Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kebas RM90,000

Posted: 26 Nov 2012 03:51 PM PST

SHAH ALAM: Gara-gara mempercayai rakan baiknya, seorang peniaga kereta terpakai kerugian RM90,000 apabila rakannya bukan saja gagal menyerahkan barangan dibeli, malah melarikan diri sejak April lalu.

Mohd Khairil Adzhar Mahmood, 28, mendakwa mengenali rakannya dikenali sebagai Jeffry itu sejak setahun lalu dan membeli beberapa barangan terpakai daripadanya, termasuk kereta Mercedez, Mini Cooper Wagon, BMW, motosikal, kamera digital, telefon bimbit dan komputer riba pada harga murah.


Menurutnya, sebelum mendapat semua barangan ditempah, Jeffry memintanya membayar sejumlah wang dan berjanji menyerahkan barangan berkenaan dalam dua bulan yang kononnya disimpan di Perak.

Beliau berkata, harga ditawarkan Jeffry tidak munasabah kerana terlalu rendah namun lelaki itu berjaya meyakinkannya dengan menunjukkan bukti bergambar barangan.


Selain itu, Jeffry mendakwa ramai pelanggan membeli barangan daripadanya.


"Berikutan jumlah urus niaga itu mencecah RM90,000, saya membuat satu surat perjanjian ditandatangani Jeffry pada Februari lalu, bagi memastikan tidak ditipu.

"Dalam surat berkenaan, Jeffry bersetuju menyerahkan semua barangan yang ditempah sebelum jam 12 tengah malam, 14 April lalu," katanya yang ditemui di sini, semalam.


Bagaimanapun, hingga kini bukan saja barangan ditempah tidak diperoleh, malah wangnya lesap manakala lelaki itu gagal dihubungi.

"Baru-baru ini saya menerima SMS daripada Jeffry yang mengugut melakukan sesuatu yang buruk kepada saya selepas kegiatan penipuannya disiarkan di facebook," katanya. Bimbang keselamatannya, Mohd Khairil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam mengenai penipuan dan ugutan yang diterima daripada Jeffry.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Bayi terselamat daripada api

Posted: 26 Nov 2012 03:49 PM PST

KUALA LUMPUR: Bayi lapan bulan antara yang terselamat dalam kebakaran lima rumah di Kampung Chubadak, Sentul, di sini, petang semalam, yang menyebabkan tujuh keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Datuk bayi berkenaan, Mohd Rais Dahlan, 57, berkata, ketika kejadian dia keluar bersama isterinya berniaga pisang goreng di kawasan berhampiran apabila mendapat panggilan telefon daripada anaknya yang berada di rumah memberitahu mengenai kebakaran itu, lalu bergegas pulang.


"Bagaimanapun, sebaik sampai di pekarangan rumah, semuanya sudah terbakar. Nasib baik tiga anak dan dua cucu yang berusia lapan bulan dan tujuh tahun berjaya menyelamatkan diri," katanya yang tinggal sehelai sepinggang.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.40 petang dan empat jentera dikejarkan ke tempat kejadian.


Beliau berkata, 35 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Sentul, Gombak, Titiwangsa dan Hang Tuah berjaya mengawal api yang marak jam 4.20 petang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Tembak tayar lori cuba rempuh kereta peronda

Posted: 26 Nov 2012 03:48 PM PST

KUALA LUMPUR: Polis melepaskan beberapa das tembakan berikutan seorang lelaki cuba melanggar kereta peronda polis (MPV) dengan lori curi berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Dua, Rawang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, lelaki berusia 58 tahun terbabit dikejar 10 kereta MPV polis sejauh hampir 40 kilometer (km) bermula dari Jalan Travers, Brickfields, selepas polis mengesan lori yang digunakannya kenderaan curi.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim berkata, anggota MPV dari Balai Polis Travers mengarahkan suspek memberhentikan kenderaannya namun lelaki itu enggan dan memecut.

Menurutnya, mereka memaklumkan perkara itu kepada bilik gerakan sebelum mengejar lori suspek.


"Kereta peronda dari Balai Polis Brickfields, Petaling Jaya, Sentul dan Rawang membantu mengejar lori itu hingga ke Sungai Dua, Rawang.


"Suspek cuba melanggar satu daripada MPV berkenaan menyebabkan anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Meniarap atas bumbung

Posted: 26 Nov 2012 03:48 PM PST

SUBANG JAYA: Menyedari dikepung polis, seorang lelaki berusia 29 tahun yang mempunyai empat rekod jenayah memperjudikan nasibnya dengan memanjat bumbung rumah milik Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat bagi meloloskan diri ketika memecah masuk rumah berkenaan di SS 18, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan ala 'Spider-Man' oleh lelaki terbabit jam 3 petang, gagal apabila dia dicekup selepas gagal mencari jalan untuk melepaskan diri berikutan rumah berkenan yang ketika kejadian tidak berpenghuni dikepung polis.


Polis menemui semula barang kemas dan wang tunai pelbagai mata wang dianggar bernilai lebih RM5,000 daripada lelaki tempatan itu.

Menurut sumber, drama penahanan lelaki terbabit bermula selepas pihak berkuasa menerima laporan daripada orang awam yang ternampak suspek memecah masuk rumah berkenaan melalui pintu belakang.


"Sebaik menerima laporan, sepasukan polis dikejar ke tempat kejadian dan mengepung rumah berkenaan.


"Polis menggunakan pembesar suara mengarahkan suspek menyerahkan diri, tetapi suspek enggan," katanya.

Menurut sumber, terdesak untuk meloloskan diri daripada kepungan polis, suspek memanjat bumbung rumah berkenaan dipercayai mahu melarikan diri.


"Selepas beberapa kali memberikan amaran kepada lelaki terbabit, suspek masih enggan menyerahkan diri," katanya memberitahu sebahagian anggota polis kemudian masuk ke kawasan rumah itu untuk melakukan pemeriksaan namun gagal menemui suspek.

Beberapa minit kemudian, seorang anggota polis di luar rumah berkenaan terlihat suspek meniarap di atas bumbung untuk menyembunyikan diri.


Menurut sumber itu, hasil kebijaksanaan dan kesabaran pasukan polis dari Balai Polis Subang Jaya memujuknya menyerah diri, membuahkan hasil 15 minit kemudian.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi, mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan memuji ketangkasan anggota polis menahan penjenayah itu.


"Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki terbabit memiliki empat rekod jenayah membabitkan dadah dan pecah rumah. Dia direman sehingga 29 November ini bagi membantu siasatan," katanya.


Sementara itu, anak sulung Aseh, Datuk Muhd Khairun ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana ketika kejadian, ahli keluarganya tiada di rumah dan berterima kasih kepada polis bertindak cepat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Kaki bocor digigit ‘kayu’

Posted: 26 Nov 2012 03:47 PM PST

SANTUBONG: "Saya ingatkan batang kayu dan terus berdiri di atasnya, tetapi benda itu tiba-tiba menggigit kaki kanan saya," kata Mohamad Azlan Marzuki, 20, mangsa serangan buaya di Pantai Pasir Panjang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, Azlan dari Kampung Haji Mat Taib, Kuching mengalami pendarahan teruk di bahagian kaki kanan selepas dipercayai digigit buaya ketika mandi di pantai berkenaan bersama beberapa ahli keluarganya.


Menurut Azlan, dia bersama keluarga menghabiskan cuti hujung minggu dengan berkelah di tepi pantai berkenaan, namun tidak menyangka kunjungan pertamanya itu membawa tragedi yang hampir meragut nyawanya.

"Saya berenang berseorangan kira-kira 20 meter dari kawasan pantai, tiba di satu kawasan saya rasa seperti berdiri di sebatang kayu, tetapi tiba-tiba benda itu menggigit saya.


"Saya cuba melepaskan diri dengan menyepak kepala buaya itu sebelum berenang ke tepi pantai bagi mendapatkan pertolongan.


"Dengan sepenuh tenaga saya cuba melepaskan diri daripada gigitan buaya itu, selepas beberapa kali mencuba baru reptilia itu melepaskan kaki saya," katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, setibanya di tepi pantai dia melihat ada tujuh hingga lapan kesan gigitan gigi buaya di bahagian kaki kanan dan mengalami pendarahan yang banyak.


"Saya pitam apabila melihat darah keluar dengan banyak dan kesan gigitan yang agak dalam, namun bersyukur berjaya melepaskan diri daripada dibaham haiwan yang dianggarkan berukuran lebih dua meter itu," katanya.

Azlan yang dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh keluarganya untuk mendapatkan rawatan lanjut berkata pengalaman itu menyebabkan dia tidak lagi berhasrat untuk mandi di pantai berkenaan.


Kejadian yang menimpa Azlan itu adalah yang kedua berlaku di kawasan sama di mana pada 22 Ogos lalu, kira-kira jam 7.30 pagi, seorang pelajar, Ashley Austin Chin, 14, cedera di kedua-dua kaki akibat serangan haiwan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Hempas batu nisan

Posted: 26 Nov 2012 03:42 PM PST

MELAKA: Majlis penutup Karnival Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek 55 Jam yang berlangsung di Japerun DUN berkenaan kecoh apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman tiba-tiba muncul di pentas dan menghempaskan batu nisan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, lelaki berusia lewat 30-an itu tiba-tiba menaiki pentas membawa bungkusan ketika ceramah disampaikan Ahli Parlimen Sri Gading, Johor, Datuk Mohamad Aziz.

Sumber berkata, tindakan lelaki itu menyebabkan Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Md Yunos Husin serta hadirin terkejut.

"Mohamad berhenti menyampaikan ceramah selepas nampak lelaki terbabit muncul di pentas sambil bertanyakan tujuannya datang sebelum batu nisan itu dihempaskan.


"Keadaan agak kecoh dan mengejutkan hadirin sebelum sepasukan polis menahan lelaki terbabit kerana mengganggu perjalanan majlis berkenaan," katanya, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Mangsa tanah runtuh dakwa ditipu peguam

Posted: 26 Nov 2012 03:42 PM PST

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang kematian dua anak perempuan dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Selangor pada 2008, mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat guaman hingga menyebabkan mereka bakal diisytihar muflis.

Azizah Madon, 46, mendakwa ini berikutan mereka tidak lagi menggunakan khidmat peguam itu selepas menyelesaikan kes di luar mahkamah serta berbincang dengan kerajaan Selangor dan pemaju.


Beliau mendakwa selepas tragedi itu, peguam berkenaan menghubungi mereka untuk menawarkan khidmat guaman selepas mengetahui kejadian itu turut meranapkan banglo mereka.

"Peguam terbabit menasihatkan kami untuk memfailkan saman terhadap pemaju, kerajaan Selangor dan tiga yang lain meskipun pemaju bersetuju untuk membayar pampasan kepada kami.


"Sebelum saman difailkan, kami bertanya kepada peguam berkenaan mengenai pembayaran guaman kerana kami dalam keadaan sehelai sepinggang dan tidak mampu, tetapi peguam itu kata tidak apa, dia tolong kami kerana Allah," katanya kepada pemberita di Parlimen, di sini, semalam.


Beliau berkata, selepas saman RM1.1 juta itu difailkan, peguam terbabit tiba-tiba menuntut kos guaman yang amat tinggi iaitu 25 peratus daripada jumlah bayaran saman.

Azizah berkata, beliau dan suami kemudian menyelesaikan kes itu di luar mahkamah dan perbincangan bersama pemaju serta kerajaan negeri dijalankan selama setahun tanpa sebarang bantuan dan pembabitan peguam terbabit.


"Kami mengambil keputusan untuk tidak lagi menggunakan khidmatnya. Peguam itu tidak berpuas hati kerana tidak mendapat jumlah yang dimahukan setelah kami mendapat bayaran pampasan RM850,000 menyebabkan dia bertindak menyaman kami di Mahkamah Seksyen dengan membawa satu dokumen 'Warrant to Act' yang kami tidak pernah lihat dan tandatangani.

"Peguam itu kemudian datang ke rumah yang kami baru beli dan duduki kira-kira setahun dan membuat lelongan awam terhadap barangan rumah kami sebanyak dua kali pada April tahun ini," dakwanya.


Berikutan itu, beliau berkata, laporan polis dibuat berkaitan 'Warrant of Act' itu pada tahun lalu.


Azizah berkata, baru-baru ini, peguam itu bertindak memfailkan notis muflis terhadap beliau dan suaminya.


Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan menggesa Majlis Peguam untuk campur tangan dan menyiasat kes berkenaan.


Beliau turut meminta polis menyiasat dakwaan bahawa dokumen 'Warrant to Act' itu dipalsukan.


"Kini, mereka terpaksa berdepan dengan saman muflis oleh peguam yang berjanji mencari keadilan untuk mereka. "Saya benar-benar berharap semua pihak yang berkenaan dalam saman ini boleh berkompromi demi keadilan," katanya.


Pada 30 November 2008, dua beradik Noratirah Roslan, 16, dan adiknya Nurul Intan Sarina, 9, terbunuh apabila tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah yang meranapkan banglo setingkat itu di Lot 110, Jalan Belida 1,Ulu Yam Perdana, pada jam 5.30 pagi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Wartawan, jurugambar Harian Metro ke Gaza

Posted: 26 Nov 2012 03:42 PM PST

SEPANG: Bagi menyelami penderitaan dialami jutaan penduduk Tebing Gaza yang diserang Israel baru-baru ini, akhbar Harian Metro menghantar wartawan dan jurugambar untuk membuat liputan khas dari bumi berdarah itu.

Wartawan, Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan jurugambar, Azhar Mat Ganti dihantar untuk memasuki Tebing Gaza melalui sempadan Rafah, Mesir.


Mereka bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 malam kelmarin dan dijangka tiba di lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir, pada jam 5.30 pagi (10.30 waktu tempatan).

Mereka dijangka menyambung perjalanan ke Al-Arish, Mesir, sebelum menuju ke sempadan Rafah bersama Bendahari Agung Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (Muslim Care) Zulkifli Wahijan dan Exco Muslim Care, Riduan Mohamad Nor yang sudah bertolak Jumaat lalu.


Sementara itu, Setiausaha kerja Muslim Care, Abdul Razak Mohamad dan Penolong Bendahari, Ishak Dollah turut mengambil kesempatan menghantar dua wakil media Harian Metro terbabit di KLIA, petang semalam.


Abdul Razak turut menyerahkan sumbangan derma 'tabung kecemasan Gaza' berjumlah RM80,000 untuk dibawa bersama.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Miliki 9 peluru

Posted: 26 Nov 2012 03:41 PM PST

KOTA BHARU: Dua lelaki dipercayai saki-baki anggota Geng Zawa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tiga tuduhan termasuk kesalahan memiliki sembilan biji peluru hidup, Oktober lalu.

Tertuduh, Mohd Fizree Mat Saufi, 25, dan Juhari Mat Jusoh, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pertama iaitu memiliki peluru selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor.


Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki sembilan butir peluru hidup bertulis S&B 38 Special tanpa permit atau lesen sah di hadapan bengkel Motor Kaun Nen, berdekatan Maybank, Jalan Sultan Yahya Petra di sini pada jam 9.25 malam, 15 Oktober 2012.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam menawarkan jaminan tinggi dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh berikutan kes berkenaan mendapati perhatian ramai selain membabitkan kepentingan dan keselamatan awam.


Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan terhadap jaminan.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan tarikh sebutan kes ditetapkan pada 8 Januari depan.


Seperti dilaporkan akhbar pada 17 Oktober lalu, kedua-dua mereka ditahan di Jalan Yaakubiah, di sini, selepas terbabit dalam kejadian tembak yang berlaku sebelum itu di stesen minyak di Jalan Kebun Sultan, di sini.

Sementara itu, dalam pertuduhan kedua iaitu kesalahan gagal mengemukakan kad pengenalan kepada pegawai polis, Mohd Fizree dikenakan denda RM1,500 manakala Juhari dihukum penjara enam bulan selepas mengaku salah atas tuduhan itu.


Kesalahan dilakukan pada tarikh, waktu dan lokasi sama itu didakwa mengikut Peraturan 7(1) dan dihukum di bawah Peraturan 25 (1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Kedua-dua tertuduh turut mengaku bersalah terhadap tuduhan ketiga iaitu memiliki dadah jenis heroin seberat satu gram.


Kesalahan yang dilakukan pada tarikh, waktu dan lokasi sama itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


Tiba masanya

Posted: 26 Nov 2012 03:41 PM PST

KUALA LUMPUR: "Sudah tiba masanya dunia memperbaharui usaha bagi menghentikan tragedi konflik dan peperangan kerana masih ada negara dipenuhi keganasan yang tiada kesudahan."

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan Malaysia tiada pilihan melainkan berperanan dalam usaha menyelesaikan konflik melanda.


Katanya, keamanan hanya boleh dikecapi melalui tindakan, bukan bertindak pasif.

"Abad ke-20 meninggalkan kita dengan legasi perang dan konflik antara negara dan lebih malang abad ke-21 bermula dengan situasi sama.


"Bagaimanapun ini bukan saat kita membuang masa, impian mewujudkan dunia yang aman dan selamat tidak akan padam," katanya menyampaikan ucaptama pada Forum Antarabangsa bertemakan Konflik dan Perdamaian Dalam Politik: Menoleh Ke Belakang atau Memandang Ke Depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.


Seramai 120 peserta antarabangsa termasuk wakil Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Hamas dan Fatah hadir pada forum lima hari sempena Perhimpunan Agung Umno 2012.

Dalam pada itu, Najib berkata, Malaysia berada pada kedudukan baik menyumbang kepada usaha keamanan berteraskan kesederhanaan mengatasi ekstremisme dan sikap tidak bertoleransi. Sebagai contoh, katanya, Kuala Lumpur berjaya membantu menyelesaikan konflik yang berlarutan selama 40 tahun di selatan Filipina membabitkan Bangsamoro dan kerajaan Filipina.


Kejayaan itu adalah kerana Malaysia berjaya menjadi perantara keamanan jujur.

"Dalam konflik terbabit, kita menjadi perantara yang jujur sebelum mendapat kepercayaan kerajaan Filipina dan MILF," katanya. Penyelesaian konflik itu adalah contoh pasca perjanjian perdamaian apabila beberapa perkara utama dipersetujui termasuk kedua-dua pihak mesti bersedia berdamai dan terdapat kemahuan mereka mahu mencari penyelesaian untuk keamanan, kata beliau.


Kerana itulah, beliau menjelaskan kenapa Malaysia dipilih sebagai perantara kerana kedua-dua pihak mendapati Kuala Lumpur layak ekoran memiliki kejujuran menamatkan sengketa.


Situasi itu, kata Najib, boleh digunakan sebagai contoh bagi keadaan konflik jauh lebih rumit seperti di Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27


No comments:

Post a Comment