Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Terduduk lihat kedai hangus

Posted: 19 Nov 2012 08:59 AM PST

SUBANG JAYA: Seorang peniaga kedai runcit terduduk longlai apabila kedai yang diwarisi daripada mendiang datuknya, musnah dalam kebakaran bersama empat lot premis lain di Batu 12, Puchong, di sini, kelmarin.

Pemilik tiga daripada lima lot premis itu, Lim Lee Kwan, 49 berkata, dia mengetahui kebakaran terbabit apabila dimaklumkan rakannya yang melalui kawasan berkenaan jam 9.30 malam.


"Ketika itu saya makan malam bersama keluarga di sebuah restoran di Puchong Perdana, dekat sini dan bergegas ke sini (tempat kejadian). Apabila sampai, saya dapati tiga premis milik saya sudah musnah terbakar.

"Saya anggarkan kerugian RM100,000 termasuk sebuah lori yang musnah," katanya.


Lim yang turut tinggal di lot kedai berkenaan bagaimanapun bersyukur kerana ketika kejadian, dia tidak berada di situ.


Pemilik kedai makan, J Periasamy, 66, berkata, sudah seminggu dia tidak menjalankan perniagaan kerana menyambut Deepavali.

"Saya rugi RM30,000 dan kini hilang punca pendapatan akibat kejadian inu," katanya.


Sementara itu, Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Puchong Haswan Mohd Wasir ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.55 malam.

Katanya, tiga jentera dengan kekuatan 18 anggota dari balai Puchong, Subang Jaya dan Seksyen 7 Petaling Jaya mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke premis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


‘Terlupa’ tanda harga

Posted: 19 Nov 2012 08:59 AM PST

KUALA LUMPUR: Terlupa. Antara alasan 62 peniaga yang dikenakan kompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga khas merah jambu sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2012 yang dilaksanakan bermula 8 hingga 17 November lalu.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayuddin berkata, mereka tidak mematuhi peraturan iaitu menjual melebihi harga maksimum, gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan tidak meletakkan tanda harga.


Katanya, peniaga sengaja memberikan alasan seperti itu kerana mahu meletakkan harga sendiri kepada pengguna selain mahu mengaut keuntungan segera.

Menurutnya, sepanjang 10 hari skim itu dilaksanakan, 53,646 pemeriksaan dilakukan membabitkan pemborong dan peruncit di seluruh Malaysia.


Katanya, KPDNKK mengeluarkan kompaun RM8,049 selain merampas barang jualan mereka bernilai RM7,540.


"Antara kesalahan yang paling banyak dilakukan peniaga ialah tidak meletakkan tanda harga merah jambu iaitu 46 kes.

"Selain itu, 15 kes membabitkan tidak mempamerkan harga pada barangan kawalan manakala satu kes ialah menaikkan harga barang kawalan melebihi harga siling ditetapkan kerajaan," katanya Mohd Roslan berkata, Selangor dan Lembah Klang mencatatkan kes tertinggi peniaga yang ingkar iaitu masing-masing dengan 20 dan 24 kes.


Katanya, sepanjang tempoh berkenaan juga, pihaknya menerima dua aduan ketidakpuasan daripada orang ramai terhadap peniaga yang tidak mematuhi skim itu.

Menurutnya, peniaga yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau kompaun tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


Tak lapor mangsa lemas

Posted: 19 Nov 2012 08:58 AM PST

KLANG: Gara-gara keluarga mangsa tidak membuat laporan polis, gerakan mencari K Subramaniam, 32, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam Sungai Rasau, Batu Tiga Lama, di sini, Sabtu lalu, dihentikan sementara, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Ishak Bakar berkata, pihaknya yang menghubungi polis di Balai Polis Bukit Raja, di sini, jam 9 pagi semalam, dimaklumkan keluarga Subramaniam tidak membuat laporan dakwaan lelaki itu terjatuh dalam sungai berkenaan.


Sebelum ini, adik mangsa, K Kumaran, 27, menghubungi bomba selepas mendakwa melihat abangnya itu terjatuh dalam sungai berkenaan jam 12.30 tengah hari, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


‘Bagi sama rata’

Posted: 19 Nov 2012 08:58 AM PST

KUANTAN: Seramai 669 wakil generasi kedua peneroka Felda Bukit Goh, di sini, hadir menerima durian runtuh berjumlah RM3.34 juta disampaikan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail di Dewan Orang Ramai tanah rancangan itu, kelmarin.

Abdul Manan berkata, beliau berharap generasi kedua Felda bersyukur dan memanfaatkan wang diterima sebaik mungkin.


Menurutnya, pemberian wang itu membuktikan kerajaan menepati janji dengan tidak melupakan anak peneroka yang turut membesar dan merasai keperitan hidup di tanah rancangan.

"Pemberian ini sebagai penghargaan kepada seluruh keluarga peneroka termasuk isteri dan generasi baru yang sama-sama bersusah-payah membuka tanah rancangan dan hasilnya kini dinikmati semua.


"Saya berharap anak peneroka generasi kedua bersikap jujur dan telus membahagikan wang diterima sesama adik-beradik. "Jangan sampai berbunuhan dan bergaduh sesama sendiri," katanya ketika ditemui. Seorang penerima, Siti Aisyah Ismail, 22, berkata wang diterima itu akan dibahagikan sama rata sesama 11 adik-beradiknya. "Kami sudah berpakat membahagikan wang itu sama rata walaupun jumlahnya tidak sebanyak mana. "Sekurang-kurangnya wang diterima ini dapat digunakan bagi menampung pembelian barangan keperluan dapur sementara waktu," katanya ketika ditemui.


Seorang lagi penerima, Nordin Idris, 39, berkata dia berterima kasih kepada pengurusan Felda dan kerajaan atas pemberian itu dan bersepakat mengagihkan sama rata dalam kalangan adik-beradiknya.

"Mungkin ini rezeki kami enam beradik dan bersyukur dengan hadiah ini. Sebelum ini, kami membahagikan sama rata wang fasa pertama serta kedua untuk peneroka dan isteri memandangkan kedua ibu bapa kami sudah meninggal dunia.


"Saya bercadang menyimpan wang ini dan menggunakannya apabila perlu," kata anak ketiga daripada enam beradik itu.

Kasmawati Jaafar, 35, berkata walaupun jumlah wang diterima tidak terlalu besar jika dibahagikan lapan beradik, namun tetap bersyukur kerana berpeluang merasai wang hasil titik peluh ibu bapanya yang bekerja teruk ketika mula-mula memasuki tanah rancangan.


"Terima kasih kepada Felda dan sudah pasti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak putus-putus menghargai pengorbanan warga peneroka yang terlalu banyak berjasa dalam pembangunan negara sebagai pengeluar komoditi utama sawit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


Tragedi cari kerja

Posted: 19 Nov 2012 08:57 AM PST

PASIR GUDANG: Pemandu dan dua penumpang Perodua Kembara yang terbabit kemalangan meragut lima nyawa di Jalan Masai-Kong-Kong, di sini, malam kelmarin adalah rakan karib yang dalam perjalanan untuk mencari kerja sebagai pemandu lori.

Ketika kejadian, pemandu, S Varathan, 35, S Sivakumar, 40, dan Mohamad Ismail Abdul Rahman, 46, yang berasal dari Ulu Tiram dalam perjalanan dari Cahaya Masai ke Kota Masai. Adik saudara Mohd Ismail, Abu Bakar Abdullah, 42, berkata, kali terakhir dia bertemu Allahyarham pada Aidiladha lalu.


"Arwah yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak meminta maaf dengan ahli keluarga dan menyatakan mahu pergi. Bila ditanya mahu ke mana, arwah hanya menyatakan sudah tiba masa meminta maaf kerana mahu pergi jauh," katanya.

Difahamkan, kemalangan yang berlaku menyebabkan Mohd Ismail yang duduk di bahagian penumpang belakang dan Varathan tercampak keluar daripada kenderaan, manakala Sivakumar mati di tempat duduk penumpang depan.


Abu Bakar berkata, sebelum kemalangan, Mohd Ismail yang juga kelindan lori meminjam RM20 daripada isterinya bagi mengisi minyak Perodua Kembara itu untuk pergi mencari kerja bersama dua rakannya.


Abu Bakar berkata, keluarga arwah hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan polis.

"Hari ini (semalam) anak kedua arwah sepatutnya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala anak bongsu mereka mengambil keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tetapi tragedi yang berlaku menyebabkan mereka terpaksa menguruskan jenazah bapa mereka," katanya.


Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ulu Tiram, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


Kapal ghaib

Posted: 19 Nov 2012 08:57 AM PST

KOTA KINABALU: Sebuah kapal kargo Malaysia bersama sembilan anak kapal didapati hilang apabila gagal dihubungi selepas terakhir dikesan di perairan Indonesia, pagi kelmarin.

Kapal MT Zafirah milik syarikat BA Marine Sevices Sdn Bhd yang membawa muatan diesel itu dalam perjalanan dari Pasir Gudang ke Pelabuhan Miri.

Difahamkan, kapal berkenaan membawa empat anak kapal warga Indonesia dan lima warga Myanmar.

Ketua Penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim M Karunanithi berkata, kapal berkenaan dikesan kali terakhir jam 11.40 pagi, 131 batu nautika di utara Pulau Natuna, Indonesia.


"APMM menghantar pasukan mengesan kapal itu di sekitar perairan Malaysia dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


Tetak rakan lepas berhibur

Posted: 19 Nov 2012 08:55 AM PST

PARIT BUNTAR: Seorang pekerja kontrak maut selepas ditetak dengan parang oleh rakan karibnya sejurus mangsa pulang dari sebuah kelab malam di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, mangsa, Hong Peng Kang, 39, diserang rakan karibnya di hadapan rumah suspek di Pekan Baru di sini, selepas mangsa dan suspek bersama-sama berhibur di pusat hiburan berhampiran bandar Parit Buntar.


Abang mangsa, H'ng Peng Joo, 47, berkata, tragedi berlaku apabila adiknya itu didakwa berselisih faham dengan suspek ketika mereka berada di pusat hiburan itu.

Menurutnya, pergaduhan itu bagaimanapun dileraikan rakan lain sebelum adiknya beredar pulang ke rumah.


"Bagaimanapun pergaduhan itu tercetus semula di hadapan rumah suspek sebelum adik saya diserang dengan parang. Suspek bertindak menetak parang ke arah lengan tangan kiri adik saya hingga cedera parah.


"Adik saya yang berlumuran darah bagaimanapun mampu memandu kereta pulang ke rumah," katanya ketika ditemui di hadapan bangunan Unit Forensik, Hospital Parit Buntar, semalam.

Dia segera membawa adiknya mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar namun adiknya itu disahkan mati jam 4.30 pagi semalam akibat pendarahan teruk.


Menurutnya, kematian adiknya itu amat mengejutkan memandangkan mendiang masih mampu berjalan untuk mendapatkan rawatan di unit rawatan kecemasan tanpa perlu dipapah sebaik tiba di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


Tangan kiri tepis parang

Posted: 19 Nov 2012 08:55 AM PST

KOTA BHARU: "Saya sempat menggunakan tangan kiri untuk menepis parang dilibas seorang lelaki yang muncul secara tiba-tiba. Mujur sempat menepis kerana lelaki itu mahu menetak kepala saya," kata pekerja bengkel kimpalan, Liu Kien Hor, 25, seorang daripada dua mangsa amuk seorang lelaki berusia 40-an dipercayai bekas tentera dalam kejadian di Wakaf Che Yeh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Liu cedera di pergelangan tangan kiri manakala seorang lagi mangsa yang juga peniaga kedai emas, Chew Foi Sung, 51, parah di belakang kepala akibat ditetak suspek.

Kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) manakala lelaki terbabit diberkas anggota polis selepas menetak peniaga emas itu.

Menurut Liu, sebelum kejadian, dia bersendirian melakukan kerja kimpalan sebelum lelaki yang dikenalinya itu muncul secara tiba-tiba dan mengeluarkan parang dari belakang badan.


"Dia cuba menetak kepala, tetapi saya tepis menggunakan tangan kiri. Selepas melihat saya cedera, dia melarikan diri ke sebuah kedai emas kira-kira 15 meter dari bengkel kimpalan tempat saya bekerja dan menetak belakang kepala peniaga emas itu sebelum melarikan diri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


Masuk jerat CCTV

Posted: 19 Nov 2012 08:52 AM PST

PETALING JAYA: Tidak lagi dapat mengelak berikutan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membongkar perbuatannya mendera anak majikan berusia lima tahun, seorang pembantu rumah warga Filipina melarikan diri, kelmarin, tetapi dia ditahan semalam.

Wanita berusia 34 tahun itu ditahan polis di Damansara di sini, selepas ibu bapa kanak-kanak lelaki terbabit membuat laporan mengenai kejadian itu yang berlaku ketika mereka berada di luar negara.

Bapa kanak-kanak itu, Ong Kah Hui, 31, mendakwa pembantu rumah terbabit dipercayai sudah beberapa kali memukul anaknya ketika dia dan isteri tiada di rumah mereka di Tropicana, Kota Damansara, di sini.

Pegawai sebuah syarikat swasta itu berkata, wanita terbabit bekerja di rumahnya sejak hampir setahun lalu dan sudah diberi amaran supaya tidak mengulangi perbuatan sama.


"Bagaimanapun, Jumaat lalu isteri saya menyedari ada kesan lebam pada pipi dan kepala anak kami. Kami mengesyaki pembantu rumah memukulnya ketika kami berada di luar negara," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


Diana Danielle hamil

Posted: 19 Nov 2012 08:52 AM PST

KUALA LUMPUR: Aktres jelita, Diana Danielle Danny Beeson, 21, isteri kepada pelakon terkenal, Farid Kamil Datuk Dr Zahari, 31, yang baru berkahwin awal bulan lalu kini mendakwa mengandung.

Diana Danielle berkongsi kegembiraan itu yang melalui akaun rasmi Twitternya yang dipetik melalui portal gosip selebriti hiburan, www.rotikaya.com.


Portal itu menyebut, Diana menulis - "The most precious birthday present, thanks Allah SWT" dan disertakan sekeping gambar alat uji kehamilan yang menandakan dia kini hamil.

"Ulang tahun kelahiran Diana Danielle jatuh pada 22 November 2012 ini dan tidak disangkal lagi ini merupakan hadiah buatnya dan Farid Kamil," kata laporan itu.


Farid dan Diana bernikah pada 3 November lalu dalam sebuah majlis ringkas di tepi tasik Hotel Flamingo Ampang, Kuala Lumpur.


Sementara itu, menurut seorang sumber rapat kepada Farid, dia mengesahkan perkara terbabit dan Farid memberitahu dia gembira dengan perkembangan terbaru itu dan bakal menjadi bapa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


No comments:

Post a Comment