Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kombinasi lama, baru

Posted: 23 Nov 2012 10:21 AM PST

KOMBINASI muka baru dan lama menjadi taruhan Datuk K Rajagobal bagi membawa misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF yang akan bermula esok.

Selepas menggugurkan tiga pemain semalam, pengendali negara itu cukup yakin 22 pemain yang disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya adalah terbaik dimilikinya.


Pemain yang terpaksa diketepikan pengendali negara itu adalah penyerang, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, pertahanan tengah, Irwan Fadzli Idrus dan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Ketiadaan Zaquan yang mengalami kecederaan lutut ketika Malaysia seri 1-1 dengan Bangladesh Selasa lalu memberi ruang untuk penyerang Harimau Muda A, Ahmad Hazwan Bakri membuat penampilan pertama di kejohanan berprestij Asia Tenggara itu.


Sementara Irwan dan Izham pula gagal merebut tempat bersama skuad Harimau Malaya.


Rajagobal yang ditemui selepas sesi latihan semalam yakin pemain terpilih kali ini adalah yang terbaik dengan separuh pemain daripada skuad juara dua tahun lalu.

"Ini adalah barisan pemain yang saya fikir terbaik untuk bersama dalam skuad kebangsaan bagi kejohanan kali ini. Saya memilih pemain dengan melihat kepada semua posisi. Selepas Zaquan cedera saya tidak boleh memanggil pemain lain kerana masa sudah tidak cukup.


"Hazwan sebelum ini pernah bermain dalam skuad kebangsaan, dia memiliki potensi dan menjaringkan tiga gol ketika menentang Sri Lanka. Saya rasa Hazwan pemain paling sesuai untuk mengambil tempat Zaquan kerana dia boleh bermain di posisi sayap kanan dan penyerang," katanya.

Kehadiran Hazwan melengkapkan senarai 12 pemain baru yang bakal tampil buat kali pertama pada Piala AFF manakala bakinya adalah tonggak utama yang menjulang trofi edisi 2010 di Jakarta, Indonesia termasuk gandingan penggempur utama, Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.


Bagaimanapun Rajagobal menegaskan, semua pemain berpeluang merebut tempat dalam kesebelasan utama pada perlawanan pembuka tirai menentang musuh tradisi Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil.


"Pertemuan dengan Singapura mempunyai tradisi, rekod perlawanan sentiasa sengit. Walaupun kita menang aksi persahabatan sebelum ini, ia tidak boleh dijadikan ukuran. "Kejohanan kali ini berbeza tapi Singapura mempunyai ramai pemain yang beraksi pada edisi 2010. Mereka mempunyai kelebihan dari segi pengalaman. Saya mahu semua pemain serius bagi perlawanan dengan Singapura."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


Milan terdesak

Posted: 23 Nov 2012 07:41 AM PST

MILAN: Kegembiraan AC Milan pada saingan Liga Juara-Juara bakal terencat kerana mereka terdesak untuk meraih mata pada saingan domestik Serie A menjelang pertemuan dengan Juventus, Ahad ini.

Milan, juara Serie A tujuh kali, meraih keputusan lebih baik berbanding Juventus apabila mara ke pusingan kedua Liga Juara-Juara selepas menewaskan Anderlecht, Rabu lalu.


Tetapi kemenangan Rossoneri di Brussels masih tidak dapat melenyapkan aksi hambar mereka pada saingan domestik berbanding gergasi Turin itu.

Selepas 13 perlawanan, Milan menduduki tangga pertengahan liga dengan perbezaan 17 mata berbanding Juventus (32 mata) yang selesa dengan kelebihan empat mata berbanding Inter Milan sementara Napoli dan Fiorentina masing-masing ketinggalan lima mata di tangga ketiga dan keempat.


Jika tidak kerana kecemerlangan penjaring berbakat, Stephan El Shaarawy yang muncul penjaring terbanyak liga setakat ini dengan 10 gol, prestasi kelab dengan warna rasmi merah hitam itu mungkin lebih buruk.


"El Shaarawy adalah salah seorang pemain yang sering melakukan perubahan dalam pasukan," kata penyerang Juventus, Sebastian Giovinco.

Juventus juga tidak berada pada kedudukan terlalu selesa.


Sejak tewas kali pertama dalam 50 perlawanan kira-kira tiga minggu lalu, mereka menewaskan Pescara 6-1, mendominasi perlawanan ketika seri tanpa jaringan dengan Lazio dan menundukkan Chelsea, 3-0 pada saingan Liga Juara-Juara.

Pada pertemuan kedua-dua pasukan tahun lalu, Juventus menewaskan Milan, 2-1 di San Siro manakala Milan berjaya mengikat Old Lady, 1-1 di Turin, Februari lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


Reds gagal sah tempat

Posted: 23 Nov 2012 07:40 AM PST

PARIS: Liverpool mungkin juara Eropah lima kali tetapi mereka terpaksa menunggu sebelum mengesahkan tempat pada pusingan kedua Liga Europa selepas membenarkan wakil Switzerland, Young Boys meraih keputusan seri 2-2 di Anfield, kelmarin.

Rombakan besar-besaran dilakukan jurulatih Brendan Rodgers apabila meletakkan Luis Suarez dan Steven Gerrard di bangku simpanan sekali gus menyaksikan wakil Switzerland itu berjaya menyamakan kedudukan selepas Jonjo Shelvey dan Joe Cole memastikan Liverpool selesa di depan.


Raul Bobadilla menjaringkan gol pada minit ke-52 dan pada minit ke-88, Elsad Zverotic meledak gol penyamaan menewaskan Pepe Reina yang memadam rekod Ray Clemence sebagai penjaga gol paling banyak melakukan penampilan pada saingan Eropah dengan penampilannya yang ke-81.

"Melepaskan gol pada saat akhir memang mengecewakan.


"Pada akhirnya, ia satu permainan biasa yang meleburkan semangat. Kami mempunyai banyak pemain muda berbakat di atas padang tapi aksi mereka tidak maksimum.


"Kami tidak mengawal permainan dengan baik pada hujung permainan. Tetapi mujur kami masih mengutip satu mata. Keputusan ini meletakkan kami dalam keadaan lebih sukar," katanya.

Keputusan seri itu bermakna, Liverpool perlu menang aksi terakhir di Udinese dengan Young Boys berkongsi tujuh mata bersama pasukan Merseyside itu.


Wakil Russia, Anzhi Makhachkala sudah melepasi Kumpulan A selepas penyerang Cameroon, Samuel Eto'o meledak dua gol untuk membantu mereka menewaskan Udinese, 2-0.

Tottenham sekadar seri tanpa jaringan di Lazio dan mereka kini perlu memungut mata pada perlawanan terakhir di tempat sendiri, menentang Panathinaikos yang ketinggalan dua mata kepada kelab London itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


Hughes akhirnya dipecat

Posted: 23 Nov 2012 07:40 AM PST

LONDON: Mark Hughes dipecat daripada jawatan ketua jurulatih Queens Park Rangers (QPR) semalam, ketika kelab itu menduduki tangga tercorot Liga Perdana Inggeris selepas gagal memenangi satupun daripada 12 perlawanan pertama musim ini.

"Queens Park Rangers hari ini menamatkan kontrak pengurus Mark Hughes berkuat kuasa serta-merta," umum kelab itu dalam laman rasmi Twitter mereka.


QPR yang berjaya mengelak daripada diturunkan liga pada hari terakhir musim lalu, adalah satu-satunya kelab dalam Liga Inggeris yang masih belum memenangi sebarang perlawanan.

Hughes menerima sokongan daripada pemilik kelab dari Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes sejak beberapa minggu lalu namun kekalahan 1-3 di gelanggang sendiri di tangan Southampton hujung minggu lalu menyebabkan mereka jauh ketinggalan.


"Keputusan ini diambil selepas pertimbangan teliti dilakukan ahli lembaga pengarah dalam beberapa mesyuarat sejak beberapa hari lalu," menurut satu kenyataan dalam laman web QPR.


"Mark mempamerkan integriti dan tahap profesionalisme tinggi sepanjang beliau berada di sini, namun ahli lembaga pengarah tiada pilihan selain terpaksa melakukan perubahan.

"Lembaga pengarah kini berusaha mencari pengganti pengurus secepat mungkin.


"Mark Bowen dan Eddie Niedzwiecki akan mengambil alih ketika kunjungan QPR ke Manchester United bagi perlawanan Liga Perdana Sabtu ini (hari ini)." Hughes adalah pengurus Liga Perdana kedua kehilangan jawatannya musim ini selepas Roberto Di Matteo dipecat Chelsea, Rabu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


Peluang Arsenal ambil kesempatan

Posted: 23 Nov 2012 07:39 AM PST

LONDON: Arsene Wenger percaya Arsenal mampu mengambil kesempatan atas prestasi tidak konsisten pencabar kejuaraan Liga Perdana, untuk kembali ke kelompok empat pasukan teratas.

Skuad bimbingan Wenger kembali mempamerkan aksi sebenar apabila mencapai dua kemenangan berturut-turut menjelang perlawanan menentang Aston Villa di tempat lawan, ketika Manchester United dan Chelsea tewas hujung minggu lalu.


Juara bertahan yang juga pendahulu liga, Manchester City turut keciciran mata di West Ham dan tersingkir dari Liga Juara-Juara sekali gus memberi Wenger harapan untuk kembali mencabar kedudukan teratas liga.

"Dengan apa yang berlaku dalam liga ketika ini, hanya pasukan yang konsisten memiliki peluang dan jika kami berjaya pamerkan aksi konsisten, kami berpeluang kembali ke kelompok teratas. "Saya gembira dengan keputusan hujung minggu lalu kerana jika pasukan di atas tidak keciciran mata, apa juga anda lakukan di bawah tidak bermakna, anda tidak mungkin mampu bangkit," kata pengurus dari Perancis itu ketika menganalisis kedudukan pasukannya yang kini ketinggalan empat mata dari posisi slot ke Liga Juara-Juara musim depan. "Kami sudah menempuh detik sukar, saya harap kini kami boleh tunjukkan aksi konsisten yang diperlukan untuk kembali bersaing." Wenger juga amat gembira dengan kembalinya Jack Wilshere daripada kecederaan.


Olivier Giroud dan Lukas Podolski menjadi kunci utama kemenangan ke atas Tottenham dan Montpellier manakala Wilshere menjaringkan gol ketika menentang wakil Perancis yang menyaksikan Arsenal mengesahkan tempat ke pusingan kedua Liga Juara-Juara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


Ferguson sanjung Ji Sung

Posted: 23 Nov 2012 07:39 AM PST

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menyifatkan pemain tengah Korea Selatan dan QPR, Park Ji Sung sebagai salah seorang daripada pemain profesional terbaik sepanjang 26 tahun mengendalikan pasukan itu di Old Trafford.

Ji Sung meninggalkan United, Julai lalu untuk menyertai QPR dengan kos perpindahan bernilai �2 juta (RM9.8 juta) sekali gus menamatkan khidmatnya selama tujuh tahun bersama Red Devils dan sepanjang tempoh itu menyaksikan pemain Korea Selatan itu merangkul empat gelaran Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan tiga Piala Liga. Pemain berusia 32 tahun itu terlepas empat perlawanan kerana kecederaan lutut yang mungkin tidak pulih dalam jangka masa singkat bagi diturunkan menentang bekas kelabnya apabila QPR berkunjung Old Trafford, hari ini.


Namun Ferguson tetap mengambil peluang itu untuk memuji Ji Sung apabila mengenang sumbangan pemain tengah itu pada perlawanan penting terutama sewaktu melakar kemenangan agregat 7-2 ke atas AC Milan pada perlawanan Liga Juara-Juara 2010.

"Dia amat hebat terutama pada perlawanan besar," kata Ferguson. "Saya suka menurunkannya dalam perlawanan besar. Rekodnya menentang Arsenal misalnya, sangat hebat.


"Perlawanan menentang Milan di Old Trafford, saya menurunkan Ji Sung untuk mengawal (Andrea) Pirlo dan ia tidak mungkin saya lupakan.


"Dia langsung tidak memberi Pirlo peluang menendang bola dan sentiasa mengawal rapi pemain lawan dan itu satu tindakan yang bijak. Ji Sung amat berdisiplin dan tidak mementingkan diri sendiri.

"Itulah sikapnya. Dia tidak mementingkan diri sendiri. Dia bermain untuk pasukan dan apa saja peranan yang anda berikan kepadanya, dia akan menggalas tugas itu. Dia seorang yang hebat dan seorang pemain profesional yang berdisiplin tinggi." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


Benitez idam 5 trofi

Posted: 23 Nov 2012 07:38 AM PST

LONDON: Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez bersetuju mewarnai kancah Liga Perdana Inggeris kerana menganggap cabaran untuk cuba memenangi lima trofi musim ini adalah peluang yang sangat sukar beliau lepaskan.

Pengendali berusia 52 tahun dari Sepanyol yang meninggalkan Liverpool selepas tamat musim 2009-10 dan menggantikan Roberto Di Matteo di Stamford Bridge berkata, beliau tidak kisah dengan kontrak jangka pendek bersama kelab barat London itu.


"Saya rela menandatangani kontrak jangka pendek kerana kami berpeluang memenangi lima trofi," kata Benitez selepas sesi bergambar di podium dengan baju biru Chelsea, sesuatu yang berbeza memandangkan sebelum ini beliau cukup terkenal dengan baju merah Liverpool di England.

"Paling penting adalah memenangi perlawanan kerana dengan cara itu kami boleh menang trofi. Selepas itu kita akan lihat apa akan terjadi. Dalam bola sepak dan kehidupan, anda tidak tahu apa yang akan berlaku." Selain Liga Perdana, juara Eropah itu masih terbabit dalam saingan Liga Juara-Juara meskipun kini berdepan penyingkiran di peringkat kumpulan.


Mereka juga meneruskan kempen Piala Liga manakala bakal turun mempertahankan kejuaraan Piala FA bermula Januari ini, sebulan selepas menyertai Kelab Piala Dunia Fifa di Jepun.


Di Matteo dipecat Rabu lalu selepas Chelsea tewas 0-3 di tangan Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara, enam bulan selepas membimbing pasukannya muncul juara musim lalu.

Benitez juga tidak menghiraukan status dirinya yang dilabel pengurus sementara hingga pemilik Chelsea, jutawan dari Russia, Roman Abramovich berjaya mendapatkan khidmat Pep Guardiola.


"Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Pep, beliau pengurus yang hebat namun anda tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa depan. Apa yang saya tahu kami mempunyai perlawanan hebat menentang Manchester City, minggu ini dan akan merebut lima trofi.

"Bila menilai mengapa menyertai sebuah kelab untuk tujuh bulan, selepas 18 bulan, dua tahun menanti peluang terbaik, pastinya saya hanya menyertai kelab yang boleh memenangi perlawanan dan trofi." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


FA Inggeris enggan hukum Clattenburg

Posted: 23 Nov 2012 07:37 AM PST

LONDON: Persatuan Bola Sepak England (FA) semalam mengumumkan tidak akan menghukum pengadil Mark Clattenburg atas dakwaan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap penyerang Chelsea, John Obi Mikel.

FA berkata, tiada dakwaan boleh dibuat terhadap Clattenburg yang didakwa mengeluarkan kata-kata "Diamlah kamu monyet" kepada pemain tengah Nigeria itu ketika Chelsea tumpas 2-3 kepada Manchester United di Stamford Bridge, 28 Oktober lalu.


Namun FA mengenakan tindakan ke atas Mikel atas dakwaan salah laku ketika berada di dalam atau berhampiran bilik persalinan pegawai perlawanan selepas tamat perlawanan itu.

Sementara itu, Clattenburg yang tidak pernah mengadili perlawanan utama sejak Chelsea membuat dakwaan beberapa jam selepas tamat perlawanan kontroversi itu gembira dengan keputusan itu.


"Saya mahu melupakan insiden ini dan memberi tumpuan kepada tugas selaku pengadil Liga Perdana dan kejohanan lain," katanya.


"Saya menerima banyak mesej yang memberi semangat kepada saya untuk mengharungi tempoh sukar ini.

"Walaupun mengenali diri sendiri dan tidak bersalah tapi saya masih bimbang ia boleh menghancurkan karier.


"Masalah perkauman tidak boleh ada dalam bola sepak dan pengalaman ini tidak seharusnya menghalang mana-mana pihak yang menjadi mangsa perkauman untuk membuat dakwaan.

"Bagaimanapun, ia perlu melalui proses yang betul bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan adil kepada semua pihak yang terbabit." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


‘Beri kami peluang’

Posted: 23 Nov 2012 07:37 AM PST

SALAM semua penyokong Harimau Malaya dan pembaca Harian Metro. Saya berasa bangga kerana diberi peluang menulis ruangan ini bagi berkongsi pendapat mengenai bola sepak tempatan, terutama Piala AFF yang akan bermula esok.

Saya juga berasa gembira dan terharu kerana masih diberi kepercayaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ketua jurulatih Datuk K Rajagobal serta seluruh pengurusan pasukan kebangsaan untuk sekali lagi menerajui jentera serangan skuad negara bersama rakan lain.


Insya-Allah, saya dan rakan sepasukan, jika diberi peluang untuk turun bermain, akan berikan yang terbaik demi negara dan penyokong Harimau Malaya bagi membalas kepercayaan diberikan ketua jurulatih.

Saya rasa jika dibandingkan persiapan lalu, kali ini lebih rapi dan saya sendiri sudah berkampung di FAM sejak sebelum Ramadan hingga ke saat ini lantaran Liga Super Indonesia bagi musim 2011/12 berakhir sebelum bulan puasa.


Saya juga amat yakin pasukan lain juga sudah membuat persiapan rapi dengan latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan.


Kali ini saingan pasti sangat sengit kerana Singapura menggabungkan beberapa muka baru di samping tenaga lama yang biasa saya temui. Sudah pasti mereka akan berusaha untuk kekalkan rekod tanpa kalah dalam dua pertemuan Kelayakan Piala Dunia di samping membaiki rekod AFF selepas gagal layak ke separuh akhir. Indonesia pula hanya memiliki beberapa pemain yang biasa bermain bersama saya di Liga Super Indonesia seperti Bambang Pamungkas yang agak akrab dengan saya selama di Jakarta, Ellie Aiboy yang pernah bersama pasukan Selangor dan Sriwijaya, Irfan Bachdim dalam AFF 2010, Octo dalam ISL dan Jhonny Van Baukering yang pernah bersama saya di Pelita Jaya untuk separuh musim. Yang lain-lain saya tidak pernah bermain bersama, terutama pemain naturalisasi mereka yang baru kerana ramai yang bermain dalam Liga Premier Indonesia dan liga luar Indonesia. Namun, saya yakin mereka sangat serius untuk mengatasi pasukan kita dan kami sedia berdepan mereka untuk membuktikan Malaysia masih lagi unggul di persada bola sepak Asia Tenggara. Apapun pertemuan Malaysia dengan Indonesia pasti akan terus menjadi fenomena kerana sememangnya penyokong Indonesia seperti mendapat semangat berbeza setiap kali bertemu pasukan kita pada peringkat apapun. Untuk Laos pula, agak sedikit pengetahuan mengenai pasukan daripada pusingan kelayakan AFF ini, namun kami akan berhati-hati kerana pastinya mereka turun selaku bukan pilihan dan ingin mendapat gelaran 'Giant Killer'. Mereka juga mempunyai permainan yang agak pantas.

Apa sekalipun, menyedari Malaysia sebagai tuan rumah, kami sudah pasti mahu berikan yang terbaik buat negara dan penyokong dan mahukan semua rakyat Malaysia bergembira dengan suasana sebagai tuan rumah. Ditambah pula Malaysia selaku juara bertahan, sudah pasti kami tidak rela membiarkan Malaysia diratah pasukan lain. Kalau musim lalu, kami julang piala di Jakarta, kali ini kami bukan saja mahu menjulangnya sekali lagi, tetapi di depan rakyat Malaysia - di Stadium Bukit Jalil, Insya-Allah. Doakan kejayaan kami dan teruskan memberi sokongan tanpa berbelah bagi. Tanpa sokongan padu anda semua, sukar untuk kami bekerja. Selamanya Harimau Malaysia!

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


Petanda positif

Posted: 23 Nov 2012 07:36 AM PST

SUDAH ada tanda pemain import baru Johor, Simone Del Nero bakal mempamerkan sentuhan magis apabila memulakan kempen saingan Liga Malaysia (Liga M) yang menyingkap tirai, Januari tahun depan.

Bagaimanapun bekas pemain Serie A, Lazio itu tidak mahu menganggap dirinya permata skuad bergelar Harimau Selatan itu sebaliknya menegaskan, kerjasama rakan sepasukan dalam setiap perlawanan amat penting bagi memastikan kemenangan mampu digapai.


Del Nero yang mempamerkan aksi pertama ketika membantu barisan skuad bimbingan Fandi Ahmad menang besar 4-0 ke atas pasukan Melayu Singapura di Stadium Larkin, baru-baru ini mengaku belum cergas sepenuhnya tatkala baru memulakan latihan tiga hari lalu selain hampir tiga bulan tidak beraksi dan kelab terakhir bersama AC Cesena di Liga Serie B Itali.

"Saya hadir untuk bantu Johor dan pengalaman selama 20 tahun beraksi di kancah Liga Eropah akan digunakan sepenuhnya untuk berusaha mencari kemenangan dan tidak wajar jika sekadar beraksi di bawah keupayaan sebenar yang pasti mencalar imej selaku pemain berkualiti.


"Buat masa ini belum ada persefahaman taktikal antara saya dan rakan sepasukan malah masalah komunikasi juga membantut percakapan saya dengan mereka namun itu bukan penghalang kerana dalam bola sepak arahan menerusi gerak tangan sudah memadai.


"Apa yang saya lihat, latihan kendalian jurulatih Fandi (Ahmad) cukup profesional malah program yang dilaksana juga mengikut corak latihan yang pernah saya harungi ketika bersama kelab di Eropah," kata Del Nero.

Pemain kidal itu yang diletak selaku pemain tengah dan bakal digandingkan bersama Safiq Rahim dijangka menjadi pencetus gerakan membantu bekas pemain Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza dan kemungkinan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang mengemudi jentera serangan Harimau Selatan.


Sementara itu, Fandi menegaskan, latihan skuad Harimau Selatan masih di tahap fasa pertama dengan penekanan kepada tahap kecergasan yang dikendali bekas pelari pecut negara, Azmi Ibrahim bagi memantapkan fizikal dan mental sebelum bermulanya saingan Liga M.

Beliau juga menegaskan, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) merancang saingan empat penjuru membabitkan tiga kelab Singapura yang beraksi di Liga Singapura (Liga S), Singapore Armed Forces FC, Home United dan Woodlands Wellington.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


No comments:

Post a Comment