Harian Metro: Setempat


Harian Metro: Setempat


Posted: 14 Nov 2012 02:40 PM PST
KUALA LUMPUR: 'Abang, belilah (sambil menunjukkan iPhone 4s). Saya bagi abang harga RM800, siap kotak dan pengecas telefon sekali.'
Demikian tawaran seorang lelaki tempatan kepada wartawan Harian Metro ketika membuat tinjauan penjualan gajet secara haram di Taman KLCC, di sini, semalam.

Hasil perbualan bersama lelaki terbabit, gajet yang dijualnya tulen, tetapi tiada jaminan ganti rugi atau pertukaran sekiranya rosak seperti dijual di kedai telefon bimbit.
"Biasanya saya jual kepada pelancong asing sehingga RM1,800 sebuah telefon bimbit jenis ini dan mereka membelinya disebabkan harga murah.

"Kalau orang kita (tempatan) saya jual RM800. Tetapi, hari ini, saya boleh kurangkan harga, jika abang mahu," katanya.

Tinjauan di sini, semalam, mendapati lelaki terbabit bergerak secara berkumpulan dan berlagak seperti pengunjung di taman berkenaan.
Mereka akan mengenal pasti pengunjung sebelum menghampiri dan menawarkan gajet berkenaan yang disimpan dalam sebuah beg kecil.

Pelancong dari Iran yang mahu dikenali sebagai Ahmed, 39, mengakui didatangi dua lelaki tempatan dan menawarkan iPhone 4s dengan harga RM1,500.
"Ketika itu, saya duduk berehat di kawasan taman ini. Tiba-tiba dua lelaki menghampiri saya sebelum seorang daripadanya mengeluarkan telefon terbabit dan mahu menjualnya.

"Malah, mereka juga meyakinkan saya telefon itu tulen dengan menunjukkan perisian didalamnya. Bagaimanapun, saya menolak untuk membelinya kerana saya sudah memiliki telefon itu," katanya.

Selain Ahmed, warga tempatan Liza Osman, 35, turut mengakui didatangi kumpulan lelaki terbabit sebelum menawarkan telefon bimbit yang murah.

"Ketika itu, saya membawa rakan dari Indonesia untuk datang bersiar-siar di sini. Kemudian beberapa lelaki menghampiri kami dan menawarkan iPhone 4s dengan harga RM500.

"Harganya terlalu murah menyebabkan kami bimbang sekiranya ia tiruan ataupun dicuri," katanya.

Menurut Liza, kehadiran kumpulan lelaki terbabit yang menjual gajet secara haram di situ boleh mencemarkan Taman KLCC sebagai antara pusat pelancongan utama Malaysia.

Pendapat itu dipersetujui Zuraidi Razak, 28. Beliau yang berasal dari Marang, Terengganu dan bercuti di sini menyifatkan orang ramai boleh ditipu memandangkan urusan dilakukan tanpa resit dan jaminan kerosakan barang.

"Jika ia terus berleluasa dan ramai pelancong yang tertipu, sudah tentu ia menyebabkan tempat ini tercemar. Sudah tentu mereka berasa tidak selamat untuk berkunjung ke sini kerana bimbang dikenakan dengan sindiket penjualan gajet seperti ini.

"Saya berharap pihak berkuasa memantau kawasan ini bagi memastikan kegiatan ini tidak berleluasa kerana sedikit sebanyak ia boleh menjejaskan imej KLCC," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 14 Nov 2012 12:38 PM PST
SHAH ALAM: Dua lelaki Algeria yang menyamar pengunjung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, bagi melarikan bagasi milik penumpang ditahan, Sabtu lalu.
Suspek berusia 36 dan 48 tahun itu ditahan polis yang curiga dengan kehadiran mereka berlegar di sebuah restoran di KLIA. Polis curiga apabila seorang daripada suspek keluar dari restoran dengan membawa sebuah bagasi jam 11.20 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, sebaik keluar dari restoran, suspek bertemu seorang rakan sebelum kedua-duanya berjalan keluar dari terminal.
Mohd Adnan berkata, tindakan pantas anggota polis berjaya menahan kedua-dua suspek dan siasatan mendapati bagasi yang berada bersama suspek milik seorang ahli perniagaan berusia 50-an yang menunggu penerbangan pulang ke Sabah.

"Tiada kerugian dilaporkan kerana suspek tidak sempat mengambil barangan dalam bagasi berkenaan.

"Siasatan awal mendapati suspek masuk ke Malaysia sebagai pelancong dan polis akan menyiasat ketulenan pasport mereka kerana ramai penjenayah dari luar negara menggunakan pasport palsu untuk masuk ke negara ini," katanya di sini, semalam. Dua lelaki itu direman sehingga 24 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana curi dalam bangunan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum 10 tahun penjara serta denda.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 14 Nov 2012 12:36 PM PST
BENTONG: Seorang lelaki dipercayai suspek kes bunuh petugas Pejabat Hutan Daerah Bentong, Khairul Hazri Jamaludin, 31, pada 4 November lalu, diberkas selepas bergelut dan mencederakan seorang anggota polis di Taman Hussein Bentong, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, terserempak lelaki terbabit yang mencurigakan di atas sebuah bukit berhampiran kawasan taman berkenaan.

Menurut sumber, ketika ingin ditahan dan diperiksa, lelaki warga tempatan berusia 40-an itu mengacukan pisau hingga mencederakan leher seorang daripada anggota polis berkenaan.
"Pada jam 6 petang, tiga anggota polis IPD Bentong yang baru habis bertugas dan menziarahi rakan mereka ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan memegang sepucuk pistol dipercayai buatan sendiri.

"Anggota polis berkenaan cuba menahan suspek, namun suspek bertindak ganas dan melawan mengakibatkan seorang anggota parah akibat dikelar di leher," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Katanya, pada masa sama dua lagi anggota bergelut dengan suspek dan hasil pemeriksaan lanjut polis menemui telefon bimbit dan beberapa barang berharga milik mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 14 Nov 2012 12:35 PM PST
GEORGETOWN: Seorang penunggang motosikal mendakwa matanya masuk habuk menyebabkannya gagal mengawal motosikal sebelum merempuh anggota anggota polis trafik dalam kejadian di Kilometer (KM) 127.6, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), arah utara, di sini, dalam kejadian Isnin lalu.
Akibat rempuhan itu, anggota polis terbabit parah selepas melambung 30 meter dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Sungai Dua, Butterworth itu.

Kejadian berlaku jam 2.50 petang apabila mangsa, Lans Koperal Abu Talib Shariff, 23, dari Ibu Pejabat Trafik Bukit Aman, Kuala Lumpur, bersama dua lagi rakan setugas melakukan rondaan bermotosikal di kawasan berkenaan sebelum terserempak sebuah Toyota Avanza yang dipandu seorang lelaki.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, berdasarkan siasatan, kereta terbabit disyaki melakukan kesalahan lalu lintas apabila pemandunya tidak memakai tali pinggang keledar dan mangsa menahan kereta itu untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, ketika mangsa melakukan tindakan saman terhadap pemandu terbabit, secara tiba-tiba datang sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 23 tahun lalu melanggar mangsa hingga terjatuh di lorong kecemasan.

Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa cedera teruk di kepala dan patah bahu kiri manakala penunggang motosikal terbabit patah bahu kanan.
"Mangsa dibawa dan dirawat di Hospital Adventis manakala penunggang motosikal dirawat di Hospital Kepala Batas (HKB) dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 14 Nov 2012 12:35 PM PST
SANDAKAN: "Saya merayu anak saya dikembalikan ke pangkuan kami jika benar dia dilarikan seseorang," kata Samsimar Kabardu, 45, ibu Hadziq Hassan, kanak-kanak dua tahun yang hilang ketika majlis perkahwinan ibu saudaranya, sejak lima hari lalu.
Samsimar berkata, walaupun pelbagai usaha dijalankan bagi mencari anak bongsu daripada enam beradik itu termasuk meninjau sekitar ladang sawit, namun sehingga kini gagal menemui petunjuk.

"Majlis perkahwinan adik ipar yang sepatutnya meriah bertukar hambar apabila semua tetamu bersama penduduk kampung meredah ladang sawit berhampiran mencari anak saya," katanya ditemui di sini, semalam.
Terdahulu, Harian Metro, semalam melaporkan, kanak-kanak berkenaan hilang Sabtu lalu antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari ketika bermain bersama beberapa kanak-kanak lain di halaman rumah ketika majlis kenduri di Kampung Garinono, Batu 25, di sini.

Menceritakan detik kehilangan Hadziq, Samsimar dari Kampung Kenangan Manis, Batu 12, di sini, berkata, ketika itu dia berada di dapur menyediakan hidangan untuk tetamu manakala mangsa bermain bersama kanak-kanak lain di luar rumah.

"Selesai memasak, saya mencari Hadziq kerana mahu menyusukannya, tetapi ahli keluarga lain memberitahu dia mengikut suami saya ke pekan untuk membeli air menyebabkan saya meneruskan kerja di dapur.
"Sekembalinya suami ke rumah, dia memberitahu tidak membawa Hadziq ke pekan menyebabkan kami sekeluarga panik lalu mencarinya di segenap sudut rumah termasuk di ladang sawit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, gerakan mencari kanak-kanak itu masih dijalankan dengan bantuan penduduk kampung.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 14 Nov 2012 12:34 PM PST
JEMPOL: Abang dan kakak ipar Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin yang dalam perjalanan membeli barang keperluan di pekan Bahau, dekat sini, maut apabila kereta dinaiki mereka merempuh lori tangki simen yang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 2, Jalan Bahau-Kemayan, di sini, semalam.
Laluan berkenaan terkenal dengan jolokan 'jalan maut' di kalangan orang awam kerana kerap berlaku kemalangan di situ.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, kejadian kira-kira jam 8 pagi itu menyebabkan Udin, 74, terbunuh di tempat kejadian manakala isterinya, Sanah Ismail, 72, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Jempol (HJ), akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
Katanya, berdasarkan siasatan polis, ketika kejadian, pasangan terbabit yang menaiki Proton Waja menghala ke pekan Bahau.

"Tiba di tempat kejadian, Udin yang memandu kereta dipercayai gagal memperlahankan kenderaan dan berhenti di laluan menuruni bukit itu lalu merempuh belakang lori berkenaan yang dipandu lelaki berusia 30-an.

"Akibat pelanggaran itu, bahagian depan kereta remuk apabila terperosok ke bawah lori menyebabkan pemandu dan penumpang tersepit.
"Bahagian belakang kereta itu yang terjongket menghempap bahagian depan sebuah Perodua Kancil di sebelahnya yang turut berhenti di persimpangan lampu isyarat itu," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang menetap di Kampung Felcra Ayer Hitam, di sini, dikeluarkan anggota bomba dengan seorang daripada mereka sudah meninggal dunia manakala seorang lagi mati di HJ.
"Pemandu dan penumpang Perodua Kancil berusia 20-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Lilah ketika ditemui di Rumah Mayat HJ berkata, Udin yang juga anak kedua daripada 12 beradik, seorang yang disenangi ahli keluarga dan rapat dengan semua anak saudaranya.

"Kali terakhir kami berjumpa ketika Aidiladha baru-baru ini di rumah mereka.

"Arwah abang sering menasihati kami adik-beradik supaya menjadi orang berguna kepada agama, bangsa dan negara," katanya yang menjelaskan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Air Hitam, dekat sini.

Semua ahli keluarga mangsa yang lain enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dengan pemergian pasangan itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 14 Nov 2012 12:33 PM PST
KLANG: Seramai 18,064 orang sudah mendapat manfaat rawatan dan pemeriksaan kesihatan tahun ini yang disediakan perkhidmatan klinik bergerak yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Unit Bergerak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Timbalan Menteri kementerian itu, Senator Datuk Heng Seai Kie berkata, klinik bergerak itu diwujudkan antara lain bagi memberi rawatan serta pemeriksaan kesihatan percuma terutama kepada golongan memerlukan.

"Kementerian menyediakan enam bas sebagai klinik bergerak dengan dua daripadanya di Sabah dan Sarawak," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 14 Nov 2012 12:33 PM PST
JOHOR BAHRU: "Cuti sekolah sudah bermula, tetapi kami bertiga tidak gembira seperti rakan lain kerana tiada apa yang boleh dilakukan selain menanti kepulangan kak Zana.
"Adik-adik beberapa kali memberontak dengan melarikan diri dari rumah kerana terlalu rindukan kak Zana," kata anak kedua daripada empat beradik, Nurul Safiza Futri Nordi, 11.

Menurutnya, dia kini hanya duduk di rumah menjaga dua adiknya, Nurmasyita Amiera, 8, dan Muhammad Nurhan, 9, ketika bapa mereka bekerja.
"Dalam bulan ini saja, sudah dua kali adik lari dari rumah, mujur ada jiran dan ustaz di masjid membantu ayah mencari mereka berdua.

"Adik-adik terlalu merindui kak Zana. Walaupun tahu kakak akan pulang ke Malaysia tidak lama lagi, namun mereka seolah-olah tidak tahan kerana sudah terlalu lama menunggu," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Nurul Safiza berkata, rutin hariannya kini lebih tertumpu kepada urusan menjaga adik-adik selain menjalankan tugasan harian di rumah.
"Seperti biasa, aku akan masak di rumah untuk adik-adik, sedih memikirkan kak Zana kerana jika dia ada bersama, pasti dia akan membantu," katanya.

Sementara itu, bapa mereka, Nordi Adi, 57, berkata, ketiga-tiga anaknya tertekan kerana terpaksa menunggu anak sulungnya, Siti Norzana, 12, yang masih terkandas di Indonesia.
"Saya sering berikan mereka nasihat supaya bersabar sementara menunggu kepulangan kak Zana, tetapi mungkin disebabkan masih kanak-kanak, mereka sering memberontak.

"Kini setiap petang, mereka akan ke masjid berhampiran rumah belajar ilmu agama bagi mengisi masa terluang," katanya.

Menurutnya, sebelum ini, anak-anaknya beberapa kali melarikan diri dari rumah menyebabkannya tertekan tetapi tetap berusaha memberi nasihat kepada mereka supaya tidak melakukan perkara membahayakan diri sendiri. Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, keempat-empat anak Nordi dijadikan tebusan oleh ibu tiri mereka, Karsini bagi memeras ugut lelaki berkenaan.

Namun, hasil bantuan Biro Aduan Komuniti Umno, tiga daripada mereka dapat diselamatkan dan tiba di tanah air pada 30 Jun lalu.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 14 Nov 2012 12:32 PM PST
PUCHONG: Seorang budak perempuan berusia 12 tahun mendakwa diperkosa lelaki dikenalinya serta beberapa lagi lelaki selepas dia dibawa bersiar-siar di sekitar ibu kota, Ahad lalu.
Difahamkan, budak perempuan itu ke rumah rakan perempuannya di Puchong Perdana, tetapi berlaku perselisihan faham menyebabkan dia keluar dan menghubungi seorang rakan lelakinya berusia 20-an yang tinggal berhampiran.

Malangnya, tindakannya itu membawa padah apabila dia bukan saja diperkosa lelaki itu, malah beberapa lagi rakan lelaki berkenaan.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dibawa ke rumah lelaki berkenaan terlebih dulu, sebelum dibawa berjumpa beberapa lagi lelaki, juga berusia awal 20-an.

"Dia dibawa menunggang motosikal ke ibu kota dan beberapa jam kemudian, mereka pulang ke rumah lelaki terbabit kerana kepenatan. "Lelaki itu menyuruh mangsa tidur di rumah berkenaan dan berjanji menghantarnya pulang esok dan budak perempuan itu tidur dalam sebuah bilik berasingan," katanya.

Menurut sumber, seorang lelaki menyuruhnya membuka pintu bilik dengan alasan mahu mengambil bantal.
"Sebaik membuka pintu, mereka masuk ke dalam bilik lalu memegang mangsa, meraba tubuhnya sebelum memperkosanya bergilir-gilir," katanya.

Katanya, mangsa berjaya menyusup keluar selepas suspek kepenatan sebelum meminta bantuan seorang rakan dan membuat laporan polis, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei mengesahkan menerima laporan kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 14 Nov 2012 12:30 PM PST
GEORGETOWN: Akibat sindir-menyindir, seorang penjual muruku nyaris maut apabila ditikam di perut selepas diserang dua lelaki ketika berniaga di persimpangan Lebuh Pasar, di sini, malam kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam apabila mangsa dikenali sebagai M Vickram, 22, sedang berniaga sebelum berlaku perselisihan faham dengan kedua-dua suspek yang juga penjual muruku di sebelah kedainya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata mangsa dipercayai dipukul dan salah seorang suspek dipercayai bertindak menikam mangsa menggunakan sebilah pisau.
Menurutnya, mangsa sempat menghubungi adiknya bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, adik mangsa terus membuat laporan polis untuk meminta bantuan dan sepasukan anggota polis kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian sebelum mengejarkan mangsa ke Hospital Gleneagles untuk rawatan lanjut.

Gan berkata, mangsa yang cedera dimasukkan ke wad pembedahan untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.
"Berikutan kejadian itu, seorang remaja berusia 17 tahun ditahan bagi membantu siasatan kejadian terbabit," katanya.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan," katanya.
Gan berkata, berdasarkan ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dan dia juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

Menurutnya, pihaknya masih memburu seorang lagi lelaki iaitu abang kepada suspek yang ditahan kerana menggunakan pisau sebagai senjata untuk menikam mangsa.

"Orang ramai memiliki sebarang maklumat kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

No comments:

Post a Comment