Harian Metro: Arena


Harian Metro: Arena


Posted: 10 Nov 2012 01:13 PM PST
LONDON: Roberto Di Matteo mengaku Liverpool pasukan 'igauan' Chelsea menjelang kunjungan anak buah Brendan Rodgers ke Stamford Bridge, malam ini.
Kepentingan untuk mengekalkan tekanan terhadap pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester United pastinya memberi insentif tambahan buat Blues selain berharap mengakhiri empat kekalahan liga berturut-turut kepada kelab Anfield itu.

Chelsea menewaskan Liverpool di final Piala FA musim lalu tapi saingan tiga penjuru antara Blues, United dan Manchester City memburu kejuaraan liga membuatkan misi merebut mata liga kini lebih utama.
"Mereka pasukan igauan dan . sentiasa mempamerkan aksi luar biasa menentang kami. Memang sukar untuk menewaskan mereka.

"Kami jarang menewaskan mereka sejak tiga tahun lalu. Kami perlu sentiasa fokus untuk memberikan aksi terbaik.

"Pemain Liverpool hebat dan menampilkan aksi luar biasa, setiap kali menentang kami, ia adalah perlawanan terbaik mereka musim itu.
"Mereka sering mencari jalan untuk menewaskan kami ketika kami tidak berada di tahap terbaik.

"Kami memiliki semangat hebat, penuh keyakinan dan pasukan bermain dengan baik menjelang aksi ini. Saya harap ia membantu menghidangkan keputusan berbeza," katanya.
Pengurus Liverpool, Rodgers pula lebih bimbangkan ancaman Juan Mata, Eden Hazard dan Oscar yang memberi dimensi baru corak serangan Chelsea musim ini.

Pasukan Rodgers hanya menang dua daripada 10 perlawanan liga musim ini dan Reds ketinggalan 13 mata berbanding lawan mereka itu.

Namun pengurus yang merehatkan sembilan pemain utama ketika tewas 0-1 kepada Anzhi dalam Liga Europa menegaskan mereka tidak gentar berkunjung ke London.

"Chelsea sungguh dinamik, memiliki teknik yang bagus. Mereka mempunyai tiga pemain No 10, Oscar, Hazard dan Mata. Kami sedar bahaya yang boleh mereka cetuskan.

"Anda tidak boleh berbuat apa-apa untuk menghalang pemain bertaraf dunia. Mereka pasti sentiasa mencari ruang, mencari jalan melepasi anda. Fokus saya adalah permainan kami." - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:12 PM PST
PENGUASAAN negara dalam sukan badminton perlu dipergiat dan terus diperhebat supaya Malaysia mempunyai barisan pemain pelapis yang setaraf dengan jagoan sukan itu seperti masa lalu.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sukan badminton kini berkembang dan membawa faedah besar kepada negara dengan lahirnya barisan pemain berwibawa seperti Datuk Lee Chong Wei.

Namun, sejak kebelakangan ini sukan badminton memaparkan detik kemerosotan menyebabkan program bagi melatih pelapis sukan itu perlu dilakukan.
"Jika ditinjau, era 1950-an dan 1960-an adalah zaman kegemilangan badminton di negara kita dengan barisan pemain negara beberapa kali berjaya merebut Piala Thomas serta Kejohanan Badminton Seluruh England.

"Nama besar seperti Punch Gunalan, Ng Boon Bee, Tan Aik Mong, Tan Aik Hwang, Silvia Ng, Misbun Sidek dan Jailani Sidek begitu terkenal di negara ini dan di arena antarabangsa.

"Kini, Malaysia memang boleh maju dalam apa jua sukan andai masyarakat komited memainkan peranan aktif dalam sukan diceburi," katanya ketika berucap melancarkan Kem Badminton Astro di Dewan Persatuan Badminton Johor di sini semalam.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Datin Paduka Dr Jamilah Ariffin, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan.

Rosmah berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memberi dorongan sekali gus menggalakkan anak masing-masing menceburi sukan ini dengan aktif.
"Nasihatilah anak supaya memperuntukkan masa dalam aktiviti sukan sejak di bangku sekolah. Berilah sokongan moral dengan menghantar mereka ke tempat latihan, menemani dan menyaksikan mereka berlatih atau bertanding.

"Dalam hal ini, ibu bapa harus sedar aspek kecemerlangan akademik dan juga sukan, kedua-duanya penting kepada anak," katanya.

Rosmah yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, jika ibu bapa menyokong penuh minat anak, negara mampu melahirkan pemain pelapis yang bakal mengharumkan nama ibu bapa serta negara.

Sehubungan itu, beliau berharap, Kem Badminton Astro ini mampu menjadi platform meneruskan kegemilangan sukan badminton Malaysia dengan melahirkan pemain pelapis.

Menurut Rosmah, menerusi program itu, kem itu akan menjelajah ke enam negeri termasuk Sabah dan Sarawak untuk membuat pemilihan peserta yang akan diadili jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain negara.

"Selepas dipilih, peserta diberi latihan intensif setiap hujung minggu di Stadium Juara, Kuala Lumpur dan seterusnya mereka yang berpotensi akan mewakili negara ke perlawanan persahabatan dengan Kelab Badminton Remaja Korea di Korea Selatan."
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:12 PM PST
PEMAIN badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dan pasangannya, Wong Mew Choo kini sah bergelar suami isteri dan majlis perkahwinan mereka yang meriah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hujung minggu ini dianggap sebagai perkahwinan terhebat tahun ini.
Perkahwinan mereka sekali gus meneruskan tradisi turun-temurun perkahwinan sesama atlet yang bertemu cinta hati masing-masing dalam menjalani kehidupan sebagai pejuang sukan negara. Nurul Fatiha Abd Hamid - Mohd Shakir Shaari Bekas gimnas negara yang kini beralih ke bidang penyiaran, Nurul Fatiha bertemu jodoh dengan pemain tengah Kelantan itu pada Disember 2010.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, setahun selepas itu. Menariknya, kelahiran anak mereka hadir lapan jam sebelum perlawanan memberi motivasi buat Kelantan menewaskan Johor FC 2-1, September tahun lalu.
Shalin Zulkifli - Azidi Ameran Kedua-duanya sama hebat di lorong bowling dan yang lainnya menjadi sejarah. Shalin akhirnya diijabkabulkan dengan Azidi pada Disember 2008 selepas bercinta selama 14 tahun dan dikurniakan seorang puteri, Aleya pada Jun 2011.

Shalin, pemenang pingat emas Sukan Asia Busan 2002 dan Doha 2006 kembali aktif menyertai kejohanan bowling selepas itu manakala Azidi, bekas pemain kebangsaan, kini membantu jurulatih skuad bowling negara, Holloway Cheah mengendalikan pasukan kebangsaan.

Amirul Hamizan Ibrahim - Ida Royainee Razali Jaguh angkat berat negara yang memenangi pingat emas Sukan Komanwel Manchester 2002 dan New Delhi 2010, terdahulu sudah bergelar suami kepada bekas ekuin negara Ida Royainee Razali pada 2008.
Mereka dianugerahkan seorang anak perempuan, Illy Enelda Allesya setahun kemudian. Komanwel 2010 adalah temasya sukan terakhir menampilkan Amirul sebelum dikatakan 'berehat seketika' daripada sukan itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:12 PM PST
MOHD Zaqhwan Zaidi muncul pelumba terpantas sesi ujian masa CP130 Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Litar Sepang Selatan, semalam.
Bagaimanapun, hujan sedikit mengganggu rentak perlumbaan apabila pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu sekadar mencatat 1 minit 28.673 saat, berbeza dengan catatan terpantas 1:20.329s yang dilakukan pada sesi latihan 2 di sebelah pagi.

"Cuaca tidak begitu baik, namun kami sudah menjangkakan akan hujan pada petang dan bersedia menghadapinya. Krew pasukan menyediakan pelarasan spoket, suspensi dan enjin yang bersesuaian dengan keadaan litar basah. Saya gembira kerana strategi kami menjadi," jelas Zaqhwan.
Mengulas lanjut, pelumba yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia itu sedia berdepan sebarang kemungkinan cuaca pada perlumbaan sebenar hari ini.

"Pada sesi latihan bebas 2, saya melakukan catatan terpantas dan jika cuaca cerah, kami menggunakan pelarasan tersebut. Jika hujan, kami kembali kepada pelarasan digunakan pada sesi ujian masa ini." Mengulas sasaran perlumbaan akhir, Zaqhwan bertekad mencari kedudukan podium dan pada masa sama cuba mengejar gelaran keseluruhan.

"Walaupun sukar kerana ketinggalan 28 mata berbanding pendahulu, namun tidak mustahil juga untuk melakukannya kerana apa sahaja boleh berlaku dalam perlumbaan ini. Setidak-tidaknya, jika bergelar juara di Sepang, peluang saya mungkin masih ada dan keputusan ditentukan pada perlumbaan terakhir musim." Sementara itu, Ahmad Fazli Sham dari pasukan Yamaha Maju Motor Racing muncul pelumba kedua terpantas dengan catatan 1:28.763s manakala pendahulu keseluruhan, Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) di kedudukan ketiga, 1:29.616s.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:10 PM PST
PERSAINGAN merebut gelaran juara ski air dan 'wakeboard' peringkat saringan yang bermula semalam menyaksikan semua peserta menunjukkan komitmen dan kemahiran masing-masing untuk menempah tempat lebih selesa pada peringkat akhir hari ini.
Cuaca baik dan cerah seolah-olah turut merestui peserta menunjukkan kepakaran bermain air pada Kejohanan Asia Waterski & Wakeboard Antarabangsa Malaysia di Pusat Sukan Air Presint 6, Putrajaya. Pengarah program merangkap Setiausaha Eksekutif Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF), Hanifah Yoong berkata, peserta mempamerkan prestasi amat baik dan cuba mencipta keputusan terbaik untuk menentukan posisi di peringkat akhir.

"Hari ini, mereka dapat 'merasa' air Tasik di Putrajaya supaya lebih serasi sebelum pertandingan akhir hari ini.
"Cuaca sangat elok tiupan angin yang tidak kencang memberi kelebihan kepada peserta beraksi lebih cemerlang. "Kami harap cuaca baik berterusan hingga esok (hari ini)," katanya ketika ditemui di Pusat Sukan Air Presint 6, Putrajaya, semalam.

Hanifah berkata, semua peserta berusaha mencatat keputusan terbaik untuk memperoleh kelebihan pada pusingan akhir untuk mengukur tahap peserta lain untuk membuat perbandingan sebelum turun beraksi.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:11 PM PST
MISI skuad remaja negara mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Johor bermula hari ini apabila bertemu Jerman di Stadium Hoki Taman Daya, tugas pertama yang amat getir bagi anak buah Muhammad Dharmaraj Abdullah.
Skuad remaja membuktikan kemampuan apabila muncul juara edisi pertama selepas menewaskan Australia di final meskipun tidak dilabel sebagai pasukan pilihan.

Kini situasinya berbeza apabila mereka pasti menjadi tumpuan lima pasukan bertanding, New Zealand, Australia, Pakistan, India serta Jerman.
Skuad dibarisi pemain berpengalaman, termasuk barisan yang menjulang gelaran musim lalu memberi isyarat Muhammad Dharmaraj juga tidak mahu kejuaraan dimenangi anak buahnya terlepas ke tangan pasukan lain.

"Gelaran juara ini salah satu misi yang perlu disempurnakan. Untuk mempertahankan kejuaraan bukan mudah kerana pasukan lain pasti menilai kemampuan kami.

"Selepas mengumumkan senarai akhir skuad, saya yakin inilah barisan terbaik kita ada. "Saya yakin sepenuhnya kemampuan pemain yang mempercayai corak latihan yang saya ketengahkan.
"Pengalaman melatih mereka amat bermakna kerana mereka sentiasa memberikan komitmen tinggi," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:11 PM PST
MESKIPUN mengungguli acara lompat kijang Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), semalam, Noor Amira Mohamad Nafiah tidak puas hati dengan pencapaiannya di temasya sulung ini.
Pada final di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), atlet elit kebangsaan yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mencatat 12.58 meter menewaskan Merrey Gabali dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11.30m, kedua.

Manakala wakil Universiti Teknologi Mara (UiTM), Lili Hartini Ahmad Zamri mencatat 11.19m akur di tangga ketiga.
"Tidak puas hati, ini bukan pencapaian terbaik kerana mencipta 13.90m di Terbuka Kebangsaan, baru-baru ini.

"Tiada saingan di sini. Lantas saya sekadar menjadikan SUKIPT sebagai medan pemanas badan sebelum cuba mencipta pencapaian lebih baik di Sukan Universiti Asean (AUG), Laos, bulan depan.

"Di Laos, saya meletakkan sasaran pingat emas dan memecah rekod sendiri sekali gus memberi aksi terbaik untuk menempah tiket ke Sukan Sea Myanmar tahun depan," kata penuntut tahun akhir Ijazah Pemakanan dan Kesihatan itu.
Mengulas lanjut, katanya kejohanan utama banyak terhidang pada tahun depan dan dia perlu mempersiapkan diri bermula dari sekarang.

"Berdasarkan prestasi saya pada masa ini, masih banyak perlu diperbaiki andai ingin unggul di mana-mana kejohanan serta temasya utama tahun depan."
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:07 PM PST
MANCHESTER: Skuad Roberto Mancini, Manchester City akan cuba menebus satu lagi kedukaan Eropah apabila kembali ke Liga Perdana Inggeris untuk berdepan Tottenham Hotspur di Stadium Etihad, malam ini.
Mereka diikat Ajax, 2-2 di laman sendiri tapi impian City mara ke pusingan kedua Liga Juara-Juara hampir musnah dan Mancini menyuarakan kekecewaannya dan bertelagah dengan pengadil selepas perlawanan itu.

Keputusan itu dialami selepas City ketinggalan dua mata kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester United akibat seri dengan West Ham dan mereka kini perlu segera mengembalikan rentak kemenangan.
Kunjungan Tottenham bagaimanapun menghidangkan cabaran getir dan jurulatih City, David Platt memberi amaran Spurs pasti memberi cabaran berbeza kepada tuan rumah.

Pasukan Mancini belum pernah kalah aksi liga di Etihad sejak tewas kepada Everton pada 2010 dan sudah biasa dengan usaha pelawat yang cuba meraih keputusan seri.

"Pasti amat sukar, amat mencabar. Mereka mempunyai pemain muda bertenaga yang berbahaya.
"Kami perlu waspada kerana Spurs memiliki pemain yang boleh mengubah corak perlawanan dan boleh menjadikan perlawanan lebih sukar," katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

No comments:

Post a Comment