Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Pulihkan semangat

Posted: 21 Nov 2012 08:21 AM PST

AKSI buruk selepas diikat 1-1 menentang pasukan kerdil, Bangladesh yang beraksi 10 pemain kelmarin memberi kesan kepada moral pemain Harimau Malaya yang hanya mempunyai masa tiga hari untuk pulih sebelum turun pada perlawanan pertama Piala Suzuki AFF.

Jika sebelum ini kalah kepada Vietnam 0-1 dan Thailand 0-2 dalam aksi persahabatan yang dianggap eksperimen bagi pengendali negara, Datuk K Rajagobal, keputusan seri dengan Hong Kong dan Bangladesh di laman sendiri dalam tempoh seminggu menyebabkan skuad juara bertahan itu berdepan krisis.


Situasi itu nyata mendapat perhatian Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah yang hadir di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam untuk mengadakan pertemuan dengan jurulatih dan pemain.

Menurut sumber, lawatan mengejut Sultan Ahmad Shah itu bagaimanapun diadakan secara tertutup di auditorium selama hampir dua jam bermula kira-kira jam 10 pagi.


Pertemuan itu juga dilihat sebagai motivasi tambahan buat pemain ketika tekanan yang mereka rasai semakin memuncak menjelang perlawanan pertama menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.


Rajagobal mengaku selepas perlawanan dengan Bangladesh kelmarin tiada apa lagi yang boleh dilakukan dalam tempoh kritikal ini melainkan menaikkan semula semangat pemain.

"Dalam situasi kritikal ini, saya perlu memberi motivasi kepada pemain. Sebagai jurulatih saya perlu fikirkan perkara positif, sekarang ini masa yang cukup kritikal untuk memastikan pemain kembali mendapat momentum," katanya.


Beliau mengaku terkejut dengan prestasi longlai anak buahnya yang membenarkan Bangladesh bangkit mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti, Jahid Hasan Ameli di penghujung permainan sedangkan Malaysia di ranking ke-163 dunia, sepatutnya tidak berdepan masalah menundukkan lawan berkedudukan 171 itu.

Persoalannya, tidak cukupkah program motivasi tiga hari di Pulau Pangkor minggu lalu yang dikatakan kembali memberikan kesegaran, namun sebaliknya yang berlaku apabila membuatkan pemain tidak bertenaga.


"Perlawanan itu sungguh mengecewakan, saya terkejut melihat pemain keletihan meskipun pada awal aksi, kami bermain baik. Pemain saya seperti tidak bertenaga dan gagal mengatur gerakan dengan baik. Saya menantikan perlawanan menentang Singapura dan semua pemain perlu sedar tiada alasan lagi selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Rekod United lebur

Posted: 21 Nov 2012 08:01 AM PST

ISTANBUL: Galatasaray menamatkan permulaan sempurna Manchester United dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara dengan kemenangan 1-0, awal pagi semalam.

Burak Yilmaz meledak jaringan tunggal perlawanan di Arena Turk Telekom apabila menanduk masuk bola sepakan penjuru pada minit ke-54 untuk membolehkan tuan rumah mencerahkan peluang layak ke pentas kalah mati.


United sudah mara ke peringkat seterusnya dan perlawanan terbabit membenarkan pengurus, Alex Ferguson memberi pengalaman pentas Eropah kepada beberapa pemain muda di hadapan segelintir peminat fanatik di benua itu.

"Penguasaan bola bagus dan corak penyerang juga sama," kata Ferguson. "Kami mencipta satu atau dua peluang bagus pada kedua-dua babak.


"Mereka melakukan beberapa percubaan dari luar kotak penalti dan penjaga gol kami bertindak dengan baik. Selain itu kami bersaing dengan baik pada perlawanan itu." Pemain bintang seperti penyerang England, Wayne Rooney, penjaring utama, Robin van Persie, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Paul Scholes dan Ryan Giggs, satu-satunya yang masih kekal sejak insiden 1993 "Selamat datang ke Neraka" ketika kunjungan ke Istanbul berehat di Manchester.


Nick Powell, berusia 18 tahun 242 hari menjadi pemain Inggeris kedua termuda untuk tampil buat United dalam aksi Liga Juara-Juara.

Rekod paling muda dipegang Kieran Richardson dan Powell sepatutnya diberi amaran, penampilan awal pagi semalam tidak menjaminnya kekal dalam skuad utama Old Trafford.


Phil Jones pula membuat penampilan pertama bersama United musim ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Lahm gesa rakan tingkat aksi

Posted: 21 Nov 2012 08:01 AM PST

VALENCIA (Sepanyol): Kapten Philipp Lahm menegaskan Bayern Munich perlu meningkatkan prestasi walaupun sudah layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas seri 1-1 dengan Valencia, semalam.

VALENCIA (Sepanyol): Kapten Philipp Lahm menegaskan Bayern Munich perlu meningkatkan prestasi walaupun sudah layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas seri 1-1 dengan Valencia, semalam.


"Kami bermain menentang 10 pemain untuk tempoh yang lama namun kerap membuat keputusan yang silap," marah Lahm, merujuk kepada pertahanan Valencia Antonio Barragan yang dibuang padang pada minit ke-33.

"Akhirnya, kami bergantung kepada nasib untuk seri. Amat menjengkelkan kerana kami boleh menang perlawanan itu. "Kami sering membuat keputusan yang salah terutamanya ketika menukar tempo, menggelecek mahupun cuba melakukan gerakan.


"Paling penting kami mara ke pusingan berikutnya namun perlu menekan suis untuk meningkatkan permainan." Lahm meninggalkan padang dalam keadaan marah selepas Bayern sekali lagi gagal mengatasi 10 pemain lawan, seperti perlawanan Bundesliga lalu di Nuremburg yang berkesudahan 1-1, walaupun tuan rumah bermain 10 pemain pada babak kedua.


"Kami seri dua kali menentang pasukan yang bermain 10 pemain dalam tempoh yang lama. "Kami mesti meningkatkan permainan dalam aksi Bundesliga menentang Hanover, Sabtu ini." Pemain tengah, Sofiane Feghouli meletakkan Valencia di depan pada minit ke-77 namun Bayern menyamakan kedudukan menerusi Mueller, lima minit kemudian.

Kemenangan 2-0 Lille ke atas BATE Borisov di Belarus dalam perlawanan terdahulu membolehkan kedua-dua pasukan itu layak ke saingan kalah mati, berkongsi 10 mata di kedudukan teratas kumpulan F selepas seri di Estadi de Mestalla.


BATE ketiga dengan enam mata dan tidak berpeluang layak ke pusingan kedua manakala Bayern boleh mencongak mara ke final ketiga dalam tempoh empat tahun di Wembley pada Mei. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Sasar saingan kalah mati

Posted: 21 Nov 2012 07:56 AM PST

PARIS: Trio Liga Perdana Inggeris, Liverpool, Tottenham dan Newcastle menyasarkan untuk mara ke saingan kalah mati Liga Europa dengan baki satu perlawanan, awal pagi ini.

Mereka yang sekadar mempamerkan prestasi sederhana pada permulaan musim kempen tempatan dan berada di pertengahan liga, nasib dalam saingan sebenua lebih cerah apabila menghampiri aksi pusingan kedua.


Pengurus Liverpool, Brendon Rodgers akhirnya meletakkan gergasi Anfield di tempat sepatutnya selepas permulaan buruk musim ini. Kemenangan di laman sendiri ke atas Young Boys dari Switzerland akan mencerahkan peluang kelab itu memburu trofi Eropah pertama sejak kali terakhir menjulang trofi Liga Juara-Juara dengan menewaskan AC Milan pada 2005.

Tottenham berdepan tugas lebih berat apabila berkunjung ke Stadium Olimpik di Rome untuk menewaskan Lazio, pasukan yang belum tewas.


Kemenangan di ibu negara Itali dan kegagalan wakil Slovenia, Maribor menewaskan Panathinaikos di Athens pasti meredakan tekanan dihadapi pengurus, Andre Villa-Boas sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya.


Villa-Boas menggunakan penjaga gol nombor satu Perancis, Hugo Lloris buat kali kedua musim ini, namun bekas penjaga gol Nice dan Lyon itu bolos lima gol ketika tewas 2-5 kepada Arsenal, kekalahan cukup pahit di tempat sendiri ketika cuba merampas kedudukan penjaga gol utama dari Amerika Syarikat, Brad Friedel.

Meskipun Lloris berpengalaman bermain dalam lebih banyak perlawanan perebutan piala, namun kini Friedel mungkin digunakan sebagai penentu nasib pasukan dalam kumpulan J.


Newcastle United yang menang Piala Inter-Cities Fairs pada 1969 sebelum kejohanan ditukar kepada Piala Uefa pada 1971 dan kini Liga Europa, berpeluang untuk mara, walaupun kalah dua perlawanan liga perdana di tempat sendiri kepada West Ham dan Swansea. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Taktik Chelsea makan diri

Posted: 21 Nov 2012 07:55 AM PST

TURIN: Fernando Torres berada di bangku simpanan dan hanya beraksi selama 20 minit ketika Chelsea tumpas 0-3 di tangan Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara semalam namun dia tetap menjadi tumpuan akibat keputusan yang dibuat Roberto Di Matteo.

Pengendali dari Itali, Di Matteo membuat kejutan apabila tidak menurunkan pemain termahal Britain yang gagal menyerlah itu dalam kesebelasan utama.


Keputusan itu sekali gus menyaksikan Chelsea memulakan permainan tanpa penyerang tengah.

Torres juga tersisih ketika Sepanyol tidak menggunakan penyerang ketika menjuarai Euro 2012 namun eksperimen Chelsea yang tidak menggunakan penyerang tengah nyata tidak menjadi.


Chelsea menggunakan Oscar, Eden Hazard dan Juan Mata bagi memainkan peranan sebagai penyerang, taktik yang membenarkan Chelsea mencipta beberapa peluang terbaik pada babak pertama meskipun Juventus mendominasi permainan.


"Saya tidak mahu memberi peluang buat pertahanan tengah Juventus melakar strategi tertentu mempertahakan gawang mereka" kata Di Matteo yang dipecat Chelsea, semalam.

"Kami mencipta peluang pertama, Oscar mempunyai peluang kedua, Mata turut berpeluang di depan gol, kami mengatur gerakan bahaya dan mencipta peluang.


"Saya memilih pasukan yang diyakini mampu meraih kemenangan atau seri. Saya yakin ini adalah pilihan tepat dan memberi masalah kepada lawan." Namun rancangan Chelsea hancur selepas Fabio Quagliarella menghasilkan gol pembukaan untuk Juve tujuh minit sebelum babak pertama tamat dan Di Matteo percaya ia punca kekalahan mereka.

"Juventus bernasib baik mendapat gol pertama. Dalam perlawanan sukar, jaringan pertama banyak memberi kesan kepada permainan," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Messi belum habis lagi

Posted: 21 Nov 2012 07:25 AM PST

MOSCOW: Penyerang Barcelona, Lionel Messi kelihatan tidak mampu berhenti mencipta sejarah baru dalam setiap perlawanan bola sepak, tidak seperti Roger Federer dalam tenis.

Pemain Argentina sekali lagi meledak dua jaringan awal pagi semalam untuk membantu kelabnya menewaskan Spartak Moscow, 3-0 dan mengesahkan tiket pusingan kalah mati Liga Juara-Juara buat kelab Catalan itu.


Dia kini mengumpul 56 gol di kejohanan Eropah, meletakkan dirinya setaraf dengan penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman dari Belanda, Ruud van Nistelrooy. Hanya pemain Sepanyol, Raul mengumpul 71 jaringan.

Messi turut menyamai rekod Raul menjaringkan gol di 19 bandar berbeza di Liga Juara-Juara dan mengatasi bekas pemain Real Madrid itu yang menjaringkan dua gol atau lebih dalam 14 perlawanan kejohanan itu.


Messi kini kekurangan lima gol daripada rekod semusim milik Gerd Mueller yang meledak 85 gol pada 1972.


Seperti biasa dia pantas merendah diri dengan pencapaian itu namun rakan sepasukan jelas menghargainya.

"Leo memecahkan semua rekod, dia menakjubkan dan kami gembira dia mewakili kelab ini," kata Pedro.


Messi menjadi penjaring terbanyak Liga Juara-Juara bagi empat musim terakhir dan musim lalu meledak 14 gol, jumlah tertinggi dalam satu musim.

"Semua bercakap mengenai Leo, jaringan dan rekod namun lebih penting adalah kesedaran dan taktik, cara dia bertahan dan menyerang serta membantu pasukan," kata jurulatih Tito Vilanova. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


‘Adriano tidak bermoral’

Posted: 21 Nov 2012 07:25 AM PST

COPENHAGEN: Nordsjaelland berang terhadap Shakhtar Donetsk kerana tidak mempunyai semangat kesukanan hingga menyaksikan kelab Ukraine itu mencatat kemenangan 5-2 dan jurulatihnya berkata Luiz Adriano harus dibuang padang kerana jaringan kontroversi itu.

Kemenangan Shakhtar di Denmark awal pagi semalam memastikan tempat mereka di pusingan kedua Liga Juara-Juara dari Kumpulan E namun ia meninggalkan rasa kurang senang tuan rumah.


Ketinggalan satu gol pada babak pertama, penyerang Shakhtar, Adriano menolak masuk bola yang pada awalnya diberikan kepada juara Denmark itu susulan insiden kecederaan namun pemain itu bertindak menggelecek penjaga gol Nordsjaelland dan menggegar gawang yang kosong.

"Saya tidak tahu sama ada Shakhtar adalah penyamun namun sesetengah pemain, bos dan jurulatih mereka tidak bermoral," kata jurulatih Nordsjaelland, Kasper Hjulmand.


Hjulmand berkata, berbanding keputusan membenarkan jaringan itu, Adriano yang meledak hatrik sepatutnya dibuang padang.


"Pilihan di tangan pemain. Sebagai jurulatih, kita hormati perlawanan, lawan dan peraturan.

"Dalam dunia saya, tindakan itu tidak mempunyai semangat kesukanan dan kad merah kepada Adriano lebih sesuai." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Dipecat!

Posted: 21 Nov 2012 07:24 AM PST

LONDON: Pemilik Chelsea, Roman Abramovich memecat pengurus Roberto Di Matteo, pagi semalam selepas beberapa keputusan buruk yang tidak dapat diterimanya.

Abramovich yang berang dengan kempen buruk kelab itu dalam kancah Liga Juara-Juara, memecat pengurus bangsa Itali itu beberapa jam selepas tewas 0-3 kepada Juventus.


Pegawai eksekutif Chelsea bertemu di Stamford Bridge untuk memaklumkan Di Matteo yang khidmatnya ditamatkan selepas enam bulan melonjakkan mereka untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Abramovich dikatakan berang selepas pasukan itu yang memulakan kempen musim ini dengan peluang memenangi tujuh piala kini semakin merudum.


Walaupun dikatakan bersedia melupakan kekalahan Perisai Kemasyarakatan kepada Manchester City, Abramovich begitu marah dengan cara mereka tewas 1-4 di tangan Atletico Madrid dalam saingan Piala Super.


Sumber rapat dengan Abramovich berkata, mereka sedar Chelsea terpaksa bermain tujuh perlawanan untuk 'layak' merebut Piala Kemasyarakatan itu dan cabaran itu sepatutnya dianggap serius.

Begitu juga dengan kekalahan 1-4 kepada Atletico di Monaco. Mereka dituntut memenanginya selepas menjulang Piala FA menewaskan Liverpool.


Chelsea yang memerlukan keajaiban untuk layak dari Kumpulan E Liga Juara-Juara kini berdepan kemungkinan muncul penyandang juara pertama dalam sejarah kejohanan itu, tersingkir di peringkat kumpulan.

Mereka kini empat mata di belakang pencabar hujung minggu ini, Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan tidak mampu menerima satu lagi kekalahan selepas tewas 1-2 di West Bromwich. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Ukraine pikat Redknapp

Posted: 21 Nov 2012 07:23 AM PST

KIEV: Persekutuan Bola Sepak Ukraine mula mengadakan perbincangan dengan wakil bekas pengurus Tottenham, Harry Redknapp untuk mengisi kekosongan jurulatih kebangsaan.

Ukraine mencari jurulatih baru selepas pengurus, Oleg Blokhin mengumumkan untuk menguruskan Dynamo Kiev dan penyerang legenda yang bersara baru-baru ini, Andriy Shevchenko tidak bersedia untuk menggalas tugas itu.


"Majlis (persekutuan bola sepak) membuat keputusan untuk memulakan rundingan dengan wakil Redknapp bagi mengambil alih tugas pengurus skuad kebangsaan Ukraine," umum persekutuan itu.

Presiden, Mykhaylo Fomenko memuji Redknapp sebagai pengurus yang mempunyai pengaruh kuat terhadap setiap pemain. "Setiap pasukan yang Redknapp ketuai, beliau pantas meningkatkan kualiti permainan dan mencapai kemajuan ditetapkan. Hari ini beliau salah seorang jurulatih terbaik Inggeris," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Beckham enggan bersara

Posted: 21 Nov 2012 07:23 AM PST

LOS ANGELES: Bekas kapten England, David Beckham memberi jaminan akan beraksi pada tahap tertinggi walau di mana saja dia beraksi musim depan.

"Saya masih boleh menangani satu lagi cabaran sebagai seorang pemain," kata pemain tengah Los Angeles Galaxy itu. "Walaupun pada usia 37 tahun saya masih mampu beraksi di peringkat tertinggi. Cuma saya belum memutuskan di mana." Beckham kelmarin turut menolak khabar angin bakal bersara dan menerima beberapa tawaran menarik selepas bersedia menamatkan cabaran enam tahun di California.


"Orang ramai bercakap mengenai persaraan namun saya berasa masih mampu memberikan sesuatu kepada permainan ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


No comments:

Post a Comment