Harian Metro: Setempat


Harian Metro: Setempat


Posted: 16 Nov 2012 10:18 AM PST
AMPANG: Penutupan Jalan Ampang-Hulu Langat akan diteruskan sehingga hari ini bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin sekali gus membolehkan kerja pembersihan tanah diteruskan berikutan runtuhan yang berlaku berdekatan susur Menara Tinjau, di sini, kelmarin.
Ia turut memberi ruang kepada pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memastikan kawasan itu bebas lumpur sebelum dibuka semula kepada orang awam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, arahan itu kekal sehingga keadaan benar-benar selamat.
"Buat masa ini pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) masih lagi melakukan kerja pembersihan di atas jalan dengan runtuhan tanah melitupi tiga suku jalan atau 50 meter laluan dan keadaan ini berbahaya kepada tebing dan penduduk di Kampung Ampang Saujana yang terletak berhampiran.

"Oleh itu, laluan di susur berdekatan Batu 14 dan berdekatan simpang Kampung Ampang Saujana akan ditutup sehingga esok (hari ini) dan pembukaannya akan diumumkan secepat mungkin," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Beliau berkata, keadaan akan dipantau supaya tiada apa-apa kejadian tidak diingini berlaku terutama apabila keadaan cuaca kurang menentu kebelakangan ini.
"Kami akan menunggu keputusan pihak forensik JKR bagi makluman status analisis tanah dan keadaan bumi di kawasan terbabit kerana ia gagal dikenal pasti pada malam kejadian berikutan cuaca gelap," katanya.

Amiruddin berkata, kawalan ketat dilakukan dengan menempatkan balai polis bergerak dan anggota Rela di susur jalan berkenaan.
Tinjauan Harian Metro ke tempat kejadian juga mendapati keadaan stabil dan orang awam mematuhi arahan namun kedai berhadapan persimpangan Kampung Ampang Saujana masih beroperasi seperti biasa.

Peniaga, Shapari Mat, 45, berkata dia melihat sendiri kejadian itu walaupun hanya dari jauh.

"Setiap hari saya akan berniaga bermula jam 4 petang hingga 3 pagi dan saya mendengar bunyi runtuhan walaupun berada pada jarak 1.2 kilometer dari tempat kejadian," katanya.

Katanya, ia kejadian biasa di kawasan berkenaan terutama apabila hujan berterusan turun.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

Posted: 16 Nov 2012 10:15 AM PST
SHAH ALAM: Polis masih belum mendapatkan perintah tahanan reman seorang jurujual yang melahirkan seorang bayi lelaki cukup sifat yang kemudian meninggal dunia di rumah sewanya di Jalan Haji Salleh, Meru, dekat Klang, Rabu lalu, kerana suspek masih menerima rawatan di hospital.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, penahanan hanya akan dibuat selepas wanita itu disahkan pulih oleh doktor.

Katanya, wanita itu kini berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, bagi mendapatkan rawatan lanjut dan pemantauan daripada pihak hospital.
Difahamkan, mayat bayi malang itu sudah dituntut keluarga wanita itu kira-kira jam 2 petang semalam untuk urusan pengebumian selepas proses bedah siasat. Namun, polis enggan mendedahkan punca kematian bayi terbabit tetapi akan mengambil keterangan daripada rakan suspek untuk melengkapkan siasatan.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang wanita berusia 24 tahun melahirkan bayi lelaki di rumah sewanya Rabu lalu namun kejadian hanya diketahui kakaknya, kelmarin sebelum membuat laporan polis.

Suspek didapati mengandung selepas menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki warga Bangladesh yang sudah pulang ke negara asalnya sejak Mac lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

Posted: 16 Nov 2012 10:14 AM PST
KUALA LUMPUR: Kumpulan K-Pop wanita popular, 2NE1 dengan rasmi mengumumkan pembatalan konsert New Evolution di Malaysia yang dijadualkan Disember depan atas sebab teknikal.
Pengesahan itu dibuat menerusi laman sosial facebook (fb) rasmi milik kumpulan itu, semalam dan pengumuman sama dikeluarkan pihak penganjur iaitu Running Into The Sun.

Kumpulan terkenal yang dianggotai CL, Dara, Bom dan Minzy itu dijadualkan berlangsung di sini pada 8 Disember depan dan dan konsert mereka yang dijadualkan berlangsung di Indonesia juga dibatalkan.
Dalam kenyataan dalam fb, anggota 2NE1 berkata, mereka pasrah dengan hal itu yang di luar bidang kuasa mereka.

"Kami sangat kesal kerana tidak dapat beraksi di Malaysia dan Indonesia. Dengan rendah hati, kami meminta maaf kepada peminat dan berharap dapat beraksi di sana pada masa depan.

"Bagaimanapun, konsert di lokasi lain masih berjalan dan terima kasih tidak terhingga kepada peminat yang tidak henti-henti menyokong," kata mereka dalam kenyataan itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

Posted: 16 Nov 2012 10:14 AM PST
SEREMBAN: Seorang pembantu kesihatan maut selepas dirempuh sebuah van di Kilometer 14, Jalan Seremban-Kuala Pilah, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Yusahizam Mohd Yusof, 40, dari Taman Tasik Jaya, Seremban maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan. Jurucakap polis berkata, siasatan mendapati van dipandu seorang lelaki berusia 30-an dari Seremban itu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

"Van itu merempuh motosikal mangsa dari Kuala Pilah menyebabkan Yusahizam tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian. "Pemandu van itu yang parah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan," katanya di sini, semalam.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati Yusahizam yang menunggang Honda EX5 dalam perjalanan ke tempat kerjanya di HTJS.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

Posted: 16 Nov 2012 10:12 AM PST
TANAH MERAH: Tiga lelaki terbunuh manakala tiga lagi parah dalam dua kemalangan berasingan di Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dalam tempoh 13 jam kelmarin.
Kemalangan pertama berlaku jam 1.50 pagi di Kilometer 60, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli mengorbankan seorang pemandu van, Alias Shukri Nawang, 51, dari Besut, Terengganu manakala kemalangan kedua berlaku jam 2 petang di Kilometer 68, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli mengorbankan dua pekerja lombong bijih besi, Lee Min Song, 56, dari Kuantan, Pahang dan seorang warga China, Ning Shao Ping, 54.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa kemalangan pertama meninggal dunia akibat cedera parah di badan ketika dirawat di Hospital Tanah Merah (HTM) dan mayatnya dituntut keluarganya untuk dikebumikan selepas dibedah siasat, kelmarin.
Katanya, mangsa memandu van sarat dengan muatan makanan laut dan dalam perjalanan dari Besut menuju Pulau Pinang.

"Mangsa dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah ambulans Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rejimen Sempadan 1, Kem Batu 11 yang datang dari arah bertentangan. Perlanggaran menyebabkan ambulans yang membawa lima anggota tentera itu terbalik. "Dua anggota tentera yang cedera parah dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan seorang lagi dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)," katanya.

Menurutnya, kemalangan kedua berlaku apabila pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki mangsa yang maut terbabas sebelum terbalik beberapa kali ke bahu jalan selepas bergesel dengan sebuah Proton Saga yang cuba dipotong.
"Kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta itu tidak cedera.

"Mayat mangsa dibawa ke HTM untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

Posted: 16 Nov 2012 10:12 AM PST
BETONG: Kematian empat beranak yang mayat mereka ditemui dalam keadaan berulat kelmarin, dipercayai berpunca daripada sesak nafas terhidu asap generator yang dipasang dan diletakkan dalam rumah mereka di Jalan Kolam, Lubuk Chepong, Pusa, dekat sini.
Lebih memilukan, mayat ketua keluarga itu, Zaidi Pandi, 62; dan seorang daripada anaknya, Atikah, 27, ditemui di atas sejadah, dipercayai mereka baru selesai menunaikan solat sebelum menemui ajal. Dua lagi mangsa ialah isteri Zaidi, Tiah Sauti, 53, dan anak lelakinya, Kazil, 20. Bedah siasat di Hospital Betong pada hari kejadian mendapati, empat beranak itu, mati kerana dipercayai terhidu asap gas karbon monoksida.

Difahamkan, kedudukan rumah keluarga malang terbabit yang agak jauh dari penduduk, selain tiada bekalan elektrik sejak sekian lama, menyebabkan mereka menggunakan generator berkuasa 2,500 watt bagi menggantikan bekalan elektrik pada setiap hari.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Sarifuddin Mustaffa berkata, berikutan hujan lebat dan banjir di daerah ini minggu lalu, keluarga mangsa dikatakan mengangkat generator lalu dibawa masuk ke rumah.

Beliau berkata, kematian keluarga itu dikesan adik Zaidi, iaitu Omar, 39, selepas berkunjung ke rumah mangsa pada jam 5.30 petang kelmarin sebelum terhidu bau busuk selain terlihat kesan darah bawah rumah.

"Adik mangsa terus membuat laporan polis dan sepasukan anggota penyiasat tiba jam 6.40 petang mendapati rumah mangsa terletak jauh dari rumah penduduk dan berkunci dari dalam. Polis terpaksa memecah pintu dapur dan rumah didapati gelap selain generator masih hidup.
"Pemeriksaan lanjut mendapati tiga mayat ditemui di ruang tamu, manakala seorang lagi dalam bilik. Mayat pertama ditemui dikenali sebagai Zaidi dengan masih berbaju Melayu, berkain pelekat dan berkopiah terlentang di atas sejadah.

"Mayat kedua ditemui di sebelah mayat Zaidi iaitu anaknya dikenali sebagai Atikah, dalam keadaan terlentang masih memakai baju-T panjang. Pada masa sama, polis menemui telekung putih atas kerusi bersebelahan mayat dan dipercayai kedua-dua beranak itu baru selesai menunaikan solat," katanya ketika dihubungi, semalam.
Sarifuddin berkata, mayat Kazil, ditemui dalam keadaan terlentang di atas tilam dengan berpakaian baju T dan berseluar panjang, sementara mayat Tiah, ditemui terlentang dengan memakai baju kuning serta berkain batik dalam bilik tidurnya.

"Polis tidak menemui sebarang kesan rumah dipecah atau berselerak. Pada masa sama, tiada kesan pergelutan selain kesan luka pada mayat berkenaan malah senjata juga tidak ditemui. "Seluruh badan mangsa berwarna hijau kehitaman, malah mulut berair dengan lidah terjelir selain kesan darah dan air kekuningan berhampiran mayat. Siasatan mendapati, barang kemas, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai milik mangsa tidak diusik.

"Kali terakhir mangsa menghubungi seorang anaknya pada jam 11 malam, Selasa lalu. Mangsa bekerja sebagai kontraktor kantin sekolah, malah sekitar rumah mangsa tidak ditemui sebarang kesan mencurigakan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

Posted: 16 Nov 2012 10:11 AM PST
MUKAH: Seorang lelaki yang bakal menimang cahaya mata pertama bulan depan ditemui mati dalam keadaan terduduk ketika membuang air besar di tandas belakang rumah pekerja kontrak di Jalan Oya, di sini, semalam.
Mayat Jala Melin, 26 berasal dari Batu Niah, Miri, dan bekerja sebagai buruh binaan di Mukah sejak tahun lalu, ditemui isterinya, Bibi Unan, 30, apabila mendapati suaminya tidak pulang ke rumah selepas mengadu sakit perut kira-kira jam 1 pagi.

Menurut Bibi, kira-kira sejam dia menunggu kepulangan suaminya, namun tiada kelibat menyebabkan dia memeriksa di tandas itu.
"Sebaik menjenguk, saya terkejut dan mendapati suami terduduk dalam tandas. Saya menjerit meminta bantuan jiran sekerja sebelum dihantar ke Hospital Mukah dan disahkan meninggal dunia.

"Sebelum tidur, suami berkelakuan aneh dengan tiba-tiba mengajak saya membeli dan melengkapkan peralatan menyambut anak sulung yang bakal lahir bulan depan," katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dia dan suami juga merancang untuk berpindah ke kampung halaman suaminya di Niah.
"Saya sudah membuat laporan polis mengenai kejadian ini dan sedang menunggu bedah siasat sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan." katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dan siasatan masih dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

Posted: 16 Nov 2012 10:10 AM PST
GEORGETOWN: Tertekan kerana tidak dapat pulang ke kampung halamannya di India untuk menyambut Deepavali, seorang tukang masak nekad mengelar lehernya dalam kejadian di tandas sebuah restoran nasi kandar di Bayan Baru, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, M Muthuraj, 33, ditemui dalam keadaan telentang dengan keadaan lehernya hampir putus dan berlumuran darah.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati mangsa bekerja di restoran terbabit sejak empat tahun lalu dan sudah berkahwin, tetapi kesemua keluarganya berada di India.
"Mangsa dikatakan mahu bercuti untuk menyambut Deepavali bersama keluarganya, tetapi dia kecewa kerana gagal mendapat cuti dan terpaksa bekerja," katanya.

"Berikutan itu, mangsa yang tertekan selepas cutinya tidak diluluskan bertindak masuk ke bilik air restoran terbabit dan menguncinya dari dalam sebelum mengelar lehernya menggunakan sebilah pisau," katanya.

Menurutnya, mangsa yang mengelar leher sendiri kemudian rebah dan kejadian itu didengari seorang lelaki.
"Bagaimanapun, usaha membuka pintu tandas terbabit gagal dilakukan berikutan ia dikunci dari dalam dan lelaki yang mendengar bunyi berkenaan bersama pekerja lain akhirnya menghubungi polis.

"Sepasukan polis tiba di lokasi kejadian terpaksa menghubungi bomba untuk memecahkan pintunya dan hasil pemeriksaan menemui mayat lelaki terbabit dalam keadaan terlentang dengan lehernya hampir putus," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh yang ditemui di lokasi kejadian berkata hasil pemeriksaan polis turut menemui sebilah pisau berhampiran mayat lelaki terbabit.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

Posted: 16 Nov 2012 10:09 AM PST
TAPAH: Seorang ketua kumpulan samseng yang mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan pergaduhan dan rusuhan maut akibat terkena tiga das tembakan dari jarak dekat dalam satu pergaduhan membabitkan dua kumpulan, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 12.15 pagi di Taman Tapah itu, S Manivannan, 37, yang juga ahli perniagaan parah di kepala, badan dan kaki.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdullah Arshad berkata, siasatan mendapati, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke hospital oleh orang awam.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan dari Hospital Tapah memaklumkan mengenai penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan tembakan.

"Kami melakukan siasatan dan mendapati mangsa maut ditembak dalam satu pergaduhan di hadapan restoran berkenaan.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

Posted: 16 Nov 2012 10:08 AM PST
MUAR: Tiga lelaki ditahan selepas polis menemui pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM52,000 di rumah mereka di Sungai Abong di sini, 8 November lalu.
Semua suspek warga tempatan itu berusia antara 28 hingga 32 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, serbuan jam 6.30 petang itu dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Muar.
"Ketika pemeriksaan, kami menemui syabu, heroin, ketamin, serbuk Ecstasy, Eramin5 dan ganja.

"Dadah berkenaan boleh memenuhi permintaan 2,400 penagih," katanya.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah methamphetamin.
Katanya, hasil semakan turut mendapati seorang daripada suspek berusia 28 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Suspek direman sehingga 22 November," katanya.
Dalam perkembangan lain, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan di Pagoh kelmarin kerana dipercayai terbabit kes curi motosikal di daerah ini.

Beliau berkata, ketika ditahan, suspek menunggang motosikal dilaporkan hilang di Bukit Pasir, 12 November lalu.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

No comments:

Post a Comment