Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Cedera jatuh bumbung

Posted: 22 Nov 2012 11:59 AM PST

SUNGAI BULOH: "Apabila nampak penjenayah depan mata, saya tidak fikir bahaya, sebaliknya hanya mahu tangkap mereka" kata Inspektor Saiful Bahari Yunus, 28, yang cedera terjatuh dari tingkat dua rumah teres ketika menyertai serbuan bagi menahan suspek kes curi kereta di Subang Perdana, Kampung Baru Subang, dekat sini, Selasa lalu.

Saiful yang bertugas di Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini, kerana patah tangan kiri dan tulang pipi kiri.


Menurutnya, ketika serbuan jam 5.40 petang itu, beliau bersama beberapa pegawai dan anggota lain menyerbu rumah teres di Subang Perdana itu bagi menahan sembilan suspek kes curi kereta.

"Saya nampak dua suspek memanjat bumbung untuk melarikan diri. Saya dan seorang lagi anggota turut memanjat bumbung itu untuk mengejar mereka dan menahan dua lelaki terbabit.


"Namun, tiba-tiba atap genting tempat saya berdiri pecah menyebabkan saya terjatuh dan tidak sedarkan diri," katanya yang ditemui di HSB ketika menerima lawatan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, semalam.


Lebih menyedihkan, isterinya, Nor Hazwani Abdul Halim, 29, tidak dapat melawat atau menjaganya di hospital kerana berpantang anak kedua mereka di Ipoh, Perak.

Saiful yang sudah tujuh tahun berkhidmat berkata, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus membanteras jenayah.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, semalam, berkata, sebelum kejadian seorang penyelia berusia 46 tahun disamun empat lelaki bersenjata parang di Bukit Puchong.

"Dalam kejadian jam 4.50 petang di depan pasar raya Tesco Bukit Puchong, suspek yang menaiki Honda Civic mengacukan parang ke arah mangsa dan mengarahkannya serta dua saksi kejadian, mendiamkan diri. "Mereka melarikan kereta mangsa jenis Toyota Hilux bernilai RM102,000. Mangsa membuat laporan polis dan satu gerakan mengesan suspek dilakukan," katanya.


Sepasukan polis termasuk Saiful mengesan suspek dan mereka menyerbu rumah teres disyaki dihuni kumpulan terbabit.


"Hasil serbuan, sembilan lelaki berusia 18 hingga 30 tahun termasuk dua suspek yang cuba meloloskan diri ditahan. Polis merampas tujuh kenderaan iaitu dua Toyota Hilux, dua Proton Wira, Proton Satria, Proton Saga dan Honda Civic.


"Turut dirampas tiga parang disyaki digunakan bagi melakukan jenayah manakala semakan mendapati semua kereta dilaporkan dicuri di Selangor dan Pulau Pinang," katanya.


Mohd Adnan berkata, semua suspek yang aktif mencuri kereta lebih setahun lalu, kini direman sehingga 23 November ini mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


2,020 ibu tunggal saman RM10.9 juta

Posted: 22 Nov 2012 11:56 AM PST

SHAH ALAM: Seramai 2,020 ibu tunggal di Selangor memfailkan saman berjumlah RM10.9 juta terhadap kerajaan Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana gagal memberikan elaun ibu tunggal seperti dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-12.

Saman itu difailkan di kaunter pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi, di sini, jam 9.20 pagi semalam, melalui Tetuan Kamarudin & Partners melalui peguam Kamarudin Ahmad.


Kira-kira 50 wakil ibu tunggal hadir di kompleks mahkamah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ketika saman berkenaan difailkan sebagai tanda sokongan terhadap saman difailkan.

Dalam pernyataan tuntutan yang diketuai Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman mendakwa kerajaan Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat dalam manifestonya akan memberi elaun, tetapi tidak menunaikan janji berkenaan.


Negeri Selangor dan Abdul Khalid yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua, didapati gagal membayar elaun ibu tunggal RM100 seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Rakyat (PR) selama 54 bulan bermula 1 April 2008 hingga 30 Oktober 2012 kepada semua plaintif dengan jumlah keseluruhan RM10,908,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


Wanita dalam pantang mati tunggu pasport bayi

Posted: 22 Nov 2012 11:55 AM PST

JOHOR BAHRU: Hanya sempat berada di pangkuan ibu selama 11 hari. Itu nasib seorang bayi lelaki apabila ibunya disahkan mati beberapa minit selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika menunggu pasport bayi berkenaan siap di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini, jam 5.30 petang kelmarin.

Ketika kejadian, wanita berusia 33 tahun itu ditemani dua rakan pergi ke Bahagian Pasport Jabatan Imigresen untuk memohon pasport bagi bayinya.


Wanita berkenaan juga masih dalam pantang berikutan baru melahirkan anak namun datang ke situ untuk urusan pasport.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Mimi, 30, berkata, mangsa duduk di kerusi ruangan menunggu sementara permohonan pasport bayinya itu diproses.


"Secara tiba-tiba badannya menggelongsor ke bawah dan jatuh ke lantai tidak sedarkan diri. "Kami sangka wanita itu pengsan akibat keletihan. Bagaimanapun, kami terkejut apabila dia disahkan mati oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang dipanggil untuk membawanya ke hospital," katanya ketika ditemui.


Menurut Mimi, sepasukan anggota paramedik yang tiba tidak lama kemudian turut mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


Mangsa tembak hubungi polis

Posted: 22 Nov 2012 11:54 AM PST

JOHOR BAHRU: Seorang mangsa tembakan sempat menghubungi polis meminta bantuan sebelum pasukan polis bersama ambulans menemuinya dalam keadaan kritikal manakala teman lelakinya maut dalam kejadian di Jalan Permas 11/15, Taman Permas Jaya, di sini, semalam.

Mangsa, Surene Toh, 30, ditemui parah di badan dan kepala di sebuah bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat manakala teman lelakinya, Ang Keng, 40, yang juga tukang patung Buddha serta pengamal Feng-Shui ditemui maut dengan beberapa kesan tembakan di badan.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang daripada mangsa wanita itu yang mengatakan dia ditembak sebelum sepasukan polis dikejarkan ke lokasi.

Katanya, selain polis pihaknya menghubungi ambulans bagi memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa.


"Sebaik tiba, kami menemui Surene di sebuah bilik tingkat atas dan pasukan perubatan menghantarnya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan, manakala Ang ditemui maut dengan beberapa kesan tembakan di badannya di sebuah bilik di tingkat bawah.


"Surene kini dilaporkan stabil dan kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Siasatan dilakukan mengikut pelbagai sudut dan kami akan mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam rumah itu serta menemubual jiran bagi membantu siasatan," katanya.


Menurutnya, tiada kesan pecah masuk ditemui dan siasatan mendapati tiada barangan berharga hilang dari rumah mangsa.

Katanya, siasatan mendapati mangsa seorang pengamal perubatan tradisional dan teman wanitanya tidak bekerja.


"Kami percaya kejadian ini dilakukan lebih daripada seorang suspek dan berharap sesiapa mempunyai maklumat tampil membantu siasatan," katanya.


Sementara itu, saksi enggan dikenali berkata, pasangan itu tinggal bersama sejak enam tahun lalu dan dia mengenali mereka kerana sering bertegur sapa.


Katanya, mendiang seorang pembuat patung Buddha menjadikan rumah berkenaan sebagai pejabat untuk menerima tempahan, manakala Surene tidak bekerja.


"Dalam kejadian semalam, kami tidak mendengar apa-apa bunyi atau melihat kejadian mencurigakan kecuali melihat pagar utama rumah mereka terbuka sejak jam 2 petang.


"Bagaimanapun, kira-kira tiga jam kemudian sepasukan polis datang memasuki rumah dan saya serta beberapa jiran lain meninjau apa yang berlaku.


"Ketika kami melangkah masuk dalam rumah itu, saya terkejut melihat Hong terbaring dalam sebuah bilik di tingkat bawah dengan kesan luka di kepala, manakala Surene ditemui parah dalam bilik berasingan di tingkat atas," katanya ketika ditemui, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


Peraduan Shell tawar lima motosikal Modenas

Posted: 22 Nov 2012 11:51 AM PST

KUALA LUMPUR: Shell Malaysia menganjurkan peraduan 'Enjoy Your Ride' Shell Advance dengan menawarkan lima buah motosikal jenis Modenas Kriss edisi terhad bernilai RM3,000 seunit kepada pemenang utama.

Pengurus Komunikasi dan Penjenamaan, Yu Li Ching berkata, peraduan bermula 27 November hingga 19 Disember itu menawarkan hadiah bernilai RM19,000 termasuk 60 hadiah sagu hati berupa minyak pelincir Shell Advance ultra 4T.


Katanya peraduan bersama Harian Metro itu diadakan bertujuan memberi maklumat berkaitan penjagaan motosikal yang betul, selain menghargai pelanggan setianya serta pembaca akhbar ini.

"Peserta hanya perlu melengkapkan dialog tidak melebihi 10 patah perkataan untuk setiap dialog secara kreatif dengan diselitkan elemen yang menghiburkan pada gambar yang terdapat di borang penyertaan.


"Mereka juga boleh menghantar seberapa banyak borang penyertaan, tetapi mesti menggunakan borang asli yang disertakan bersama lima keratan kepala akhbar pada tarikh peraduan bermula," katanya di Balai Berita, di sini semalam.


Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Peraduan hendaklah dihantar kepada Unit Penjenamaan Harian Metro, The New Straits Times Press (M) Berhad, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.


Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai peraduan ini, boleh layari lama web www.shell.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


‘Panik abang tiada tangan’

Posted: 22 Nov 2012 11:51 AM PST

SEBERANG JAYA: "Saya panik melihat abang berlumuran darah dan tangan kirinya sudah terputus," kata Ashok Charles, 35, adik kepada N Mugesh Edmond, 36, yang maut ditetak dalam kejadian di Lorong Tembikai 1, di sini, kelmarin.

Ashok berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah di Juru, dekat sini, dan dihubungi seorang mekanik yang bekerja di stor simpanan kenderaan milik abangnya itu sebelum bergegas ke tempat kejadian.


Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, abangnya sudah terbaring berlumuran darah, tetapi masih bernyawa sebelum meminta bantuan rakan membawa abangnya ke hospital swasta berhampiran.

"Sebaik tiba di stor, saya lihat abang terbaring berlumuran darah dengan kecederaan di seluruh anggota badan," katanya ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Seberang Jaya, di sini semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa anak sulung daripada enam beradik yang juga pemilik stor simpanan kenderaan maut ditetak menggunakan parang oleh sekumpulan penjenayah.


Penyerang dipercayai melarikan tangan kiri mangsa yang putus ditetak dalam serangan bermotifkan dendam itu.

Ashok berkata, dia tidak dapat menerima kenyataan itu apatah lagi kejadian berlaku selepas mereka sekeluarga meraikan pendaftaran perkahwinan adik perempuan mereka.


"Pagi hari kejadian, kami sekeluarga ke Pejabat Pendaftaran untuk mendaftar perkahwinan adik perempuan kami dan mendiang kelihatan sangat gembira," katanya.

Katanya, abangnya seorang yang baik dan mudah mesra serta yakin dia tidak mempunyai musuh.


Dalam pada itu, suasana sedih menyelubungi pekarangan bilik mayat apabila bekas kekasih mangsa yang datang gagal menahan emosi dan meraung meratapi kematian lelaki itu.


Sementara itu, adik seorang lagi mangsa, K Jeysigan, 33, yang turut ditetak dalam kejadian itu, berkata abangnya cedera di tangan kanan dan kiri serta kaki kiri.


J Baran, 25, berkata abangnya sudah menjalani pembedahan enam jam dan keadaannya dilaporkan stabil.


"Abang bernasib baik kerana dia bersembunyi di bawah meja, jika tak saya tak tahu nasib abang. Begitupun, kami sedih dengan kejadian ini terutama selepas mendapat tahu rakan abang maut dalam kejadian itu," katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta di bahagian pulau, semalam.


Baran berkata, dia percaya abangnya itu tidak mempunyai musuh kerana dia sentiasa bersikap baik dengan semua orang.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner, Mazlan Kesah ketika dihubungi berkata, sehingga jam 4 petang semalam, tangan kiri mangsa masih belum ditemui dan beberapa suspek sudah dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


Janji manis Datuk

Posted: 22 Nov 2012 11:50 AM PST

JOHOR BAHRU: "Datuk Rizal mengatakan jangan sampai peluru pistolnya mengenai kepala saya selepas menyedari saya membuat laporan polis berkaitan penipuannya.

"Hingga kini, Datuk Rizal gagal mengembalikan wang saya RM7,650. Dia juga gagal menunaikan janji menaja RM2 juta kepada syarikat produksi milik rakan saya," kata pelakon, Nur Ilane Sharulmin Abdullah Sharulmin Abdullah, 25, semalam.

Menceritakan berkaitan penipuan lelaki dikenali sebagai Datuk Rizal dan berasal dari Skudai, Johor Bahru, Nur Ilane yang menjadi mangsa ugutan itu berkata, dia mengenali lelaki terbabit sejak awal Oktober lalu menerusi pengurus syarikat produksi di Kuala Lumpur.

Katanya, selama perkenalan itu, Datuk Rizal kerap menghubunginya termasuk mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) dan BlackBerry Messenger (BBM).


"Datuk Rizal meraih keyakinan saya dan rakan apabila berjanji mahu menaja RM2 juta kepada syarikat produksi milik rakan bagi pembikinan filem pada tahun depan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


Istanbul Aku Datang cecah kutipan RM3.2 juta

Posted: 22 Nov 2012 11:50 AM PST

KUALA LUMPUR: Hasrat Pengurus Besar Grand Brilliance, Tengku Iesta Tengku Alaudin melihat kutipan filem Istanbul Aku Datang mencecah RM3 juta termakbul apabila kutipan filem itu terus meningkat ke angka RM3.2 juta sejak ia ditayangkan di pawagam tempatan, dua minggu lalu.

Mengulas mengenai perkara itu, Iesta ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya bersyukur dan sangat gembira atas jumlah kutipan yang diterima. "Terima kasih atas sokongan semua pihak dan maklum balas yang kami terima adalah penonton sangat suka dengan jalan cerita dan lakonan dipaparkan. Ia menjadi penyuntik semangat kepada kami terus menghasilkan filem bermutu pada masa depan.


"Kami percaya liputan pihak media menjadisatu sebab meningkatnya sambutan peminat terhadap Istanbul Aku Datang," katanya.

Iesta berkata, terbukti filem komedi romantik digemari peminat sekiranya barisan pelakon dan jalan ceritanya sesuai dengan selera penonton masa kini.


Istanbul Aku Datang diarahkan Bernard Chauly dan dibintangi Lisa Surihani, Beto Kusyairy serta Tomok. Sementara itu, Iesta turut berbangga kerana filem terbitan GBSB, Songlap, meraih perhatian pihak luar apabila ditayangkan di Eropah dan Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


20 peserta layak separuh akhir Chef Selebriti

Posted: 22 Nov 2012 11:49 AM PST

KUALA LUMPUR: Seramai 20 peserta separuh akhir Chef Selebriti 2 BH dan Gas Petronas diperkenalkan semalam.

Pertandingan separuh akhir itu berlangsung di pusat membeli-belah Aeon Bukit Tinggi, Klang, pada 1 Disember ini.


Sepuluh peserta terpilih bagi kategori Profesional iaitu Umi Akmawati Ayob, 37; Mohd Shahrel Ahmad Khalim, 33; Mohd Fazeli Awang, 31; Kamarudin Dali, 38; Mohd Zamri Sahari, 25; Riza Ismail, 28; Mohd Khairul Anuar Mustafa, 30; Ahmad Safwan Fathy Samsudin, 30; Mohd Hafiz Tajuddin, 26, dan Ahmad Nizam Simbog, 35.

Sepuluh peserta kategori Individu adalah Che Azawimie Che Zahari, 25; Mohd Sharifudin Saleh, 42; Rosni Johari, 36; Muhamad Khainaz Madjeli, 21; Wan Mohd Yazid Wan Mohd Hanafiah, 25; Azman Abu Samah, 49; Chua Tor Aik, 22; Amy Norina Jamil, 40; Mohd Khairuddin Zainal Abdul 28, dan Zurinah Sahari, 41.


Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid berkata, Pencarian Chef Selebriti 2 BH dan Gas Petronas memasuki tahun kedua dan diteruskan selepas mendapat sambutan menggalakkan pada musim lalu.


"Tahun ini, dua kategori diperkenalkan iaitu Individu dan Profesional. Kami berharap pertandingan ini menjadi saluran terbaik bagi mencungkil bakat baru dalam bidang masakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


A Aida dapat perlindungan interim

Posted: 22 Nov 2012 11:49 AM PST

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit A Aida berjaya mendapat perintah perlindungan interim (sementara) daripada Mahkamah Majistret di sini, semalam bagi menghalang suaminya, Deputi Superintendan Suffian Sulaiman daripada melakukan keganasan dan ugutan jenayah terhadapnya.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nurdiana Mohd Nazari selepas berpuas hati dengan permohonan daripada A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 42, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Turut hadir bersama Aida ialah pegawai JKM. Sekiranya Suffian yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman melanggar perintah itu, mahkamah memerintahkan seorang pegawai polis dibenarkan menangkap tanpa waran mengikut Seksyen 4(1) dan Seksyen 7 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Bagaimanapun, perintah perlindungan interim itu berhenti sehingga siasatan terhadap kes itu selesai dijalankan.


Dalam pada itu, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Suffian memfailkan permohonan mendapatkan perintah interim injuksi menghalang Aida membuat kenyataan kepada media.


Kes itu disebut di mahkamah pada Selasa depan. Pada 2 November lalu, Aida yang juga penerbit drama bersiri kontroversi, Halimah Jongang itu memfailkan permohonan membubarkan perkahwinan secara fasakh terhadap Suffian di Pejabat Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini dengan diwakili peguamnya, Zulkifli Che Yong.

Sebelum ini, Aida memfailkan permohonan bercerai secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Udang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, tetapi menarik semula permohonan itu selepas proses perbincangan menemui jalan buntu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23


No comments:

Post a Comment