Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bunyi api memercik

Posted: 18 Nov 2012 08:45 AM PST

KUALA LUMPUR: Tiga rumah sederet, satu daripadanya dihuni keluarga jurukamera TV3, Jebat M Roseli, 49, di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, di sini, musnah dalam kebakaran, jam 7.50 pagi semalam.

Jebat berkata, dia kerugian lebih RM30,000 selepas rumah yang didiaminya sejak 23 tahun lalu bersama isteri dan empat anaknya berusia 16 hingga 25 tahun, musnah dalam kejadian itu.


Difahamkan, kebakaran bermula daripada rumah Jebat sebelum merebak ke dua rumah bersebelahan.

Menurut Jebat, ketika kejadian dia baru tiba di pejabatnya di Sri Pentas, Bandar Utama, Damansara, di sini, sebelum menerima panggilan telefon daripada anak lelakinya.


"Ketika kejadian itu, anak sulung saya tidur dan dikejutkan dengan bunyi percikan api. Sebaik keluar dari bilik dia mendengar sekali lagi bunyi percikan api dan melihat kebakaran di bahagian dapur.


"Anak saya segera keluar rumah dan memberitahu jiran. Api dipercayai merebak cepat menyebabkan mereka hanya sempat menyelamatkan diri masing-masing," katanya ketika ditemui, semalam. Menurutnya, ketika kejadian hanya anak lelakinya itu berada di rumah kerana dia sudah ke pejabat.

"Isteri pula ke Putrajaya mengikuti seminar perniagaan bersama seorang anak kami. Dua lagi anak saya masing-masing mengikuti seminar di Gambang dan ke Kerinchi," katanya.


Katanya, keluarganya kini tinggal sementara di dewan berhampiran bersama keluarga jiran.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Azhar Yusof, ketika dihubungi memberitahu kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.


Katanya, pihaknya menerima panggilan jam 8.10 pagi sebelum empat jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan usaha memadamkan kebakaran dilakukan selama 30 minit.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Ramai ‘malu’ guna jejantas

Posted: 18 Nov 2012 08:41 AM PST

KUALA LUMPUR: Sikap kebanyakan warga kota yang enggan menggunakan jejantas terutama di Jalan Pudu, di sini, bukan saja boleh mengundang bahaya, tetapi boleh mengakibatkan kemalangan terhadap pemandu kenderaan lain.

Tinjauan Harian Metro di beberapa laluan di sekitar ibu kota antaranya Jalan Pudu, Jalan Imbi dan Jalan Tun Razak mendapati masih ramai tidak menggunakan kemudahan itu sebaliknya melintas jalan yang boleh membahayakan mereka.


Lebih mengecewakan apabila ada antara mereka dilihat membimbing kanak-kanak dan mendukung bayi sebelum melintasi jalan yang dipenuhi kenderaan dipandu laju.

Warga kota, Zulhelmi Ramli, 26, berkata, orang ramai seharusnya menggunakan jejantas dengan sebaiknya bukan membuat tindakan yang boleh meragut nyawa.


"Semua orang tahu jalan dilalui banyak kenderaan dan dipandu laju. Disebabkan itu kerajaan menyediakan jejantas untuk keselamatan dan kegunaan bersama.


"Keputusan tidak menggunakan jejantas sesuatu merugikan kerana ia wang rakyat yang seharusnya dimanfaatkan bersama," katanya.

Menurut Zulhelmi, baru-baru ini, dia menyaksikan insiden dua individu yang melintas jalan di Jalan Imbi, Bukit Bintang hampir dilanggar kereta biarpun kawasan itu disediakan jejantas.


"Lebih elok menggunakan jejantas kerana bukan saja nyawa yang perlu diselamatkan, tetapi nyawa anak-anak kecil dan pemandu lain perlu diutamakan," katanya.

Kakitangan swasta, Saidin Sidin, 29, berkata, tindakan tidak menggunakan jejantas bukan perkara baru yang perlu diingatkan berulang kali, tetapi ia kesedaran masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Tiada jaringan urus warga emas

Posted: 18 Nov 2012 08:40 AM PST

KUALA LUMPUR: Ketiadaan sistem mengurus warga emas yang teratur dipercayai punca utama golongan lanjut usia di Malaysia memilih aktiviti sendiri bagi memuaskan diri, termasuk terbabit kegiatan membelakangkan agama, nilai budaya dan adat.

Kaunselor yang juga pendakwa bebas, Dr Rubiah Hamzah berkata, Malaysia tidak memiliki sistem sempurna untuk membimbing warga emas terutama berusia 50 tahun ke atas menghabiskan sisa hidup dengan aktiviti yang seimbang antara jasmani dan rohani.


Sebaliknya beliau berkata, pendekatan sedia ada lebih menjurus kepada pembentukan akidah dan kerohanian, namun masih gagal menarik kumpulan mempunyai masalah jiwa itu yang bersatu di bawah jaringan 'geng' moden, terkini dan berstatus tinggi.

"Bila terjadi begini bermakna dakwah kita gagal. Aktiviti kerohanian yang wujud pun tidak seimbang dengan jasmani, jadi mereka merasakan tiada badan induk atau sistem yang benar-benar menggalakkan pelaksanaan aktiviti sihat dan bermoral.


"Kalau dibandingkan dengan negara seperti Jepun misalnya, mereka ada kelab untuk warga emas ceburkan diri, contoh untuk minat melancong, mereka ada kelab pelancongan dan kelab pencinta ikan, tapi negara kita tak ada khusus untuk galakkan begini.


"Itu jadinya ada warga emas yang tidak segan membentuk komuniti mereka sendiri, kelab yang memberi keseronokan kepada ahli kumpulan sama status dan minat serta tiada sekatan mana-mana pihak," katanya ketika di hubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas kemudahan pakej nenek gedik yang ditawarkan beberapa spa yang beroperasi di sekitar Bukit Bintang, di sini, kepada wanita pertengahan umur dan mereka yang berstatus nenek serta ada yang bergelar Datin. Metro Ahad semalam melaporkan, pakej itu ditawar berserta pemuda tampan dan bertubuh sasa sebagai tukang urut yang sanggup melakukan 'lebih' demi memuaskan pelanggan yang rata-ratanya mereka yang kaya wang ringgit, tetapi miskin belaian lelaki. Mengulas lanjut, Dr Rubiah berkata, pihak berkuasa perlu memikirkan sesuatu untuk 'mengikat' spa yang berselindung dengan nama pusat kesihatan ini daripada terjebak dengan maksiat dan menawarkan produk merosakkan orang Islam.


"Golongan begini kita boleh gambarkan sebagai tiada niat (untuk melakukan), tapi mempunyai kesempatan disebabkan pusat yang banyak menawarkan pakej menarik untuk mereka, apatah lagi mereka sendiri dahaga kasih sayang dan sakit emosinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Puja objek undang syirik

Posted: 18 Nov 2012 08:39 AM PST

KUALA LUMPUR: Kepercayaan sesetengah anggota masyarakat kepada sesuatu objek kononnya mampu memberi manfaat atau mudarat sangat bahaya kerana ia boleh mengundang syirik kepada Allah.

Pengasas Pusat Terapi al-Quran Darul Hikmah, Abdul Malek Ladzim Al-Azhari berkata, ada di kalangan sesetengah anggota masyarakat begitu percaya kepada kuasa alam sehingga menghabiskan wang bagi mendapatkan objek yang disifatkan pelik.


"Walaupun kita hidup bertamadun dan percaya Allah maha berkuasa namun sikap sedemikian bahaya kerana ia membawa syirik," katanya yang dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai masih ada di kalangan anggota masyarakat yang berhabis wang ribuan ringgit bagi mendapatkan objek pelik seperti batu geliga, keris dan minyak tertentu kononnya mampu memberikan manfaat kepada mereka.


Kelmarin, Harian Metro melaporkan seorang lelaki membelanjakan RM32,000 untuk mendapatkan 'batu geliga' yang didakwa ada kuasa hikmat untuk menundukkan isterinya yang kuat berleter. Dia bagaimanapun ditimpa padah apabila mengalami masalah pendengaran dipercayai kesan penggunaan batu itu. Abdul Malek berkata, setiap ciptaan Allah mempunyai hikmah, tetapi manusia jangan terlalu percaya kepada perkara itu sehingga mensyirikkan Tuhan.


"Kita boleh katakan sehelai daun yang gugur juga mempunyai hikmah dan hanya Allah yang tahu.

"Setiap ciptaan Allah boleh memberi khasiat dan ia hanya berlaku dengan izin-Nya, tetapi kita tidak boleh percaya benda itu yang mendapatkan manfaat atau kemudaratan," katanya.


Menurutnya, manusia hanya boleh berikhtiar sebaik mungkin dan berdoa kerana segala yang berlaku di atas izin Allah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Saksi lihat kereta dipandu laju

Posted: 18 Nov 2012 08:38 AM PST

PEKAN: Tiga rakan karib terbunuh manakala seorang lagi cedera selepas Proton Wira yang mereka naiki hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan dan terbalik ketika cuba memotong sebuah van jenazah di laluan berselekoh di Kilometer 29.5 Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Ubai, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam itu, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah pemandu kereta, Shahrul Azwan Jaafar Shah, 18; Mohd Faqih Mohd Nor, 18, dan Hasroy Haniff Hamsah, 17 manakala, seorang lagi rakan mereka, Mohd Hasri Razali, 19, cedera ringan dan dibawa ke di Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.


Semua mangsa yang terbunuh berasal dari Peramu Jaya 3, di sini.

Saksi kejadian, Hassan Ali, 48, dari Kampung Ubai berkata, sebelum kemalangan, dia melihat Proton Wira itu dipandu laju dan cuba mengejar sebuah Perodua Myvi di depan.


"Sebelum tiba di selekoh, ada sebuah van jenazah dan kedua-dua kenderaan berkenaan memotong kereta berkenaan, namun Proton Wira itu tidak menyedari sudah menghampiri selekoh menyebabkan hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang jalan dan terbalik beberapa kali," katanya.


Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Kuantan dari Peramu Jaya 3.

Katanya, siasatan awal mendapati Proton Wira berkenaan dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan ketika melalui laluan berselekoh menyebabkan kenderaan dinaiki empat remaja terbabit terbabas ke kiri dan melanggar besi penghadang jalan lalu terbalik.


"Semua mangsa tercampak dari kenderaan menyebabkan tiga meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera ringan," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa yang terbunuh dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


‘Saya ingat dia tidur’

Posted: 18 Nov 2012 08:37 AM PST

KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan yang baru memulakan tugas terkejut menemui mayat rakan sekerja di tempat duduk di luar bilik pengawal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Likas, di sini, pagi semalam.

Lelaki terbabit yang juga bekas anggota tentera, Md Shukari Ab Rahman, 53, ditemui meninggal dunia dalam keadaan duduk.

Rakan sekerjanya yang hanya mahu dikenali sebagai Saodah, 20, berkata, ketika kejadian dia baru saja memulakan tugas dan melihat rakannya (mangsa) duduk di luar bilik berkenaan.

"Ketika itu, saya berkemas di dalam pondok kawalan berdekatan bilik pengawal keselamatan dan melihat Shukari (mangsa) duduk di bangku. Saya memanggil beberapa kali, namun dia tidak menyahut. Ketika itu saya ingatkan dia tidur.


"Selepas siap berkemas, saya kemudian pergi ke tempatnya terkejut apabila melihat tubuhnya pucat, tidak bergerak dan dipercayai sudah meninggal dunia.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Tiga wira redah api selamat lelaki

Posted: 18 Nov 2012 08:37 AM PST

KUCHING: "Kami tidak sampai hati membiarkannya, apatah lagi melihat dia meraung meminta tolong," kata Saiful Norniza, 23, seorang daripada tiga sahabat yang menyelamatkan seorang lelaki apabila keretanya terbakar di Batu 7, Jalan Penrinssen, Kota Sentosa, Khamis lalu.

Saiful Noriza, Haidi Medhi, 24, dan Mohammad Zulfika Rosbi, 19, dianggap wira apabila menyelamatkan Kong Soon Lim, 36, dari Matang dalam kejadian pada jam 11.50 malam itu.


Kata Saiful, dia sedar sebarang kemungkinan boleh berlaku, tetapi dia dan rakan sanggup menggadai nyawa menyelamatkan lelaki terbabit.

"Kami bertiga cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api diambil dari stesen minyak berdekatan, tapi gagal. Ketika itu, api semakin membesar menyebabkan saya dengan Haidi berpatah balik ke stesen minyak mengambil dua lagi alat itu," katanya.


Sementara itu, Zulfika berkata, ketika Saiful dan Haidi berusaha memadam kebakaran, dia memecah cermin tingkap pemandu lalu menarik mangsa keluar. "Mangsa dikeluarkan dan kami bersyukur kerana usaha menyelamatkan akhirnya berjaya walaupun ketika itu api sedang marak dan mungkin kereta boleh meletup," katanya.


Kejadian berlaku ketika mangsa baru saja menghantar seorang rakan pulang ke rumah di Batu 7, Jalan Penrissen, sebelum kereta dipandu hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan.

Sebelum itu, kereta mangsa berpusing beberapa kali sebelum terbalik di tengah jalan, menyebabkan letupan kuat dan kereta mula terbakar.


Mangsa yang melecur di keseluruhan badan dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Nyaris lemas kaki tak cecah dasar pantai

Posted: 18 Nov 2012 08:36 AM PST

MASJID TANAH: "Saya terkejut kaki tidak lagi mencecah dasar pantai sebelum menyedari dihanyutkan ombak ke tengah laut. Nasib baik jeritan dan lambaian tangan saya disedari rakan di darat," kata Mohd Hafizi Hamdi, 23, yang nyaris lemas selepas dihanyutkan 100 meter di Pantai Tanjung Bidara di sini, petang kelmarin.

Nasib menyebelahi pemuda itu apabila dia diselamatkan anggota penyelamat pantai selepas dihanyutkan ombak besar ketika mandi bersama rakan di pantai itu pada jam 4.45 petang.


Difahamkan, mangsa yang sebelum itu berendam dalam laut sambil berbual dengan rakannya, Mazlinda Johari, 21, tidak menyedari kehadiran ombak sebelum dia dihanyutkan ke tengah laut.

Mohd Hafizi yang datang bersama rakannya dari Seremban, Negeri Sembilan, berkata, mereka menggunakan pelampung sewa untuk berenang 10 meter dari pantai.


"Ketika kejadian, rakan memberitahu mahu naik ke darat untuk mengambil minuman kemudian menyedari tubuh saya semakin jauh dari pantai.


"Saya baru tersedar kaki tidak sampai ke dasar pantai," katanya yang tidak tahu berenang dan mula panik.

Dia kemudian menjerit sekuat hati sambil melambai tangan ke arah pantai yang dilihat rakan lalu memaklumkan kejadian kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di menara kawalan.


Dua anggota penyelamat pantai JPAM berenang ke arahnya yang terkapai-kapai dan menariknya ke pantai.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Amukan lupa alamat

Posted: 18 Nov 2012 08:36 AM PST

KUALA LUMPUR: Tiga bersaudara cedera di beberapa anggota badan akibat dipukul dengan kayu oleh seorang pengawal keselamatan warga Nepal yang berang selepas berlaku pertengkaran antara mereka di sebuah kondominium di Sri Hartamas, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku jam 10.45 malam, selepas seorang daripada mangsa Nazri Nizar Adnan, 14, yang berkunjung ke rumah bapa saudaranya di kondominium itu terlupa membawa pas masuk ketika mahu masuk semula ke unit kediaman.

"Sebelum kejadian saya turun ke lobi untuk bertemu bapa saya, namun ketika ingin naik semula ke rumah bapa saudara di tingkat lapan, pengawal berkenaan menahan saya kerana tidak mempunyai pas masuk.

"Pengawal itu menyuruh saya menulis nama pada buku pelawat, saya tidak membantah dan menurut arahannya, tapi pengawal itu bertindak kurang ajar memaki hamun serta memanggil saya bodoh hanya kerana tidak ingat alamat unit kondominium bapa saudara," katanya ketika ditemui, semalam.


Nazri berkata, selepas itu dia mengadu kebiadaban pengawal terbabit kepada ibu dan bapa saudaranya, mereka sekeluarga turun ke lobi untuk mendapatkan penerangan daripada pengawal keselamatan itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Lelaki beli cincin tunang kebas rantai RM2,500

Posted: 18 Nov 2012 08:34 AM PST

ALOR SETAR: Seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan kedai emas di Jalan Langgar, dekat sini, kononnya mahu membeli cincin pertunangan sebelum melarikan seutas rantai bernilai RM2,500, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia 38 tahun muncul dengan menaiki motosikal serta bertopi keledar sebelum berjumpa dengan jurujual kedai emas terbabit.


Bagaimanapun, tindakan lelaki itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV), dan suspek difahamkan pernah menggadai barang kemas di premis berkenaan termasuk memiliki butiran peribadinya.

Jurujual kedai emas itu, Zamzarina Zakaria, 38, berkata, lelaki itu kononnya mahu membeli rantai emas sedangkan sebelum itu dia memaklumkan mencari cincin untuk majlis pertunangannya.


"Selepas membelek rantai emas dikehendakinya, dia meminta saya mengambil rantai lain dengan harga sama. "Saya lihat kelakuan lelaki itu mencurigakan dan sebagai langkah berjaga-jaga saya cuba menyimpan rantai emas di tangannya kerana bimbang sesuatu yang buruk.


"Ketika mahu mengambil rantai emas berkenaan, dia tidak mahu melepaskannya sebaliknya merentap rantai itu dan berlari keluar," katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, akibat tindakan itu, rantai emas berkenaan putus dua dan lelaki terbabit melarikan sebahagian daripadanya.


Katanya, seorang rakannya cuba mengejar lelaki itu sejauh 15 meter sebelum suspek melarikan diri dengan menaiki motosikal Honda Wave yang diletak tidak jauh dari situ.

"Berikutan itu, pemilik kedai emas ini lantas menghubungi pihak berkuasa dan Unit Keselamatan Kawasan (UKK) bagi memaklumkan kejadian terbabit selain cuba menjejaki suspek, namun tidak berjaya," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Md Jan mengesahkan kejadian, berkata, pihaknya giat menjejaki suspek terbabit.


Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan dan anggotanya mendapatkan segala keterangan daripada pemilik kedai berkenaan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


No comments:

Post a Comment