Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


400 pokok ganja ditanam dalam 7 bilik tidur rumah mewah

Posted: 22 Nov 2012 07:43 AM PST

LONDON: Sebuah ladang ganja yang "canggih dan mewah" ditemui polis di bangunan tidak dijangka sebuah kediaman mewah berciri zaman silam bernilai �750,000 (RM3.7 juta), semalam.

Di rumah mewah itu, polis Britain menemui pokok ganja bernilai �160,000 (RM781,500) yang ditanam di semua tujuh bilik tidur yang ada.


Rumah itu terletak di Whitworth, berhampiran Rochdale.

Bangunan berkenaan yang dikelilingi taman dan tiga ruang tamu, kini ditawarkan untuk dijual pada harga RM3.7 juta.


Ejen hartanah menganggap bangunan itu sebagai unik kerana dibina dengan ciri era zaman Victoria. Jurucakap polis berkata, kira-kira 400 pokok ganja ditemui ditanam dalam rumah itu dan membesar dengan bantuan haba dari lampu dan kipas. Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan kerana disyaki membekalkan pokok ganja itu. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Berhati-hati! Ada rumah di tengah jalan

Posted: 22 Nov 2012 07:39 AM PST

HANGZHOU: Sebuah bangunan apartmen berada di tengah-tengah sebatang jalan baru dibina apabila sepasang suami isteri warga emas enggan berpindah, lapor media semalam.

Luo Baogen dan isterinya enggan meninggalkan kediaman mereka di bandar Wenling di wilayah Zhejiang, China, walaupun separuh daripada bangunan itu dirobohkan.


Menurut media, pasangan terbabit enggan berganjak daripada keputusan mereka kerana mendapati pampasan disediakan kerajaan tidak mencukupi.

Akibatnya, laluan berkenaan terpaksa dibina mengelilingi apartmen itu dan mewujudkan landskap aneh di bandar berkenaan. Untuk memastikan keselamatan pasangan terbabit, kerajaan memutuskan tidak merobohkan unit bersebelahan kediaman mereka.


Semua penghuni apartmen berkenaan berpindah ke tempat lain sebelum ini. Kerajaan membina laluan berkenaan untuk menghubungkan perkampungan Xia Zhangyang dengan stesen kereta api Wenling yang belum dibuka secara rasmi. Menurut Luo, pampasan ditawarkan kerajaan tidak mencukupi untuk menampung kos pembinaan semula rumahnya. Sebelum ini, bangunan persendirian di China dirobohkan dengan mudah bagi memaksa orang awam berpindah.


Namun, undang-undang kini diperketatkan dan mana-mana pihak dilarang merobohkan bangunan persendirian secara paksa atau tanpa persetujuan dengan penghuninya. Golongan pemilik bangunan yang berdegil itu dikenali sebagai "Pemilik Paku" - merujuk kepada paku yang sukar dicabut dari kayu lama tanpa menggunakan tukul besi. Awal tahun ini, sepasang suami isteri warga emas yang menetap di dua bangunan usang bersama anak lelaki mereka di Taizhou, Zhejiang, bersetuju pada peringkat awal menjual kediaman mereka selepas menerima pampasan bernilai RM39,000.

Namun, mereka menukar fikiran dan memulangkan wang pampasan berkenaan sejurus selepas kerja membina jalan dimulakan. Dalam kes lain, juga awal tahun ini, dua penduduk Zaozhuang bertegas enggan meninggalkan rumah mereka yang sepatutnya dirobohkan pemaju tempatan. Kedegilan itu menyebabkan pasangan berusia 60-an itu hidup di tengah-tengah projek pembangunan pencakar langit. Pasangan terbabit juga sering diganggu samseng, selain menghadapi beberapa cubaan merobohkan rumah berkenaan. Kemudahan asas di situ dipotong pada 2009, selaras dengan projek pelaksanaan pembinaan di sekitar rumah berkenaan. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


5 ditawan bagi paksa PM letak jawatan

Posted: 22 Nov 2012 07:37 AM PST

TOKYO: Seorang lelaki bersenjatakan pisau menjadikan lima orang sebagai tebusan di sebuah bank di sini, semalam.

Media melaporkan, lelaki itu menuntut supaya Kabinet Perdana Menteri, Yoshihiko Noda, meletak jawatan.

Lelaki itu mula menawan cawangan Bank Tokoyawa Shinkin Bank di Zoshi, tengah wilayah Aichi, kira-kira jam 2.20 petang waktu tempatan, kata polis. Tiada butiran lanjut diberikan.

Sambil menghunuskan pisau memburu, dia menjadikan empat pekerja dan seorang pelanggan wanita sebagai tahanan dan menuntut anggota Kabinet Noda meletak jawatan.


Menurut media tempatan, lelaki itu juga meminta untuk bercakap dengan wartawan.


Lelaki itu dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an atau 40-an tetapi media kemudian melaporkan usianya mungkin dalam lingkungan 50-an.

Stesen televisyen NHK berkata, selepas empat jam dijadikan tawanan, tiada di antara mereka dilaporkan cedera. Lelaki itu juga tidak menuntut wang tebusan.

Asahi Shimbun melaporkan, lelaki itu meminta bekalan makanan dan minuman untuk sepuluh hari.

Media lain turut melaporkan, lelaki itu meminta rokok dan pemetik api.

Rakaman televisyen menunjukkan seorang pegawai polis membawa pembesar suara dan beg plastik ke bahagian tepi bangunan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Seks dalam teksi Dubai: Pasangan Barat dipenjara

Posted: 22 Nov 2012 07:37 AM PST

DUBAI: Seorang wanita Britain dan pasangannya, lelaki Ireland yang didakwa melakukan aktiviti seks di dalam sebuah teksi di Dubai, dipenjara tiga bulan semalam.

Mereka akan dihantar pulang sebaik saja selesai jalani hukuman.

Ia merupakan kes terbaru melibatkan pelancong Barat melanggar Undang-Undang Tatasusila Emiriyah Arab Bersatu dan menekankan perbezaan budaya sedang negara itu cuba mengekalkan identiti Islam dan meningkatkan industri pelancongan.

Rebecca Blake dan Conor McRedmond mengaku tidak bersalah atas dakwaan "melanggar kehormatan dengan persetujuan" dan melakukan "perbuatan tidak senonoh dalam teksi" ketika hadir di mahkamah bulan lalu. Mereka mengaku bersalah atas dakwaan ketiga iaitu minum minuman keras di tempat awam. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


90 ditahan dalam kes culik kanak-kanak

Posted: 22 Nov 2012 07:36 AM PST

BEIJING: Polis menahan 90 suspek geng penculikan di seluruh negara dan menyelamatkan 28 kanak-kanak yang dikatakan diculik di bahagian barat dan di bawa ke beberapa bandar untuk menjadi pencuri.

Akhbar China Daily memetik Jurucakap Kementerian Keselamatan Awam, Huang Shihai sebagai berkata, "Anggota geng dikatakan memukul, mendera dan mengancam kanak-kanak ini untuk memaksa mereka mencuri dan merompak di tempat awam."

Lokasinya merata tempat seperti pusat beli-belah, bawah jejambat dan stesen keretapi, katanya.

Pihak berkuasa menjalankan operasi bulan lalu di Beijing dan beberapa wilayah di China sebagai sebahagian kempen yang dilancarkan April tahun lalu.


Setakat ini mereka berjaya menahan 2,700 suspek dan menyelamatkan 2,300 kanak-kanak.


Pakar Siasatan Jenayah, Dai Peng berkata, geng ini biasanya mensasarkan remaja di wilayah Xinjiang di mana etnik minoriti Uighur bercakap dalam bahasa mereka menjadikan kes ini sukar untuk disiasat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Polis dituduh cuba culik datuk bandar

Posted: 22 Nov 2012 07:36 AM PST

DURANGO (Mexico): Seorang datuk bandar menuduh pasukan polisnya sendiri cuba menculiknya dalam satu serangan yang menyebabkan lapan terbunuh termasuk seorang kanak-kanak dan wanita hamil.

Datuk Bandar Inde, Ernesto Nunez memberitahu wartawan dia membuat aduan ke atas anggota polis Inde dan Durango, menuduh mereka terlibat dalam cubaan menculik bersama pembunuh upahan Mafia.

"Kita tahu yang semua polis di kawasan majlis perbandaran ini menerima rasuah dan polis negeri juga mungkin menerima rasuah," katanya.

Nunez berkata, keluarganya, pekerja dan doktor haiwan berada di ladangnya apabila penyerang melepaskan tembakan dan bom di situ. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Ada komplot culik Yingluck

Posted: 22 Nov 2012 07:36 AM PST

BANGKOK: Ketua Polis Nasional Thai mendakwa terdapat rancangan untuk menculik Perdana Menteri Yingluck Shinawatra untuk dijadikan tebusan dan mengatakan ia adalah satu daripada alasan untuk melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di tiga daerah di bandar raya ini.

Jeneral Adul Saengsingkaew berkata, Kabinet memutuskan untuk melaksanakan ISA di tiga daerah di Bangkok mulai semalam hingga 30 November selepas agensi keselamatan melaporkan menerima maklumat terdapat cubaan untuk menceroboh premis kerajaan dan rancangan menculik Yingluck sebagai tebusan.


Menurutnya, pelaksanaan ISA akan membantu anggota keselamatan menahan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan.

Sebilangan besar penunjuk perasaan dijangka turut serta dalam perhimpunan di Pitak Siam hujung minggu ini, katanya. Saengsingkaew berkata, ISA dikuatkuasakan mulai semalam hingga 30 November di daerah Dusit, Phra Nakhon dan Pomprap Sattruphai, tetapi tidak akan menjejaskan rutin harian rakyat.


Polis memberi amaran pihak berkuasa tidak akan membenarkan sebarang pencerobohan atau rampasan harta kerajaan. Polis akan mengedarkan risalah dan meletakkan tanda dilarang masuk dekat tempat berkenaan untuk memaklumkan kepada rakyat yang menyertai demonstrasi antikerajaan terdapat kawasan yang tidak boleh dicerobohi. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Benigno digesa hapus ‘tentera persendirian’

Posted: 22 Nov 2012 07:35 AM PST

MANILA: Organisasi Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan semalam menggesa Presiden Filipina Benigno Aquino agar berusaha membanteras kumpulan tentera persendirian, tiga tahun selepas 58 orang terbunuh dalam insiden pembunuhan beramai-ramai berbaur politik yang terburuk di negara itu.

Pengarah organisasi itu untuk wilayah Asia, Brad Adams berkata, kerajaan Filipina gagal membubarkan puluhan "tentera persendirian" ekoran pembunuhan beramai-ramai pada 23 November 2009 di wilayah Maguindanao yang dilakukan kumpulan suku kaum tempatan yang berkuasa.


"Tiga tahun sejak insiden pembunuhan menakutkan di Maguindanao itu, perbicaraan belum juga selesai dan separuh daripada suspek masih bebas, manakala keluarga mangsa masih berdepan ancaman," katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap Benigno, Ramon Carandang berkata, polis sudah melakukan serbuan terhadap kumpulan sedemikian membawa kepada beberapa penahanan.


Menurutnya, laporan dalaman jabatan menunjukkan hanya kira-kira 60 kumpulan bersenjata masih wujud berbanding 112 pada akhir 2010.


Adams berkata, Benigno perlu memansuhkan arahan yang dikeluarkan pemimpin sebelumnya, Gloria Arroyo yang membenarkan pegawai tempatan membentuk unit separatentera bersenjata di kalangan orang awam bagi membantu pihak berkuasa mengekalkan keamanan di kawasan yang diancam kumpulan pemisah. Organisasi itu berkata, arahan itu disalah gunakan kebanyakan pegawai tempatan dengan menubuhkan "tentera persendirian" yang kemudian digunakan untuk menentang pesaing politik mereka. - MT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Budak selamat, ibu lesap lepas dua beranak terjun terusan

Posted: 22 Nov 2012 07:35 AM PST

BANGKOK: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terselamat daripada lemas selepas ibunya membunuh diri dengan terjun ke dalam terusan sebelum dia ikut sama terjun seperti disuruh ibunya, semalam.

Polis Bang Yi Rua menerima laporan bahawa seorang kanak-kanak lelaki diselamatkan daripada lemas di terusan Bang Yai.


Seorang pegawai pemeriksa alam sekitar yang bertugas di Khlong Bang Yai yang menyaksikan kejadian itu terjun ke dalam terusan untuk menyelamatkan dua beranak itu, tetapi hanya berjaya menyelamatkan kanak-kanak lelaki terbabit.

Mangsa yang kemudian dikenal pasti sebagai Phet Sriwasithikul memberitahu polis, ibunya membawa dia ke jambatan Nao Cham Nien pada awal pagi. Wanita itu menyuruh mangsa menanggalkan kasut sebelum mendukung dan meletakkannya di belebas jambatan. Mereka kemudian terjun ke dalam terusan itu. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Ribuan pekerja kilang tunjuk perasaan bantah gaji rendah, bayar khidmat kesihatan

Posted: 22 Nov 2012 07:35 AM PST

JAKARTA: Ribuan pekerja kilang Indonesia berhimpun di jalan raya di bandar raya ini semalam untuk membantah bayaran gaji rendah dan undang-undang baru keselamatan sosial yang memerlukan mereka membayar perkhidmatan kesihatan.

Ribuan buruh berhimpun secara aman dekat Istana Presiden di Jakarta sebelum berarak ke bangunan Parlimen, kata jurucakap polis Jakarta, Kolonel Rikwanto sambil menambah hampir 20,000 anggota polis dan tentera dikerah untuk memantau demonstrasi yang dianjurkan Kesatuan Buruh Indonesia itu.


Penunjuk perasaan yang memakai pakaian merah dan hitam melaungkan "Tolak undang-undang itu" ketika bas dan trak yang sarat dengan pekerja tiba sambil melambaikan bendera dan sepanduk berwarna-warni mengecam undang-undang 2011 itu yang memperuntukkan pekerja menyumbang beberapa peratus daripada gaji mereka untuk keselamatan sosial dan faedah kesihatan. Undang-undang itu dijangka berkuatkuasa pada 2014. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


No comments:

Post a Comment