Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kumpul dana baiki masjid runtuh di Gaza

Posted: 23 Nov 2012 01:38 PM PST

SEPANG: Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (Muslim Care) tampil antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama yang kini giat mengumpul dana bagi membina semula beberapa masjid yang runtuh di Semenanjung Gaza akibat serangan roket tentera Zionis.

Muslim Care kini giat mengumpul dana termasuk sumbangan daripada pelajar Malaysia yang menuntut di United Kingdom.


Timbalan Presidennya, Zulkefli Mohd Nani berkata, dua ahli Muslim Care iaitu Bendahari Agungnya, Zulkifli Wahijan dan Exco Muslim Care, Riduan Mohamad Nor bertolak ke United Kingdom dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam, untuk bertemu pelajar Malaysia di sana.

Menurutnya, rancangan mengutip dana bagi membina masjid di Tebing Gaza itu sudah dirancang sebelum perang meletus 20 November lalu namun ia akan diperhebatkan berikutan beberapa masjid di bandar Gaza dilaporkan musnah.


"Setakat ini, RM100,000 berjaya dikumpul dan kami menjangka mampu memperoleh RM1 juta pada penghujung tahun ini bagi tujuan membina atau membaik pulih masjid di sana," katanya.


Menurutnya, misi itu mendapat kerjasama NGO dan kerajaan Mesir untuk memasuki Semenanjung Gaza melalui sempadan Rafah.

Zulkefli berkata, orang ramai masih boleh menyumbangkan wang ke akaun Muslim Care di atas nama Viva Palestin menerusi nombor akuan Maybank, 564490211159 atau ke Akaun RHB (Muslim Care) 26212000004747.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


‘Rakan kongsi’ kebas RM75,000

Posted: 23 Nov 2012 01:35 PM PST

PETALING JAYA: Seorang peniaga kerugian lebih RM75,000 akibat terpedaya dengan helah seorang lelaki mendakwa sebagai kontraktor yang mahu menjadikan mangsa sebagai rakan kongsi projek pembersihan rentis talian pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB), lebih setahun lalu.

Mangsa berusia 53 tahun yang berminat dengan projek berkenaan kerana mampu memberikan pulangan lumayan menyerahkan wang itu sebagai modal bagi membiayai pinjaman pendahuluan kontrak.


Malah, lelaki terbabit turut menjanjikan pulangan RM40,000 dalam tiga bulan selepas mangsa menyerahkan wang berkenaan pada Mac tahun lalu, namun sehingga kini dia tidak memperoleh keuntungan dijanjikan menyebabkan dia membuat laporan polis mendakwa ditipu. Menurut sumber, mangsa bertemu lelaki terbabit di sebuah restoran di Sungai Buloh dan menawarkannya menjadi rakan kongsi projek pembersihan rentis talian pencawang TNB di Perak.

"Lelaki itu mendakwa kekurangan modal untuk membiayai pendahuluan projek itu berjumlah RM160,000 menyebabkan dia perlu mencari rakan kongsi.


"Dia juga meyakinkan mangsa jika membuat pelaburan kos modal projek itu tidak melebihi RM100,000 manakala keuntungan RM60,000 dibahagi sama rata antara mereka," katanya.


Katanya, tertarik dengan tawaran itu, mangsa bersetuju menjadi rakan kongsi dan menyerahkan RM75,000 secara berperingkat.

"Dia menyerahkan RM50,000 kepada lelaki itu sebelum baki RM15,000 lagi dimasukkan dalam akaun bank milik lelaki itu secara ansuran.


"Selepas pembayaran dibuat, lelaki terbabit menunjukkan dokumen sebuah syarikat yang kononnya akan menguruskan projek berkenaan," katanya.

Menurut sumber, selepas lima bulan, mangsa mendapat tahu projek berkenaan siap dilaksanakan, malah syarikat yang menguruskan projek itu juga sudah mendapat pembayaran daripada TNB.


"Pada Ogos tahun lalu, mangsa cuba mendapatkan kembali wang modal dan keuntungan dijanjikan daripada lelaki terbabit, tetapi gagal kerana lelaki terbabit tidak dapat dihubungi," katanya.


Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh, baru-baru ini, selepas gagal menemui lelaki terbabit dan mengesyaki dirinya tertipu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Kedai peralatan rumah dimamah api

Posted: 23 Nov 2012 01:34 PM PST

KUALA LUMPUR: Sebuah bangunan empat tingkat menempatkan kedai menjual peralatan rumah, musnah dalam kebakaran di Jalan Pasar Pudu, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.11 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi lima minit kemudian.


Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, lima jentera bomba dengan 45 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Hang Tuah dan Tun Razak dikejarkan ke tempat kejadian.

"Api marak dapat dikawal daripada merebak ke bangunan rumah kedai bersebelahan dalam tempoh setengah jam.


"Bagaimanapun, api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 6.56 pagi dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya.


Katanya, sehingga kini, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut punca kejadian dan jumlah kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Sihir guna batang keladi

Posted: 23 Nov 2012 01:33 PM PST

KUALA LUMPUR: "Lelaki terbabit terkena sihir yang dinamakan 'sihir ribath' atau 'sihir ikatan' yang dilakukan bertujuan memisahkannya dengan isteri dan 'sihir ribath' ini adalah gabungan antara 'sihir pemisah' serta 'sihir ikatan'," kata Pengasas Pusat Terapi al-Quran Darul Hikmah, Abdul Malek Ladzim Al-Azhari.

Menurutnya, 'sihir ribath' akan dilakukan dengan menggunakan batang keladi serta dibacakan jampi sebelum di bakar dengan api sehingga batang keladi itu lembik.


Katanya, tindakan terbabit akan menyebabkan zakar orang yang dituju itu turut menghadapi kesan sama seperti batang keladi itu dan ia menyebabkan tanggungjawab sebagai suami tidak dapat dilaksanakan.

Malek berkata, perkara ini amat dilarang dalam Islam kerana tindakan itu sama seperti meruntuhkan masjid dan amat dimurkai Allah.


"Kaedah rawatan yang digunakan ialah dengan membacakan ayat al-Quran di telinga mangsa bagi mengeluarkan jin-jin yang berada dalam tubuh mangsa serta dimandikan dengan air yang dibacakan doa.


"Penyakit seperti ini dapat diubati dengan tiga kali rawatan dan ia kes yang selalu dihadapi bukan saja membabitkan rumah tangga namun di antara jiran dan rakan sekerja," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Dua korban hubungan sulit

Posted: 23 Nov 2012 01:33 PM PST

GOMBAK: Polis memburu seorang lelaki Indonesia yang disyaki membunuh isterinya serta rakan wanita itu dengan memukul mereka menggunakan senjata tumpul hingga mati dipercayai kerana cemburu di sebuah rumah di Kampung Changkat, Taman Greenwood, di sini, semalam.

Lelaki terbabit dikenali sebagai Yasin, 30-an, dilihat berada di kawasan perumahan berkenaan beberapa hari lalu sebelum menghilangkan diri selepas kejadian itu.


Mangsa dikenali sebagai Kusnul, 30, ditemui mati berlumuran darah di ruang tamu rumah terbabit manakala Rokiah, 29, iaitu isteri Yasin, ditemui terbaring di depan pintu biliknya.

Kejadian dipercayai berlaku awal pagi semalam, hanya disedari jiran jam 8 pagi sebelum memaklumkan perkara itu kepada saudara Kusnul yang kemudian menghubungi polis.


Rumah berkenaan disewa Kusnul bersama isterinya yang kini berada di Indonesia kerana bersalin anak sulung mereka dan Rokiah, rakan sekampung Kusnul, tinggal bersama mereka sejak setahun lalu manakala suaminya bekerja di Pulau Pinang. Difahamkan, Yasin dan Rokiah mempunyai dua anak di Indonesia. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan dua mayat dalam rumah berkenaan jam 10 pagi.


Menurutnya, berdasarkan kesan kecederaan pada kedua-dua mangsa, polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan senjata tumpul untuk memukul mereka hingga mati.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Parah dekat simpang tiga

Posted: 23 Nov 2012 01:32 PM PST

ALOR GAJAH: Seorang lelaki yang dalam perjalanan ke tempat kerja parah selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta di simpang tiga berhampiran sebuah pasar raya di pekan Masjid Tanah, di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 10.55 pagi, Mohd Hasni Zulkifli, 33, dari Alor Gajah ke Masjid Tanah, dirempuh Kia Sportage dipandu seorang wanita berusia 47 tahun.


Sumber berkata, ketika kejadian kereta dari Lubok Cina itu membelok ke kanan menuju sebuah pasar raya sebelum merempuh motosikal Modenas Kriss ditunggang mangsa hingga tercampak ke tepi jalan.

"Motosikal mangsa tercampak ke kanan jalan berdekatan longkang besar, manakala pemilik kereta terbabit memberhentikan kenderaannya.


"Lelaki itu dibantu orang awam sebelum dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut," katanya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Buru teman baru kekasih

Posted: 23 Nov 2012 01:32 PM PST

SIBU: Dia mungkin bertindak mahu menunjuk hebat kepada kekasih barunya, tetapi malangnya perbuatan itu menyebabkan bekas kekasihnya yang juga seorang mekanik, maut dibelasah teman lelaki baru bersama sekumpulan lelaki di Jalan Belian, di sini, semalam.

Berikutan kejadian itu, polis kini giat memburu kekasih baru wanita terbabit kerana disyaki menyebabkan kematian mekanik berkenaan.

Mangsa, Hendson Uka, 24, meninggal dunia di Hospital Sibu, jam 2 pagi semalam akibat cedera parah di kepala dan badan.

Sumber berkata, sebelum kejadian, pada jam 8 malam mangsa meminjam kereta majikannya untuk menemui bekas teman wanitanya itu di sebuah pasar raya di sini, kerana mahu berbincang dan menyelesaikan masalah.


Mangsa membawa bekas teman wanitanya berusia awal 20-an balik, namun ketika melalui Jalan Tiong Hua, tercetus pergaduhan sehingga kereta dipandu mangsa terbabas dalam longkang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


‘Saya tidak boleh terima’

Posted: 23 Nov 2012 01:28 PM PST

KUANTAN: "Saya tidak boleh menerima perbuatannya (suami), dia (Nur Amirah) anak kami," kata Suzie Jarip, 26, isteri kepada seorang lelaki berusia 29 tahun yang menyembelih bayi perempuannya berusia 11 bulan dalam kejadian Jumaat lalu di rumah mereka di Felda Panching Selatan dekat sini.

Menurutnya, dia masih trauma dengan kejadian itu dan kekal terpahat dalam ingatannya sebagai tragedi hitam.


Ditanya sama ada dia memaafkan perbuatan suaminya, wanita itu hanya mendiamkan diri sebelum memberikan telefon bimbit kepada adik iparnya dikenali sebagai Liza, 23.

Liza yang juga adik kepada suspek berkata, selepas seminggu kejadian itu berlaku, keadaan kakak iparnya semakin pulih, namun enggan bercakap mengenai peristiwa malang itu.


Menurutnya, kakak iparnya itu masih dibayangi kejadian berkenaan, tetapi tetap cuba melupakan kejadian yang berlaku.


"Alhamdulillah...dia semakin baik, namun hari ini (semalam), anak sulungnya yang berusia dua tahun demam.

"Kami sekeluarga faham kakak berdepan dugaan paling hebat dalam hidupnya ketika ini dan kami berusaha memulihkan semangatnya," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Menurutnya, mereka sekeluarga juga tidak mahu bercakap apa-apa lagi berhubung kejadian itu dan menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan.

"Biarlah polis melakukan siasatan terhadap apa yang berlaku, kami sekeluarga reda dengan takdir ini," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof berkatam tempoh reman suspek berakhir semalam dan polis masih melakukan siasatan lanjut dengan melanjutkan tempoh reman.


"Kita menyambung reman suspek seminggu lagi bagi mengumpul bukti dan siasatan lanjut sebelum kertas siasatan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya," katanya ketika dihubungi, semalam.


Dalam kejadian jam 9.30 malam Jumaat lalu, suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak kejam dengan mengelar leher anak bongsunya dengan pisau pemotong daging.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Orang Asli cedera ditimpa pokok

Posted: 23 Nov 2012 01:27 PM PST

REMBAU: Seorang lelaki Orang Asli cedera ditimpa pokok tumbang dalam kejadian di Kampung Sungai Layang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari ini, mangsa berusia 40-an itu dikatakan menunggang motosikal Honda EX5 sendirian melalui jalan di tempat kejadian.


Pemilik bengkel kereta, Mohamad Razi Md Tajudin, 32, berkata, ketika kejadian dia sedang menutup pintu kereta apabila melihat cuaca mendung.

"Ketika menoleh ke belakang saya ternampak sebatang pokok di tepi jalan tumbang merentangi jalan dan terkena kabel elektrik," katanya ketika ditemui, di sini.


Mohamad Razi berkata, dia terus ke gerai menjual petai berhampiran lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa cedera.


Menurutnya, dia bersama beberapa penduduk terus ke arah pokok tumbang dan terkejut melihat seorang lelaki Orang Asli berada di dalam rimbunan daun pokok.

"Saya terus membantu mengeluarkan mangsa dari rimbunan pokok dan mukanya mengalami sedikit luka, tetapi dia boleh berjalan," katanya.


Mohamad Razi berkata, sejurus selepas itu, dia bersama seorang lagi rakan mengawal keadaan di situ bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Namun, selang beberapa minit, kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki terbabas masuk ke dalam rimbunan pokok.

"Pemandu kereta berusia 40-an itu memberitahu dia tidak perasan pokok tumbang dan memandu seperti biasa. Dia tidak mengalami kecederaan, cuma bahagian lampu depan keretanya pecah," katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Tampin, Sulaiman Imesman berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.15 petang dan kerja membersihkan pokok tumbang selesai jam 3 petang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Bayi bekas makanan

Posted: 23 Nov 2012 01:25 PM PST

JOHOR BAHRU: Seorang bayi lelaki ditemui di dalam bekas menyimpan makanan yang dibalut dengan kain putih di tepi jalan Taman Daya di sini, 3 November lalu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini sedang mengesan ibu bapanya.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, bayi berkenaan ditemui seorang pegawai polis.


"Secara kebetulan, pegawai polis itu membuat rondaan di tepi jalan bersebelahan pondok bas di kawasan kediaman itu.

"Pegawai polis itu curiga apabila menemui bungkusan berwarna putih di tepi pondok bas berkenaan dan apabila dibuka, beliau terkejut mendapati bekas menyimpan makanan itu mengandungi bayi berkenaan," katanya.


Menurut Manayi, bayi berkenaan masih bertali pusat dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.


Manayi berkata, pegawai polis itu kemudian merujuk bayi berkenaan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

"Bayi itu bernasib baik kerana sempat diselamatkan. Dia kemudiannya diberikan rawatan di HSA dan kini keadaannya stabil.


"Bayi berkulit cerah dan comel itu dinamakan Adam Qayum dan kini berada di bawah jagaan JKM," katanya.

Menurut Manayi, Adam dipercayai mangsa pengabaian ibu bapa dan sekiranya lewat ditemui, bayi berkenaan pasti tidak dapat diselamatkan.


Manayi berkata, ketika ditemui, tiada sebarang maklumat ibu bapanya dijumpai dan meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keluarga Adam supaya tampil.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan bolehlah menghubungi kami di talian 07-2232607.


"Kami juga berharap ibu bapa Adam tampil membincangkan masa depannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


No comments:

Post a Comment