Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Dibaham Singa

Posted: 25 Nov 2012 11:27 AM PST

SORAKAN penyokong jitu skuad negara, Ultras Malaya - 'Rajagobal apa kau buat?' ketika di penghujung perlawanan Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, menceritakan segala-galanya.

Apa tidaknya, skuad Harimau Malaya memilih jalan berliku dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF apabila mudah ditundukkan Singapura 3-0 pada aksi pertama Kumpulan B dengan kapten Singapura, Mohamad Shahril Ishak mendedahkan kepincangan skuad kebangsaan yang kerap dipertahankan ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal sebelum ini, apabila meledak dua gol sebelum pemain veteran, Aleksandar Duric melengkapkan kemenangan juara tiga kali itu.


Adakah kekalahan di tangan skuad kendalian Radojko Avramovic ini masih tidak boleh diambil kira kerana Malaysia juga tewas 5-1 kepada Indonesia pada aksi pertama dua tahun lalu sebelum muncul juara, tapi apa yang pasti untuk menang baki dua perlawanan kumpulan menentang Laos dan Indonesia selepas ini bukan mudah, biarpun ia tidak mustahil.

Dalam aksi menentang musuh tradisi Singapura itu, pengalaman sembilan pemain skuad juara 2010 menjadi taruhan Rajagobal dalam kesebelasan utama selain tiga pertahanan baru, Mohd Azmi Muslim, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mohd Bunyamin Umar diberi kepercayaan kali ini.


Dengan sokongan lebih 40,000 penyokong tempatan, Harimau Malaya bermula baik dengan serangan awal menerusi penyerang, Norshahrul Idlan Talaha yang membuat larian di sebelah kanan untuk menggelecek dua pemain Singapura namun sepakannya berjaya diselamatkan penjaga gol, Mohamad Izwan Mahbud.


Namun aksi panas anak buah Rajagobal yang menewaskan Singapura 2-0 pada pertemuan terakhir Jun lalu dalam aksi persahabatan hanyalah seketika.

Selepas aksi hambar lebih setengah jam, skuad kebangsaan kemudian tergamam dengan dua gol pantas kapten skuad Singa, Shahril dalam tempoh enam minit.


Hantaran Shahdan Sulaiman berjaya dikawal baik pemain tengah LionsXII itu yang melepasi kawalan Azmi dalam kotak penalti sebelum meledak gol pertama pada minit ke-32 menewaskan penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat.

Empat minit kemudian, Khairul Fahmi melakukan kesilapan apabila tertampan bola sepakan percuma Shahdan ke belakang dan biarpun cuba dikeluarkan Mohd Fadhli Shas di atas garisan gol, Shahril pantas menanduk untuk gol kedua Singapura.


Kemasukan dua pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Mahali Jasuli menggantikan Mohd Khyril Muhymeen Zambri dan Azmi memberikan sedikit kebangkitan, namun kekeringan idea untuk menembusi benteng Singapura yang ampuh bertahan.


Hanya satu serangan bahaya berjaya dilakukan, namun hantaran lintang Mahali dari sebelah kanan pantas diselamatkan Mohamad Izwan ketika penyerang negara Mohd Safee Sali dalam posisi terbaik untuk menolak masuk bola ke dalam gawang.


Duric yang berusia 42 tahun membuktikan kenapa pengalamannya begitu berharga buat Avramovic dengan menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit ke-75, hanya dua minit berada di atas padang selepas menggantikan Shahril.


Kemenangan 3-0 ke atas tuan rumah memberikan kelegaan buat Singapura sebelum berdepan Thailand manakala Harimau Malaya perlu bangkit menentang Laos pada Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Guardiola minat bimbing Brazil

Posted: 25 Nov 2012 11:24 AM PST

RIO DE JANEIRO: Bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola tidak akan melepaskan peluang untuk mengendalikan skuad Brazil, yang menyingkirkan Mano Menezes, minggu ini.

Akhbar harian sukan, Lance melaporkan Guardiola sebagai berkata yang 'pasukan kebangsaan Brazil adalah satu-satunya pasukan yang beliau sedia untuk melatih esok' jika diberikan peluang.


Sumber itu memberitahu pengasas kumpulan dan pengerusi Lance, Walter de Mattos Jr, yang menulis artikel itu, mengaitkan bekas pengurus Barca itu dengan jawatan berkenaan.

Guardiola sebelum ini menekankan yang beliau akan kekal bercuti di Amerika Syarikat selepas meninggalkan Nou Camp, musim panas lalu.


Tapi sumber itu berkata, beliau mungkin melakukan kerja yang baik dengan juara dunia lima kali itu, yang kini mencari pengganti untuk Menezes, dipecat kelmarin, 18 bulan sebelum Brazil menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014.


"Jika beliau mengendalikan Selecao, kita akan menang Piala Dunia - anda beritahu itu kepada Pengerusi Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF)," kata sumber itu.

CBF berkata, mereka akan mengumumkan pengganti Menezes dalam tempoh terdekat. Menezes gagal untuk memberikan pingat emas Olimpik apabila Brazil tewas kepada Mexico di final acara bola sepak di London, musim panas lalu.


Pengurus baru itu, jika beliau memulakan kerja pada Januari ini akan mempunyai masa enam bulan untuk membentuk sebuah pasukan yang berupaya menjulang Piala Konfederasi di gelanggang sendiri yang bertindak sebagai kejohanan pemanas badan kepada Piala Dunia 2014.

Bagaimanapun, Lance berkata, pengambilan jurulatih asing akan menimbulkan kontroversi dan sehubungan itu menjadi faktor yang tidak memihak kepada Guardiola.


"Buat masa ini tiada jurulatih di Brazil - walaupun di kalangan yang terbaik kita ada - berupaya bukan saja untuk melonjak tapi turut mewujudkan revolusi bagi mempengaruhi semua peringkat bola sepak Brazil, baik dari bawah hingga ke atas.


"Tapi itulah yang mampu Barca lakukan...menekankan 'jogo bonito' atau permainan cantik yang menjadi lambang Barca serta Brazil." Guardiola turut menjadi sasaran AC Milan selain Chelsea berikutan penyingkiran Roberto di Matteo. Tapi, beliau juga pernah disebut-sebut seawal musim panas ini sebagai pengganti kepada Menezes.


Turut sama berada dalam senarai jurulatih itu adalah Luiz Felipe Scolari yang pernah menjulang Piala Dunia 2002 di samping Tite dari Corinthians dan pengurus Santos, Muricy Ramalho. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Wenger bidas kritikan peminat

Posted: 25 Nov 2012 11:23 AM PST

BIRMINGHAM, United Kingdom: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger membidas kritikan yang dilemparkan selepas pasukannya ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Manchester United, kelmarin.

Aston Villa mengikat Arsenal untuk seri 0-0 dan keputusan Wenger menggantikan penyerang Olivier Giroud dengan pemain tengah, Francis Coquelin lewat permainan di Villa Park disambut dengan kata-kata 'anda tidak tahu apa yang anda buat' daripada penyokong pasukan pelawat itu.


Wenger ketika ditanya alasan di sebalik tindakannya itu yang menimbulkan reaksi penyokong Arsenal, menekankan beliau tidak perlu memberi penerangan terhadap keputusan yang dibuatnya.

"Saya tidak perlu memberi penerangan terhadap setiap keputusan yang saya buat. Anda menilai perlawanan itu daripada akhbar selepas penerangan yang saya berikan," kata Wenger.


"Anda boleh berbincang mengenai setiap penggantian. Anda fikir apa yang anda mahu. Saya melakukan tugas saya dan saya biarkan orang ramai untuk menilainya. Saya melakukannya setiap hari dan saya buat yang terbaik. Saya tahu apa yang saya buat.


"Kenapa kita harus panik? Jika kita panik, kita akan bimbang mengenai permainan selepas ini. Saya tidak tahu kenapa anda perlu bimbang daripada yang sepatutnya.

"Kami akan fokus pada perlawanan berikutnya. Kami perlu memberi tumpuan terhadap ketajaman pada suku ketiga terakhir selepas apa yang berlaku ketika menentang Aston Villa. Secara fizikalnya, kita nampak terjejas.


"Selalunya apabila bermain di gelanggang lawan selepas aksi Liga Juara-Juara, ia akan menjadi sukar. Keputusan perlawanan boleh berpihak kepada mana-mana pasukan dan anda boleh katakan yang Aston Villa bertarung hebat dan mereka juga sebenarnya berpeluang menang.

"Kami agak kurang tepat ketika mempunyai bola tapi saya tidak boleh salahkan pemain saya kerana kekuatan yang mereka tunjukkan sepanjang 90 minit," kata pengurus berbangsa Perancis itu.


Wenger turut menekan yang beliau membuat keputusan merehatkan Jack Wilshire sebagai langkah berjaga-jaga kerana keadaan padang berat selepas pemain tengah England itu baru saja kembali daripada rehat panjang akibat kecederaan.


"Saya membuat keputusan yang Jack perlu direhatkan. Agak merbahaya untuk menurunkannya dalam keadaan cuaca seperti itu apabila dia penat. Jadi, lebih baik dia tidak bermain," kata Wenger. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Cardiff teraju takhta

Posted: 25 Nov 2012 11:23 AM PST

LONDON: Cardiff mendahului Liga Kejohanan selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Barnsley, manakala pendahulu sebelum ini, Crystal Palace tumpas 2-1 di tangan Leeds, kelmarin.

Cardiff yang dibimbing Malky Mackay memulakan perlawanan itu di tempat kedua tapi mereka mempunyai kelebihan satu mata di tangga teratas kejohanan taraf kedua kancah bola sepak Inggeris itu, hasil dominasi yang mereka pamerkan di Oakwell.


Mereka mendahului apabila Ben Nugent menanduk gol pertama kerjayanya pada minit ke-22 sebelum Bluebirds menggandakan pendahuluan mereka enam minit memasuki babak kedua apabila Aron Gunnarsson menanduk masuk satu lagi sepakan percuma Peter Whittingham.

Jacob Mellis membalas untuk Barnsley pada minit ke-76 dan Cardiff pula menyaksikan Simon Lappin diperintah keluar pada lewat permainan, tapi pasukan pelawat itu kekal bertahan untuk kemenangan pertama mereka di gelanggang lawan dalam tujuh perlawanan.


Ketika Cardiff berada di laluan tepat bagi melonjak ke Liga Perdana, harapan Crystal Palace untuk mara menerima tamparan apabila rekod 14 perlawanan tanpa kalah mereka berakhir di Elland Road.


Berikutan kekalahan itu, Palace kini hanya tiga mata di depan pasukan tempat ketiga, Leicester yang turut berpotensi untuk layak selepas menang 2-0 di Sheffield Wednesay. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Lambat panas cetus bimbang

Posted: 25 Nov 2012 11:23 AM PST

MANCHESTER: Alex Ferguson mengakui kecenderungan Manchester United untuk ketinggalan sebelum menang menjadi faktor utama yang perlu dibimbangkan selepas pemainnya sekali lagi menampilkan kebangkitan hebat untuk menewaskan Queens Park Rangers 3-1.

Buat kali kesembilan sepanjang 13 perlawanan liga musim ini, United mengekori pasukan baru Harry Redknapp berikutan gol awal babak kedua hasil jaringan Jamie Mackie di Old Trafford, kelmarin.


Namun United yang tersentak, mula bertindak balas dengan hebat selepas itu apabila meledakkan tiga gol dalam tempoh lapan minit menerusi Jonny Evans, Darren Fletcher dan Javier Hernandez sekali gus menyaksikan pasukan bimbingan Ferguson itu mengumpul 18 mata daripada perlawanan yang mereka ketinggalan itu.

"Sudah tentu situasi itu sesuatu yang mengecewakan," kata pengurus United Ferguson. "Kami perlu berasa bimbang. Tapi, dari satu sudut, sebaik saja kami menyumbat gol (jaringan pertama), kami akan mula menguasai permainan dan bermain dengan keazaman tinggi dan kelajuan, sekali gus menjadikannya sesuatu yang berbeza.


"Kami bermain untuk 15 atau 10 minit - itulah jumlah keseluruhan aksi sebenar Manchester United." Kemenangan itu meletakkan United sebagai pendahulu Liga Perdana untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 24 jam sebelum juara bertahan Manchester City turun menentang Chelsea di Stamford Bridge, awal pagi tadi.


Perlawanan itu juga satu penanda aras buat pemain tengah Fletcher yang kembali beraksi selepas bertarung dengan penyakit usus yang mengancam kariernya.

Jaringannya, yang pertama dalam saingan liga sejak Oktober 2011, hadir menerusi penampilan sulungnya tahun ini dan mencetuskan detik penuh emosi buat pemain popular Scotland itu.


"Saya rasa setiap orang gembira," kata Ferguson. "Dia sudah menempuh satu perjalanan sukar untuk pulih. Ini kali pertama kami menggunakan khidmatnya dua kali dalam tempoh seminggu dan dia tidak mengecewakan.

"Sudah tentu ia sesuatu yang menggembirakan dapat menggunakan khidmatnya semula. Tapi, kami akan menilai kembali keadaannya Rabu ini, namun hari ini (kelmarin) dia memberikan sumbangan hebat buat kami." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Hatrik Gomez benam Reading

Posted: 25 Nov 2012 11:22 AM PST

LONDON: Penyerang Sepanyol, Jordi Gomez melakar hatrik ketika membantu Wigan menang pada lewat permainan ke atas Reading 3-2 selepas kesilapan mudah penjaga gol, Ali al Habsi hampir menyaksikan mereka berkongsi satu mata dengan pasukan pelawat.

Gomez, kembali beraksi untuk pasukan yang menerima dua kekalahan berturut-turut sebelum ini, menjaringkan tiga gol pada babak kedua, termasuk jaringan kemenangan yang hadir pada minit-minit terakhir permainan.


Begitupun 10 minit sebelum perlawanan berakhir, al Habsi berdepan pengalaman paling menakutkan bagi setiap penjaga gol apabila penyerang Reading, Jason Roberts memecut ke dalam kawasan penalti untuk membuat hantaran kepada Hal Robson-Kanu tapi sepakan pemain sayap itu tertampan ke udara.

Al Habsi hanya berdiri dan sekadar memerhatikan detik ngeri itu dalam keadaan gerak perlahan apabila bola yang kembali turun itu terlepas daripada tangkapannya sebelum bergolek melintasi garisan gol.


Tapi Gomez memastikan Wigan meraih mata penuh apabila membuat hantaran kepada penyerang Ivory Coast, Arouna Kone di bahagian tepi padang sebelum menggegarkan bumbung gawang lawan selepas menerima semula bola.


Gomez sebelum itu dua kali menjaringkan gol dalam tempoh 10 minit pada awal babak kedua selepas pemain gantian separuh masa pertama, Franco di Santo meningkatkan permainan Wigan.

Terdahulu, Sean Morisson memecahkan kebuntuan perlawanan itu untuk Reading menerusi gol pada minit ke-35 apabila Nicky Shorey membuat sepakan percuma dari sebelah kiri untuk Morisson menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana dengan tandukan padu ke penjuru gol.


Wigan kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-58 menerusi Gomez.

Penyerang itu juga melengkapkan permainan hebat separuh masa kedua Wigan dengan gol kedua 10 minit kemudian apabila menanduk masuk hantaran lintang dari sebelah kiri Jean Beausejour sebelum jaringannya pada minit terakhir menjadi penentu kemenangan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Kiyonari tawan Losail

Posted: 25 Nov 2012 11:22 AM PST

PERHITUNGAN terakhir merebut mahkota kejuaraan kategori SuperSports 600cc berakhir dengan penuh dramatik apabila Ryuichi Kiyonari dinobatkan juara keseluruhan sebaik pusingan keenam Kejuaraan Motosikal Asia Petronas menutup tirainya di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, semalam.

Dalam aksi cukup mendebarkan, pelumba MUSASHi Boon Siew Honda Racing itu menamatkan Perlumbaan 2 sebagai juara bagi memadamkan hasrat Katsuaki Fujiwara untuk meraih gelaran kedua berturut-turut.


Sebelum itu Kiyonari berjaya merapatkan jurang kedudukan daripada 16 mata kepada sembilan sebaik menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kedua.

Fujiwara yang beraksi buat pasukan Manual-Tech BEET Kawasaki Racing, sekadar menamatkan Perlumbaan 1 di tempat keempat dan kelima pada Perlumbaan 2, sekali gus terpaksa akur melepaskan gelaran kepada legenda Kejuaraan Superbike British yang beralih menyertai Kejuaraan Asia tahun ini.


"Saya sedikit tertekan ketika Perlumbaan 1 kerana sedar peluang saya untuk menang agak tipis jika Fujiwara menamatkan perlumbaan di depan saya. Selepas menduduki tempat kedua Perlumbaan 1 di depan Fujiwara, tekanan sama dirasai pada Perlumbaan 2 kerana hanya kemenangan yang dapat membantu saya muncul juara keseluruhan," katanya yang gembira dengan kejayaan yang diraih menerusi penyertaan sulungnya itu.


"Saya sangat-sangat berterima kasih kepada seluruh pasukan kerana bekerja keras selama ini dan akhirnya saya dapat merealisasikan hasrat untuk menakluk perlumbaan berprestij di Asia ini." Kiyonari mengumpul 231 mata daripada 12 pusingan yang berlangsung dalam enam pusingan perlumbaan.

Fujiwara, kedua dengan 226 mata manakala pelumba Malaysia, Mohd Zamri Baba (Petronas Hong Leong Yamaha Malaysia) ketiga, 197.


Zamri turut mempamerkan kehandalan apabila menjuarai Perlumbaan 1 dengan 31:56.614s dan tempat ketiga menjadi milik rakan sepasukan Kiyonari dari Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman, 32:06.654s.

Pada Perlumbaan 2, dua pelumba Malaysia itu sekali lagi menjejakkan kaki di atas podium dengan Azlan di tempat kedua 31:51.155s dan Zamri ketiga, 32:02.011s.


"Kemenangan di sini (Qatar) cukup bermakna. Kami berbangga dapat merakamkan satu lagi kemenangan kerana musim ini sangat mencabar dengan kehadiran Kiyonari, Fujiwara dan Azlan," kata Zamri.


Dalam saingan Underbone 115cc, pelumba Malaysia, Mohd Amirul Ariff Musa mencatat kejuaraan berganda bagi membantunya untuk naik ke tangga kedua senarai keseluruhan.


Pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu menamatkan Perlumbaan 1 dengan 18:32.635s manakala Perlumbaan 2, 18:26.481s.


Rakan senegara, Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) muncul naib juara Perlumbaan 1 dengan 18:32.765s dan Ferlando Herdian (Yamaha Yamalube KYT R9 Tunggal Jaya) ketiga, 18:32.820s.


Penyandang tempat ketiga keseluruhan, Rey Ratukore (Nissin R9 KYT Federal Oil BRT) muncul naib juara Perlumbaan 2 dengan 18:26.486s dan rakan pasukan Norizman, Mohd Affendi Rosli ketiga, 18:26.526s.


"Kedua-dua perlumbaan hari ini sangat mencabar dan saya juga hampir terjatuh pada Perlumbaan 2 ketika bersaing sengit dengan pelumba kelompok depan untuk ke garisan penamat," kata Amirul yang menamatkan saingan dengan mengumpul 165 mata.


Gelaran juara menjadi milik rakan sepasukan Ferlando, Hadi Wijaya dengan 222 mata dan Rey Ratukore ketiga, 161.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Raja tak sangka kalah

Posted: 25 Nov 2012 11:21 AM PST

KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal tidak menyangka barisan pemain terbaiknya mengalami kekalahan 3-0 di tangan Singapura pada perlawanan pertama Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Beliau mengakui, kekalahan yang amat mengecewakannya itu menyebabkan anak buahnya terpaksa bangkit untuk mencipta kemenangan pada baki dua perlawanan menentang Laos dan Indonesia untuk meneruskan peluang mempertahankan kejuaraan.


"Saya tidak sangka kami akan kalah dengan 3-0, kami melepaskan gol mudah kepada Singapura. Kami bermain dengan bertenaga tapi permainan kami merosot apabila pemain melepaskan gol. Pemain berusaha memberi tekanan tapi kami gagal mendapatkan gol yang diperlukan itu," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas perlawanan itu.

Bagi Avramovic, beliau memuji aksi barisan pemainnya yang mempamerkan permainan mengikut taktik diarahkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Garuda nafas lega ikat Laos

Posted: 25 Nov 2012 11:20 AM PST

LAOS hampir mencipta kejutan menewaskan Indonesia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi yang turut dibayangi dua kad merah.

Penjaga gol Indonesia, Endra Prasetya Suprapto menjadi mangsa pertama pengadil dari Hong Kong, Ng Kai Lam selepas menjatuhkan Vilayout Sayyaboun pada minit ke-26 dalam kotak penalti.


Ia disusuli layangan kad merah kepada Sopha Saysana pada minit ke-33 kerana mengasari Andik Vermansah namun Indonesia bangkit dua kali untuk meraih satu mata berharga.

Ia jelas membanggakan pengendali Indonesia, Nil Maizar walaupun gagal mencatatkan keputusan positif.


"Pemain bekerja keras selepas dua kali ketinggalan, itu yang penting. Kesilapan perkara biasa, kami turut mendapat peluang namun gagal menjaringkan gol," katanya.


Namun bekas pengendali Semen Padang itu mungkin menghadapi masalah baru selepas Endra bakal digantung perlawanan yang menyaksikan hanya satu penjaga gol berada dalam skuad itu pada perlawanan selepas ini.

Perlawanan pembukaan Kumpulan B itu menyaksikan Khampheng Sayavutthi menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Wahyu Tri Nugroho untuk jaringan pembukaan.


Namun asakan berterusan Indonesia akhirnya menjelmakan gol ketika perlawanan berbaki dua minit separuh masa pertama menerusi pemain naturalisasi dari Belanda, Raphael Maitimo menerusi penampilan pertamanya untuk republik itu.

Keoviengpheth Lithideth hampir menjadi wira apabila menjaringkan gol pada minit ke-80 namun kealpaan pertahanan Laos membawa padah apabila Vendry Ronaldo Mofu menyamakan kedudukan seminit sebelum perlawanan sebenar tamat.


"Kami tidak bertuah untuk menang, namun pemain sangat bagus dalam melaksanakan taktik yang dirancang. Kami tidak mempunyai kelebihan ketinggian berbanding lawan. Ia jelas memberi masalah apabila mendapat sepakan percuma dan penjuru," kata pengendali Laos, Kokichi Kimura.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


Atasi Mat Yo

Posted: 25 Nov 2012 11:20 AM PST

KAPTEN pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi berharap pemain yang bakal menyarung jersi no 9 yang pernah dipakai penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha lebih mantap sekali gus menguatkan jentera serangan The Red Warriors (TRW) untuk mempertahan tiga kejuaraan dimenangi musim ini.

Sehingga kini, siapa yang bakal menggantikan Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo selepas tidak tersenarai dalam barisan pemain TRW untuk musim depan belum diketahui.


Mohd Badri atau Piya berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan siapa pengganti Mat Yo, sebaliknya mengharapkan pemain yang bakal mengisi posisi penyerang itu lebih mantap daripada Mat Yo.

Katanya, kehilangan Norshahrul dalam pasukan amat dirasai selepas tiga tahun bersama TRW, namun perjuangan pasukan perlu diteruskan.


"Kehilangan Mat Yo memang dirasai, namun kita perlu menerima realiti yang dunia bola sepak terpaksa berdepan masalah kehilangan pemain bintang. Apa yang kita harapkan pihak pengurusan dapat mencari pengganti sesuai, jika boleh lebih baik daripada Mat Yo bagi menggalas tugas di barisan depan.


"Memang tidak dinafikan Mat Yo penyerang terbaik dan banyak membantu pasukan mencipta sejarah baru dalam bola sepak negeri ini terutama dalam merangkul tiga kejuaraan trebel musim ini," katanya selepas menerima pakej umrah tajaan kerajaan negeri pada Majlis Jamuan Rakyat dan Ifthor Perdana Bersama Menteri Besar kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi meraikan pemain The Red Warriors dan Penyokong Kelantan di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya sudah memberikan pakej umrah seperti mana dijanjikan dan menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan, (Kafa) untuk memutuskan tarikh bagi mengerjakan umrah berkenaan.


"Sumbangan pakej umrah itu diberikan kepada pemain beragama Islam dan kepada mereka yang bukan Muslim, kita beri sumbangan wang yang sama nilai dengan pakej umrah berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26


No comments:

Post a Comment