Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bos mafia sembunyi di dapur ibu

Posted: 27 Nov 2012 01:22 PM PST

ROME: Seorang ketua mafia dianggap satu daripada pemimpin kumpulan penjenayah paling muda di Itali, ditahan polis semalam.

Digelar "Baby Boss" oleh media Itali, Mariano Abete, 21, diberkas ketika bersembunyi di sebuah bilik rahsia di rumah ibunya.


Pintu masuk ke bilik rahsia itu hanya boleh dibuka dengan alat kawalan jauh. Abete mengetuai keluarganya dalam pertikaian dengan kumpulan penjenayah Neapolitan Camorra yang diketahui pernah membunuh ramai mangsa. Abete dilantik menjadi ketua kumpulan berkenaan selepas bapanya ditangkap, manakala bapa saudaranya dibunuh.

Dia diburu polis kerana terbabit dalam kegiatan jenayah serta bersubahat dengan aktiviti penjualan dadah. Walaupun masih muda, polis berpendapat, Abete sangat berkuasa dan berbahaya.


Jurucakap polis berkata, mereka menyerbu sebuah rumah di Naples pada awal pagi Ahad lalu sebelum berjaya mengesannya bersembunyi dalam bilik rahsia. "Apabila polis menemui ruang rahsia itu, ibu Abete merayu supaya anaknya tidak dicederakan.


"Ibunya juga menawarkan diri untuk membuka pintu rahsia berkenaan," katanya.

Jurucakap polis itu berkata, ibu Abete baru berusia 39 tahun. Rakaman video ruang rahsia itu - terletak di antara dua dinding yang boleh digerakkan - tersebar di laman sesawang semalam. Ia hanya dilengkapi sebuah tilam, bantal, salib dan satu tong oksigen. Abete dianggap mempunyai kedudukan tinggi di kalangan mafia kerana sebelum ini mengetuai kumpulan serpihan menolak keluarganya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Apartmen jadi tempat penduduk China ‘tayang’ pakaian

Posted: 27 Nov 2012 07:35 AM PST

BEIJING: Cuma segelintir penduduk China memiliki mesin pengering.

Juteru, sebahagian besar mereka terpaksa mengeringkan pakaian secara semula jadi, seperti penghuni Universiti Perubatan Tradisional Cina Hubei.


Di bandar yang padat penduduk, keadaan itu memang biasa dilihat.

Selain di balkoni, mereka turut menyidai pakaian di pokok, tiang telefon atau kabel elektrik. Ada kalanya, pakaian disidai di tiang besi yang dijulurkan keluar selari menerusi tingkap apartmen.


Pakaian juga disidai menggunakan penyidai bulat yang tidak banyak memakan ruang dan kayu biasa yang diletakkan melintang di atas dua penyokong.


Ketika semakin ramai penduduk negara itu mengamalkan gaya hidup mudah seperti kelas pertengahan Barat, ada sesuatu yang terkecuali - amalan menggunakan pengering pakaian.

Apartmen di China biasanya dibina agak kecil dan tenaga elektrik pula mahal, manakala harga mesin pengering tidak mampu dimiliki. Pada 2010, Shanghai menganggap perbuatan mengeringkan pakaian di kawasan terbuka sebagai kuno dan amalan itu diharamkan. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Wanita maut makan cendawan beracun

Posted: 27 Nov 2012 07:33 AM PST

LONDON: Seorang wanita maut selepas memakan satu daripada cendawan paling beracun di dunia, lapor media semalam.

Christine Hale, 57, memakan cendawan butang itu selepas memetik tumbuhan itu dari laman rumahnya. Doktor di sebuah hospital di Taunton, Somerset, cuba menyelamatkan nyawa Christine tetapi gagal kerana beberapa organ dalamannya gagal berfungsi.


Christine meninggal dunia 19 November lalu. Suami Christine turut memakan cendawan berkenaan tetapi berjaya diselamatkan dan kini dibenarkan pulang. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


3 polis bapa ayam dibicara

Posted: 27 Nov 2012 07:30 AM PST

HAGATNA (Guam): Tiga polis didakwa terbabit dalam aktiviti pusat pelacuran membabitkan wanita Micronesia dan memaksa seorang remaja perempuan berusia 16 tahun memperdagangkan dirinya, kini berdepan tuduhan tambahan.

Menurut akhbar Pacific Daily News semalam, ketiga-tiga polis terbabit kini menghadapi tuduhan menculik, menjadikan ada antara mereka berdepan sehingga berbelas dakwaan.


Seorang daripada tertuduh menghadapi tuduhan merogol.

Semua lima suspek dalam kes itu akan dibicarakan pada minggu pertama Januari depan dan mereka menghadapi lebih 60 tuduhan dalam 26 dakwaan berasingan Rumah pelacuran itu menyediakan enam bilik dan beroperasi sejak 2004 hingga 2008 di sebuah bar dikenali sebagai Blue House Lounge.


Pemilik bar itu, Song Ja Cha, 70, dihukum penjara seumur hidup pada September lalu.


Saksi berkata, polis terbabit datang ke Blue House tiga kali seminggu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


AS tutup laman sesawang jual produk tiruan

Posted: 27 Nov 2012 07:29 AM PST

BUFFALO (New York): Lebih 100 nama domain dirampas dalam operasi peringkat antarabangsa ke atas laman sesawang yang menjual barangan palsu, kata pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), semalam.

Operasi itu dijalankan serentak hari membeli-belah dalam talian terbesar AS pada tahun ini, Cyber Monday.


Melalui Cyber Monday, pelbagai laman sesawang menjual bermacam-macam barangan - termasuk jersi, pewangi dan cakera video digital - dengan harga murah. Pihak berkuasa AS bekerjasama dengan rakan mereka di Europol, Belgium, Denmark, Perancis, Romania dan Britain dalam operasi berkenaan.

Operasi sama turut dijalankan pihak berkuasa pada dua Cyber Monday sebelum ini. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Ratu cantik maut ditembak bersama penjenayah

Posted: 27 Nov 2012 07:28 AM PST

CULIACAN (Mexico): Seorang ratu cantik Mexico maut dalam tembak-menembak di antara tentera dan satu kumpulan disyaki penjenayah di Mocorito, Sinaloa, kata pegawai pendakwa, semalam.

Pihak berkuasa mengesyaki Maria Susana Flores, 22, adalah anggota kumpulan berkenaan dan mungkin melepaskan tembakan dalam kejadian Ahad lalu.


Selaras raifal AK-47 turut ditemui berhampiran mayat Maria, pemenang anugerah Wanita Sinaloa 2012 dalam kereta yang dinaikinya.

Pendakwa, Marco Antonio Higuera Gomez, berkata ujian menunjukkan ada kesan belerang pada mayat Maria, membayangkan dia turut terbabit menembak tentera yang menahan mereka.


"Empat orang terbunuh dalam insiden itu, termasuk dua wanita dan seorang anggota tentera," katanya.


Tujuh raifal AK-47, sebuah pelancar grenad, dua grenad, raifal 40mm kaliber, sepucuk pistol dan kira-kira 1,000 kelopak peluru turut dirampas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Rakaman video aksi seks pegawai kerajaan tersebar

Posted: 27 Nov 2012 07:28 AM PST

BEIJING: Skandal membabitkan seorang remaja perempuan yang diupah pemaju melayan nafsu kakitangan kerajaan dan aksi itu dirakam sebagai bahan ugutan sekali lagi menggegarkan bandar Chongqing yang pernah ditadbir ahli politik popular, Bo Xilai.

Lima pegawai kerajaan tempatan dipecat setakat ini selepas rakaman berkenaan bocor dan tersebar.


Seorang bekas wartawan yang mendedahkan skandal itu berkata, ada beberapa rakaman lain yang dimilikinya.

Berita mengenai video dirakam pada 2007 itu hanya tersebar kepada umum bulan ini.


Pendedahan itu dibuat ketika kerajaan Pusat menggembeling usaha mereka membanteras amalan rasuah bagi meningkatkan kewibawaan bakal pemimpin baru China. Kepemimpinan komunis China memang menyedari amalan rasuah dan salah guna kuasa banyak menjejaskan imej parti berkenaan.


Ia juga menyebabkan pentadbiran mereka di China menjadi kurang berkesan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


146 lukisan Marcos lesap

Posted: 27 Nov 2012 07:27 AM PST

MANILA: Lebih 140 lukisan karya Picasso, Van Gogh dan pelukis tersohor lain yang dibeli dengan dana digelapkan bekas diktator Filipina, Ferdinand Marcos hilang, lapor kerajaan semalam.

Marcos mengagihkan koleksi tidak ternilai yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 300 karya seni itu kepada kroninya ketika rejim beliau jatuh pada 1986. Hanya separuh daripadanya ditemui oleh Manila, kata Ketua Suruhanjaya Presiden untuk Kerajaan Telus, Andres Bautista. "Keluarga Marcos adalah penggemar seni dan mereka menghabiskan jutaan dolar membeli lukisan berkenaan," kata Bautista kepada media.


Sebanyak 146 lukisan oleh Picasso, Van Gogh dan pelukis ternama lain seperti Renoir, Rembrandt dan Cezzane 'boleh berada di mana saja'," katanya.

Suruhanjaya kerajaan yang dibentuk pada 1986 itu berfungsi untuk mendapatkan semula harta digelapkan Marcos dipercayai bernilai hingga 10 bilion dolar selepas revolusi popular tanpa pertumpahan darah menamatkan pemerintahan 20 tahun dan memaksanya melarikan diri ke Amerika Syarikat. Bekas presiden itu mati di Hawaii pada 1989.


Kerajaan Filipina menyenaraikan lukisan yang hilang daripada resit galeri seni dan rekod penghantaran yang ditinggalkan keluarga Marcos.


Vilma Bautista, bekas setiausaha peribadi kepada janda Marcos, Imelda dan dua anak saudara lelaki Vilma didakwa di New York minggu lalu atas tuduhan berkonspirasi untuk menjual lukisan karya Monet yang dimiliki bekas wanita pertama itu. - MT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


3 polis maut diserang kumpulan pemisah

Posted: 27 Nov 2012 07:27 AM PST

TIMIKA (Indonesia): Kumpulan pemisah bersenjata menyerang balai polis semalam di wilayah bergolak Papua, membunuh tiga pegawai polis sebelum membakar premis itu.

Kira-kira 50 lelaki bersenjata yang dikatakan sebagai anggota pemisah Pergerakan Pembebasan Papua menyerang balai polis Pirime di bandar Wamena, kata jurucakap polis wilayah itu, Gde Sumarta kepada media.


"Ada serangan berlaku semalam di balai polis Pirime yang mengakibatkan kematian tiga pegawai polis," katanya menerusi mesej pesanan ringkas sambil menambah siasatan masih dijalankan.

"Insiden tembakan tercetus antara polis dan kumpulan lelaki bersenjata yang kemudian melarikan diri ke kawasan pergunungan," katanya.


Jurucakap polis nasional, Boy Rafli Amar memberitahu wartawan di Jakarta, kumpulan lelaki bersenjata itu merampas senjata dari balai polis. "Mereka merampas tiga senjata - dua raifal dan sepucuk pistol milik ketua balai polis.


"Kami tahu kumpulan itu memerlukan senjata untuk melakukan serangan," katanya.

Ketua Polis Pirime dan seorang lagi pegawai ditemui mati di berek mereka, manakala pegawai polis ketiga dibunuh ketika dia bersedia untuk menaikkan bendera Indonesia. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Rakan mati ditembak tanpa sengaja ketika perbetul pistol

Posted: 27 Nov 2012 07:27 AM PST

BANGKOK: Seorang anggota polis yang baru dinaikkan pangkat dilaporkan secara tidak sengaja menembak mati rakannya di dalam balai polis pagi semalam.

Menurut kenyataan ketua balai polis daerah Bang Khen, Kolonel Chayut Maryath, insiden itu berlaku kira-kira jam 6.30 pagi. Dia berkata, ketika itu tiga anggota polis sedang bertugas di balai itu.


Anggota polis terbabit, Leftenan Muda Napas Suthnathitikul berkata, dia sedang memperbetulkan pistol di dalam sarungnya apabila tanpa sengaja terpetik picu dan melepaskan satu das tembakan. Peluru itu mengenai dada rakannya, Leftenan Muda Ratchapol Yangyuenskulwong. Mangsa dikejarkan ke hospital di mana diumumkan telah meninggal dunia. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


No comments:

Post a Comment