Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pasangan kejam

Posted: 24 Nov 2012 04:57 AM PST

LONDON: Pasangan "ganas" yang menyerang seorang warga emas dan menggeledah rumahnya, dijatuhkan hukuman penjara.

Laurynas Dauksas, 25, dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun manakala Aurelisa Galdikaite, 23, dipenjara sembilan tahun kerana menyerang Arnold Hilton.

Hilton, 88, bekas pekerja syarikat lombong arang batu, ditumbuk dan disepak manakala hampir setiap "laci di setiap bilik" rumahnya di Uphollad, Lancashire, digeledah oleh pasangan itu, Mac lalu.

Dia ditemui oleh anaknya, Stuart, berdarah dan terbaring di lantai bilik tidur pada jam 6.30 keesokan paginya.


Hilton memberitahu anaknya, dia tidak akan dapat bertahan lagi.


Stuart berkata, ayahnya mempunyai lima anak, sepuluh cucu dan seorang cicit, berubah sejak serangan itu.

"Sebelum serangan itu, walaupun sudah berusia 88 tahun, beliau seorang yang suka bersosial. Dia akan menaiki bas untuk pergi ke pub sejauh dua batu, untuk bertemu rakannya."

Stuart berkata, bapanya suka sukan dan bermain gol serta suka menonton bola sepak dan ragbi.

"Tapi sekarang, dia sudah tidak boleh keluar lagi dan terpaksa tinggal di rumah orang tua 24 jam," katanya.

Ketika menjatuhkan hukuman penjara ke atas pasangan Lithuania itu, Hakim David Aubrey berkata, "Ini adalah kesalahan kejam menjijikkan. Anda memusnahkan hidup lelaki itu, walaupun anda tidak membunuhnya tetapi anda mungkin akan melakukannya."- DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Orang paling dikehendaki FBI ditangkap

Posted: 24 Nov 2012 04:55 AM PST

MEXICO CITY: Seorang daripada "10 orang paling dikehendaki" oleh FBI, ditahan di Mexico dan dihantar pulang ke Los Angeles untuk dibicara atas kesalahan membunuh, menculik dan memperkosa, kata pegawai Amerika Syarikat, semalam.

Timbalan Pengarah Pejabat FBI Los Angeles, Bill Lewis berkata, seorang anggota geng terkenal, Joe Luis Saenz ditahan di Guadalajara Khamis lalu dalam satu operasi bersama dengan kerajaan Mexico.

Saenz dihantar ke Los Angeles kelmarin dan pegawai Mexico berkata proses ekstradisi akan bermula dalam beberapa hari lagi.

Saenz menembak mati dua anggota kumpulan pesaing pada Julai 1998. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Benigno takkan berhenti merokok

Posted: 24 Nov 2012 04:54 AM PST

MANILA: Presiden Filipina, Benigno Aquino tidak akan berhenti merokok walaupun badan perubatan terkenal negara ini merayu supaya dia menghentikan tabiat buruk itu dan menjadi contoh kepada rakyat, kata jurucakapnya, semalam.

Jurucakapnya, Edwin Lacierda berkata, Pertubuhan Perubatan Filipina meminta Benigno untuk menghentikan tabiat buruknya selepas mendapati dia sering batuk.

Lacierda berkata, Benigno batuk ketika lawatan rasmi ke Australia dan New Zealand bulan lalu tetapi menafikan ia berkaitan dengan tabiat merokok.
Katanya, batuk Benigno itu disebabkan dia alah kepada debunga.

"Buat masa ini, hanya itu caranya untuk dia mengurangkan tekanan. Jadi, biarlah presiden buat apa yang dia boleh untuk mengurangkan tekanan. Dia tahu apa yang penting," katanya.

Benigno, 52, membatalkan pertemuan dengan ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Largarde, akibat masalah kesihatan pada 16 November lalu.

Dia kemudian terbang untuk menghadiri sidang Asean di Kemboja sehari selepas itu dan dijangkiti selsema. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Poskad tiba selepas 70 tahun

Posted: 24 Nov 2012 04:53 AM PST

NEW YORK: Selepas 70 tahun, sekeping poskad tiba di alamat tertulis, walaupun bukan untuk pengirim sebenar.

Poskad itu dihantar pada 4 Julai 1943 kepada Pauline dan Theresa Leisenring di Elmira, New York oleh ibu bapa mereka yang melawat abangnya di Camp Grant di Illinois.

Malangnya, dua beradik itu sudah meninggal dunia berpuluh tahun lalu.

Bagaimanapun, rumah mereka di Elmira, diduduki oleh dua budak perempuan lain iaitu Hannah dan Madie Podgorny.


Hannah, pelajar Tahun Tujuh, bercadang menggunakan poskad itu dalam projek sejarah sekolahnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Lelaki bogel panjat patung Putera George

Posted: 24 Nov 2012 04:52 AM PST

LONDON: Jalan Whitehall sesak hampir tiga jam kerana orang ramai memerhatikan seorang lelaki bogel yang duduk di atas sebuah patung.

Lelaki itu menunjukkan pelbagai gaya di atas patung Putera George, Duke on Cambridge, semalam dan ada masanya dia mengimbangkan badan di atas kepala patung itu dalam keadaan bahaya.

Anggota polis yang tiba pada jam 3 petang memujuk lelaki itu turun dan dia segera dibawa masuk ke dalam van polis.

Anggota polis dipanggil ke situ tengah hari semalam selepas orang ramai membuat laporan melihat seorang lelaki memanjat patung itu dan mereka mengesyaki dia membawa pisau.


Polis terpaksa menutup jalan Whitehall sepanjang 100 meter di tengah-tengah Westminster itu untuk membenarkan anggota perkhidmatan kecemasan memujuk lelaki itu turun.


Lelaki itu dilihat mengangkat tangan dan bercakap dengan kru penyelamat sambil diperhatikan oleh orang ramai.

Scotland Yard berkata, lelaki itu turun pada jam 2.45 petang dan ditahan di bawah Akta Kesihatan Mental.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


J.R meninggal dunia

Posted: 24 Nov 2012 04:51 AM PST

DALLAS: Larry Hagman, pelakon yang membintangi siri televisyen popular Dallas, memegang watak sebagai peniaga minyak kaya, J.R Ewing, meninggal dunia.

Keluarganya, dalam satu kenyataan berkata, pelakon berusia 81 tahun itu meninggal dunia akibat komplikasi barah.

Akhbar Dallas Morning News melaporkan, Hagman meninggal dunia di hospital di Dallas.

Hagman menghadapi penyakit kanser hati dan sirosis hati sejak 1990-an akibat arak.


Dallas, yang disiarkan di rangkaian CBS pada 1978, menjadikan Hagman bintang terkenal.


Siri itu mendapat rating tertinggi dalam masa yang singkat dan mendapat sambutan hangat di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Penunjuk perasaan merusuh di Bangkok

Posted: 24 Nov 2012 04:50 AM PST

BANGKOK: Polis Thailand melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah beratus-ratus penunjuk perasaan yang berkumpul di bandar ini semalam, sebelum tunjuk perasaan besar-besaran untuk menggulingkan kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, diadakan hari ini.

Tunjuk perasaan itu menunjukkan tekanan yang berlaku sejak parti politik Yingluck, Parti Puea Thai memperoleh kemenangan besar pada Julai 2011 dan ia mungkin akan menyebabkan keadaan huru-hara berlaku lagi di Thailand.

Polis AntiRusuhan menembak kanister gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang cuba memanjat halangan batu dan dawai duri yang menghalang laluan masuk ke tempat tunjuk perasaan.

Polis berkata, antara 300 dan 400 penunjuk perasaan bertembung dengan anggota polis.


Sekurang-kurangnya tujuh anggota polis cedera dan 132 penunjuk perasaan ditahan selepas pertempuran dekat ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Bangkok, dekat dengan tapak perhimpunan besar-besaran itu dibuat.


Pitak Siam, kumpulan antikerajaan baru, berjaya menarik sokongan daripada kumpulan setia lain termasuk "baju kuning" anggota Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) yang membantu menjejaskan kestabilan kerajaan yang diketuai atau disokong oleh bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, abang Yingluck pada 2006 dan 2008.

Pihak berkuasa menerahkan 17,000 anggota polis di tapak perhimpunan dan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk membenarkan polis menahan penunjuk perasaan dan membuat pemeriksaan dan sekatan jalan raya.

Polis berkata, mereka merampas pelbagai senjata termasuk pisau dan peluru daripada penunjuk perasaan yang tiba di tapak perhimpunan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


4 kanak-kanak maut dalam letupan Hari Asyura

Posted: 24 Nov 2012 04:50 AM PST

PESHAWAR: Empat kanak-kanak terbunuh dan berpuluh lagi cedera apabila sebutir bom meletup dekat perarakan keagamaan hari Asyura, di barat laut Pakistan, semalam.

Pegawai polis, Ghulam Ahmed berkata, bom tepi jalan itu diletakkan di laluan perarakan komuniti minoriti Syiah di daerah Dra Ismail Khan.

Letupan itu berlaku ketika penganut agama Syiah berkumpul untuk berarak mengingati ulang tahun kematian cucu Nabi Muhammad, Imam Hussain pada tahun 680. Keselamatan di seluruh negara diperketatkan senmalam untuk mengelakkan serangan seperti yang berlaku itu.

"Bom itu diletakkan di dalam tong sampah dan letupannya sungguh kuat hingga boleh didengari beberapa kilometer jauhnya," kata Ghulam.


Ketua Polis Peshawar, Khalid Suhail berkata, semua mangsa yang maut adalah kanak-kanak lelaki berusia antara enam dan 11 tahun.


"Sekurang-kurangnya 30 orang cedera termasuk dua anggota polis," katanya dan menambah, lima daripada mereka dalam kaadaan parah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Restoran meletup: 14 mati, 47 cedera

Posted: 24 Nov 2012 04:49 AM PST

BEIJING: Empat belas terbunuh manakala 47 lagi cedera dalam letupan yang berlaku di sebuah restoran di utara China.

Media tempatan melaporkan, siasatan awal mendapati ia mungkin disebabkan kebocoran gas.

Agensi berita rasmi, Xinhua melaporkan, letupan itu berlaku di bandar Jinzhong, wilayah Shanxi di barat Beijing, kelmarin.

Letupan itu menyebabkan tingkap di bangunan berdekatan restoran dua tingkat yang menyediakan makanan panas, pecah berderai.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Pemilik sarkas bersalah dera gajah

Posted: 24 Nov 2012 04:49 AM PST

LONDON: Pemilik sarkas Britain didapati bersalah atas tiga kesalahan menyebabkan kesakitan ke atas seekor gajah Asia yang diberi nama Anne.

Bobby Roberts dilepaskan dengan syarat untuk tiga tahun oleh mahkamah di Northampton kerana mendera gajah berusia 58 tahun dalam jagaannya itu.

Robert, 69, juga didapati bersalah kerana tidak menghalang pekerja Romania daripada memukul haiwan itu yang kakinya dirantai ke tanah. Haiwan itu juga dipukul dengan serampang peladang.

Dia juga gagal memastikan keperluan gajah itu dipenuhi dan tidak memberi ubat untuk penyakit artritis.


Roberts tidak dihalang daripada membela haiwan.


Hakim Daerah, David Chinnery berkata, Robert tidak menyebabkan kesakitan secara langsung dan menjaga haiwan sepanjang kariernya tanpa kritikan.

"Anda tidak mendera haiwan dengan tangan anda sendiri," katanya.

"Perbuatan merantai haiwan itu adalah kesalahan serius tetapi kekejaman sebenar dilakukan oleh pekerja anda yang anda percaya untuk menjaga Anne tanpa pengetahuan anda dan akibatnya perniagaan anda terjejas dan anda kehilangan segalanya yang dibina sejak lima puluh tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


No comments:

Post a Comment