Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Diterjah Ultras

Posted: 26 Nov 2012 03:15 PM PST

DUA tahun lalu, Harimau Malaya dikepung penyokong Indonesia pada final di Jakarta namun berjaya mengharungi pengalaman ngeri itu untuk muncul sebagai juara Piala AFF.

Tahun ini skrip hampir sama namun bezanya, anak buah Datuk K Rajagobal dikepung penyokong sendiri ketika mahu keluar dari Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin kerana tidak tahan dengan kekalahan memalukan pada aksi pertama Kumpulan B di tangan musuh tradisi Singapura 0-3.


Ketika keyakinan penyokong mula kendur kerana kecewa dengan persembahan buruk pemain negara, Rajagobal masih lagi yakin dengan misi mempertahankan kejuaraan biarpun mengakui ia tampak sukar.

Adakah pengendali berusia 56 tahun itu masih mempunyai sentuhan magis ketika Malaysia kalah 1-5 pada aksi pembukaan di tangan Indonesia pada 2010 dan kemudian muncul juara ataupun hanya terbawa-bawa dengan kejayaan silam? "Saya masih yakin kami akan berjaya melakukannya, saya yakin kami akan melakukannya sekali lagi. Dulu saya pernah berkata, apabila kami kalah 1-5 kepada Indonesia, saya berharap kami akan jumpa Indonesia di final, jadi saya mahu katakan di sini, saya berharap kami akan jumpa Singapura di final," kata Rajagobal pada sidang media selepas tamat perlawanan kelmarin.


Kekalahan itu menyebabkan Harimau Malaya kini menduduki tangga tercorot dengan Singapura menduduki tangga teratas selepas mengutip tiga mata manakala Indonesia dan Laos yang seri 2-2 kelmarin berkongsi satu mata.


Kini skuad kebangsaan tiada pilihan selain menang ke atas Laos dan Indonesia pada baki dua perlawanan terakhir jika mahu terus menghidupkan peluang.

Apa yang perlu dilakukan Rajagobal adalah menyuntik semula semangat pemain selain memikirkan percaturan terbaik sama ada mahu mengekalkan barisan utama yang sama atau melakukan rombakan.


Kemungkinan besar Mohd Farizal Marlias bakal mengambil posisi Khairul Fahmi Che Mat yang melakukan kesilapan kerana membenarkan gol kedua Singapura.

"Kami kalah kerana kesilapan pemain sendiri terutama gol kedua. Kami tidak sepatutnya dibolosi gol kedua. Saya akan buat keputusan siapa pemain yang akan diturunkan bagi perlawanan dengan Laos nanti. Itu satu pengajaran buat mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Pikat penyokong

Posted: 26 Nov 2012 03:12 PM PST

LONDON: Rafael Benitez berazam untuk memenangi hati penyokong Chelsea yang membantah kehadirannya di Stamford Bridge apabila mereka mengejek namanya sebelum dan ketika perlawanan pertamanya bersama kelab itu.

Keputusan seri 0-0 di gelanggang sendiri menentang penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City awal pagi semalam menyebabkan juara Liga Juara-Juara itu merudum ke tangga keempat liga, satu mata di belakang West Brom.


Pengendali berbangsa Sepanyol itu mendakwa beliau tidak mendengar sebarang ejekan ditujukan kepadanya kerana memprotes pelantikannya menggantikan Roberto Di Matteo, yang dipecat walaupun mengemudi kelab itu meraih kegemilangan Liga Juara-Juara, Mei lalu.

Penyokong turut menyanyi lagu menyanjung Di Matteo sepanjang perlawanan itu.


"Pengalaman saya di England apabila penyokong menyanyi di tempat penonton, saya tidak faham dengan apa yang mereka katakan," kata bekas pengurus Liverpool itu, yang memberikan komen negatif terhadap Chelsea ketika memegang jawatan pengurus di Anfield menyebabkan kemarahan penyokong Blues.


"Jadi saya hanya menumpukan terhadap perlawanan. Saya faham ia kerana permusuhan lampau.

"Namun saya pasti majoriti penyokong akan faham: saya seorang profesional, saya melakukan tugas saya. Saya mahu menang dan saya mahu membantu kelab mencapai kemenangan. Saya harap mereka akan berkongsi idea sama.


"Perkara paling penting pemain fokus terhadap perlawanan. Jika mereka fokus, ia pasti bagus. Saya mempunyai keyakinan kami akan bertindak baik dan memenangi perlawanan.

"Sesetengah penyokong akan sedar ia bukannya cara untuk menyokong pasukan mereka. Mereka akan sedar mereka mempunyai seorang pengurus profesional, seseorang yang mahu meraih kemenangan." Kamera televisyen sibuk merakamkan sepanduk di kalangan penyokong tuan rumah yang menggesa beliau dipecat dan menegaskan mereka tidak sesekali menerima Benitez.


Namun, pengurus berpengalaman dari Sepanyol itu berasakan penyokong yang bertindak sebegitu sekadar minoriti. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Harry gesa bangkit

Posted: 26 Nov 2012 03:12 PM PST

LONDON: Pengurus baru Queens Park Rangers, Harry Redknapp menggesa peningkatan segera pasukan itu ketika beliau mengendalikan kelab tercorot Liga Perdana Inggeris itu buat kali pertama menentang Sunderland, awal pagi esok.

Redknapp menggantikan Mark Hughes yang dipecat Sabtu lalu dan menyaksikan perlawanan dari bangku penonton ketika kelab barunya mendahului di Manchester United sebelum mengalami kekalahan 1-3.


Dengan hanya empat mata dan tidak menang dalam 13 perlawanan pertama, QPR melakukan permulaan terburuk dalam musim Liga Perdana.

Namun, tiga perlawanan berikut mereka adalah menentang tiga pasukan di kelompok bawahan liga dengan kunjungan ke Sunderland diikuti pertemuan di gelanggang sendiri menentang Aston Villa dan bertandang ke Wigan Athletic.


Ketika Hughes berbelanja besar pada musim panas lalu dengan pemain baru yang belum menyerlah, Redknapp sedar beliau tidak mempunyai banyak modal untuk melabur ketika pasaran perpindahan pemain Januari ini, namun beliau melihat sesuatu yang memberangsangkan di Old Trafford.


"Saya tidak berada di sini untuk menyelesaikan masalah dalam tempoh singkat. Saya mahu membina pasukan di sini," kata Redknapp. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Fitri kian membara

Posted: 26 Nov 2012 03:11 PM PST

GELARAN juara pada pusingan terakhir Piala Impian Asia (ADC) yang berakhir di Qatar, minggu lalu, membakar semangat pelumba muda terbaik Cub Prix 2012, Mohd Fitri Ashraf Razali untuk menghadapi saingan terakhir kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Batu Kawan hujung minggu ini.

Ketika kelompok besar pelumba di depan melepasi selekoh terakhir untuk menuju ke garisan penamat Perlumbaan 1, pelumba berusia 18 tahun itu meloloskan diri memecut bersendirian untuk meraih gelaran juara dengan catatan 18 minit 05.526 saat di depan pelumba Thailand, Kanatat Jaiman dan Iswandi Muis dari Indonesia yang menamatkan perlumbaan dengan 18:05.7024s serta 18:05.703s. Namun hasrat Fitri meneruskan aksi sama pada Perlumbaan 2 tidak kesampaian apabila sekadar tamat di tempat keenam. Perlumbaan itu sebaliknya dimenangi pelumba Australia, Joshua Hook dengan 18:00.916s manakala Iswandi kedua, 18:01.130s dan pelumba Jepun, Hiroki Ono ketiga, 18:01.150s. "Perlumbaan itu sangat sengit namun saya puas kerana selepas beberapa kali mencuba, akhirnya saya menang satu perlumbaan. Saya hampir melakukannya pada Pusingan 5 di Taiwan tapi kerana sedikit kesilapan, saya terlepas peluang itu," kata Fitri yang mengakui penyertaan dalam saingan ADC yang dijalankan serentak dengan Kejuaraan Motosikal Asia Petronas memberi lonjakan besar dalam kariernya. Kejayaan Fitri bertambah manis apabila dia menamatkan saingan di kalangan lapan pelumba terbaik keseluruhan dengan kesemua pelumba itu diberikan peluang menguji jentera Moto3 seperti dijanjikan pada awal musim oleh Honda Jepun.


Kesemua pelumba itu diberi peluang mempamerkan kemahiran menunggang jentera asas Moto3 dan senarai pendek pelumba akan diumumkan nanti bagi menjalani latihan dan ujian pemilihan sebelum diberikan tiket wildcard MotoR di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada musim 2013. Penuh dengan pengalaman menggembirakan sepanjang minggu ini, Fitri berharap ia akan berterusan dalam Kejuaraan Cub Prix di Batu Kawan nanti.

"Pengalaman yang ditimba menjadi pembakar semangat untuk beraksi dengan lebih baik di pusingan terakhir Cub Prix hujung minggu ini. Setakat ini, saya sudah naik podium beberapa pusingan namun masih belum memperoleh gelaran juara. Mudah-mudahan ia menjadi kenyataan minggu ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Jun Hoong raih gangsa ketiga

Posted: 26 Nov 2012 03:11 PM PST

PENERJUN wanita negara, Cheong Jun Hoong menambah koleksi pingat gangsa ketiganya di Kejohanan Renang Asia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam acara 3m papan anjal seirama, kelmarin.

Penerjun berusia 22 tahun dari Selangor itu berganding dengan Loh Zhiyai untuk mengumpul 255.27 mata bagi menduduki tempat ketiga di belakang juara Chen Ye dan Qu Lin dari China yang mencatat 321.90 mata.


Pingat perak disandang penerjun Jepun, Fuka Tatsumi dan Yuka Mabuchi dengan 270.69 mata.

Sebelum ini, Jun Hoong meraih dua gangsa dalam acara 10m platfrom seirama dan 3m papan anjal individu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Kimura beri amaran

Posted: 26 Nov 2012 03:10 PM PST

LAUNGAN amaran yang disuarakan pengendali Laos, Kokichi Kimura hampir dijelmakan anak buahnya selepas mereka berada di ambang kemenangan ke atas naib juara Piala AFF 2010, Indonesia, malam kelmarin.

Ia wajar mencetuskan peringatan kepada anak buah Datuk K Rajagobal akan perancangan yang diatur bekas pengendali kelab Jepun, Yokohama F Marinos itu pada pertemuan getir berdepan Harimau Malaya malam esok.


"Saya ada melihat sendiri perlawanan Malaysia sebelum ini. Namun ia mungkin berbeza bagi kejohanan ini berbanding aksi persahabatan yang saya saksikan itu.

"Saya juga akan melakukan sedikit perubahan taktik, ia bukan perlawanan mudah namun kami turut mempunyai peluang dan jelas ketika menentang Indonesia kami tidak bernasib baik (jaringan penyamaan pada minit ke-89) untuk menang. Namun saya gembira pemain amat bagus dalam mempraktikkan taktik dirancang. Mungkin saya mahu menang (menentang Malaysia)," katanya.


Malah Kimura menegaskan bola sepak bukan permainan individu dan anak buahnya jelas mempamerkan corak permainan bagus ketika menentang Indonesia dan mahu ia diteruskan malam esok terutamanya menerusi serangan balas pantas.


Seri 2-2 ketika menentang Indonesia membuatkan Laos semakin bersemangat untuk menambah duka skuad negara yang diaibkan Singapura 0-3 dengan keyakinan tinggi itu turut dilaungkan kapten pasukan, Visay Phaphouvanin walaupun skuad itu dibarisi sebahagian besar tenaga muda.

"Ia bukan tugas mudah terutamanya beraksi di tempat lawan namun kami harus mencuba," kata tonggak jentera serangan berusia 27 tahun itu.


Katanya, pemain yang bakal mendapat perhatian Laos dalam pertemuan sudah sudah pasti Norshahrul Idlan Talaha yang hampir menggegar gawang pada lewat perlawanan ketika menentang Singapura, malam kelmarin namun terkena tiang.

"Saya sudah lama beraksi menentangnya. Dia sangat berbahaya, kami perlu berwaspada," katanya.


Bagaimanapun rekod jelas tidak memihak kepada Laos apabila skuad negara membelasah mereka, 5-1 dengan salah satu jaringan dihasilkan menerusi sentuhan Norshahrul.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Andik kecewa laporan media Indonesia

Posted: 26 Nov 2012 03:09 PM PST

PEMAIN licik Indonesia, Andik Vermanshah tidak berpuas hati dengan laporan berita dari negaranya yang mendakwa dia mempertikaikan kesungguhan rakan sepasukan ketika skuad Garuda sekadar seri 2-2 dengan Laos pada perlawanan pertama Piala AFF 2012 kelmarin.

Dalam akaun laman sembang twitter @andikvermanshah milik pemain yang diberi nama jolokan 'Messi Indonesia' itu, dia menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan disalahertikan.


Andik, yang bermain di posisi sayap kanan mengakui hanya mengulas mengenai prestasi dirinya saja tanpa menyentuh soal pemain lain.

"Bagi saya, saya akan bekerja keras demi negara, tapi orang lain saya tidak tahu," katanya.


Mengulas mengenai aksi dengan Laos yang menyaksikan mereka terpaksa bangkit dua kali untuk mengikat kedudukan, pemain berusia 21 tahun itu menganggap ia satu perlawanan cukup sukar.


"Terus terang saya katakan, perlawanan pertama ini sangat berat. Kami mencipta banyak peluang sejak awal permainan tapi gagal menghasilkan gol. Kekurangan pemain tambah menyukarkan pasukan kami," katanya.

Sementara itu, pemain naturalisasi Indonesia dari Belanda, Raphael Maitimo gembira kerana berjaya mencetak nama selaku penjaring pada penampilan pertama bersama republik itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Susun 10 jari

Posted: 26 Nov 2012 03:07 PM PST

"SAYA tidak mahu komen pasal perkara (perkahwinan) itu. Hanya bola sepak". Itu reaksi penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat ketika ditanya sama ada tekanan mengenai perkahwinannya sehingga mengganggu tumpuannya ketika Harimau Malaya tunduk mudah kepada Singapura malam kelmarin.

Penjaga gol berusia 23 tahun itu membuka laluan untuk jaringan kedua lawan apabila gagal mengeluarkan bola dengan kemas susulan sepakan percuma Shahdan Sulaiman pada minit ke-36 sekali gus membolehkan kapten Singapura, Shahril Ishak meledak jaringan peribadi keduanya dalam pertemuan itu. Gol ketiga Singapura disempurnakan pemain veteran berusia 42 tahu, Aleksandar Duric.


Khairul Fahmi sebelum ini membuat kejutan ketika berada dalam kem latihan skuad negara apabila mengadakan sidang media bagi mengumumkan tarikh perkahwinannya pada 28 Disember. Tarikh itu terbabit beberapa hari selepas perlawanan akhir Piala AFF dijadualkan berlangsung pada 19 dan 22 Disember.

Menurut penjaga gol Kelantan itu, dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan itu dan memohon maaf terhadap semua peminat bola sepak negara.


"Saya berharap kami akan bangkit dalam baki dua perlawanan selepas ini untuk mara ke peringkat seterusnya," katanya.


Rajagobal ketika sidang media selepas perlawanan malam kelmarin turut mengulas mengenai kesilapan Khairul Fahmi itu sehingga menjejaskan moral pasukan yang ketinggalan satu gol pada perlawanan yang disaksikan lebih 40,000 penyokong.

Pengumuman tarikh perkahwinan Khairul Fahmi sebenarnya turut mendapat tumpuan media Singapura ketika sidang media rasmi kejohanan Sabtu lalu namun Rajagobal dengan tenang mengatakan beliau sedar Khairul Fahmi serta Norshahrul Idlan Talaha (masalah penghijrahan yang masih belum selesai) akan fokus selepas melihat sendiri persembahan mereka pada setiap hari dalam latihan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Harimau Malaya berlatih secara sembunyi-sembunyi

Posted: 26 Nov 2012 03:07 PM PST

SKUAD Harimau Malaya memilih untuk menyembunyikan diri selepas diaibkan Singapura kelmarin, apabila menjalani latihan secara tertutup di Institut Penilaian Negara (Inspen) petang semalam.

Usaha media menjengah sesi latihan skuad Harimau Malaya gagal apabila pengawal keselamatan tidak membenarkan mereka memasuki institut berkenaan dengan alasan menerima arahan daripada pihak atasan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Tindakan itu mengejutkan petugas media kerana sebelum ini, mereka tidak pernah dihalang daripada membuat liputan skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu.


Kelmarin, Harimau Malaya tumpas 0-3 kepada Singapura pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal (gambar) ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa arahan itu daripada beliau sendiri. Beliau berkata tindakan tidak membenarkan media membuat liputan latihan skuad Harimau Malaya itu bagi memastikan usaha memulihkan semangat pemain tidak terganggu.


"Saya nak mereka (jurulatih dan pemain) beri tumpuan 150 peratus kepada persiapan menentang Laos Rabu ini (esok) kerana kami perlu mendapat tiga mata penuh.


"Kami memerlukan enam mata untuk mara ke separuh akhir dan saya yakin mereka mampu melakukannya," kata Subahan.

Bagaimanapun, beliau berjanji akan membenarkan media membuat liputan pada latihan berikutnya di padang latihan FAM hari ini.


"Biarlah pemain kita jalani latihan secara tertutup buat seketika kerana mereka perlu memberi fokus sepenuhnya tanpa sebarang gangguan hari ini," katanya.

Subahan berkata tindakannya itu bukan bermakna untuk menutup kelemahan skuad kebangsaan tapi bagi memberi ruang kepada pemain kerana beliau yakin anak buah Rajagobal mampu bangkit pada perlawanan seterusnya.


Malaysia akan menamatkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Disember. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Tiada siapa main untuk kalah

Posted: 26 Nov 2012 03:06 PM PST

SEPERTI yang kita semua maklum, Harimau Malaya baru saja memulakan aksi dalam kempen Piala AFF 2012 dan malangnya kita bermula dengan langkah kiri. Tiada siapa yang turun ke padang mahukan kekalahan, begitu juga kami. Tak perlulah kita pandang ke belakang sedangkan yang di depan tidak kurang juga besar cabarannya. Pelbagai kata-kata yang kami terima dan kami reda. Sebagai orang yang memikul beban, kami terima segala cabaran, kritikan dan kata-kata semua pihak.

Insya-Allah, kami akan terus berusaha lebih gigih lagi bagi baki dua perlawanan peringkat kumpulan dan kita akan fokus satu persatu terutama perlawanan esok. Laos bukan calang-calang pasukan dan buktinya, mereka buat kejutan dengan dua kali mendahului naib juara 2010, Indonesia. Mungkin pengalaman yang memisahkan kedua-dua pasukan itu. Mereka gagal mendapat tiga mata namun satu mata yang mereka peroleh itu amat berharga buat pembakar semangat sebelum berjumpa dengan Malaysia dan itu yang kami perlu awasi. Mereka sudah mendapat tonik daripada perlawanan pertama, sedangkan kami pula kecewa. Namun, jangan dipadamkan nama kami lagi kerana 90 minit masih ada. Doa daripada semua pihak bakal menjadi tonik buat kami. Segala kelemahan dan kesilapan Ahad lalu akan diperbaiki, kekurangan akan kami pertingkatkan dan kemenangan serta tiga mata penuh akan kami hadiahkan buat seluruh rakyat Malaysia, insya-Allah. Kami terharu dengan sokongan peminat seluruh negara sama ada yang hadir di stadium mahupun yang menonton di rumah atau mengikuti perkembangan di facebook, twitter mahupun radio. Sememangnya kami sangat hargai dan agak kesal kerana gagal membalas sokongan mereka dengan sebaik-baiknya. Namun perjalanan kami belum lagi berakhir. Pengalaman yang sama juga kami lalui dalam AFF lalu malah lebih teruk apabila kami dibelasah 1-5, cuma bezanya ketika itu, tiada siapa peduli mengenai kami. Sejarah membuktikan kekalahan bukan bermakna musnah segala harapan, malah ia membantu mematangkan kami untuk lebih berjaya di masa depan. Kali ini perhatian agak lebih sedikit kerana kita juara bertahan dan tuan rumah edisi ini. Justeru harapan penyokong memang agak tinggi apatah lagi dengan segala maklumat mengenai kami dapat diikuti di media. Kami hargai dan sebagai pemain paling senior dalam pasukan, saya akan berusaha yang terbaik untuk bantu ketua jurulatih dan ketua pasukan memastikan rakan lain bangkit untuk Harimau Malaya bagi membalas sokongan semua. Saya merayu semua penyokong, teruskan bersama kami, moga-moga kemenangan akan menjelma dan kita akan sama-sama meraikannya di Stadium Nasional nanti. Semoga langkah kami esok akan menjadi permulaan kecil untuk pergi lebih jauh dalam saingan kali ini. A small step towards giant leap. Jumpa di stadium!

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


No comments:

Post a Comment