Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Harap aksi lebih baik

Posted: 18 Nov 2012 07:38 AM PST

SELEPAS menegur prestasi hambar skuad negara menjelang saingan Piala AFF Suzuki, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah nyata mengharapkan persembahan lebih baik pada perlawanan persahabatan terakhir menentang Bangladesh yang bakal ditemui esok.

Kali ini, bukan saja kemenangan yang mahu disaksikannya, tetapi apa yang paling penting bagi beliau ketika memasuki fasa terakhir sebelum turun pada perlawanan pertama bertemu Singapura 25 November ini ialah, statistik perlawanan yang sepatutnya lebih baik apabila bertemu Bangladesh nanti.


"Saya harap pada perlawanan terakhir ini pemain dapat pamerkan persembahan yang bagus. Jangan bimbang soal jaringan gol, tetapi apa yang lebih penting bagi saya ialah sistem permainan serta perlu ada semangat untuk menang.

"Pemain perlu bermain mengikut tahap sebenar mereka. Saya yakin mereka dapat bangkit berbanding perlawanan terdahulu dan harap ia menjadi penyuntik semangat untuk saingan Piala AFF yang akan bermula tidak lama lagi "Bagi saya, berapa banyak percubaan di depan gol serta statistik lain itu yang paling mustahak. Mereka perlu terus konsisten mencari peluang untuk menyerang serta jangan leka di bahagian pertahanan," katanya.


Sejak kebelakangan ini, K Rajagobal serta anak buahnya menerima kritikan hebat selepas beraksi hambar pada tiga perlawanan pemanas badan apabila tewas 0-1 kepada Vietnam serta 0-2 di tangan Thailand sebelum sekadar seri 1-1 bertemu Hong Kong.


Prestasi longlai itu sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kemampuan mereka untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki, malah Tengku Abdullah sendiri meminta Rajagobal supaya tidak terus melakukan eksperimen ke atas barisan pemainnya.

Tengku Abdullah menambah: "Saya memang berharap pasukan kita bersedia daripada segi semangat, fizikal dan mental kerana kejohanan ini begitu penting sekali dalam kalendar bola sepak kita.


"Memang harapan peminat begitu tinggi dan saya percaya jurulatih serta pemain sedar hakikat ini. Saya juga sempat bercakap dan berjumpa dengan pasukan lain yang sememangnya bertekad untuk beraksi sebaik mungkin, lebih-lebih lagi untuk menewaskan skuad kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Tengkujuh hangatkan saingan

Posted: 18 Nov 2012 07:29 AM PST

PIALA Monsun bukan sekadar acara pelayaran malah telah menukar wajah Pulau Duyong daripada sebuah perkampungan nelayan yang sepi kepada pekan yang sibuk dengan aktiviti ketika musim tengkujuh bagi pelancong tempatan dan asing.

T-Best Events, penganjur di sebalik acara pelayaran tahunan, yang juga perhentian terakhir Siri Jelajah Match Racing Dunia Alpari telah merancang keseluruhan aktiviti bertema keluarga yang menjanjikan keseronokkan yang menghiburkan.


Antara aktiviti yang dirancang sepanjang tempoh ini adalah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka, pertandingan kuiz, permainan tradisional pertandingan karaoke, muay thai kick boxing pertandingan perlumbaan perahu naga dan konsert. Julung kali diadakan tahun ini 'Monsoon Ride'. Bertemakan 'cycling for all' atau berbasikal untuk semua", adalah satu acara berbasikal yang terbuka kepada orang ramai, termasuk negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand pada 8 Disember.

Dijangka seramai 500 penunggang basikal akan berkumpul di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa.


Jalinan kerjasama dengan Pejabat Pelancongan Terengganu dan Tahun Melawat Terengganu 2013, Monsoon Ride akan terus menggalakkan keindahan dan warisan negeri itu kepada penunggang basikal sepanjang laluan 100km.


Laluan itu meliputi Pulau Duyong, Pulau Warisan, Pasar Payang, Pantai Batu Burok, Kampung Bidang Maras dan Marang, dan seterusnya ke Batu Rakit dan Lapangan Terbang Kuala Terengganu akhirnya kembali ke Pulau Duyong.

"Laluan 100km bukan sahaja akan melalui kawasan bandar, kampung dan pantai, tetapi juga menaiki curam di sepanjang lebuhraya Pantai Timur.


"Aktiviti mencabar ini melibatkan pelbagai jenis kaedah berbasikal untuk mendapatkan laluan keseluruhan," kata penganjur acara Kelab Berbasikal Go8, Mohd Kamarul.

Acara berbasikal ini pertama kali diadakan melibatkan ramai peserta.


"Keutamaan kami adalah keselamatan pelumba. Justeru seramai 60 marshal terlibat membentuk organisasi berbasikal, polis dan pasukan paramedik.


"Kami berharap acara ini akan menggalakkan gaya hidup sihat dan penggunaan jalan yang selamat di kalangan peserta," katanya.


Yuran pendaftaran RM30 dan peserta akan menerima beg cenderahati dan tiket untuk cabutan bertuah.


Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Mohd Kamarul di talian 019 2855987. Pendaftaran ditutup pada 30 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Pertahan kejuaraan

Posted: 18 Nov 2012 07:27 AM PST

UNTUK tahun kedua berturut-turut, kontinjen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim (KSAH), terus menggenggam gelaran juara Karnival Permainan Antara Staf (Kapas) Zon Utara 2012 di Sungai Petani, Kedah, kelmarin.

Selaku tuan rumah, IPGKSAH gah meninggalkan enam lagi pesaingnya dalam pungutan pingat membabitkan 13 jenis permainan untuk dinobatkan jaguh karnival yang masuk kali ke-4 itu.


Mereka mengumpul 4 emas, 2 perak dan 3 gangsa meninggalkan IPG Kampus Darul Aman (IPGKDA) 3 emas, 1 perak dan ketiga, IPG Kampus Pulau Pinang (IPGKPP) 2 emas 3 perak.

Pengurus kontinjen IPGKSAH, Adenan Ahmad berkata, azam mengekalkan kejuaraan yang dimiliki tahun lalu membuahkan hasil dengan penampilan ahli sukan berkualiti.


"Selepas Kapas Zon Utara terhenti pada 2009 iaitu tahun IPGKSAH bergelar juara keseluruhan, kami bersungguh-sungguh mahu mengekalkannya dan kerana itu pemilihan atlet yang tepat banyak memberi kelebihan kepada kami untuk mengumpul seberapa banyak pingat.


"Mengekalkan kejuaraan sebenarnya lebih sukar daripada merebutnya. Syukur kami melakukannya lagi. Terima kasih kepada semua staf dan pegawai yang bertungkus-lumus memastikan IPGKSAH juara," katanya.

IPGKSAH cemerlang dalam acara bola jaring, karom, pentaque, badminton dan bowling.


Menduduki tempat keempat ialah IPG jemputan iaitu Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM), Cheras, Kuala Lumpur diikuti IPG Kampus Tuanku Bainun (IPGTB), Pulau Pinang, IPG Kampus Perlis (IPGKP) serta IPG Kampus Ipoh (IPGKI), Perak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Impian gelaran berkecai

Posted: 18 Nov 2012 07:25 AM PST

IMPIAN beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk menambah koleksi kejuaraan ketiga mereka tahun ini tidak kesampaian apabila kecundang di tangan beregu tuan rumah, Xu Chen-Ma Jin di Kejohanan Siri Super, Terbuka China, semalam.

Pasangan itu terpaksa akur apabila tewas 15-21, 17-21 selepas bertarung 46 minit dalam perlawanan akhir yang berlangsung Gimnasium Yuan Shen.


Berdasarkan rekod pertemuan nyata memihak kepada pemenang pingat perak Olimpik London, Ma Jin-Xu Chen dan pasangan nombor dunia itu kini melebar rekod kemenangan kepada 4-1.

Peng Soon-Liu Ying bagaimanapun sedar, mereka perlu lebih banyak memperbaiki corak serangan yang dilihat menjadi punca kepada kekalahan mereka dan perlu berusaha lebih keras untuk meruntuhkan kekebalan pasangan tembok besar China itu yang pernah di tewaskan mereka ketika di pusingan kedua Terbuka China, tahun lalu.


"Ada sedikit kegembiraan kerana berjaya mara ke perlawanan akhir tapi kecewa tetap ada juga. Saya kecewa kerana kami tidak mampu bergelar juara ketika hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran itu. Apapun kami sudah melakukan yang terbaik dan pastinya segala kelemahan akan diperbaiki lagi selepas ini," katanya.


Beregu negara yang kini menduduki ranking keempat dunia itu menyingkirkan pilihan ketiga kejohanan, pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Batsir untuk mara ke perlawanan akhir hanya mampu memberi tentangan di awal set pertama apabila berjaya mengikat kedudukan lapan sama. Bagaimanapun rentak lawan yang lebih konsisten menghukum kealpaan beregu negara apabila Xu Chen-Ma Jin untuk terus menguasai set pertama sebelum menang 21-15.

Peng Soon-Liu Ying yang muncul juara Terbuka Jepun dan GP Emas Terbuka Malaysia tahun ini, cuba bangkit di set kedua apabila sering mengekori rapat lawan dan mengejar mata demi mata bagaimanapun terpaksa menerima hakikat bahawa pasangan China itu lebih layak bergelar juara.


"Mungkin antara perkara yang perlu diperbaiki adalah teknik serangan kami. Kami kurang menyerang dan serangan ke atas lawan tidak cukup untuk mantap. Jadi kami akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan itu," kata Peng Soon selepas menamatkan cabaran di kejohanan yang menawarkan hadiah bernilai AS$350,000 (RM1.05 juta).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Kelantan kekal kejuaraan

Posted: 18 Nov 2012 07:24 AM PST

KELANTAN berjaya mempertahankan kejuaraan Ragbi Piala Agong 2012 untuk tahun ketiga berturut-turut dengan menewaskan Negeri Sembilan 27-15 pada perlawanan akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.

Kelantan bermula garang apabila kerap melakukan serangan namun dikejutkan dengan larian pantas Mohd Azmir Zainal Abidin yang berjaya melakukan 'try' seawal minit keenam perlawanan untuk membolehkan Negeri Sembilan mendahului 5-0.


Tersentak dengan keadaan itu, Kelantan memperkemaskan serangan dengan kerap mengasak kubu sebelah kiri lawan dan berjaya melakukan tiga 'try' dan menyempurnakan tiga 'conversion'. Separuh masa pertama, Kelantan mengatasi Negeri Sembilan, 21-10. Pada babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun Kelantan kekal mendahului perlawanan sehingga wisel penamat apabila berjaya menyempurnakan dua sepakan penalti manakala Negeri Sembilan membuat satu jatuhan 'try'. Pengurus pasukan Kelantan, Mohd Noor Nek Alias berkata kemenangan buat tahun ketiga berturut-turut itu adalah hasil kerja keras pemain sepanjang latihan bagi memastikan misi membawa pulang Piala Agong berjaya. "Strategi kita menjadi walaupun Negeri Sembilan kerap melakukan larian pantas di bahagian tengah, namun kita menukar corak permainan dengan lebih menekan pertahanan mereka di bahagian kiri dan ia menjadi," katanya. Pemain 'flanker' Kelantan, Mohd Hafizh Zainal dinobatkan pemain terbaik kejohanan kali ini. Pada aksi separuh akhir, Kelantan menewaskan Sabah 23-15, manakala Negeri Sembilan mengatasi Kedah, 13-12. Berangkat hadir menonton perlawanan akhir itu ialah anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim yang berkenan menyampaikan trofi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Skuad terjun sasar dua pingat

Posted: 18 Nov 2012 07:24 AM PST

MESKIPUN tanpa ratu terjun negara, Pandelela Rinong serta dua lagi jaguh terjun, Leong Mun Yee dan Bryan Nickson Lomas, skuad kebangsaan negara berlepas ke Kejohanan Asia di Dubai, semalam, dengan sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat.

Tetap meletakkan China sebagai pencabar utama, skuad tetap kukuh dibarisi dua Olimpian Wendy Ng dan Cheong Jun Hoong serta muka baru, Loh Zhiayi, Ooi Tze Liang and Chew Yiwei. Dengan jurulatih kebangsaan, Yang Zhuliang meletakkan harapan pingat di bahu Wendy serta Jun Hoong kedua-dua penerjun ini sememangnya ke Dubai dengan misi melakukan yang terbaik buat negara.


"Kali pertama saya akan beraksi dalam acara perseorangan. Pastinya, sukar buat saya meletakkan jangkaan apatah lagi kaki saya masih sakit. Namun, pada masa sama saya akan lakukan yang terbaik," kata Wendy.

Kejohanan yang akan berakhir 25 November ini menyaksikan Wendy dan Jun Hoong beraksi dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita. Jun Hoong yang memenangi pingat emas di Sukan Sea Indonesia tahun lalu bersama Wendy dilabel Zhuliang sebagai penerjun berpengalaman dan berpeluang cerah meraih pingat dalam acara papan anjal.


Zhiayi yang baru berusia 15 tahun mencuri tumpuan di Sukan Malaysia (Sukma) Pahang Jun lalu, diberi kepercayaan menyertai acara kegemaran Pandelela, 10 meter platform.


Tze Liang dan Yiwei pula akan melaungkan cabaran acara 3m papan anjal lelaki bagi kedua-dua kategori individu serta seirama.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Scott cemerlang

Posted: 18 Nov 2012 07:22 AM PST

MELBOURNE: Pemain pilihan tuan rumah, Adam Scott mencatatkan kelebihan empat pukulan untuk merangkul kemenangan bernilai AS$1 juta (RM3.1 juta) Masters Australia ketika harapan Ian Poulter mempertahankan kejuaraan lebur selepas melakukan bogey pada sembilan lubang terakhir dalam kejohanan yang berlangsung lapangan Kelab Golf Kingston Heath.

Scott yang menduduki ranking kelima dunia mempamerkan ketenangan walaupun terpaksa beraksi dalam keadaan berangin untuk melakukan lima bawah par 67 sekali gus melakarkan 17 bawah par 271 dan merangkul kejuaraan pertama tahun ini selepas mengharungi musim yang hampir mengecewakan.


"Kemampuan merangkul kejayaan ketika lawan berkelas dunia dan muncul di kedudukan teratas amat memuaskan hati," kata Scott.

"Mungkin ini adalah satu-satunya minggu untuk tahun ini di mana saya mempamerkan persembahan paling baik dalam empat pusingan dan keputusan menunjukkannya, jadi saya sangat gembira dengan apa yang mampu saya lakukan minggu ini, terutamanya hari ini." Saingan sepanjang hari memisahkan Poulter dan Scott berbanding peserta lain, pusingan akhir menyaksikan pertarungan match-play dan pemain Australia itu meningkatkan tekanan kepada lawan apabila melakar dua birdie pada lubang pertama untuk mendahului saingan.


Namun harapan untuk mengulangi aksi mendebarkan pada Sabtu lalu tidak kesampaian apabila mereka melakarkan 17 birdie, dipadamkan lebih awal di sembilan lubang terakhir apabila Poulter melakukan par lima di lubang ke-12 dan 14.


Pemain Inggeris itu berdepan dengan perangkap fairway dan bunker untuk melakukan bogey pada lubang ke-12 dia kemudiannya tersilap langkah di dua lubang selepas itu sehingga mengakibatkan ketinggalan tiga pukulan ketika saingan berbaki empat lubang untuk ditamatkan.

Wira Piala Ryder itu bangkit untuk mencatatkan kelebihan satu pukulan dengan birdie di lubang ke-16 namun sekali lagi tersilap langkah apabila terlepas melakarkan pukulan dari jarak dua kaki apabila melepasi garisan Scott.


Bogey itu membolehkan Scott menguasai lubang terakhir dan pemain Australia itu menamatkan saingan selepas menyempurnakan pukulan dari jarak 10 kaki untuk melakarkan birdie. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


‘Si tua’ juara Jelajah Eropah

Posted: 18 Nov 2012 07:22 AM PST

HONG KONG: Pemain veteran Sepanyol, Miguel Angel Jimenez mengatasi Fredrik Andersson Hed untuk memenangi saingan Terbuka Hong Kong bernilai AS $2 (RM6.1 juta), semalam, sekali gus menjadi individu tertua menjuarai Jelajah Eropah di usia 48 tahun.

Lawannya dari Sweden itu awalnya cemerlang mencatat enam bawah par 64 dengan jumlah keseluruhan dalam empat hari kejohanan mengumpul 14 bawah par 266. Namun, Jimenez tetap bertahan dengan mencatat 65 pukulan di final untuk merebut trofi.


Ia membolehkan Jimenez meraih kejuaraan hatrik di Hong Kong selepas turut memenangi kejohanan di Fanling pada 2004 dan 2007.

"Saya lihat Andersson mencatat 14 bawah par dan sedar saya perlu fokus untuk meraih kejuaraan. "Satu penghormatan apabila berjaya mencatat rekod dan berharap ini bukanlah terakhir," kata Jimenez.


Sementara itu, wakil Australia, Marcus Fraser mencatat 64 pukulan untuk tamat di tangga ketiga keseluruhan, dua pukulan di belakang Andersson Hed dan tiga di belakang, Jimenez. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Emir, Zaqhwan terlepas aksi ARRC

Posted: 18 Nov 2012 07:21 AM PST

JUARA perlumbaan Suzuka 4 Hour Endurance Road Race, Mohd Emir Firdaus Hasan dan Mohd Zaqhwan Zaidi terlepas aksi perlumbaan malam di Litar Antarabangsa Losail, gelanggang pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) pada 22 hingga 24 November ini.

Emir mengalami kecederaan patah pergelangan tangan selepas terbabit kemalangan pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Litar Sepang, baru-baru ini manakala Zaqhwan, 17 tahun sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


"Saya akan menduduki ujian terakhir pada 21 November, hari sama pasukan saya dijadualkan terbang ke Doha. Sebenarnya, saya masih boleh beraksi kerana perlumbaan akan berlangsung pada Sabtu, namun saya akan terlepas hari pertama sesi latihan bebas. "Daripada pergi tanpa persediaan cukup, lebih baik saya memberi sepenuh tumpuan terhadap peperiksaan SPM," katanya.

Lebih mengecewakan, Zaqhwan bakal terlepas peluang untuk berada dalam senarai 10 pelumba terbaik di mana ketika ini dia berada di tangga kesembilan keseluruhan dalam kategori SuperSports 600cc.


"Saya agak kecewa kerana ini musim penuh SuperSports 600cc yang pertama bagi saya, dan memang matlamat utama saya adalah untuk berada di kalangan 10 pelumba teratas.


"Lagipun, jika berjaya, ini adalah pencapaian yang agak baik bagi pelumba baru seperti saya. Namun melihat kepada keadaan sekarang, ia agak sukar untuk terlaksana," jelas Zaqhwan.

Pasukan MUSASHi Boon Siew Honda Racing Malaysia mengumumkan kekosongan itu akan diisi oleh pelumba Jepun, Ryuta Kobayashi manakala pelumba Malaysia, Sasitharen Sukumaran mengisi lagi satu kekosongan yang ditinggalkan Emir dan Zaqhwan.


Kobayashi pernah membawa cabaran mereka atas tiket wildcard sewaktu perlumbaan berlangsung di Jepun dan berjaya menamatkan Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 di kedudukan kelapan dan kelima.

Bagi Sasitharen pula, jika menjadi kenyataan, ini adalah penyertaan pertamanya dalam kelas SuperSports 600cc di peringkat Asia.


Mengalami nasib serupa ialah pasukan Petronas Hong Leong Yamaha apabila kehilangan Mohd Farid Badrul yang masih belum pulih daripada kecederaan pada saingan MSS.


Kekosongan itu tidak akan diisi oleh mana-mana pelumba memandangkan mereka telah mendapatkan khidmat pelumba Jepun, Yuki Ito sejak Pusingan 5 lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Messi ‘arkitek’ terbaik

Posted: 18 Nov 2012 07:21 AM PST

MADRID: Barcelona mengukuhkan cengkaman di puncak La Liga apabila Lionel Messi meledak dua gol berganda kali ketujuh dan mencipta peluang kepada Alex Song menjaringkan gol pertama untuk kelab itu ketika menewaskan Real Zaragoza 3-1 di laman sendiri semalam.

Pemain Terbaik Dunia, Messi kini sudah menjaringkan 17 gol liga dengan dua sentuhan penyudah cantik bagi melonjakkan Barca yang masih belum tewas dalam saingan domestik mengumpul 34 mata selepas 12 perlawanan.


Messi yang turut mencipta hatrik ketika menewaskan Deportivo Coruna bulan lalu membuka jaringan pada minit ke-16 di Nou Camp selepas mendapat hantaran Jordi Alba dan melakukan sepakan lambung.

Zaragoza yang tidak pernah menewaskan Barca dalam tempoh hampir setengah abad menyamakan kedudukan lapan minit kemudian apabila rembatan Francisco Montanes terkena pemain pertahanan tengah, Carlos Puyol yang kembali beraksi selepas mengalami kecederaan untuk melepasi Victor Valdes.


Pemain tengah Cameroon, Song memanfaatkan hantaran ke belakang Messi yang melepasi pemain untuk membolehkan Barca mendahului m-28 dan Messi melakukan sepakan lencong ketika perlawanan memasuki tempoh sejam untuk memastikan kemenangan mutlak.


Ia adalah jaringan ke-78 dalam tahun ini bagi kelab dan negara - 66 untuk Barca dan 12 bagi Argentina - dan dia semakin menghampiri rekod 85 gol yang dilakukan bintang Jerman, Gerd Mueller pada 1972.

Kemenangan itu bermakna jurulatih baru, Tito Vilanova, yang mengambil alih tugas Pep Guardiola penghujung musim lalu, menjadi pengurus pertama memimpin pasukan yang mencatatkan 11 kemenangan dalam 12 perlawanan pembukaan liga sejak Radomir Antic melakukannya bersama Real pada 1991-92.


"Pemain berusaha bersungguh-sungguh dan anda sedar mereka kepenatan selepas perjalanan yang panjang untuk bersama skuad kebangsaan," kata Vilanova.

Real Madrid pula membelasah Athletic Bilbao 5-1 untuk kekal di tempat ketiga.


Selepas jaringan sendiri Jon Aurtenetxe pada awal perlawanan, Karim Benzema, Sergio Ramos, Mesut Ozil dan Sami Khedira meledak gol untuk skuad kendalian Jose Mourinho mempamerkan kebangkitan selepas permulaan hambar dalam mempertahankan kejuaraan untuk meraih kemenangan ketujuh dalam lapan perlawanan.


Real kini mengumpul 19 gol melepasi gawang Bilbao dalam empat perlawanan terakhir di Bernabeu dan kejutan terbesar adalah kegagalan Cristiano Ronaldo menambah jaringan selepas merekodkan 12 gol La Liga ketika ini. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


No comments:

Post a Comment