Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Air naik 2 meter

Posted: 27 Nov 2012 12:48 PM PST

GOMBAK: Hujan lebat tanpa henti petang semalam, menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir termasuk kampung di sekitar daerah ini ditenggelami air lebih dua meter.

Antara kampung yang terbabit ialah Kampung Nakhoda, Kampung Laksamana dan Kampung Ulu Yam Bharu menyebabkan tiga jentera bomba dan bot selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikejarkan ke lokasi berkenaan. Sehingga jam 10 malam tadi, lebih enam keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan air naik.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam jam 7.30 malam memaklumkan air semakin naik.

Katanya, sehingga jam 10 malam tadi, operasi mengeluarkan mangsa banjir dari rumah mereka masih dijalankan dan JKM turut membuka pusat pemindahan.


Sementara itu di Kuala Lumpur, beberapa kawasan turut dinaiki air iaitu Jalan Loke Yew menghala Cheras dan Bulatan Cheras.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, berlaku runtuhan tebing di Jalan Mahameru sebelum susur Sentul Link menyebabkan kesesakan teruk.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28


DBKL kenal pasti tapak baru Uptown

Posted: 27 Nov 2012 08:28 AM PST

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengenal pasti satu tapak baru yang lebih sesuai untuk menempatkan lebih 300 peniaga Uptown Danau Kota, Taman Setapak Indah, di sini.

Timbalan Pengarah (Pembangunan Sosio Ekonomi) DBKL, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata, pihaknya kini dalam peringkat kajian tapak terbabit yang terletak berhampiran Puspakom Jalan Genting Kelang.


"Kami sedang kaji tapak itu, milik siapa dan projek yang dijalankan di sana. Sebahagian tanah itu milik DBKL," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tapak baru itu terletak 1.4 kilometer dari tapak asal Uptown Danau Kota Setapak yang beroperasi hampir tujuh tahun lalu.


Mohd Amin dalam kenyataannya sebelum in berkata, DBKL tetap dengan pendirian tidak membenarkan peniaga di Uptown Danau Kota beroperasi pada Isnin dan Selasa walaupun pada cuti sekolah.


Menurut beliau, keputusan itu dibuat berikutan menerima rungutan penduduk yang mahu bazar larut malam itu dipindahkan ke tempat lain.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Uptown Danau Kota, Ahmad Fauzi Abdul Karim mendesak DBKL membenarkan mereka berniaga tujuh hari seminggu sempena cuti sekolah pada November dan Disember ini.


Permohonan itu bagaimanapun ditolak DBKL dengan alasan perlu menjaga kepentingan komuniti setempat yang tidak bersetuju jika peniaga berniaga tujuh hari seminggu, malah mahu uptown itu dipindahkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28


Kaki kanan putus dihempap tiang simen

Posted: 27 Nov 2012 08:27 AM PST

KUALA TERENGGANU: "Tidak saya duga begini pengakhirannya," kata Sumaiyah Dasir, 52, yang putus kaki kanan selepas hasratnya untuk meringankan beban suami dengan mengambil upah meroboh pagar di Taman Huda, Dungun berakhir tragedi apabila tiang simen sebesar pemeluk itu menghempap kaki dan badannya.

Berikutan kejadian berkenaan, ibu empat anak itu terpaksa menerima hakikat cacat seumur hidup apabila kaki kanannya hancur dan gagal disambung semula akibat dihempap pagar batu.


Menceritakan detik cemas itu, Sumaiyah yang ditemui di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang pada 4 November lalu, dia menggunakan mesin pemecah batu untuk merobohkan tiang pagar sebuah rumah banglo.

Namun malang, katanya, belum lagi habis ditebuk, tiang simen yang tidak mempunyai besi cerucuk itu tumbang dan menghempap kaki kanan serta badannya.


"Sepatutnya suami saya yang bekerja di situ namun disebabkan dia ditimpa kemalangan dan berehat sementara waktu, saya mengambil alih kerjanya untuk menampung perbelanjaan kami berdua di sini.


"Namun hasrat saya untuk membantunya hanya bertahan beberapa hari apabila saya pula ditimpa kemalangan di tempat kerja.

"Tiang pagar yang agak berat menghempap kaki saya sebelum ia jatuh atas badan sehingga terpaksa meminta bantuan daripada rakan lain untuk mengangkat tiang simen itu," katanya yang berasal dari Madura, Indonesia.


Sumaiyah berkata, hentakan tiang berkenaan menyebabkan kaki kanannya terputus dan dihantar ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28


Datuk maut dipijak gajah

Posted: 27 Nov 2012 08:27 AM PST

KLUANG: Naluri seorang cucu yang gelisah selepas datuknya tidak pulang dari ladang kelapa sawit terjawab apabila warga emas itu ditemui mati terbaring dengan kepala berlumuran darah dipercayai akibat dipijak sekumpulan gajah di Kampung Punan, Kahang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Toh Sam Yit, 79, keluar bersama cucu lelakinya, Toh Wee Kee, 15, untuk memeriksa kebun kelapa sawitnya yang dirosakkan sekumpulan gajah liar beberapa hari lalu.

Mereka membawa makanan untuk diberi kepada pekerja yang tinggal di sebuah rumah kira-kira 500 meter dari kebun dan Toh kemudian menyuruh cucunya tinggal di rumah berkenaan sebelum dia memeriksa kebun seorang diri.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, mangsa dan cucunya tiba di kebun kira-kira jam 4 petang sebelum dia meninjau kebun kelapa sawit seorang diri.


"Bagaimanapun cucunya mula bimbangkan keselamatan datuknya kerana dia masih belum pulang selepas beberapa jam kemudian.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28


2 lelaki ditahan buat senapang bunuh lembu

Posted: 27 Nov 2012 08:26 AM PST

BATU PAHAT: Dua lelaki yang bijak membuat senapang 'spring', menggunakan kemahiran itu untuk mengaut keuntungan segera dengan membunuh serta melapah lembu dalam ladang kelapa sawit, sebelum menjual dagingnya.

Dua suspek masing-masing berusia 24 dan 28 tahun dipercayai menyasarkan ternakan dalam ladang kelapa sawit kerana lebih selamat dan mudah.


Bagaimanapun, tindakan mereka membawa padah apabila polis menerima maklumat kehadiran mereka dan pemeriksaan membawa kepada penemuan senjata buatan sendiri itu serta sebilah parang manakala kereta digunakan, disahkan hilang sejak beberapa bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Mat Razali Awang berkata dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi semalam, pihaknya berjaya mengesan pergerakan suspek di Ladang Kangkar Baru, Yong Peng.


"Kami menerima maklumat kehadiran dua individu dalam keadaan mencurigakan di dalam ladang itu sebelum sepasukan anggota termasuk pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengepung ladang berkenaan.


"Hasilnya, kami menahan dua lelaki menaiki Proton Wira Aeroback itu sebelum melakukan pemeriksaan terhadap mereka.

"Pemeriksaan membawa kepada penemuan selaras senapang 'spring' buatan sendiri, ubat pelali, tali dan parang di dalam kereta itu," katanya dalam satu sidang media di IPD Batu Pahat di sini, semalam.


Menurutnya, semua peralatan dipercayai digunakan mengikat haiwan ternakan yang berjaya dilalikan sebelum mereka menyembelih dan melapah haiwan itu.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati dua suspek terbabit tiada rekod jenayah namun membuat senapang dan menggunakannya sebagai senjata dalam kegiatan jenayah.


"Kami percaya sebelum diberkas mereka cuba mengesan haiwan ternakan di sekitar lokasi namun tidak sempat berbuat demikian.


"Siasatan lanjut mendapati, kereta digunakan mereka adalah kereta curi dan pernah dilaporkan hilang di negeri ini beberapa bulan lalu.


"Mereka kini direman sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960," katanya.


Menurutnya, jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dipenjara tidak lebih setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28


Redah api demi sijil

Posted: 27 Nov 2012 08:26 AM PST

TELUK INTAN: Seorang remaja perempuan sanggup meredah api demi menyelamatkan dokumen penting miliknya termasuk sijil Malaysia Book of Records (MBR) yang diterimanya ketika menuntut di sekolah rendah dalam kejadian yang memusnahkan rumah keluarganya, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi di Kampung Sungai Nibong itu, sebuah rumah didiami lapan beranak musnah menyebabkan kerugian kira-kira RM100,000.


Remaja berkenaan, Nurul Syafikah Ahmad, 16, berkata, dia nekad masuk semula ke dalam rumah yang sedang terbakar biarpun dihalang oleh ahli keluarga yang bimbang keadaannya.

Menurutnya, dia mengetahui keadaan ketika itu boleh mendatangkan kecederaan serius, namun bertekad bagi menyelamatkan dokumen penting berkenaan.


"Bagi saya, sijil berkenaan amat penting dan sangat berharga.


"Saya tidak fikir lain ketika itu selain berusaha menyelamatkan sijil berkenaan," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, sijil MBR itu sangat bermakna buatnya kerana projek berjalan 10,000 langkah dan acara senamrobik 1Malaysia yang dijalankan bersama rakan sekelas ketika menuntut di sekolah rendah mendapat pengiktirafan agensi itu.


Dia yang masih sugul dan lemah selepas kejadian itu bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu termasuk tujuh ahli keluarga lain.

Sementara itu, sepupu Nurul Syafikah, Norhayati Jamaluddin, 27, berkata, sebelum kejadian, mereka sekeluarga sedang berehat di tingkat atas rumah sambil menonton televisyen.


"Pada mulanya, saya terhidu bau getah terbakar dari dapur rumah, namun tidak lama kemudian api marak dari belakang rumah.


"Saya menjerit sambil meminta semua yang berada di dalam rumah menyelamatkan diri dan pada masa sama, saya mendukung bayi berusia dua tahun," katanya.


Katanya, dia sekeluarga tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda termasuk beberapa dokumen penting dan beberapa peralatan elektrik.


Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Hairam Kasran, berkata dua jentera bomba bersama tujuh anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28


Dua lelaki ditahan bantu kes tetak

Posted: 27 Nov 2012 08:25 AM PST

GEORGETOWN: Polis menahan dua lelaki yang memiliki beberapa rekod jenayah lampau selain dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes tetak membabitkan kematian seorang lelaki dengan seorang lelaki lain parah di Lorong Tembikai 1, Bukit Mertajam, Seberang Prai Tengah (SPT) di sini 21 November lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata kedua-dua lelaki berusia 36 dan 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang kelmarin hasil maklumat awam selain berdasarkan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menjalankan siasatan ke atas kes kematian N Mugesh Edmond, 36, yang maut dalam kejadian itu.


Beliau berkata, melalui siasatan suspek berusia 36 tahun itu mempunyai empat rekod jenayah lampau bersangkutan kes dadah, satu rekod jenayah dan dikehendaki polis bersangkutan kes mengikut Seksyen 323, Kanun Keseksaan.

"Manakala, suspek berusia 32 tahun dilaporkan positif dadah dan dikehendaki polis mengikut Seksyen 148, Kanun Keseksaan," katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28


Mahu lunas hutang judi bola sepak RM20,000

Posted: 27 Nov 2012 08:23 AM PST

KOTA BHARU: Suspek kes rompakan di sebuah salun di Kuala Krai dikatakan nekad bertindak demikian kerana ingin melunaskan hutang judi berjumlah RM20,000.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan awal yang dijalankan mereka mendapati suspek dipercayai berhutang selepas kalah dalam pertaruhan judi bola sepak.


"Suspek menjadikan salun berkenaan sebagai sasaran mendapatkan wang dengan cara mudah untuk membayar hutang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.

Jalaluddin berkata, dalam kejadian itu polis mengambil masa tiga jam setengah untuk berunding dengan suspek yang menjadikan pelanggan dan pemilik kedai itu sebagai tebusan.


Katanya, suspek berjaya ditahan polis ketika dia sedang berpaling ke belakang.


"Suspek juga disahkan berada dalam keadaan waras ketika dia melakukan jenayah terbabit dan tidak berada di bawah pengaruh dadah. Dia juga didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya.

Katanya, susulan daripada kejayaan polis Kelantan memberkas penjenayah itu, sepucuk pistol tiruan berwarna hitam dan sebilah pisau pemotong daging turut ditemui disimpan pada bahagian belakang badannya.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 393, 342 Kanun Keseksaan, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan Seksyen 6(1) Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Api," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28


Bahagia nikah janda

Posted: 27 Nov 2012 08:23 AM PST

KOTA BHARU: "Saya tidak kisah atau segan apabila memperisterikan seorang wanita yang 25 tahun lebih tua. Saya sanggup terimanya untuk hidup sampai akhir hayat," kata Mohd Sofri Ibrahim, 31, yang menamatkan zaman bujangnya bersama janda anak 10 berusia 56 tahun, semalam.

Mohd Sofri yang hidup sebatang kara dan menyara diri dengan mengutip kotak terpakai baru saja berkenalan dengan wanita terbabit, Zainun Yusof seminggu lalu sebelum mereka selamat diijab kabul dalam satu majlis ringkas di Masjid Kampung Kota Jembal, di sini.

Dengan empat kali lafaz di hadapan imam, Raja Ismail Raja Idris, pasangan itu sah bergelar suami isteri, jam 2.45 petang dengan mas kahwin RM50.

Menurut Mohd Sofri, perkenalan mereka bermula ketika dia mula berpindah ke rumah sewa di Jalan Gajah Mati di sini.


Katanya, isterinya itu menyewa di tingkat atas manakala dia tinggal di tingkat bawah rumah berkenaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28


Bertongkat langgan GRO

Posted: 27 Nov 2012 08:21 AM PST

BUKIT MERTAJAM: Walaupun sudah bertongkat dan berusia, seorang lelaki warga emas masih berselera dengan pucuk muda apabila dicekup ketika melanggan seorang pelayan pelanggan wanita (GRO) di sebuah pusat hiburan di Jalan Seri Maju, Taman Seri Maju, di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 59 tahun itu dicekup sepasukan pegawai penguat kuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kira-kira jam 9.20 malam dalam satu operasi cegah maksiat diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan.

Khairul Azman berkata, ketika pemeriksaan di sebuah bilik kecil, seorang wanita berpakaian seksi ditemui bersama seorang lelaki dan didapati kedua-duanya tidak mempunyai hubungan mahram yang sah.

Menurutnya, bilik kecil itu diperbuat daripada kayu selain kain dijadikan tirai bagi memisahkan bilik lain.


Katanya, pemeriksaan kemudian mengesyaki berlakunya kegiatan tidak bermoral di dalam bilik berkenaan termasuk menemui dua tin minuman keras yang sudah dibuka di atas meja selain menemui satu tongkat milik lelaki warga emas berkenaan yang disandarkan di tepi meja dalam keadaan terlipat.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28


No comments:

Post a Comment