Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Kami nak 7 hari’

Posted: 20 Nov 2012 11:52 AM PST

KUALA LUMPUR: "Sudah setahun kami bersabar dan akur arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak berniaga pada setiap Isnin dan Selasa walaupun ramai peniaga di sini menanggung kerugian ribuan ringgit.

"Apa salahnya, benarkan kami berniaga tujuh hari seminggu sempena musim cuti sekolah pada November dan Disember ini saja, itu pun DBKL tolak," kata Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Uptown Danau Kota, Taman Setapak Indah, Ahmad Fauzi Abdul Karim, di sini, malam kelmarin.


Menurut beliau, tindakan DBKL menolak permohonan persatuan itu dalam surat rasmi bertarikh 9 Oktober lalu yang dihantar kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menimbulkan rasa tidak puas hati 333 peniaga berlesen di tapak Uptown berkenaan.

Katanya, melalui surat rasmi DBKL yang diterimanya tiga hari lalu bertarikh 18 Oktober, DBKL menolak rayuan peniaga untuk berniaga pada Isnin dan Selasa sempena cuti sekolah dengan alasan kewujudan bazar malam itu tidak disenangi penduduk sekitar. "Malah, DBKL juga menyebut terdapat cadangan supaya uptown yang cukup dikenali hampir tujuh tahun ini yang beroperasi dari Rabu hingga Ahad bermula dari jam 9 malam hingga 4 pagi ditutup dan dipindahkan ke tempat lain.


"Kami ada isteri, anak dan hutang yang perlu ditanggung dan peluang cuti sekolah ini masa untuk kami memperoleh pendapatan lebih," katanya.


Katanya, sebelum ini, semua 333 peniaga Melayu di situ akur dengan arahan DBKL untuk menutup perniagaan pada setiap Isnin dan Selasa sejak setahun lalu.

Jika dicampur bilangan hari tidak berniaga, katanya, mereka sudah menutup perniagaan selama 96 hari yang bersamaan tiga bulan sepanjang tahun lalu.


"Kalau DBKL tidak dapat beri dua hari pun, sekurang-kurangnya beri kami berniaga satu hari.

"Malam ini (kelmarin) DBKL sengaja menutup lampu jalan supaya kami tidak boleh berniaga, seolah-olah kami ini peniaga haram," katanya.


Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah simpati dengan nasib peniaga terbabit dan berusaha membantu mereka.


"Kami beri tempoh selama seminggu kepada DBKL untuk mengatasi masalah ini dan membenarkan peniaga berniaga pada Isnin dan Selasa pada cuti sekolah ini.


"Jika tidak, kami akan berkumpul di pintu masuk bangunan Parlimen bagi mendesak isu ini segera diselesaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


30 hilang tempat tinggal

Posted: 20 Nov 2012 11:49 AM PST

SENTUL: Kira-kira 30 orang hilang tempat tinggal selepas tujuh rumah di Kampung Batu Muda, di sini, musnah dalam kebakaran, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, tujuh rumah setinggan berkenaan musnah berikutan kesukaran anggota bomba mendapatkan sumber air bagi memadam kebakaran.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 11.07 malam dan jentera pertama tiba tujuh minit kemudian.

"Empat jentera bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Gombak Selatan, Titiwangsa dan Hang Tuah dengan kekuatan 32 anggota dikejarkan ke tempat kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Gempur pusat judi habis-habisan

Posted: 20 Nov 2012 11:49 AM PST

SHAH ALAM: Polis Selangor akan terus menggempur pusat perjudian haram di seluruh negeri dalam usaha membanteras kegiatan itu yang disifatkan sebagai penyakit yang semakin kronik di kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah meminta semua pihak termasuk orang ramai menyalurkan maklumat.


Beliau berkata, pihaknya sudah meningkatkan tindakan melalui Ops Dadu sepanjang tahun lalu dengan 4,778 serbuan membabitkan 1,847 tangkapan.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu, Ops Dadu ditingkatkan dengan 6,927 serbuan membabitkan 1,748 tangkapan.


"Hampir setiap hari kami melakukan serbuan dan kami menyasarkan tangkapan dalam kalangan dalang dan pengusaha pusat judi haram," katanya di sini, semalam.


Polis merampas 15, 074 mesin slot sepanjang tahun lalu manakala bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu, jumlah rampasan mesin slot meningkat kepada 23,114 buah.

"Hasil pemeriksaan kami dapati sebahagian besar mesin slot dibawa dari negara jiran selain ada yang dibuat sendiri di sini," katanya.


Menurutnya, daerah Klang Selatan serta Petaling Jaya dikenal pasti sebagai kawasan paling banyak memiliki pusat perjudian haram di Selangor dan bagi mengekang judi haram, semua pihak perlu memberi kerjasama kepada polis termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"PBT perlu mengambil tindakan menyita pusat perjudian terbabit manakala TNB memotong bekalan elektrik bagi memastikan pengusaha pusat berkenaan tidak membuka semula operasi mereka selepas diserbu pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


4 bertopeng acu parang

Posted: 20 Nov 2012 11:48 AM PST

BATU PAHAT: Diacukan parang, tangan diikat dan dikurung dalam sebuah bilik antara 'hadiah' dibawa empat penjenayah dalam kejadian samun di Kampung Mampan di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, mangsa kerugian lebih RM15,000 selepas wang tunai dan barangan kemas dilarikan penjenayah bertopeng itu. Menceritakan detik cemas didatangi empat penjenayah bertopeng itu, pemilik rumah, Halil Buang, 51, berkata, ketika kejadian dia berada di luar kawasan dan hanya tinggal isteri, ibu mentua, dua anak dan seorang anak saudaranya di rumah.


"Sebelum itu, penjenayah memotong jeriji besi pada pintu belakang sebelum mengumpil pintu kedua.

"Selepas membolosi pintu itu, suspek mengikat anak perempuan berusia 14 tahun bersama ibu mentua berusia 61 tahun sebelum meminta anak gadis saya menunjukkan bilik utama menempatkan isteri," katanya.


Halil berkata, semua empat suspek dipercayai warga asing berdasarkan loghat percakapan mereka meminta anaknya mengetuk pintu dan mengejutkan isteri yang tidur sambil bersembunyi.


Menurutnya, sebaik pintu dibuka, seorang daripada suspek mengacukan parang ke leher isteri sebelum mengarah menyerahkan wang tunai dan barangan berharga.

"Semua yang berada dalam rumah dikurung dan diberi amaran supaya tidak keluar dari bilik atau dicederakan," katanya.


Katanya, bimbangkan keselamatan masing-masing, semua ahli keluarganya hanya menurut arahan itu sebelum isteri menghubungi menerusi telefon bimbit milik anak perempuan yang tidak dilarikan.

"Saya menghubungi polis sebelum satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat berhubung kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Isteri mabuk jatuh tingkat 3

Posted: 20 Nov 2012 11:47 AM PST

KUCHING: Seorang wanita yang mabuk nyaris maut apabila terjatuh dari tingkat tiga kediamannya di Pusat Perniagaan Chong Lin Park di sini, semalam, ketika bertengkar dengan suaminya yang menghalangnya keluar rumah untuk minum sekali lagi bersama beberapa rakannya yang sedang menunggu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa berusia 48 tahun baru pulang dari minum arak di kedai makan berhampiran rumahnya, namun dia meminta izin suaminya untuk keluar semula, tetapi tidak dibenarkan lelaki itu.


Menurut sumber, mangsa dikatakan naik berang selepas permintaannya tidak dipenuhi sehingga mencetuskan pertengkaran.

Katanya, mangsa dikatakan berdiri terlalu dekat dengan tingkap sambil mengamuk menyebabkannya gagal mengimbangi badan lalu terjatuh.


"Akibat kejadian itu, mangsa patah kaki kanan, selain mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut," katanya.


Menurutnya, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil dan dipindahkan ke wad biasa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Diari berdarah

Posted: 20 Nov 2012 11:46 AM PST

JOHOR BAHRU: "Sejurus saya dan suami membuka bungkusan yang hanya mengandungi diari baru, tiba-tiba seorang lelaki berjaket dan bertopi keledar mengacukan pistol pada cermin di bahagian pemandu lalu terus menembak ke arah kami.

"Lelaki itu melepaskan dua das tembakan menembusi cermin kereta sebelum terkena pada kaki kanan suami," kata seorang wanita pengusaha tadika dikenali sebagai Pathma, 52, semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 12.30 tengah hari ketika dia dan suami, O Raman, 56, berada dalam kereta jenis BMW di depan pejabat perkhidmatan kiriman cepat, Skynet Worldwide (JB) Sdn Bhd di Jalan Molek 2/2, Taman Molek di sini.

Katanya, mereka yang pelik apabila hanya menerima bungkusan mengandungi diari terkejut melihat seorang lelaki berusia 30-an menghampiri kereta dinaiki dengan menunggang motosikal.


"Saya dan suami tidak mengenali lelaki itu dan curiga apabila dia menghampiri kereta dan dalam sekelip mata, tiba-tiba terus mengacukan pistol lalu melepaskan tembakan ke arah kami mengakibatkan kami tidak mampu berbuat apa-apa.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


M-16 tawan ikan bilis

Posted: 20 Nov 2012 11:46 AM PST

TAWAU: Seorang lelaki terpaksa berendam dalam laut hampir sejam apabila pelantar tempat dia bekerja bagi memungut hasil tangkapan ikan bilis, didatangi sekumpulan lelaki bersenjata api dipercayai jenis M-16 sebelum melarikan satu karung beg mengandungi ikan bilis.

Kejadian berhampiran Kampung Inderasabah, di sini, jam 8.30 malam Sabtu lalu ketika mangsa, Saha Ambok, 20, sedang memungut ikan bilis di atas pelantar berkenaan.


Menurut sumber, mangsa kemudian ternampak sekumpulan lelaki bersenjata api memakai bertopeng menaiki sebuah bot menuju ke pelantarnya.

"Mangsa terpaksa terjun ke laut dan bersembunyi di celah-celah tiang di pelantar bagi mengelak dikesan kumpulan penjenayah terbabit.


"Kumpulan penjenayah seramai tujuh lelaki bersenjata api itu kemudian naik ke pelantar sebelum mengambil sekarung ikan bilis seberat 40 kilogram yang dianggarkan bernilai RM350," katanya.


Menurutnya, dua lagi lelaki berada di bot menunggu rakannya yang lain sebelum mereka melarikan diri ke arah Semporna, namun dipercayai berpatah balik sebelum menuju arah Tawau.

Sumber itu berkata, selepas kumpulan penjenayah itu beredar, mangsa pulang ke rumahnya sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.


Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim M Karunanithi berkata, berdasarkan aduan mangsa suspek dipercayai menggunakan bahasa Suluk (loghat Filipina).

Sehubungan itu, katanya, APMM kini menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Lelaki tak mengaku cederakan isteri

Posted: 20 Nov 2012 11:45 AM PST

NIBONG TEBAL: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, G Kumaresan, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Raja Shahril Raja Buniamin selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.


Pemandu lori itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu, Raja Shahril membebaskan dan melepaskan tertuduh terhadap dakwaan menyebabkan kecederaan untuk mengadakan persetubuhan.


Raja Shahril berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan wujudnya prima facie terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan itu.


"Berdasarkan keterangan daripada lima saksi yang dikemukakan, saya dapati pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap dakwaan itu.

"Bagaimanapun, pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dengan ini saya mengarahkan tertuduh membela diri mengikut pertuduhan baru ini," katanya.


Sebelum ini, Kumaresan dari Jalan Bayan Kecil, di sini, didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Februari lalu, jam 1.30 pagi di sebuah rumah No 18 Jalan Cenderawasih 12, Taman Cenderawasih.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Obama akur gesaan

Posted: 20 Nov 2012 11:44 AM PST

PHNOM PENH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi respons positif kepada gesaan Indonesia dan Malaysia dalam usaha menghentikan keganasan yang berlaku di Gaza sekarang.

Najib berkata, Obama memaklumkan kepada beliau pagi semalam beliau (Obama) membuat beberapa panggilan telefon dalam usaha menghentikan keganasan susulan langkah kedua-dua negara itu membangkitkan isu berkenaan pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Asean-Amerika Syarikat di sini, semalam.


"Dalam pertemuan itu, saya memohon kepada Obama supaya menghentikan keganasan yang berlaku di Gaza dan mencari penyelesaian jangka sederhana dan panjang berdasarkan penyelesaian dua negara (seperti) yang dicadangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)sebagai asas kepada resolusikonflik itu," kata Najib kepada media Malaysia di sini semalam.

Pemimpin berkenaan bertemu sekali lagi pagi semalam ketika Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Perkongsian Rentas Pasifik di sini.


"Obama memaklumkan kepada saya pagi ini beliau sudah membuat beberapa panggilan telefon. Obama berkata, beliau akan cuba. Beliau mahu supaya keganasan yang berlaku sekarang dihentikan dan beliau tahu untuk mencari penyelesaian menyeluruh dan muktamad adalah satu tugas sangat besar. "Kami tahu mengenai cabaran dan betapa rumitnya isu ini. Saya fikir di pihak beliau ada hasrat mencari penyelesaian muktamad kepada perkara ini," katanya.


Israel melancarkan operasi serangan terkini yang dipanggil 'Pillar of Defence' di Gaza sejak 14 November mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 orang terkorban dan lebih 300 lagi cedera.

Malaysia mengutuk serangan itu dan kerajaan Malaysia semalam membentangkan usul tergempar berhubung perkara itu di Parlimen.


Najib berkata, Malaysia menggesa Amerika mencari masa sesuai menghidupkan semula rundingan berdasarkan penyelesaian dua negara itu. Mengenai Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Asean-Amerika, Najib berkata, mesyuarat itu antara lain menyambut baik cadangan Kumpulan Tokoh Terkemuka Asean-Amerika t supaya menginstitusikan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Asean-Amerika Syarikat untuk menjadi Sidang Kemuncak Asean-Amerika. "Mesyuarat itu mengambil maklum hasrat Amerika mempertingkatkan hubungan Amerika-Asean kepada perkongsian strategik," katanya.

Beliau berkata, Obama mahu hubungan ekonomi antara Asean dan Amerika Syarikat terus dipertingkatkan.


Najib berkata, beliau turut mengetengahkan konsep Pergerakan Kesederhanaan Global yang disebarluaskan Malaysia dalam mesyuarat berkenaan dan Obama memberi respons beliau berminat dengan konsep itu.


"Obama berkeyakinan konsep itu membolehkan setiap individu memperoleh peluang menyelesaikan konflik dan dapat membantu dalam menggalakkan keamanan serta menyelesaikan konflik," kata Najib.


Najib berkata, Malaysia menyokong cadangan meningkatkan hubungan Asean-Amerika Syarikat kepada perkongsian strategik. "Berikutan kepentingan wilayah ini sebagai kuasa ekonomi global, peningkatan hubungan Asean-Amerika Syarikat ke tahap perkongsian strategik akan meningkatkan lagi keyakinan antarabangsa terhadap wilayah kita," katanya.


Mesyuarat itu turut menyaksikan komitmen Amerika Syarikat bekerjasama dengan Asean dalam menguruskan dan menangani cabaran bersama seperti pemerdagangan manusia, pelanunan dan bantuan bencana di peringkat kerjasama pelbagai hala serta dua hala. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Muktamad rundingan TPP akhir tahun depan

Posted: 20 Nov 2012 11:44 AM PST

PHNOM PENH: Malaysia bersetuju rundingan bagi penubuhan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), satu skim perdagangan bebas rantau Asia-Pasifik hasil inisiatif Amerika, dimuktamadkan menjelang akhir tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Beliau berkata, sehingga kini, 14 pusingan rundingan diadakan dan perbincangan mengenai teks berkenaan kini bertumpu pada peruntukan yang menimbulkan kerumitan dan pertikaian.


"Saya menegaskan semua peserta perlu mempamerkan sikap fleksibel untuk mencapai pakej yang boleh diterima, iaitu sesuatu yang seimbang dan dapat dilaksanakan. Singapura, Vietnam dan Brunei juga menyuarakan pandangan serupa," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri mesyuarat TPP, di sini.

TPP mengandungi 11 anggota ketika ini dan tujuh daripadanya, Australia, Brunei, Malaysia, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Amerika menghadiri mesyuarat semalam. Empat lagi anggotanya ialah Chile, Peru, Mexico dan Kanada.


Pemimpin tujuh negara berkenaan berada di sini kerana menghadiri Sidang Kemuncak Berkaitan, yang diadakan selepas Sidang Kemuncak Asean Ke-21.


Presiden Amerika Barack Obama turut menghadiri mesyuarat semalam.

"Semua pemimpin bersetuju TPP menjadi satu perjanjian berkualiti tinggi yang mampu menarik lebih banyak anggota serta menyumbang kepada penyepaduan rantau Asia-Pasifik," kata Najib.


Beliau mencadangkan pertimbangan diberi untuk menetapkan tempoh peralihan bagi membincangkan isu rumit seperti cara pragmatik untuk memuktamadkan rundingan berkenaan. Rundingan membabitkan dua aspek, dengan teks undang-undang setiap bab menggariskan hak dan tanggungjawab anggota serta jadual akses kepada pasaran bagi barangan, perkhidmatan dan pemerolehan kerajaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


No comments:

Post a Comment