Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Nahas kereta kembar seiras

Posted: 26 Nov 2012 03:24 PM PST

LONDON: Sepasang kembar seiras Jake dan Sam Stevens semalam terbabit dalam kemalangan kereta mereka merempuh sesama sendiri.

Nahas itu berlaku di simpang kira-kira sebatu dari kediaman ibu bapa mereka ketika Jake dalam perjalanan pulang manakala Sam hendak pergi ke perlawanan bola sepak.


Kembar berkenaan yang berusia 18 tahun dengan berang keluar dari kereta masing-masing dan terkejut apabila mereka bersemuka.

Jake berkata: "Saya berang dan bersedia untuk menendang pemandu itu.


"Kemudian saya lihat Sam meluru ke arah saya. Saya bagaikan tidak percaya yang dia adalah kembar saya sendiri," katanya.


Kedua-dua kembar itu menuduh antara satu sama lain sebagai punca kemalangan di Gosport, Hant itu. Sam berkata: "Saya mendekati simpang pada kelajuan tiga atau empat batu sejam ketika dia turut sampai di situ dalam keadaan laju dan berada di seberang jalan," katanya.

Namun, Jake menegaskan: Tidak diragukan lagi, Sam yang patut dipersalahkan. Saya pemandu yang lebih baik," katanya. Kemalangan itu menyebabkan kerosakan bernilai 3,000 pound (RM15,000) kepada kereta Renault Clio milik Jake dan Corsa kepunyaan Sam. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Bom ditemui di bawah kereta wartawan

Posted: 26 Nov 2012 03:21 PM PST

ISLAMABAD: Sebutir bom semalam ditemui di bawah kereta seorang wartawan ternama Pakistan yang diancam Taliban ekoran liputannya mengenai pelajar sekolah yang ditembak kumpulan itu.

Bahan letupan seberat setengah kilogram itu ditemui di bawah kenderaan wartawan kanan stesen televisyen Geo News, Hamid Mir ketika diparkir di kediamannya di Islamabad. Skuad pemusnah bom dihubungi memusnahkan bom itu.


"Saya diberitahu bahawa beberapa hari lalu nama saya disebut dalam surat ditulis kepada Menteri Dalam Negeri yang mengandungi ancaman," kata Hamid kepada wartawan. Kerajaan menawarkan ganjaran 50 juta rupee (RM1.5 juta) untuk maklumat mengenai mereka yang bertanggungjawab meletakkan bom itu, kata Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik kepada wartawan. Taliban di Pakistan mengancam untuk menyerang Hamid dan wartawan lain ekoran liputan mereka mengenai insiden tembakan terhadap remaja, Malala Yousufzai pada Oktober lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Suami isteri maut, anak hilang kerana anjing

Posted: 26 Nov 2012 03:21 PM PST

EUREKA (California): Sepasang suami isteri meninggal dunia manakala anak lelaki mereka berusia 16 tahun dihanyutkan ke laut di utara California ketika cuba menyelamatkan anjing mereka.

Mereka sekeluarga berada di Big Lagoon, sebuah pantai di utara Eureka semalam, apabila anjing mereka yang mengejar kayu yang dilempar, dihanyutkan ke laut oleh ombak setinggi lapan hingga sepuluh kaki.

Superintendan Taman dan Rekreasi Daerah, Dana Jones berkata, remaja itu cuba menyelamatkan anjingnya dan bapanya pula terus mengejar anaknya.

Katanya, remaja itu berjaya naik ke pantai tetapi apabila dia tidak dapat melihat bapanya, dia dan ibunya kembali ke laut untuk mencari bapanya.


"Kedua-dua mereka dihanyutkan ke laut," kata Jones.


Penyelamat berjaya menarik mayat ibunya dan mayat bapanya pula akhirnya dibawa ombak ke pantai.

Penyelamat Pantai menggunakan helikopter dan dua bot bermotor untuk mencari remaja itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


4 didakwa bunuh suami diplomat AS

Posted: 26 Nov 2012 03:20 PM PST

MANILA: Polis Filipina semalam berkata, mereka telah mendakwa empat lelaki kerana menikam suami diplomat Amerika Syarikat hingga mati dalam satu pergaduhan di luar satu kawasan eksklusif di sini.

Bapa kepada tiga anak itu sedang berjalan ketika ternampak pengawal keselamatan memeriksa kad identiti suspek yang berada dalam satu kenderaan utiliti sukan mewah, kata polis.

Ketua Polis Manila, Superintendan Kanan, Manuel Lukban berkata, mangsa ikut sama bercakap dengan suspek yang tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai pas untuk kawasan itu, menyebabkan mereka bertengkar dan akhirnya bergaduh.

"Keempat-empat lelaki itu mahu beredar apabila mangsa mengetuk cermin tingkap. Suspek kemudian turun dari kereta dan memukul lalu menikam mangsa di belakang dan dibahu," katanya.


Lukban berkata, mangsa berbangsa Amerika Syarikat itu mati di hospital.

Penyerang cuba melarikan diri tetapi pengawal keselamatan segera memberitahu polis berdekatan dan berjaya menangkap mereka.

Sebilah pisau ala tentera dirampas dari penyerang.

Lukban berkata, semua suspek, tiga ahli perniagaan dan seorang pelajar universiti, berusia dalam 20-an dan mereka didakwa atas tuduhan membunuh.

Kedutaan AS di Manila mengesahkan kejadian itu dalam satu kenyataan ringkas.

"Pihak kedutaan mengutuk serangan ganas ini. Mangsa adalah suami tersayang kepada staf kedutaan dan bapa kepada tiga anak," kata jurucakap kedutaan, Tina Malone dalam kenyataan.

Kenyataan itu tidak mendedahkan nama mangsa dan butiran lanjut.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar, Raul Hernandez berkata, pembunuhan itu adalah "kejadian terpencil" dan tidak disasarkan secara khusus kepada sesiapa. - MT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Jusuf sedia dicalon naib presiden atas tiket PDI-P

Posted: 26 Nov 2012 03:18 PM PST

JAKARTA: Bekas Naib Presiden, Jusuf Kalla (gambar) berkata, dia bersedia untuk menjadi calon Naib Presiden untuk pilihan raya 2014 di bawah tiket Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) diketuai oleh Megawati Soekarnoputri.

Jusuf berkata, dia tidak kisah digandingkan dengan Megawati dan dia tidak mewakili Parti Golkar dalam pencalonan itu.

"Sekiranya saya tidak mewakili Parti Golkar, maka saya tidak membantah cadangan itu. Segalanya mungkin dalam politik," katanya kepada pemberita ketika melawat Universiti Multimedia Nusantara di Serpong, Banten, semalam.

Jusuf, bekas pengerusi dan masih anggota Parti Golkar berkata, tiada apa yang dapat dilakukan oleh Presiden Parti Golkar atas cita-citanya itu.


Katanya, walau tanpa sokongan Parti Golkar, dia tetetap akan menjadi calon dalam Pilihan Raya Presiden 2014.


Parti Golkar secara rasmi telah mencalonkan pengerusinya, Aburizal Bakrie untuk calon presiden walaupun ada yang bimbang dengan pencalonannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Imigresen Vietnam enggan cop visa pasport pelancong China

Posted: 26 Nov 2012 03:18 PM PST

HANOI: Pihak berkuasa Vietnam enggan mengecop pasport pelancong China yang ada peta pulau yang menjadi rebutan di Laut China Selatan sebagai sebahagian wilayah China. Sebaliknya mereka diberi visa dalam sekeping kertas berasingan.

Ketua Kawalan Sempadan di utara wilayah Quang Ningh yang bersempadan dengan China semalam berkata, semua anggota telah diberi arahan untuk mengeluarkan visa berasingan kepada pelawat China.

Pihak berkuasa Vietnam bimbang sekiranya pasport pelancong China diberi cop visa, kerajaan secara tidak langsung mengiktiraf dakwaan Beijing bahawa kepulauan yang menjadi rebutan itu adalah hak China.

Filipina turut memprotes peta di pasport China yang memaparkan sebahagian besar Laut China Selatan adalah wilayahnya. - Hanoi Times

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Polis Thailand gagal 3 cubaan seludup dadah bernilai RM30 juta

Posted: 26 Nov 2012 03:17 PM PST

BANGKOK: Polis berkata, mereka menahan beberapa suspek dalam tiga kes dan merampas dadah bernilai 300 juta baht (RM30 juta) sejak tiga hari lalu.

Timbalan Ketua Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Mejar Jeneral Surapol Tuanthong mengumumkan tangkapan itu dalam sidang media, semalam.

Katanya, seorang lelaki yang ditahan bersama satu juta butir pil methamphetamine (syabu) merupakan seorang anggota kumpulan dadah yang beroperasi di Penjara Klong Prem.

Polis sudah lama memantau aktiviti Warawut Chai-anich, 25, dan mereka memberkas suspek selepas menerima maklumat boleh dipercayai yang dia cuba menghantar dadah dari wilayah Ratchaburi ke Bangkok.


Dalam kes kedua pula, seorang warga Iran ditahan bersama 1,300 gram cecair methamphetamine di dalam botol wain kosong. Cecair itu boleh digunakan untuk membuat dua kilogram syabu.


Penahanan Mahmood Pacchawadee, 56, adalah hasil usahasama dengan Pengurusan Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA) berpangkalan di Thailand.

Thuanthong berkata, DEA menasihatkan polis untuk memantau pergerakan suspek, iaitu seorang anggota kumpulan dadah Iran.

Dalam kes ketiga pula seorang wanita Thailand, Saithan Sae Lim, 39, ditahan bersama tiga kilogram syabu ketika tiba dari luar negara di Lapangan Terbang Suvarnabhumi. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Wanita berbogel berjalan atas bumbung apartmen

Posted: 26 Nov 2012 03:17 PM PST

CHAN BURI: Seorang wanita tidak waras ditemui berjalan dalam keadaan berbogel di bumbung sebuah apartmen di daerah Bang Lamung, semalam.

Pengawal keselamatan berkata, wanita itu menyewa sebuah apartmen di tingkat 14. Dia menemu wanita itu ketika menjalankan pemeriksaan rutin bangunan itu.

Polis berkata, wanita berusia dalam 40 hingga 45 tahun itu dikenali sebagai Lana.

Ketika pegawai polis tiba, dia berjalan dalam keadaan berbogel dan bercakap sendirian.


Dia mendakwa dia dihantar dari syurga ke bumi untuk menentang kejahatan - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


16 maut lepas minum ubat batuk

Posted: 26 Nov 2012 03:17 PM PST

LAHORE: Sekurang-kurangnya 16 orang maut selepas meminum ubat batuk bertoksik di bandar raya ini, memaksa pihak berkuasa menutup tiga farmasi dan sebuah kilang ubat, semalam.

Insiden kematian itu berlaku di kawasan kejiranan di bandar Shahdra yang dihuni golongan berpendapatan rendah antara Jumaat dan kelmarin. Kebanyakan mangsa adalah penagih dadah yang meminum ubat batuk itu untuk khayal, kata Ketua balai polis tempatan, Atif Zulfiqar.


Skandal itu muncul selepas kira-kira 100 pesakit jantung mati Januari lalu di Lahore, bandar raya kedua terbesar di negara itu selepas mengambil ubat yang salah.

"Sekurang-kurangnya 16 orang, kebanyakannya penagih dadah maut selepas mengambil ubat batuk bertoksik," katanya kepada media mengemas kini angka kematian daripada 13 orang.


"Sesetengah mangsa ditemui mati di kawasan perkuburan di mana penagih dadah biasa mengambil pelbagai jenis ubat berbeza," katanya. Tujuh yang lain mati di hospital.


Tiga farmasi ditutup dan pemiliknya turut ditahan.

Penasihat kesihatan wilayah Punjab, Khawaja Salman Rafiq berkata, ubat batuk itu akan dirampas dari semua farmasi.


Menurutnya, polis sudah menutup kilang ubat dan menghantar sampel ubat batuk itu ke makmal untuk analisis lanjut. "Ketua Menteri Punjab, Shahbaz Sharif mengarahkan soal siasat dan laporan diserahkan kepadanya dalam tempoh 72 jam," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Geng dadah sintetik ditumpas

Posted: 26 Nov 2012 03:16 PM PST

TEGUCIGALPA (Honduras): Ejen antidadah kelmarin menumpaskan geng yang menghasilkan dadah sintetik dan merampas aset bernilai AS$100 juta (RM300 juta), kata jurucakap kerajaan semalam.

Ejen antidadah membuat serbuan di 24 lokasi di utara negara itu, merampas 700 lembu dan 150 kenderaan dalam satu daripada rampasan jenayah terancang terbesar sejak sedekad lalu, kata jurucakap itu, Carlos Vallecillo. Vallecillo berkata, kumpulan itu melaburkan wang haram melalui syarikat dan hartanah, tetapi tidak menjelaskan mereka milik kartel dadah yang mana.


Pihak berkuasa menahan seorang pegawai polis, seorang rakyat tempatan dan dua juruterbang warga Colombia. Kempen kerajaan Mexico untuk menjinakkan kartel dadah di negara itu mendorong pengedar dadah Mexico membuka kedai di Honduras. Kartel dadah Colombia turut beroperasi di negara itu.

Keganasan jenayah di negara Amerika Tengah itu semakin meningkat sejak kehadiran kartel dadah Mexico.


Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Honduras mempunyai kadar pembunuhan tertinggi per kapita di dunia, dengan 86 kes bunuh berlaku untuk setiap 100,000 penduduk. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


No comments:

Post a Comment