembiraan itu apabila mendahului permainan menerusi Danny Welbeck dan Steven Caulker.

Tapi malang buat skuad kendalian Roy Hodgon apabila Ibrahimovic terus mengganas selepas itu.
Selepas menahan bola hantaran Anders Svensson menggunakan dada, Ibrahimovic melepaskan sepakan voli pada minit ke-77 bagi gol penyamaan dan kemudian meletakkan Sweden di depan menerusi sepakan percuma dari jarak 30 ela.

Paling mencuri tumpuan adalah jaringan keempat yang dihasilkan Ibrahimovic pada masa kecederaan.

Penjaga gol England, Joe Hart terpaksa keluar dari gawangnya untuk mengeluarkan bola hantaran jauh namun berjaya disambar Ibrahimovic yang terus melakukan sepakan akrobatik ke gawang kosong dari jarak 25 ela.
"Bila saya dapat bola hantaran jauh, saya lihat penjaga gol sudah keluar dan saya memiliki dua pilihan, berebut dengannya atau tunggu dia mengeluarkan bola itu," kata kapten Sweden itu kepada pemberita.

"Bila dia mengeluarkan bola, saya mahu cuba menjaringkan gol. Saya cuba membuat percubaan ke arah gol dan bila jatuh di atas padang, saya lihat pemain pertahanan cuba mengeluarkan bola tapi ia tetap menerjag masuk ke dalam gawang." Bagaimanapun Ibrahimovic tidak menganggap persembahan itu yang terbaik buat dirinya bersama Sweden. "Saya sudah terlalu kerap mempamerkan permainan terbaik," kata penyerang Paris Saint-Germain itu.
"Ia penting untuk bermain di arena baru. Tapi jika anda tanya saya gol manakah yang paling saya suka, pastinya saya lebih suka gol pertama kerana ia gol bersejarah, jaringan pertama di arena baru ini." - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 11:41 AM PST
STOCKHOLM (Sweden): Meskipun tewas 2-4 kepada Sweden, kali pertama dalam tempoh 90 minit sejak menjadi pengurus England, Roy Hodgson tetap puas hati dengan persembahan enam pemain yang beraksi kali pertama bersama skuad negara itu.
Steven Caulker, Leon Osman dan pemain sayap berusia 17 tahun Liverpool, Raheem Sterling turun beraksi dalam kesebelasan utama manakala Carl Jenkinson, Ryan Shawcross dan Wilfried Zaha pula diberi peluang pada babak kedua.

Hodgson memberi pujian istimewa untuk Sterling dan menyifatkan permainan pemain itu semakin meningkat dan bakal menjadi tonggak utama pada masa depan.
Beliau turut mempertahankan aksi buruk penjaga gol Manchester City, Joe Hart.

"Perkara ini sudah berlaku," kata Hodgson.

"Gol ketiga agak mengelirukan. Gol keempat pula, dia gagal mengagak lantunan bola dan terpaksa melakukan tandukan yang akhirnya memberi peluang kepada Zlatan menjaringkan gol menerusi sepakan akrobatik.
"Namun kami tidak bimbang prestasi dipamer Joe Hart, Dia penjaga gol yang sangat bagus. Malam ini bukan hari terbaiknya tapi ini boleh berlaku dalam bola sepak.

"Beberapa pemain senior bermain dengan baik. Steven Gerrard, Glen Johnson, Leighton Baines kesemuanya bermain dengan cemerlang. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 11:41 AM PST
GABON: Jaringan pemain sayap, Pizzi dan penyerang Hugo Almeida dipadam dua sepakan penalti Gabon untuk mengikat Portugal yang beraksi hambar, 2-2 pada aksi persahabatan, semalam.
Pelawat tanpa Cristiano Ronaldo yang mengalami kecederaan beraksi hambar dalam cuaca panas di Stadium De Amitie di Libreville. Mereka gagal beraksi pantas dan hilang tumpuan sepanjang permainan.

Gabon membuka jaringan menerusi sepakan penalti Levy Madinda apda minit keempat namun pemain sayap Deportivo Coruna, Pizzi yang turun kali pertama bersama skuad negaranya menyamakan kedudukan juga menerusi sepakan penalti.
Tuan rumah hampir mendahului permainan sebelum babak pertama tamat namun pengadil mendakwa bola tidak melintasi garisan gol Portugal.

Almeida yang dimasukkan pada separuh masa kedua kemudian meletakkan Portugal di depan 2-1 sebelum Biyogo Pocko menyamakan kedudukan buat tuan rumah menerusi satu lagi sepakan penalti. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

No comments:

Post a Comment