Harian Metro: Setempat


Harian Metro: Setempat


Posted: 10 Nov 2012 05:17 PM PST
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan nekad meninggalkan bangku persekolahan sejak Jun lalu untuk menjaga bapanya yang sakit kerana terbabit kemalangan jalan raya setahun lalu.
Siti Hajar Ibrahim, 14, berkata, dia terpaksa melupakan impian meneruskan pelajaran kerana perlu menjaga bapanya, Ibrahim Muhd Taib, 84, yang terlantar di rumahnya di Kampung Bukit Tangki Air, Cheras di sini, sejak setahun lalu.

Dia tidak berseorangan menjaga bapanya kerana ditemani abang, Salman, 24, yang masih menganggur. Walaupun mempunyai 11 adik-beradik, namun disebabkan sibuk dengan kerjaya serta memiliki keluarga sendiri membuatkan masing-masing tidak dapat memberi tumpuan sepenuh masa terhadap bapa mereka.
"Saya tak kesal berhenti sekolah awal kerana kasihan dengan keadaan ayah yang sakit manakala ibu tiri pula sudah meninggalkan kami sejak dua bulan. Saya dan abang bergilir-gilir menjaga ayah bagi memastikan ubat dan susu diberikan kepadanya mengikut masa ditetapkan.

"Ayah tak dapat berkomunikasi dengan baik bagi menyatakan apa yang dia mahu. Kami hanya menggunakan bahasa isyarat untuk membantunya," katanya.

Siti Hajar berkata, ibunya meninggal dunia sembilan tahun lalu dan bapanya pernah berkahwin dengan wanita dari Indonesia tetapi ibu tirinya itu sudah pulang sejak dua bulan lalu.
Seorang lagi anak Ibrahim, Badrul Hisham, 30, berkata, setiap hari dia memandikan bapanya selain meninjau keadaan dua adiknya yang tinggal di rumah berkenaan.

Dia bekerja sebagai pemandu teksi dan turut menjalankan perniagaan di pasar Down Town Cheras pada sebelah malam, sudah berkeluarga dan tinggal di Sungai Besi Sementara itu, Naib Ketua Wanita Umno Cheras, Datuk Zurainah Musa yang menziarahi warga emas itu memuji sikap dua beradik berkenaan yang menjaga bapa mereka dengan baik.
Bagaimanapun, katanya, dia akan berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menempatkan warga emas itu di pusat perlindungan yang dilengkapi penjagaan kesihatan.

Beliau berharap anak-anak Ibrahim dapat berbincang mengenai tawaran itu selain membantu mendapatkan pelbagai bantuan sewajarnya kepada keluarga terbabit.

Ketua Umno Cawangan Cheras, Rosmani Mahimi pula berkata, pihaknya sering menyampaikan bantuan bersesuaian kepada warga emas itu bagi mengurangkan beban keluarganya Pada masa sama, katanya, dia berharap Siti Hajar dapat meneruskan semula persekolahan manakala abangnya akan mendapat pekerjaan sesuai. Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abd Shukor.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 05:14 PM PST
PASIR MAS: Misteri bau busuk dari sebuah rumah di Kampung Kubang Sepat, Tendong sejak seminggu lalu membawa kepada penemuan mayat reput seorang lelaki.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari, mayat Ahmad Shihabuddin Abdul Ghani, 48, ditemui jirannya dalam keadaan terlentang dan berbogel serta dihurungi lalat.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan.
Jiran mangsa, Che Hassan Che Mamat, 58, berkata dia mula mensyaki sesuatu selepas terbau busuk sejak seminggu lalu.

Katanya, dia hanya menyedari punca bau busuk itu datang dari rumah mangsa apabila seorang jiran terdekatnya ternampak titisan air dihurungi lalat menitis ke bawah rumah.

"Saya dan beberapa penduduk kampung pergi ke rumah itu dan terkejut mendapati mayat mangsa yang reput dalam keadaan terlentang dan bogel serta dipenuhi lalat sebelum menghubungi polis," katanya.
Che Hassan berkata, dia tidak kenal rapat jirannya kerana mangsa baru berpindah dan tinggal di kampung itu sejak enam bulan lalu.

"Penduduk kampung juga tidak mengenalinya kerana dia baru tinggal di kawasan ini dan kami hanya tahu dia tinggal sendirian," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 05:14 PM PST
KUALA LUMPUR: Memiliki wajah kacak, berpenampilan menarik dan mahir memuaskan nafsu wanita gersang antara modal digunakan segelintir individu, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi, untuk meraih wang dengan cara mudah.
Dengan menawarkan khidmat sebagai gigolo atau pengiring sosial, ada antara mereka hidup mewah berikutan dibela wanita yang ketagih belaian lelaki muda.
Dengan hanya melayan nafsu seks 'mak ikan' seminggu sekali atau menemani mereka ke mana saja, ada anak ikan bukan saja dibayar dengan wang ringgit, malah menerima hadiah seperti motosikal atau kereta bagi memudahkan mereka bergerak.
Berikut pengakuan individu yang pernah dibela sebagai 'anak ikan' atau lelaki simpanan wanita gersang.

Berusia 28 tahun, lelaki yang mahu dikenali sebagai Sam mengakui pernah hidup mewah sewaktu dibela 'mak ikan' atau 'sugar mummy'.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 05:13 PM PST
DIDI, 32, (bukan nama sebenar) pernah menjadi anak ikan secara tidak sengaja apabila berkenalan dengan wanita bernama Camelia di laman sosial.
Menurut Didi, perkenalan itu secara tidak sengaja apabila dia menyapa seorang kenalan menerusi laman sembang ketika menuntut di institusi pengajian tinggi, lebih 10 tahun lalu.

"Dalam laman itu, saya tidak tahu bagaimana dan dengan siapa saya bersembang. Saya hanya memilih berdasarkan nama wanita.
"Apabila melihat nama Camelia, saya cuba berbual dengannya dan ternyata mendapat perhatian," katanya.

Menurut Didi, perkenalan mereka terjalin dalam tempoh singkat apabila daripada perbualan biasa, ia beralih kepada cerita berbaur seks dan lucah.

Tidak sampai dua minggu, hubungan mereka berdua menjadi akrab apabila mula bertukar-tukar gambar dan mengajak untuk berjumpa.
"Menerusi gambar, Camelia memang cantik, membuatkan saya terpikat padanya. "Bekerja sebagai doktor, dia memberitahu menghadapi masalah dengan suaminya dan dahagakan belaian lelaki.

"Kerana suka perwatakannya, saya menawarkan diri menjadi kekasih gelapnya.
"Malah, ketika kali pertama berjumpa, pertemuan kami berakhir dengan hubungan seks," katanya.

Didi berkata, bermula detik itu dia menjadi lelaki simpanan atau anak ikan Camelia apabila sering berjumpa dan melampiaskan nafsu sama ada di dalam kereta atau bilik hotel.

Menurut Didi, hidup sebagai lelaki simpanan Camelia sangat mewah berikutan wanita itu tidak kedekut dan sering memberi wang.

Malah segala yuran pengajian, perbelanjaan bulanan serat duit sewa semuanya ditanggung.

Malah, akui Didi, wanita berkenaan pernah menawarkan kereta kepadanya bagi memudahkan mereka berjumpa.

"Namun saya tolak kerana tidak mahu keluarga syak. Saya hanya minta dia gantikan motosikal lama saya dengan yang baru.

"Malah, boleh dikatakan setiap kali berjumpa, Camelia memberikan duit antara RM300 hingga RM500. Dalam tempoh sebulan, kami berjumpa lapan hingga sembilan kali, di mana ada kalanya saya mendapat lebih RM2,000 sebulan," katanya.

Menurutnya, hubungan dengan Camelia bertahan hanya dua tahun sebelum dia kembali ke kampung halaman sebaik menamatkan pengajian.

Malah, walaupun kini berumah tangga dan mempunyai seorang anak, Didi mengakui sukar melupakan Camelia selain pernah cuba menghubunginya.

"Sebelum memutuskan hubungan, saya berbincang dengannya dan kami berpisah secara baik. "Cuma sepanjang hidup sebegitu, perasaan saya berat sebab sentiasa teringatkannya. Saya cuba menghubunginya tapi tak berbalas," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 05:12 PM PST
KUALA LUMPUR: "Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian memang akan menyesal selama-lamanya," kata pakar motivasi, Datuk Mohd Zawawi Yusoh mengenai nasib Jun yang dijangkiti virus HIV daripada seorang daripada tiga lelaki simpanannya.
Katanya, individu yang terbabit, sama ada 'mak ikan' atau 'anak ikan', memang tidak mampu berfikir secara rasional berikutan seks haram bukan saja berdosa besar, malah boleh menyebabkan mereka mendapat jangkitan penyakit yang tiada ubatnya.

"Jika boleh berfikir dengan bijak, pasti mereka dapat melihat bahawa perbuatan ini punca seseorang mendapat jangkitan HIV.
"Ini fakta yang tidak boleh disangkal lagi dan jika perkara ini pun mereka tidak dapat melihat dengan jelas, ini bermakna mereka memang ada masalah untuk berfikir," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Zawawi berkata, penyakit itu boleh dianggap sebagai ujian Allah kepada seseorang untuk memperbetulkan diri dan kembali ke jalan Allah.

"Jangan apabila seseorang mendapat penyakit sedemikian, dia beranggapan hidupnya akan musnah. Bersyukurlah kerana masih sempat dan diberi peringatan Allah untuk bertaubat.
"Lagipun, jika kita tidak mendapat musibah ini, mungkin kita lebih hanyut dan dikhuatiri mati dalam kesesatan," katanya.

Menurut Mohd Zawawi, duit diterima hasil perbuatan itu tidak berkat dan setiap ibadah mereka akan tertolak dengan sendirinya.
"Kita dituntut mencari rezeki halal dan bersih kerana menerusi sumber halal, ia menjamin serta memberi kesan positif kepada kehidupan seseorang.

"Sebab itu, ada orang memiliki kekayaan melimpah ruah tetapi hidupnya serta hatinya tidak senang. Sering ditimpa musibah dan penyakit kerana rezekinya tidak berkat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 05:12 PM PST
KUALA LUMPUR: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang dikesan terbabit dalam kegiatan tidak bermoral sebagai lelaki simpanan dan pengiring sosial hingga dijangkiti penyakit Aids bukan saja membabitkan mereka di peringkat diploma dan ijazah, malah doktor falsafah (PhD).
Pengasas dan Pengarah Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah, Muhammad Abdullah berkata, pihaknya menerima beberapa kes membabitkan pelajar IPT daripada pelbagai peringkat yang menghidap Aids selepas terbabit dalam kegiatan itu.

"Ini sebenarnya satu contoh yang saya kira sebagai balasan Allah apabila seseorang cuba mencari kesenangan dengan cara mudah, seterusnya melanggar hukum Allah.
"Walaupun Darul Ukhwah membantu mereka, kita sedih kerana selepas penat belajar dan berjaya menamatkan pelajaran, akhirnya disahkan dijangkiti virus HIV lantaran sikap ingin hidup mewah sewaktu belajar," katanya.

Menurutnya, hampir 40 peratus penghidap Aids yang berlindung di Darul Ukhwah mendapat HIV berikutan menjalin hubungan terlarang dan bertukar-tukar pasangan.

Malah, ada antaranya bukan sekadar menawarkan khidmat seks kepada wanita, malah kaum sejenis.
"Kerana itu, saya mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam gejala seks haram dan bersekedudukan.

"Nikmatnya sekejap saja, yang perlu dirisaukan adalah kesannya. Aids bila sekali terkena, memang tidak ada ubatnya. Jadi elakkan seboleh mungkin," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 05:09 PM PST
RAUB: Akibat tidak puas hati kerana kenderaannya dihon, seorang penagih bertindak luar dugaan apabila mengajak seorang pegawai polis bergusti di depan sebuah kedai serbaneka dekat sini, malam kelmarin.
Bagaimanapun, lagak samseng penagih berusia 30-an itu mengundang padah apabila ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Dalam kejadian jam 10 malam, pegawai polis berpangkat Cif Inspektor itu difahamkan memperlahankan kenderaan dipandunya kerana mahu mencari parkir di depan kedai serbaneka.
Pada masa sama, penagih terbabit yang berada dalam kenderaannya mengundur secara mengejut, mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu hampir berlanggar.

Berikutan itu, pegawai terbabit membunyikan hon sebagai amaran berhati-hati, namun penagih itu tidak berpuas hati dengan tindakan pegawai berkenaan dan keluar dari kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Samsudin Wan Osman berkata, suspek yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol mengajak pegawai polis itu bergaduh.
Bagaimanapun, katanya, pegawai terbabit cuba mengawal situasi keadaan dan pada masa sama menghubungi Bilik Gerakan IPD untuk meminta bantuan.

"Sebaik menerima panggilan, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan mengepung suspek sebelum berlaku pergelutan berikutan penagih itu bertindak agresif dalam cubaan melepaskan diri.
"Suspek berjaya ditahan beberapa minit kemudian dan hasil pemeriksaan, polis menemui serbuk mencurigakan dipercayai dadah milik suspek yang disahkan positif dadah sebelum dibawa ke Balai Polis Raub bersama dadah dan kenderaannya untuk membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari di Lokap Balai Polis Raub untuk membantu siasatan berhubung cubaan mencetuskan pergaduhan dan memiliki dadah.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 05:09 PM PST
BAGAN SERAI: Seorang pemilik kedai membaiki motosikal bingung apabila tujuh motosikal pelanggan terbakar secara tiba-tiba di kedainya, dipercayai angkara khianat.
Dalam kejadian jam 4 pagi semalam di Alor Pongsu, di sini, motosikal terbabit hangus bersama pelbagai alat ganti dianggarkan bernilai hampir RM80,000.

Mangsa dikenali sebagai Liow, 40-an, berkata, dia yang tinggal berhampiran menyedari kebakaran sejurus dimaklumkan jiran.
"Saya bergegas ke kedai sebelum mendapati api semakin marak dan memusnahkan tujuh motosikal pelanggan yang ditinggalkan.

"Saya masuk melalui pintu belakang dan sempat menyelamatkan beberapa dokumen dan barangan bernilai. Namun, kami diarah keluar oleh anggota bomba dan penyelamat berikutan api makin marak.

"Saya tidak pasti bagaimana kebakaran berlaku. Namun bernasib baik kerana ia tidak merebak ke kedai bersebelahan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Zainuddin Mohd Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.10 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 05:09 PM PST
SHAH ALAM: Pembayaran durian runtuh kepada generasi baru Felda sebanyak RM5,000 kepada 112,635 keluarga membabitkan RM563.2 juta semalam adalah bukti bahawa kerajaan tidak pernah mungkir janji.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyempurnakan bayaran durian runtuh pusingan ketiga sempena program Himpunan Generasi Baharu Felda di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, berkata, Janji Ditepati bukan sekadar slogan, tetapi ia adalah sesuatu yang dapat dibuktikan bahawa setiap janji akan ditunaikan.

"Hari ini (semalam) adalah giliran generasi baru Felda menerima bayaran ini selepas ibu dan bapa mereka sebelum ini. Giliran anak pula mendapat rahmat durian runtuh ini," katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan yang dihadiri kira-kira 12,000 generasi baru Felda, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad; Presiden Global Ventures Holdings, Datuk Sabri Ahmad dan Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Anuar Abd Manap.

Perdana Menteri pada Mei lalu mengumumkan, seramai 112,635 peneroka Felda di seluruh negara bakal menerima durian runtuh sebanyak RM15,000 untuk satu keluarga melalui tiga fasa membabitkan peruntukan RM1.69 bilion sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.

Bayaran fasa pertama sebanyak RM5,000 sudah diberikan kepada setiap ketua keluarga peneroka, manakala fasa kedua dengan jumlah sama juga diserahkan kepada isteri peneroka, dan semalam sebanyak RM5,000 lagi diberikan untuk dibahagikan kepada anak masing-masing.
Dalam majlis semalam, Najib turut menyampaikan cek replika kepada wakil daripada 11 Wilayah Felda, antaranya Trolak, Jengka, Mempaga, Sahabat dan Lahad Datu.

Dalam ucapannya, Najib turut membidas pihak pembangkang yang mendakwa Felda sudah bankrap.
"Mereka (pembangkang) bukan nak cari kebaikan, tapi nak merosakkan segala usaha baik kerajaan.

"Jika mereka mengemukakan idea pun, ia bersifat dangkal dan melambangkan ceteknya fikiran mereka. Orang yang tidak betul saja kata Felda sudah bankrap," katanya.

Najib berkata, kerajaan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada generasi baru Felda hingga ramai menjawat jawatan tinggi serta berpendapatan tinggi.

Katanya, kini ada anak Felda mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang kejuruteraan, termasuk mampu menyelenggara pesawat penumpang terbesar di dunia iaitu Airbus A380.

Sementara itu, bagi anak peneroka, G Syanti, 22, 'durian runtuh' diberikan kerajaan akan dijadikan modal untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) penghujung Disember ini.

Dia yang juga anak ketiga kepada peneroka Felda Gugusan Tenggaroh, Johor berkata, wang itu seolah-olah satu pertolongan kepada keluarganya memandangkan mereka bukan daripada golongan senang.

"Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan mengenang jasa kerajaan. Dengan adanya 'durian runtuh' ini, peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi makin mudah," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 05:08 PM PST
SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu generasi baru Felda melengkapkan diri dengan tiga faktor iaitu ketinggian ilmu bagi memartabatkan bangsa, penguasaan teknologi menggantikan tulang empat kerat serta inovasi mencari kekayaan baru bagi merubah wajah Felda abad ke-21.
"Jika kita campurkan tiga faktor ini, kita akan jadi bangsa yang berjaya. Saya kagum dengan pencapaian generasi Felda sekarang yang sebelum ini ada yang tak pernah tengok orang putih, tetapi kini berada di London dan memiliki kemahiran tinggi dalam bidang diceburi," katanya ketika berucap di majlis Himpunan Generasi Baharu Felda di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, semalam.

Beliau berkata, generasi baru Felda juga perlu mempunyai idea bernas sejajar dengan keperluan zaman baru abad ke-21 untuk berjaya dan mampu membangunkan daya saing negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengarahkan Felda berbincang dengan Menteri Besar supaya meluluskan proses pertukaran status tanah untuk pembinaan 4,000 lagi banglo pasang siap bernilai RM70,000 untuk generasi kedua Felda di seluruh negara.

"Menerusi program Sentuhan Kasih, sejumlah RM120 juta diperuntukkan bagi warga Felda meningkatkan pendapatan menerusi projek pertanian yang membawa pulangan besar," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

No comments:

Post a Comment