Harian Metro: Global


Harian Metro: Global


Posted: 16 Nov 2012 09:31 AM PST
SHANGHAI: Beberapa pembekal kepada satu daripada kedai iPhone dalam talian terbesar di China diheret ke mahkamah kerana didakwa mengelak membayar cukai dengan menyeludup iPhone dan iPad syarikat Apple ke dalam negara itu, lapor media kerajaan semalam.
Sebanyak 26 pembekal daripada Lanyou Shuma.com dihadapkan ke mahkamah di Shenzhen kelmarin sebagai sebahagian daripada lima rangkaian yang menyeludup lebih 162,000 telefon mudah alih bernilai lebih 500 juta yuan (RM246 juta) dari Hong Kong sejak dua tahun lalu, lapor Beijing News. Separuh daripada suspek adalah suri rumah yang sering berkunjung ke Hong Kong, menurut sebuah akhbar lain, Southern Metropolis Daily sambil menambah mereka dibayar 20 hingga 30 yuan (RM9.80 hingga RM14.70) sebagai komisen untuk setiap telefon bimbit yang dibawa pulang ke tanah besar. Shanghai Daily pula berkata, 25 defendan dididakwa kerana menyeludup produk iPhone dan iPad.

Kedai digital Lanyou Shuma.com yang pernah menjadi satu daripada kedai terbesar dalam Taobao Marketplace di China dipaksa menutup perniagaan April lalu oleh Taobao selepas pihak berkuasa Hong Kong melancarkan siasatan ke atasnya kerana dipercayai menyeludup iPhone 4S. Taobao Marketplace, satu daripada cawangan kumpulan Alibaba adalah laman web e-dagang terbesar di China yang memfokus kepada pengguna. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 08:19 AM PST
SACRAMENTO: Seorang ibu di California melahirkan tiga bayi lelaki yang mencatatkan rekod baru sebagai kembar tiga paling berat di dunia.
Jason dan Brittany Deen dari Sacramento, California, menyambut kelahiran tiga bayi lelaki mereka pada 8 November lalu.

Gabungan berat ketiga-tiga bayi itu ialah sembilan kilogram bermakna mereka mencatat rekod baru dalam Buku Rekod Dunia Guiness, menurut Sacramento Bee. Bayi sulong, Sidney adalah seberat 3.5 kilogram dan adiknya, Elliot seberat 3.3 kilogram, manakala anak bongsu Jenson mencecah 2.5 kilogram.
Pihak hospital telah merekod berat kelahiran kembar tiga itu dan kini keluarga itu telah menyerahkan dokumen berkenaan kepada Guiness untuk pengesahan.

Rekod sedia ada dipegang sepasang suami isteri dari Carolina Utara yang mempunyai kembar tiga dengan jumlah berat keseluruhan ialah 8.2 kilogram pada tahun lalu.

Brittany, 32, yang memberi makan bayi itu secara normal menghadiri kelas mingguan di Sutter Memorial's Moms untuk mempelajari bagaimana memberikan penjagaan terbaik bayi baru lahir kepada kembar tiga miliknya.
"Menjadi ibu kepada bayi kembar tiga amat menakutkan," katanya kepada Sacramento Bee.

"Anda dengar mengenai kesukaran dan cabarannya.
"Saya harap dengan menyaksikan saya dan mendengar pengalaman positif yang saya lalui akan memberi inspirasi kepada ibu lain agar tidak berasa takut dan membantu mereka menyedari bahawa mereka tidak sendirian," katanya. Brittany, seorang jururawat onkologi di Pusat perubatan Universiti California Davis berazam melanjutkan tempoh kehamilan kembar tiga itu dengan sempurna.

Dia memberi perhatian khas mempelajari cara pemakanan untuk empat orang yang bermakna mengambil makanan hingga 6,000 kalori dalam sehari. - DM
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 08:14 AM PST
DEVON: Seorang pengail, Andy Parker berjaya menangkap seekor belut seberat 43 kilogram di perairan Britain semalam.
Dia berjuang selama 40 minit untuk menarik naik haiwan itu ketika memancing kiar-kira 35 batu di perairan Torquay, di Devon.

Batang kailnya melendut sebaik belut berkenaan memakan umpan dan cuba untuk melarikan dirinya ke dasar laut. Parker, 42 dari Huddersfield, barat Yorks, berkata: "Ia bagaikan perlawanan tinju. Ia adalah belut terbesar yang saya pernah lihat apalagi menangkapnya.
"Kami seolah-olah tidak percaya dengan saiznya. Ia kelihatan seperti makhluk dasar laut dalam filem seram," katanya. Parker dan rakannya menaikkan haiwan berukuran 17 kaki itu dan merakam hasil tangkapannya itu sebelum melepaskan ia semula ke laut.

"Memang sangat sukar untuk menangkapnya tetapi berbaloi akhirnya," katanya. Rekod belut terbesar pernah ditangkap di perairan Britain adalah 60 kilogram dan ditangkap oleh Vic Evans pada 1996 di Brixham, Devon. - TS
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 08:14 AM PST
WASHINGTON: Hampir 50 orang kadet wanita menjadi mangsa jurulatih yang melatih mereka di pangkalan tentera udara Texas, termasuk 13 wanita yang mengalami serangan seksual, menurut laporan ketenteraan Amerika Syarikat dikeluarkan semalam.
Sekurang-kurangnya 23 jurulatih tentera terbabit dalam kes salah laku seksual itu, yang terbongkar pada Jun tahun lalu di pangkalan tentera udara Lackland dekat San Antonio.

Antara 48 mangsa dikenal pasti, 35 mempunyai "hubungan tidak profesional" dengan jurulatih mereka, manakala yang lain menjadi bahan serangan seksual, termasuk enam orang yang diserang oleh seorang jurulatih yang telah disabitkan dengan kesalahan berkenaan.
"Jenis salah laku ini tidak dapat diterima di mana-mana pasukan tentera udara AS, tetapi ia betul-betul kesalahan besar dalam suasana latihan asas, di mana kami mempunyai populasi kakitangan wanita sebagai anggota udara terbaru," kata Ketua Am Kerahan Pendidikan dan Latihan, Edward Rice yang mengetuai siasatan itu.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 08:08 AM PST
MANILA: Pakar bom dari Switzerland akan mula membersihkan bom yang ditanam di selatan Filipina selepas pemberontak Islam dan kerajaan menandatangani perjanjian damai, kata Kesatuan Eropah (EU), semalam.
Duta EU ke Filipina, Guy Ledoux berkata, berpuluh-puluh orang terbunuh atau putus anggota badan disebabkan bom di Pulau Mindanao, manakala 8,000 petani tidak dapat mengerjakan tanah mereka kerana bom dan roket yang tidak meletup.
Katanya, langkah untuk membersihkan bom di Mindanao, pulau kedua terbesar di Filipina, akan membenarkan penduduk kembali mengerjakan tanah mereka.
Ledoux berkata, Yayasan Tindakan Periuk Api Switzerland telah menandatangani kontrak bulan lalu untuk projek bernilai AS$700,000 (RM2.14 juta) yang dibiayai oleh EU, pada masa yang sama Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan.

Katanya, projek itu akan meliputi kawasan pertanian seluas 450,000 hektar, kira-kira empat kali saiz Hong Kong yang tidak digunakan kerana bahaya bom. - MT
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 08:07 AM PST
MANILA: Polis Daerah Quezon City memantau kemungkinan beberapa tempat persembunyian dua suspek lagi dalam kes pembunuhan seorang model, Julie Ann Rodelas.
Pengarah Operasi itu, Superintendan Kanan, Neri Illagan berkata, suspek, Efren Talib dan seorang lagi yang dikenali sebagai Aldos, melarikan diri dari tempat persembunyian mereka di Salaam Compound di Kampung Barangay Culiat, Quezon City dan mungkin bersembunyi di tempat lain.
"Kami memantau tempat persembunyian mereka yang lain," kata Illagan, semalam. Beliau enggan memberi butiran lanjut.
Suspek lain, Jaymar Waradji mendedahkan Efren dan Aldos sebagai rakan subahat dalam kes menembak mati Julie Ann, seorang pelajar kolej dan model sambilan. - MT
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 08:07 AM PST
BANDAR SERI BEGAWAN: Kapten Sharifah Czarena Suriany Syed Hj Hashim menjadi wanita pertama dilantik sebagai kapten untuk Syarikat Penerbangan diraja Brunei (RB), memecahkan tradisi lapangan yang biasanya didominasi oleh lelaki.
Awal bulan ini, Sharifah menamatkan penerbangan 5,000 jam di bawah bimbingan dan pengawasan Timbalan Ketua Pegawai Operasi, Kapten Khalidkhan Hj Asmakhan.
Dengan penilaian tinggi konsisten yang diterima ketika menjawat jawatan Pegawai Kanan Pertama, juga program latihan pemerintahan selama tiga bulan sebelum penerbangan pemeriksaan terakhir, wanita berusia 31 tahun ini kini dikenali sebagai pelopor dalam penerbangan komersial domestik, bukan saja di Brunei tetapi juga di Asia Tenggara. - Brunei Times
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 08:07 AM PST
PEKANBARU: Fakhri Rubiyanto, seorang daripada beberapa wartawan yang diserang oleh pegawai Tentera Udara ketika membuat liputan jet terhempas di Riau bulan lalu, diserang sekali lagi oleh empat orang tidak dikenali di sini, kelmarin.
Penyerang memakai topi keledar untuk melindungi wajah mereka, menunggang dua motosikal lalu menghalang motosikal yang ditunggang Fakhri di Jalan Ariffin Rachmad.
Ketika memukul Fakhri, mereka berkata, mereka benci Fakhri dan enam lagi wartawan menerima anugerah untuk liputan jet terhempas itu. - Jakarta Post
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 07:55 AM PST
MANILA: Sepasang suami isteri dan dua anak lelaki mereka berusia enam dan lapan tahun yang dibunuh dan mayat mereka dikerat ditemui dibuang dalam tangki najis di belakang kediaman mereka di bandar Cagayan de Oro semalam.
Ketua balai polis Cagayan de Oro, Inspektor Kanan Rechie Yandog mengenal pasti mangsa sebagai Christopher Lastimosa, 34; isterinya, Sumagang, 34; dan anak lelaki mereka, Christian, 8, serta Chamlie, 6.

Yandog berkata, mayat mangsa yang kembung ditemui dalam tangki najis di belakang kediaman mereka di Barangay Canitoan, Cagayon de Oro. Polis turut menemui sebilah parang dan dua pisau dapur yang berlumuran darah di tempat kejadian.
Pembantu keluarga itu, Arman Aboyin, 18, yang disyaki terbabit dengan pembunuhan empat beranak berkenaan juga ditahan untuk siasatan.

Sebungkus serbuk putih dipercayai shabu yang dibungkus dalam kertas aluminium milik suspek turut ditemui.

Menurut polis, pembunuhan empat beranak itu terbongkar selepas saudara mangsa pergi ke kediaman mereka apabila panggilannya dan mesej pesanan ringkas yang dihantar tidak berjawab.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 07:55 AM PST
PHNOM PENH: Polis Kemboja semalam menahan lapan orang kerana mempamer potret Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama bersebelahan perkataan "SOS" di bumbung kediaman mereka menjelang kunjungan pemimpin terbabit ke negara itu.
Aksi itu dilakukan penduduk yang tinggal dekat Lapangan Terbang Phnom Penh sebagai bantahan ekoran ancaman pengusiran, kata kumpulan kemanusiaan tempatan dalam kejadian terbaru isu pertikaian tanah di negara itu.

"Mereka meletakkan gambar Obama di bumbung dan mengecat perkataan "SOS" di sebelahnya," kata jurucakap polis nasional, Kirt Chantharith sambil menambah polis sedang menyoal siasat tujuan mereka berbuat demikian.
Obama akan menjadi presiden AS pertama yang bakal mengunjungi Kemboja apabila dia terbang ke Phnom Penh minggu depan untuk menghadiri persidangan tahunan Asia Timur bersama pemimpin negara rantau berkenaan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

No comments:

Post a Comment