Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tak makan puji

Posted: 22 Nov 2012 07:30 AM PST

"MUNGKIN itu hanya permainan psikologi mereka, kata ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal mengenai pujian yang diberikan dua pencabar utama Malaysia dalam saingan Kumpulan B Piala Suzuki AFF, Indonesia dan Singapura.

Jurulatih Indonesia, Nil Maizar dan rakan sejawat di Singapura, Radojko Avramovic secara terbuka menyatakan juara bertahan, Malaysia sebagai pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan edisi kali ini meskipun gagal menyerlah dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini.


Bagi Rajagobal, beliau tidak mahu terlalu memikirkan pandangan pasukan lain sebaliknya fokusnya kini lebih terarah kepada perlawanan pertama menentang Singapura.

"Saya sudah menyatakan sebelum ini, untuk memenangi kejuaraan lebih mudah daripada mempertahankannya. Sebagai tuan rumah, kita perlu berikan aksi terbaik.


"Langkah pertama kita adalah untuk mara ke separuh akhir terlebih dulu dan penting untuk kita mencapai keputusan baik menentang Singapura pada perlawanan pertama," katanya yang ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.


Selain finalis 2010, Indonesia dan juara tiga kali Singapura, Malaysia turut berdepan pasukan pusingan kelayakan, Laos dalam kempen Kumpulan B Piala AFF.

Menurut Rajagobal beliau melihat kesungguhan dan peningkatan prestasi pemain dalam sesi latihan dan yakin Harimau Malaya akan mempamerkan aksi sebenar pada pertemuan dengan Singapura Ahad ini sekali gus menepis keraguan mengenai kemampuan mereka.


"Sebagai jurulatih, saya harus sentiasa memberi motivasi kepada pemain. Mereka menunjukkan kesungguhan dalam latihan dan saya harap mereka boleh menterjemahkannya dalam perlawanan dengan Singapura," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Vettel idam juara hatrik

Posted: 22 Nov 2012 07:20 AM PST

SAO PAULO: Selepas membantu Red Bull meraih kejuaraan kategori pengeluar buat kali ketiga berturut-turut di Texas minggu lalu, juara bertahan dunia, Sebastian Vettel mencongak untuk sekali lagi mencipta sejarah muncul pemandu paling muda memenangi kejuaraan dunia buat kali ketiga berturut-turut pada perlumbaan terakhir di Grand Prix Brazil hujung minggu ini.

Pada perlumbaan ke-101 itu, pemandu Jerman berusia 25 tahun itu perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan empat terbaik dan menafikan pencabar tunggal, Fernando Alonso dari Ferrari sekali gus merangkul kejuaraan dunia buat kali ketiga berturut-turut.


Atas kertas, Vettel dilihat agak mudah meraih keputusan itu selepas muncul pemenang empat perlumbaan berturut-turut sebelum menamatkan saingan di tempat ketiga di Abu Dhabi selepas bermula dari hentian pit serta podium kedua di Austin, Ahad lalu.

Tetapi dia sedar Alonso, 31, serta Ferrari akan melakukan apa saja untuk membolehkan pemandu Sepanyol itu merangkul kejuaraan dunia kali pertama sejak menyertai pasukan itu.


Dia juga sedar ancaman daripada dua pemandu McLaren, Lewis Hamilton dan Jenson Button pada perlumbaan terakhir itu.


Hamilton sudah melaungkan amaran mahu meraih kemenangan ke-20 pada perlumbaan terakhir itu serta hadiah terakhir untuk McLaren kerana bakal berhijrah ke Mercedes, tahun depan.

"Brazil sentiasa menjadi perlumbaan epik untuk saya sepanjang bersama McLaren dan untuk banyak sebab, minggu ini adalah perlumbaan yang cukup bermakna untuk saya," kata pemandu berusia 27 tahun itu.


"Untuk perlumbaan terakhir bersama McLaren, saya bertekad memberikan yang terbaik pada setiap pusingan," katanya.

Pemandu Britain itu sedar dia sentiasa mendapat sokongan padu daripada rakan sepasukan dan McLaren mahu menamatkan musim ini dengan melihat kedua-dua pemandu menaiki podium.


Ia pasti menyukarkan Vettel dan Red Bull yang menyaksikan kelemahan mereka terdedah Ahad lalu apabila Mark Webber gagal menamatkan perlumbaan kerana mengalami masalah alternator buat kali ketiga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Real musnah impian City

Posted: 22 Nov 2012 07:19 AM PST

MANCHESTER: Jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho merakam keputusan seri 1-1 dengan Manchester City pada perlawanan ke-100 Liga Juara-Juara sejak membimbing kelab itu sekali gus mengesahkan tiket pasukannya ke pusingan kedua.

City wajib menang perlawanan itu untuk menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya dan meskipun jaringan penalti Sergio Aguero pada minit ke-73 memadam kelebihan Real yang mendahului dengan gol Karim Benzema, tuan rumah tersingkir daripada saingan kalah mati buat musim kedua berturut-turut.


Pada perlawanan itu, Real kehilangan khidmat Alvaro Arbeloa yang dilayang kad merah namun dengan lapan mata, tiga di belakang pendahulu Kumpulan D, Borussia Dortmund, mereka tidak mampu dikejar Ajax mahupun City yang tidak tewas 19 perlawanan di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara.

"Liga Juara-Juara kali ini lebih teruk berbanding musim lalu," kata jurulatih City, Roberto Mancini.


"Kami hanya meraih tiga mata selepas lima perlawanan. Kami melakukan beberapa kesilapan ketika beraksi dalam kumpulan sukar termasuk perlawanan pembukaan, tewas 2-3 kepada Real di Madrid, biarpun pada awalnya mendahului 2-1 dengan permainan berbaki empat minit.


"Semuanya menjadi sukar selepas kekalahan itu. Real dan Borussia sememangnya layak mara kerana mereka bermain lebih baik." Juara Liga Perdana Inggeris itu kini satu mata di belakang Ajax dan mesti menang di Dortmund pada perlawanan terakhir kumpulan dan berharap wakil Belanda itu tewas di Madrid untuk merebut tempat ke saingan Liga Europa.

Mourinho adalah jurulatih termuda mencapai 100 perlawanan Liga Juara-Juara dan berpeluang menjulang trofi Piala Eropah ke-10 untuk juara Sepanyol yang kini ketinggalan lapan mata dalam La Liga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Lavezzi julang PSG

Posted: 22 Nov 2012 07:19 AM PST

KIEV: Penyerang Argentina Ezequiel Lavezzi akhirnya berjaya menyumbangkan gol buat Paris St Germain dan dua gol peribadi pertamanya mengesahkan tempat buat wakil Perancis itu mara ke pusingan kedua Liga Juara-Juara dengan kemenangan 2-0 ke atas Dynamo Kiev.

Lavezzi yang berpindah dari Napoli Julai lalu, menjaringkan satu gol di setiap babak untuk membawa PSG mara dan terus menyingkir Dynamo di peringkat kumpulan A dengan baki satu perlawanan.


Dia meletakkan PSG di depan sebelum rehat babak pertama apabila menyudahkan lorongan Zlatan Ibrahimovic. Kesilapan bek tengah Dynamo, Yevhen Khacheridi yang menghantar bola ke belakang pada awal babak kedua mengundang padah apabila Blaise Matuidi memintas hantaran itu dan melorongkan bola kepada Lavezzi yang mudah menjaringkan gol kedua.

Pasukan yang menghuni tangga kedua dengan 12 mata itu akan menentang pendahulu, Porto pada perlawanan terakhir dan perlu menang untuk muncul juara kumpulan.


"Taktik kami kurang menjadi pada babak pertama namun berjaya mempraktikkannya pada babak kedua. Padang ini masih baru, kami perlu sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan pemain menunjukkan peningkatan sebaik perlawanan bersambung," kata jurulatih PSG, Carlo Ancelotti.


"Kami memburu kemenangan dan sasaran adalah muncul juara kumpulan." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Mexes tiru gol Ibrahimovic

Posted: 22 Nov 2012 07:18 AM PST

BRUSSELS: Pemain pertahanan Philippe Mexes meniru gaya akrobatik Zlatan Ibrahimovic untuk membantu AC Milan mara ke pusingan kedua Liga Juara-Juara dengan menewaskan Anderlecht, 3-1.

Pemain kebangsaan Perancis itu mendada bola dan melakukan sepakan gunting dengan mengarahkan bola ke penjuru gawang kelab dari Belgium dan jaringannya itu dibandingkan dengan gol Ibrahimovic ketika Sweden menewaskan England bulan ini.


Milan membuka jaringan menerusi penjaring terbanyak Serie A Itali, Stephen El Shaarawy. Jaringan itu dicipta pada minit ke-47 hasil hantaran lintang pertahanan, Mattia De Sciglio ke dalam kotak penalti lawan.

Mexes yang jarang menjaringkan gol, mengubah kedukan menjadi 2-0 pada minit ke-71, sejurus selepas Anderlecht beraksi 10 pemain apabila Bram Nuytinck dibuang padang kerana mengasari Alexandre Pato.


Tom De Sutter mengurangkan defisit apabila menjaringkan gol tuan rumah pada minit ke-77 namun harapan Anderlecht untuk terus bersaing dalam Liga Juara-Juara berakhir apabila Pato memeterai kemenangan Milan dengan menyudahkan hantaran El Shaarawy pada masa kecederaan.


"Saya tidak ingat bagaimana saya meraikan jaringan itu," kata jurulatih Milan, Massimiliano Allegri mengulas jaringan Mexes.

"Philippe menjaringkan gol cantik tapi saya sebenarnya menyangka bola itu tidak menerjah ke gawang gol." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Wilshere inspirasi Gunners

Posted: 22 Nov 2012 07:18 AM PST

LONDON: Pemain tengah Arsenal, Jack Wilshere membantu Gunners mengesahkan tiket ke pusingan kedua Liga Juara-Juara apabila menjaringkan gol pertama dalam tempoh dua tahun bagi membantu kelabnya menewaskan Montpellier, 2-0 awal pagi semalam.

Wilshere sudah mengharungi 725 hari tanpa sebarang jaringan sejak meledak gol ketika menentang Aston Villa pada November 2010, selepas tersisih selama 14 bulan kerana kecederaan kaki dan lutut.


Namun pemain antarabangsa England itu kembali berada dalam senarai penjaring pada awal baka kedua dengan sentuhan bersahaja menentang juara Perancis itu dan sepakan voli menarik Lukas Podolski melengkapkan kemenangan penting di Stadium Emirates.

Ketika Schalke menewaskan pasukan di tempat ketiga, Olympiakos dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, aksi cemerlang Wilshere dan Podolski memastikan Arsenal layak ke peringkat kalah mati kejohanan elit itu buat kali ke-13 berturut-turut.


Skuad kendalian Arsene Wenger kekal di tempat kedua kumpulan, ketinggalan satu mata di belakang Schalke namun paling penting mereka tidak berdepan situasi hidup mata apabila menentang Olympiakos pada perlawanan terakhir kumpulan di Athens, 4 Disember ini.


Wilshere memeluk pakar fisioterapi Arsenal selepas menjaringkan gol dan berkata: "Kecergasan saya bakal kembali. Saya tidak pernah cedera dan tidak tahu tempoh diperlukan untuk pulih semula.

"Separuh masa pertama sukar. Kami cuai, memberikan bola kepada lawan dan tidak bermain seperti biasa.


"Kami memerlukan gol awal pada babak kedua dan perlu meningkatkan permainan. Aksi ini belum cukup bagus." Jurulatih Montpellier, Rene Girard mengaku pasukannya tidak bermain dengan baik.

"Aksi babak kedua amat mengecewakan. Terlalu ramai pemain utama cedera hingga menyebabkan kami hilang punca pada hujung permainan," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Schalke tempah tiket

Posted: 22 Nov 2012 07:18 AM PST

GELSENKIRCHEN (Jerman): Schalke 04 menempah tiket ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Olympiakos Piraeus, awal pagi semalam hasil jaringan menarik Christian Fuchs dari jarak 30 meter.

Rembatan kaki kiri pemain antarabangsa Austria, Fuchs pada minit ke-77 meletakkan Schalke di kedudukan teratas Kumpulan B dengan 11 mata dan mara ke peringkat seterusnya.


Arsenal menewaskan Montpellier, 2-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B untuk mengumpul 10 mata dan turut memastikan kemaraan mereka.

Olympiakos di tempat ketiga dengan enam mata namun sudah tersingkir meskipun aksi berbaki satu perlawanan. Schalke yang mencatat kemenangan pertama Liga Juara-Juara di laman sendiri musim ini mendominasi perlawanan tapi mensia-siakan setengah dozen peluang dicipta termasuk menggegar palang sebelum Fuchs berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan.


"Saya tidak marah jika melihat perlawanan seperti ini yang dihidangkan dengan sejumlah peluang," kata jurulatih Schalke, Huub Stevens.


"Sekurang-kurangnya kami tidak membenarkan mereka mencipta peluang yang banyak. Kami banyak kali melakukan percubaan ke arah gol lawan tapi hanya beberapa yang tepat ke gawang manakala lebih banyak tersasar, "Akhirnya, tiga mata paling penting dan kejayaan mara ke peringkat kalah mati selepas menang di tempat sendiri pastinya amat memuaskan hati." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Goetze julang aksi Dortmund

Posted: 22 Nov 2012 07:17 AM PST

AMSTERDAM: Mario Goetze mempamerkan taringnya untuk membantu Borussia Dortmund menewaskan Ajax Amsterdam, 4-1, awal pagi semalam sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan kedua Liga Juara-Juara selaku juara Kumpulan D.

Goetze terbabit dalam setiap gol yang dijaringkan juara Jerman itu yang kelihatan berpeluang menggegar jaring setiap kali melancarkan serangan balas dan mendahului bekas juara empat kali itu, 3-0 pada babak pertama.


Marco Reus meletakkan pelawat di depan pada minit kelapan apabila berganding dengan Goetze menerusi serangan balas di sebelah kanan sebelum menolak bola antara kaki penjaga gol Ajax, Kenneth Vermeer.

Ketika Dortmund hanya memerlukan satu mata untuk layak dengan baki satu perlawanan, Goetze menambah gol kedua pada minit ke-36 dan lima minit kemudian, Robert Lewandowski pantas menyambar bola muntah daripada rembatan awal Goetze.


Walaupun Ajax menguasai perlawanan, Lewandowski menambah gol keduanya pada minit ke-67 dengan rembatan dari sudut sukar susulan hantaran Goetze yang melihat pemain itu tidak dikawal.


Daniel Hoesen menjaringkan gol sagu hati tuan rumah pada minit ke-86 namun jaringan itu tidak mampu menghalang Dortmund menyertai naib juara kumpulan, Real Madrid dalam aksi kalah mati. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Chelsea pilih Benitez

Posted: 22 Nov 2012 07:17 AM PST

LONDON: Chelsea melantik Rafael Benitez sebagai pengurus sementara hingga hujung musim ini selepas juara bertahan Liga Juara-Juara itu memecat Roberto Di Matteo.

Di Matteo dipecat selepas pasukan kendaliannya tewas 0-3 kepada Juventus di Turin sekali gus menyaksikan Chelsea mungkin bakal tersingkir awal daripada saingan Liga Juara-Juara.


Jutawan Russia serta pemilik Chelsea, Roman Abramovich yang setakat ini sudah memecat tujuh pengurus sejak membeli kelab itu pada 2003, melantik Benitez, bekas pengurus Liverpool sebagai pengurus sementara. "Kelab Bola Sepak Chelsea mengesahkan Benitez dilantik sebagai pengurus sementara pasukan utama hingga hujung musim ini.

"Pemilik kelab serta ahli lembaga pengarah percaya Benitez yang berpengalaman luas dalam saingan tertinggi bola sepak, dapat membantu kelab dengan memenuhi misi kami," katanya.


Beberapa jam kemudian, Di Matteo, bekas pemain tengah Chelsea yang menggantikan tempat Andre Villas-Boas pada Mac lalu dan membantu kelab memenangi Piala FA serta Liga Juara-Juara, memberikan reaksi pertama beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Pengurus Liga.


Chelsea pula menerusi kenyataannya berkata, Benitez hadir dengan rekod yang cemerlang.

Tetapi yang pasti kontrak sementara ditawar kepada pengendali berusia 52 tahun dari Sepanyol itu adalah kerana bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola yang kini berehat selama setahun daripada bola sepak, dikatakan individu yang benar-benar diinginkan Abramovich untuk memikul tugas pengurus sepenuh masa di Stamford Bridge. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


‘Belum pilih pasukan’

Posted: 22 Nov 2012 07:17 AM PST

LONDON: Bekas jurulatih Barcelona, Pep Guardiola yang dikaitkan dengan jawatan pengurus Chelsea selepas pemecatan Roberto Di Matteo, tidak akan membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya hingga awal tahun, jelas ejen jurulatih itu.

"Saya bersamanya 15 hari lalu dan memaklumkan, sebelum Januari atau Februari, beliau tidak akan membuat keputusan kelab mana yang ingin dibimbing atau menjadi pengurus di mana-mana kelab pada musim depan," kata ejen, Josep Maria Orobitg di akhbar sukan Brazil, Lance.


"Tidak kiralah apa saja yang berlaku, sebelum tempoh itu beliau tidak akan membuat keputusan sama ada membimbing kelab atau pasukan kebangsaan.

"Dia akan memutuskan masa depannya kerana banyak yang berminat untuk mendapatkannya.


"Pada masa ini, Guardiola berehat bersama keluarga. Pada Januari, beliau akan mula memikirkan pasukan manakah yang akan dibimbingnya pada musim depan." Guardiola membantu Barcelona meraih 14 trofi dalam 19 pertandingan yang disertai kelab itu sepanjang empat tahun beliau membimbing kelab Catalan itu. Ia termasuklah dua kejuaraan Liga Juara-Juara dan tiga gelaran La Liga.


Bekas pemain antarabangsa Sepanyol berusia 41 tahun itu berundur pada hujung musim lalu dengan memberi alasan mahu berehat daripada dunia bola sepak dan kini menetap di New York bersama keluarganya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


No comments:

Post a Comment