Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


16 anak belum cukup buat Sue

Posted: 23 Nov 2012 11:13 AM PST

LONDON: Wanita digelar "Ibu Super Britain," Sue Radford, selamat melahirkan anak ke-16 dan belum bercadang untuk berhenti hamil.

"Saya mahu anak lagi," katanya kepada media, semalam.


Kenyataan itu dibuat Sue, 37, sejurus selepas dia dan anak bongsunya, Casper, tiba di rumah mereka di Morecambe, Lancashire.

Rumah itu pernah menjadi pusat penjagaan kanak-kanak kurang bernasib baik.


Kata Sue, dia sentiasa seronok menjadi ibu.


"Kami berasa sangat bertuah," katanya. Sue hamil kali pertama ketika berusia 14 tahun dan sejak itu, dia dan pasangannya, Noel, 41, bertekad untuk membesarkan sendiri anak sulung mereka, Chris, kini 23 tahun.

Keputusan itu dibuat kerana Sue dan Noel sendiri diserahkan kepada keluarga angkat sebaik saja dilahirkan. Sue dan Noel berkahwin empat tahun kemudian dan anak kedua mereka, Sophie, 18, menyusul, sebelum diikuti Chloe, 17; Jack, 15; Daniel, 13; Luke, 11; Millie, 10; Katie, 9; James, 8; Ellie, 7; Aimee, 6; Josh, 4; Max, 3; dan Tilly May, 2.


Anak ke-15 Sue dan Noel, Oscar, lahir pada Oktober tahun lalu sebelum Casper hadir tujuh minggu lalu.

Kata Sue, Casper disambut doktor hanya selepas dia berada 16 minit di dalam bilik bersalin. Menurutnya, kehadiran Casper bagaikan satu mimpi dan melengkapkan kegembiraan dinikmati mereka sekeluarga.


"Saya menjadi emosional apabila melihat semua anak bersama.


"Saya tahu orang memerhatikan kami dan menyangka ada antara anak ini tidak mendapat perhatian sewajarnya," katanya.


Bagaimanapun, kata Sue, orang ramai tidak memahami bagaimana dia dan Noel memberi sepenuh perhatian kepada keluarga bagi memastikan semua anak mereka membesar dengan kasih sayang. Disebabkan jumlah anak begitu ramai, Sue dan Noel menggunakan sebuah bas mini untuk membawa mereka ke sesuatu destinasi. Mereka juga membelanjakan �250 (RM1,220) seminggu untuk membeli makanan.


Setiap hari, tiga buku roti dihabiskan bersama dua kotak bijirin dan 10 liter susu sebagai sarapan.


Hidangan biasa mereka menggunakan 16 potong daging babi, hampir 7 kilogram kentang, tiga kubis dan 30 lobak merah. Di rumah sembilan bilik tidur itu, Sue dibantu sebuah mesin basuh pakaian serta peti sejuk bersaiz besar. Keluarga itu pasti semakin sesak kerana Sophie baru saja melahirkan anak - sekali gus menjadi cucu pertama Sue dan Noel. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


100 kenderaan terbabit kemalangan di lebuh raya: 2 maut, 51 cedera

Posted: 23 Nov 2012 10:38 AM PST

BEAUMONT (Texas): Dua maut dan berpuluh cedera semalam apabila sekurang-kurangnya 100 kenderaan terbabit dalam kemalangan di lebuh raya yang diselubungi kabus tebal.

Insiden itu menyebabkan ada antara kenderaan terbabit saling bertindih dan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa. Kemalangan pada hari sambutan cuti Thanksgiving itu berlaku kira-kira 128 kilometer di timur Houston. Sekurang-kurangnya 51 orang dirawat di hospital dan lapan daripadanya dalam keadaan parah. Selain faktor cuaca, tidak jelas bagaimana kemalangan itu berlaku.


Jurucakap polis berkata, penyelamat tidak menyangka mereka berdepan kemalangan berganda apabila tiba di situ.

"Kami turut dibantu mangsa kemalangan yang tidak cedera," katanya.


Pegawai Jabatan Keselamatan Jalan Raya Texas pula berkata, dua mangsa yang terbunuh menaiki kenderaan pelbagai guna yang dirempuh kontena. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Pertunangan Amir Khan, Faryal sudah putus?

Posted: 23 Nov 2012 10:35 AM PST

LONDON: Petinju terkenal, Amir Khan, mencetuskan kemungkinan dia kini berpisah daripada tunangnya selepas bertanya mengenai pilihan menjalani hidup membujang.

"Adakah hidup membujang kehidupan terbaik?" katanya di laman blog mikro, Twitter, semalam. Kenyataan Amir itu diulang pos beratus kali oleh pengikut bekas juara tinju dunia itu sebelum ia dipadamkan.


Kenyataan itu menyebabkan orang ramai menganggap hubungan Amir dengan Faryal Makhdoom kini berakhir. Amir, 25, didakwa mengadakan hubungan seks dengan dua wanita ketika bercuti di Marbella, Sepanyol, baru-baru ini, tetapi dia menafikan tuduhan itu. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Masak untuk anak mati

Posted: 23 Nov 2012 10:34 AM PST

BANGKOK: Seorang wanita tua berusia 80 tahun memasak makanan untuk anak lelakinya yang berusia 60 tahun tanpa mengetahui lelaki itu sudah meninggal dunia.

Polis dihubungi untuk menyiasat kematian itu di tambon Khlong Krachong di daerah Sawankhalok, Sukhothai semalam. Dalam rumah kayu ala Thai, polis menemui Jamnien Sangkhathong sedang memasak di dapur. Di tingkat atas mayat anak lelakinya, Winai Sangkhathong terbaring dengan ditutup selimut. Wanita yang nyanyuk itu mungkin tidak menyedari anaknya sudah mati.


Apabila dia menyedari ramai orang cuba memasuki kediamannya, Jamnien menyangka dia dalam bahaya lalu mencapai sebilah pisau. Ia mengambil masa sejam untuk polis menenangkannya dan mendapatkan mayat Winai, menurut laporan akhbar Post Today. Polis mendapati Winai sudah mati sekurang-kurangnya lebih daripada 10 jam. Kesan muntah turut ditemui pada mayatnya. Menurut jiran tetangga, Winai dikenali sebagai kaki botol, manakala ibunya pula menghidap demensia. Jamnien bangun untuk menyediakan sarapan pagi buat anak lelakinya tanpa menyedari lelaki itu sudah mati sebelum seorang rakan datang untuk menziarahi Winai. - Post Today

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Ramai anggota keluarga Ampatuan bertanding pilihan raya

Posted: 23 Nov 2012 10:33 AM PST

MANILA: Puluhan anggota suku kaum yang pemimpin mereka masih dibicarakan ekoran pembunuhan beramai-ramai terburuk di Filipina menjadi calon untuk pilihan raya tahun depan dengan sesetengahnya adalah calon parti Presiden, kata media dan kumpulan hak asasi manusia semalam.

Pendedahan itu mencetuskan kemarahan dalam ulang tahun ketiga pembunuhan itu yang menyebabkan 58 orang terbunuh. Pengkritik berkata, keluarga Ampatuan yang mempertahankan pengaruh politik menggariskan "budaya kebal daripada hukuman" di negara itu. "Sesetengah anggota suku kaum yang bersaing di bawah sepanduk parti Presiden Benigno Aquino menjadi masalah serius kerana ia menyampaikan mesej buruk bahawa budaya kebal daripada hukuman masih wujud dan kekal," kata Carlos Conde daripada organisasi pemerhati hak asasi kemanusiaan kepada media. Pemimpin suku kaum Ampatuan yang menjadi sekutu kepada pemimpin terdahulu, Gloria Arroyo dituduh melakukan pembunuhan itu bagi menghentikan pesaing tempatan daripada mendaftar sebagai calon untuk pilihan raya Gabenor Maguindanao pada 2010. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Pelancong Jepun bunuh diri cara harakiri

Posted: 23 Nov 2012 10:33 AM PST

SURAT THANI: Seorang pelancong Jepun membunuh diri dengan membelah dan mengeluarkan isi perutnya, lapor polis.

Polis menerima laporan semalam bahawa seorang pelancong asing ditemui mati oleh pekerja hotel yang memasuki sebuah bilik di Hotel Princess Park di tambon Makham Tia, daerah Muang di sini selepas dia gagal mendaftar keluar pada waktu ditetapkan. Mayat seorang lelaki Jepun berusia akhir 20-an ditemui tertiarap dengan sebilah pisau berlumuran darah di sisinya. Tiada kesan pergelutan ditemui dalam bilik itu. Selepas memeriksa rakaman kamera keselamatan hotel, ketua balai polis Muang, Kolonel Suwat Suksri melaporkan bahawa lelaki itu yang mendaftar masuk Rabu lalu pernah meminta kakitangan hotel peta bandar itu dan membeli beberapa barangan, termasuk sebilah pisau yang digunakan untuk membunuh dirinya. Lelaki itu hanya meninggalkan biliknya sebanyak dua kali. Polis mendakwa lelaki itu membunuh diri dengan mengeluarkan isi perutnya sendiri. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Rakyat Singapura paling tidak berperasaan di dunia

Posted: 23 Nov 2012 10:33 AM PST

SINGAPURA: Rakyat republik ini memberi reaksi berbeza terhadap satu kaji selidik yang menggambarkan mereka sebagai masyarakat paling tidak berperasaan di dunia.

Kebanyakan mereka mengatakan budaya persaingan di negara itu menyebabkan mereka kurang berperasaan.


"Rakyat Singapura paling sedikit di dunia ini melaporkan mengalami sebarang emosi dalam kehidupan seharian," kata badan pungutan pendapat berpangkalan di Amerika Syarikat, Gallup mengenai laporan kajian selama tiga tahun yang dijalankan di lebih 150 negara itu. Filipina muncul sebagai masyarakat paling emosi di dunia, dengan negara Amerika Latin mendominasi tempat teratas senarai itu.

Media di Singapura, satu daripada yang terkaya di dunia dan paling stabil memberikan pendedahan utama kepada laporan itu, mencetuskan beberapa reaksi hangat. "Mana ada masa untuk ketawa? Bangun pagi perlu bersaing untuk mendapatkan tempat duduk dalam tren, waktu makan tengah hari perlu bersaing untuk mendapatkan tempat duduk dan balik kerja perlu bersaing lagi untuk mendapatkan tempat duduk dalam tren," tulis Edward Alexzandra Peters di Facebook.


Pengguna Internet, Kok Leong menulis di Yahoo Singapura: "Sangat tertekan hidup di Singapura. Fikiran kita semuanya mengenai $$$ (wang) - bagaimana hendak menjalani kehidupan, bagaimana mahu menyara keluarga, cukai dan lain-lain. Tiada apa yang percuma di sini." - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


‘Hantu’ dera, cabul budak

Posted: 23 Nov 2012 10:32 AM PST

BANGKOK: Ibu bapa beberapa kanak-kanak membuat laporan polis bahawa anak mereka didera secara fizikal dan seksual ketika menaiki kereta api hantu dalam pesta ria di Ranong.

Laporan serangan itu berlaku pada festival tahunan Loy Krathong di Ranong, daerah Muang.


Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun berkata, dia ditumbuk di muka oleh seorang pekerja di situ. Bapa kanak-kanak terbabit berkata, anaknya keluar dari tempat itu dengan lebam di muka dan hidungnya berdarah.

Dua kanak-kanak perempuan berusia 11 dan 13 tahun pula mendakwa dicabul dalam kereta api gelap itu. Mereka berkata, mereka diraba dan dicium oleh seorang daripada empat pekerja yang berpakaian seperti hantu untuk menakutkan pengunjung. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Delhi haram beg plastik

Posted: 23 Nov 2012 10:32 AM PST

NEW DELHI: Pihak berkuasa Delhi semalam mengharamkan sama sekali penggunaan semua beg plastik dalam usaha menangani masalah sampah yang semakin meningkat.

Beg plastik tipis berukuran berat kurang daripada 40 mikron, diharamkan di ibu negara India pada 2009. Bagaimanapun, undang-undang baru itu meliputi semua bungkusan plastik untuk bahan seperti majalah, kad ucapan dan juga beg sampah.


"Mulai hari ini, kerajaan mengharamkan semua penggunaan, penjualan dan pembuatan beg plastik di bandar raya ini. Tidak ada pengecualian diberikan.

"Plastik mencetuskan bencana alam sekitar. Ia menyebabkan longkang tersumbat. Ia mungkin mengambil masa untuk menyesuaikan diri tetapi kami terpaksa memastikan pengharamannya dikuatkuasakan di seluruh Delhi," kata pegawai kanan di pejabat Ketua Menteri Delhi.


Mereka yang melanggar peraturan akan didenda.


Pengharaman terhadap bahan itu pada 2009 tidak dikuatkuasakan secara serius. Peniaga sayur dan buah, kedai kecil serta restoran masih bebas menggunakannya untuk membungkus jualan mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


Ditembak mati ‘lelaki kencing’

Posted: 23 Nov 2012 10:32 AM PST

NEW DELHI: Seorang lelaki menembak mati jirannya, seorang gadis belasan tahun selepas mangsa menegur perbuatannya membuang air kecil berhampiran pintu pagar rumah mereka.

Polis berkata, gadis itu, Yusra, 17, ditembak dua kali oleh lelaki terbabit yang memecah masuk rumah mangsa di daerah Nizamuddin malam Rabu lalu dan turut mencederakan ibu gadis itu.


"Yusra sebelum itu memarahi lelaki itu kerana membuang air kecil di pintu pagar bangunan tempat mereka tinggal," kata jurucakap polis, Ajay Chaudhry. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24


No comments:

Post a Comment