Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Misi tiga mata

Posted: 24 Nov 2012 04:48 AM PST

"TIADA sebarang gangguan dan pemain kini fokus untuk menentang Singapura". Itu kenyataan ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal yang bakal memulakan misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 bermula malam ini.

Menurut pengendali berusia 56 tahun itu, pemain kini tidak terganggu dengan sebarang perkara yang berlaku di luar padang terutamanya masalah kontrak membabitkan penyerang paling bernilai Liga Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha dan penjaga gol utama Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat yang bakal menamatkan zaman bujangnya bulan depan.


"Saya tahu Norshahrul dan Khairul Fahmi fokus kerana melihat sendiri persembahan mereka setiap hari dalam latihan. Mereka sedar kepentingan untuk fokus sepenuhnya pada perlawanan malam esok (malam ini). Persembahan yang bakal dipamerkan menentang Singapura akan menentukan sama ada mereka fokus atau sebaliknya," katanya pada sidang media semalam.

Dua pemain Kelantan itu antara tonggak negara yang menjulang kejuaraan edisi 2010 dengan Norshahrul kini masih belum menemui jalan penyelesaian sepenuhnya untuk berhijrah ke Johor manakala Khairul Fahmi pula membuat pengumuman mengejut apabila mengaku akan berkahwin pada 28 Disember.


Rajagobal turut menolak kebimbangan terhadap kemarau jaringan Norshahrul ketika gandingannya, Safee Sali tampak sudah kembali pada tahap terbaik selepas menamatkan kemarau jaringan untuk skuad kebangsaan dalam tempoh hampir setahun.


"Saya tidak bimbang, apa yang membimbangkan saya adalah perlawanan esok (malam ini)," katanya ketika ditanya mengenai Norshahrul yang sudah beberapa kali ketandusan gol di pentas antarabangsa.

Situasi itu turut menyumbang kepada keputusan hambar skuad negara dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini namun Rajagobal tetap mempunyai beberapa pilihan andai mahu menambahkan sengat terutamanya dengan kehadiran penyerang Harimau Muda A, Ahmad Hazwan Bakri.


Mengenai aksi menentang juara tiga kali, Singapura, Rajagobal berkata, mereka saling mengenali antara satu sama lain dan menolak andaian akan ada banyak kejutan yang bakal diberikan lawan.

"Namun bagi saya sama ada lawan akan memberikan kejutan, keutamaan saya adalah pasukan sendiri dan kami akan turun menentang mereka dengan keyakinan tinggi." Malaysia perlu meraih tiga mata dalam aksi pembukaan menentang Singapura bagi memastikan tiket ke separuh akhir lebih awal dapat ditempah dengan Laos menunggu pada perlawanan kedua dan Indonesia yang juga naib juara edisi 2010 menanti pada 1 Disember bagi melengkapkan saingan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Gisela gantung raket

Posted: 24 Nov 2012 04:44 AM PST

BEKAS pemain beregu nombor satu dunia dan juara beregu wanita Terbuka Australia 2011, Gisela Dulko dari Argentina menggantung raketnya pada usia 27 tahun.

Gisela berada dalam kelompok 100 pemain terbaik dunia acara perseorangan buat lapan musim berturut-turut dari 2004 hingga 2011, memenangi empat kejuaraan perseorangan selain 17 kejuaraan beregu.


"Ini bukannya satu keputusan yang mudah, di sebalik hakikat ia sudah saya fikirkan sejak sekian lama," kata Gisela. "Tenis sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya sejak 20 tahun lalu." Gisela beraksi dalam undian utama kejohanan WTA buat julung kali di Miami pada 2001 dan kali pertama berada dalam kelompok 50 pemain terbaik pada 2004. Dia kemudian mencatat rekod lima musim dalam ranking 50 terbaik dunia dan berada di kedudukan terbaik karier di tangga ke-26 dunia pada 2005.

Kejayaan terbesarnya adalah di kancah acara beregu. Gisela bertindak cemerlang bersama pasangannya Flavia Pennetta dari Itali pada 2010. Dia memenangi lapan kejuaraan (tujuh bersama Flavia) dan berada di tangga pertama dunia selepas memenangi Kejohanan WTA, menamatkan musim dengan rekod 55-14 tahun itu.


"Ucapan terima kasih tidak terhingga buat Flavia," kata Gisela. "Bersama kami menjadi pasangan nombor satu dunia, memenangi kejuaraan Grand Slam dan Kejohanan WTA." Pada 2011, Flavia dan Gisela memenangi Terbuka Australia apabila menundukkan Maria Kirilenko dan Victoria Azarenka pada perlawanan akhir.


"Memori paling indah saya bersama Flavia adalah keakraban kami." Tahun lalu, Gisela bergandingan dengan rakan senegara dari Argentina, Paola Suarez dengan impian untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik. Mereka layak ke empat separuh akhir namun kecundang pada pusingan pertama Olimpik di tangan beregu China, Li Na dan Zhang Shuai.

Gisela berkahwin dengan pemain bola sepak Fernando Gago di Buenos Aires pada 2011. Dia dilatih abangnya, Alejandro.


"Saya akan terus mencintai sukan tenis sepanjang hayat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Ledakan Djokovic

Posted: 24 Nov 2012 04:44 AM PST

PEMAIN tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic menceburi sukan baru minggu lalu.

Pemain Serbia berusia 25 tahun itu meninggalkan gelanggang tenis buat seketika untuk beraksi dalam perlawanan bola sepak amal di Brazil.


Bintang tenis itu tidak menghampakan, membuktikan bakatnya tidak hanya terhad di gelanggang tenis.

Djokovic beraksi di samping bekas pemain kebangsaan Brazil, Bebeto serta Zico, jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Iraq yang bercuti.


Bintang tenis nombor satu dunia itu turut disertai bekas pemain nombor satu dunia, Gustavo Kuerten, pemain kelahiran Brazil yang menyertai perlawanan amal itu.


Perlawanan ulangan antara dua bintang itu berakhir dengan keputusan seri 3-3 dengan Djokovic dan Kuerten masing-masing menyumbang satu gol.

Perlawanan itu dianjur pemain bola sepak Serbia yang sudah bersara, Dejan Petkovic.


Petkovic beraksi dengan beberapa kelab namun dia lebih dikenali dengan penampilannya bersama Red Star Belgrade, Real Madrid dan kelab Brazil, Flamengo dan Vasco da Gama.

Petkovic, warga kehormat Rio de Janeiro dilapor bercadang memainkan peranan penting pada Piala Dunia 2014 dan Sukan Olimpik 2016 di negara angkatnya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Buka kedai motosikal

Posted: 24 Nov 2012 04:43 AM PST

MINAT mendalam dalam sukan permotoran mendorong penunggang Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin untuk menceburi bidang perniagaan dengan membuka kedai menjual motosikal dan bengkel pada masa depan.

METRO AHAD (MA): Jika anda bukan seorang atlet, apa karier pilihan anda? ZULFAHMI KHAIRUDDIN (ZK): Saya mungkin akan membuka kedai menjual motosikal serta bengkel membaiki motor.


MA: Apa yang menyebabkan anda berminat untuk menjadi usahawan? ZK: Pertama, kerana saya betul-betul minat dengan jentera motosikal sejak dari zaman kanak-kanak. Kedua, sebab mendapat inspirasi daripada ayah yang juga meminati motosikal.

MA: Kini anda sibuk dengan karier anda, jadi bilakah anda akan merealisasikan impian itu? ZK: Saya tetap akan membuka kedai motosikal dan bengkel satu hari nanti. Mungkin 10 tahun akan datang atau seawal mungkin. Saya selalu bayangkan mempunyai pekerja yang komited bekerja di kedai saya.


MA: Sudah mempunyai pilihan lokasi di mana mahu membuka kedai dan bengkel motosikal? ZK: Saya tidak tahu di mana tapi sudah pasti tempat yang sering mendapat tumpuan golongan yang meminati motosikal.


MA: Adakah anda rasa mampu berjaya dengan menjadi usahawan? ZK: Mungkin, kerana saya memang meminati bidang permotoran. Untuk berjaya segala-galanya bermula daripada minat yang mendalam.

MA: Idola yang anda minati dalam perlumbaan MotoGP.


ZK: Casey Stoner dan Valentino Rossi.

MA: Pernah berbual bersama kedua-duanya? ZK: Ya, saya pernah berbual bersama mereka tapi sekadar bertanya khabar dan topik perbincangan mengenai motosikal saja. Rossi juga sering Twitter dengan saya dan dia mengenali saya.


MA: Rakan baik anda dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia? ZK: Bekas rakan sepasukan saya, Sandro Cortese. Dia rakan sebilik saya sepanjang saingan MotoGP dan dia seorang rakan yang baik. Pendek kata, kami satu kepala.


MA: Makanan kegemaran anda? ZK: Jika di Malaysia saya suka makan sate tidak kira sate ayam, daging atau kambing. Kalau ketika di luar negara, saya gemar makan piza.


MA: Hobi masa lapang anda? ZK: Saya gemar berlatih menunggang pelbagai jenis motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


KL hampiri juara

Posted: 24 Nov 2012 04:43 AM PST

HASRAT Kuala Lumpur mempertahankan kejuaraan kian hampir apabila menewaskan Negeri Sembilan, 2-0 pada aksi separuh akhir Kejohanan Hoki Bawah 14 Tahun KHM-MSN-Milo-KPM Kebangsaan 2012 di Stadium Hoki Seremban 2, semalam.

Muhamad Fitri Khairul Ariffin muncul wira skuad ibu kota apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-41 dan 64 bagi membawa pasukannya melangkah ke final hari ini.


Turun sebagai 'underdog', Negeri Sembilan memberikan tentangan sengit sebaik permainan bermula namun pemain Kuala Lumpur berjaya mengimbangi semangat kental pemain tuan rumah.

Muhammad Fitri memanfaatkan pukulan penalti untuk mendahului 1-0 pada minit ke-41 sebelum melengkapkan jaringan kedua pada minit ke-64.


Pengurus Kuala Lumpur, Ali Sulaiman memuji prestasi anak buah Noorazli Ishak yang mempamerkan persembahan mantap untuk melakar kemenangan sekalipun ditentang sengit pasukan tuan rumah.


Katanya, pemain berjaya mengikuti segala arahan jurulatih dan membuktikan kemampuan sebenar pabila menghalang setiap percubaan pemain lawan.

"Saya puas hati tahap persembahan pemain yang berjaya mempamerkan aksi bertenaga untuk melakar kemenangan ini. Pemain berjaya mengimbangi kebangkitan tuan rumah yang memberikan tentangan sengit.


"Semangat sepasukan tinggi berjaya ditunjukkan dan yang penting mereka bijak memanfaatkan peluang menghasilkan jaringan. Syabas kepada pemain dan kini kami tinggal selangkah lagi untuk mempertahankan kejuaraan," katanya.

Sementara penolong pengurus Negeri Sembilan, Mohd Fazli Fauzi mengakui kehebatan Kuala Lumpur walaupun anak buahnya berusaha memberikan tentangan.


Beliau turut puas hati walaupun tewas kerana pemain sudah berusaha keras untuk mencapai kemenangan namun mereka sukar melakukan penyudahan tepat kerana pertahanan lawan terlalu kental.


"Mungkin situasi boleh berubah andai Muhamad Syukri Abdullah berjaya menjaringkan gol ketika berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol lawan.


"Apapun tahniah kepada pemain kerana sudah mencuba sebaik mungkin dan kejayaan mara ke separuh akhir sudah memadai seperti disasarkan kerana ia pencapaian terbaik setakat ini," katanya yang akan berusaha untuk meraih tempat ketiga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Tayar lembut bantu Azlan

Posted: 24 Nov 2012 04:43 AM PST

PENGGUNAAN tayar kompaun lembut membantu Azlan Shah Kamaruzaman untuk melakukan catatan terbaik peribadi dalam kategori SuperSports 600cc sepanjang dua hari pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Petronas di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, semalam.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu mencatat dua minit 06.524 saat pada sesi kelayakan namun masih belum cukup untuk bermula dari petak pertama apabila catatan terpantas menjadi milik pendahulu keseluruhan kejuaraan, Katsuaki Fujiwara dari pasukan Manual-Tech Beet Kawasaki Racing yang mencatat 2:06.398s sekali gus bakal bermula dari petak pertama.


Sementara itu, seorang lagi penunggang negara, Mohd Zamri Baba (Petronas Hong Leong Yamaha Malaysia) turut beraksi cemerlang apabila memulakan perlumbaan akhir dari barisan hadapan selepas mencatat masa ketiga terpantas 2:06.575s.

"Selepas mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas 2 dan 3, sepanjang sesi kelayakan Fujiwara sentiasa mengekori saya dan melakukan perkara yang sama dengan saya. Setiap kali saya memecut, dia juga memecut dan apabila saya memperlahankan jentera, dia juga melakukan tindakan serupa.


"Dari situ dia mendapat kelebihan angin dan berjaya melakukan catatan lebih baik berbanding saya. Namun saya tidak begitu bimbang kerana masih dapat memulakan perlumbaan dari barisan hadapan," jelas Azlan.


Dalam kategori Underbone 115cc, masalah tayar menghalang juara Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Sepang, Mohd Affendi Rosli untuk mencatat masa terpantas apabila sekadar berada di kedudukan keempat dengan catatan 2:38.280s, gagal mengatasi catatan terbaik 2:36.616s yang dilakukan pada sesi latihan bebas 3 sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Peluang terbuka

Posted: 24 Nov 2012 04:42 AM PST

KOO Kien Keat-Tan Boon Heong berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan apabila melangkah ke final Siri Super Terbuka Hong Kong, hari ini sambil Datuk Lee Chong Wei memburu kejuaraan ketiga pada kejohanan itu.

Kien Keat-Boon Heong mendapat laluan percuma di suku akhir selepas Ko Sung Hyun-Lee Yong Dae dari Korea Selatan menarik diri, tetapi mendapat tentangan daripada gandingan Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin pada separuh akhir semalam terutamanya dalam set pertama apabila dipaksa bermain dius sebelum menang 22-20.


Begitupun aksi mereka jauh lebih baik dalam set kedua dan beroleh kemenangan 21-13 untuk memastikan tempat ke perlawanan akhir.

"Mereka bermain tanpa tekanan. Selepas Olimpik, saya lihat aksi Kien Keat lebih matang dan prestasinya lebih baik," kata ketua jurulatih beregu lelaki, Tan Kim Her.


"Saya amat berharap mereka dapat menjulang kejuaraan pertama tahun ini." Ia adalah pentas final ketiga bagi Kien Keat-Boon Heong selepas temasya Olimpik, satu prestasi konsisten namun belum cukup untuk merealisasikan kejuaraan.


Chong Wei yang muncul juara edisi 2009 dan 2010 dan naib juara 2011, melangkah ke final selepas menewaskan pemain utama Jepun, Kenichi Tago 21-19, 21-15 dalam masa 45 minit.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Cungkil bakat pelayar

Posted: 24 Nov 2012 04:42 AM PST

MAJORITI peserta Klinik Pengenalan Bakat Sukan Pelayaran anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) di Pusat Maritim Putrajaya semalam mempunyai prestasi amat cemerlang dan boleh diangkat sebagai atlet negara pada masa depan.

Mereka yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu didapati mempunyai kebolehan tinggi dalam sukan itu terutama daripada tiga aspek utama iaitu fizikal, kognitif pemikiran dan mental serta tahap kecergasan dan keyakinan tinggi.


Pegawai dan penyelaras Program Pelayaran Putrajaya, Megat Fairuz Khairuddin berkata, klinik itu sebahagian daripada usaha mencungkil bakat baru sukan air terutama sukan perahu layar, kenu dan mendayung.

"Kami yakin ramai bakat baru ada di Putrajaya dan kami percaya sekolah adalah sumber untuk melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi.


"Seramai 32 peserta menghadiri klinik ini dan mereka dibimbing jurulatih peringkat kebangsaan dan atlet negara sepanjang sesi berlangsung. "Kami akan menilai prestasi mereka dan 15 daripada mereka akan dipilih untuk menyertai program sukan pelayaran bermula tahun depan.


"Saya percaya daripada 15 peserta berpotensi yang dipilih, akan ada yang mampu mengharumkan nama negara pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Cuba ambil hati peminat

Posted: 24 Nov 2012 04:41 AM PST

LONDON: Impian Rafael Benitez memenangi hati penyokong Chelsea bermula dengan ujian getir apabila pasukan barunya itu berdepan juara bertahan Manchester City di Stamford Bridge, malam ini.

Penyokong Chelsea tidak begitu menerima pelantikan Benitez sebagai pengurus sementara menggantikan Roberto Di Matteo, selepas beberapa pertelagahan antara Benitez yang sebelum ini mengendalikan Liverpool dengan bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho.


Reaksi pengendali dari Sepanyol itu sebaliknya apabila beliau yakin mampu diterima menerusi kejayaan di atas padang dan tidak diragui kemenangan ke atas penyandang juara Liga Perdana malam ini mampu menjadi pemangkin kepada hasratnya itu.

Benitez dilantik hingga hujung musim namun difahamkan beliau sudah cuba meyakinkan ahli lembaga pengarah Chelsea supaya melupakan sebarang rancangan untuk mengambil bekas jurulatih Barcelona, Pep Guardiola yang turut dikaitkan dengan penghijrahan ke City.


Pengumuman Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris bahawa pengadil, Mark Clattenburg dilepaskan daripada tuduhan meluahkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pemain tengah Chelsea, John Obi Mikel hampir menenggelamkan taklimat media pertama pengurus baru itu kelmarin.


Mikel kini berdepan tuduhan berkaitan kelakuannya selepas kekalahan 2-2 di gelanggang sendiri kepada Manchester United, namun pemain itu boleh diturunkan bagi pertemuan dengan City.

Benitez perlu mengukuhkan benteng pertahanan yang kelihatan goyah tanpa John Terry, sekali lagi terpinggir kerana kecederaan lutut dan mungkin lebih sukar cuba untuk mengembalikan semula prestasi terbaik penyerang Fernando Torres seperti ketika kedua-duanya bersama di Liverpool.


Pengurus itu menegaskan hanya perubahan kecil diperlukan bagi pasukan yang tumpas 0-3 di tangan Juventus pada pertengahan minggu, keputusan yang menyebabkan pemecatan Di Matteo sekali gus menyukarkan laluan mereka dalam Liga Juara-Juara.

"Kami tidak bercakap mengenai Liga Juara-Juara atau perlawanan berikutnya namun beberapa perkara kecil yang saya nampak dan boleh diperbaiki dan apa yang mereka lakukan adalah bagus, sesuatu yang dilaksanakan oleh Roberto Di Matteo," kata Benitez mengenai pertemuan sulungnya dengan pemain Blues.


"Ia sebuah skuad yang bagus, sebuah pasukan yang baik. Jika saya berada di sini, ia kerana saya fikir kami boleh menang. Jika kami boleh meningkat dengan berlatih lebih gigih, saya percaya kami mampu melakukannya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Redknapp sah pengurus QPR

Posted: 24 Nov 2012 04:40 AM PST

LONDON: Harry Redknapp dilantik sebagai pengurus baru kelab tercorot Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers semalam lantas berkata beliau adalah orang paling gembira jika mampu menyelamatkan kelab itu daripada tersingkir ke liga bawahan.

Redknapp, yang dipecat sebagai pengurus Tottenham Hotspur Jun lalu, mengikat kontrak dua setengah tahun bersama kelab yang belum memenangi sebarang perlawanan musim ini.


"Saya mampu melakukan yang terbaik. Saya bersedia untuk menunaikan tugas itu sekarang dan lihat sama ada saya boleh mengubah nasib mereka." QPR memecat Mark Hughes kelmarin selepas kelab itu hanya meraih empat mata daripada 12 perlawanan musim ini. Mereka satu-satunya kelab tanpa sebarang kemenangan dalam semua empat liga divisyen profesional di England.

Pemilik kelab Tan Sri Tony Fernandes secara terbuka menyokong Hughes, sekalipun nada itu berubah selepas kekalahan di gelanggang sendiri di tangan Southampton minggu lalu menyebabkan kelab itu ketinggalan empat mata di tangga tercorot.


"Mark Hughes seorang pengurus terbaik tapi beliau tidak bernasib baik kerana mereka tidak meraih keputusan yang dikehendaki.


"Jika saya boleh mengekalkan mereka di liga utama, saya adalah orang paling gembira. Tapi saya sedar ia tidak mudah." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


No comments:

Post a Comment