Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Harimau cari tonik terakhir

Posted: 19 Nov 2012 07:23 AM PST

HARIMAU Malaya berdepan tempoh lima hari yang kritikal untuk mempersiapkan diri sebelum kejohanan Piala AFF Suzuki bermula.

Kapten, Safiq Rahim menggesa rakan sepasukan memberikan tumpuan penuh dan menutup aksi pemanas badan terakhir menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini dengan nota kemenangan.


"Baki lima hari sebelum kejohanan bermula memang getir. Kami baru saja pulang daripada program motivasi di Pulau Pangkor dan ia memberikan sesuatu yang positif kepada pasukan negara untuk menaikkan semangat berpasukan," katanya.

Atas kertas, Bangladesh yang berada di ranking ke-171 dunia tidak akan memberikan masalah buat skuad kendalian Datuk K Rajagobal kembali ke landasan kemenangan selepas keputusan buruk kalah 0-1 kepada Vietnam, Thailand (0-2) dan seri 1-1 dengan Hong Kong.


Malah Harimau Malaya yang menghuni tangga ke-163 dunia, boleh menguji sejauh mana peningkatan prestasi jentera serangan untuk membolosi gawang Bangladesh selepas pasukan lawan itu dibelasah Thailand 5-0 di Bangkok, Sabtu lalu.


Namun bagi Safiq, kemenangan besar ke atas Bangladesh tidak bermakna kerana yang penting, aksi mereka di Piala AFF.

"Menang 10-0, 11-0 (ke atas Bangladesh) tidak penting kerana yang mustahak keputusan kejohanan itu. Bagi saya, perlawanan dengan Bangladesh penting untuk meningkatkan moral pemain, tidak kisah sama ada hanya menang 1-0 atau 2-0, yang penting menang.


"Kami tak boleh pandang rendah mana-mana pasukan, semua pemain perlu berikan komitmen penuh untuk mencipta keputusan yang baik," kata pemain tengah itu selepas dilantik sebagai Duta 100Plus yang baru, semalam.

Safiq yang meninggalkan Selangor untuk menyertai Johor musim depan menandatangani kontrak bersama pengeluar minuman isotonik itu selama setahun di hadapan Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Cariessa Goh.


Pemain berusia 25 tahun itu berkata, pelantikan sebagai Duta 100Plus dianggap penyuntik semangat tambahan untuknya menjelang aksi pertama kempen mempertahankan kejuaraan menentang Singapura, Ahad ini.


"Perlawanan menentang Singapura selalunya sengit. Saya harap kami mencipta keputusan yang baik kerana perlawanan pertama penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Vilanova tetap gusar

Posted: 19 Nov 2012 07:19 AM PST

MOSCOW: Barcelona berkunjung ke Spartak Moscow bagi pertemuan Liga Juara-Juara awal pagi esok dengan jentera serangan digeruni diketuai Lionel Messi namun pada masa sama, kebimbangan terhadap prestasi pertahanan tetap berterusan.

Anak buah Tito Vilanova bertindak cemerlang dalam aksi La Liga dengan meraih 34 mata daripada maksimum 36 untuk mendahului carta liga, manakala di Eropah mereka turut efektif dalam Kumpulan G tapi kekalahan di tangan Celtic di Glasgow bermakna mereka masih perlu bekerja keras untuk layak sebagai juara kumpulan.


Kesungguhan Celtic membantu mereka meraih kemenangan manis 2-1 ke atas juara dua kali Liga Juara-Juara dalam tempoh empat tahun terakhir itu.

Barca menguasai permainan namun Celtic berjaya mengekang setiap ancaman manakala di benteng pertahanan, kekuatan mereka diragui.


Barca mengalami beberapa siri kecederaan pemain pertahanan yang dibolosi 15 gol pada saingan liga.


Carles Puyol dan Gerard Pique hanya mampu beraksi bersama buat kali pertama sejak pertengahan September ketika menewaskan Zaragoza, 3-1 hujung minggu lalu kerana mengalami beberapa kecederaan manakala pertahanan utama, Jordi Alba dan Dani Alves kini turut cedera.

Pertahanan kini posisi lemah Barca dan mereka terpaksa menurunkan dua pemain tengah, Javier Mascherano dan Alex Song sebagai gandingan utama pertahanan tengah.


Puyol mengaku pasukan itu perlu memperkukuh bentengnya.

"Kami bermula hebat sekalipun perlu mengatasi masalah pertahanan. Secara umum masalah itu adalah menangani 'set-piece' pasukan lawan," katanya.


"Saya mengalami pengalaman terburuk kerana kali ini lebih sakit daripada yang saya sangkakan. Saya perlu terus positif dan cuba membantu pasukan." Di bahagian serangan, Barca terlalu unggul dengan Messi mengemudi jentera itu dan dua gol menentang Zaragoza membantunya mengumpul 17 gol liga dan mengumpul 78 gol tahun ini dengan rekod 85 gol dicipta Gerd Muller buat Bayern Munich pada 1972 menjadi sasarannya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Cagliari ikat Inter

Posted: 19 Nov 2012 07:19 AM PST

MILAN: Cagliari bangkit penuh bergaya untuk mengikat Inter Milan, 2-2 di San Siro kelmarin ketika Fiorentina membelasah Atalanta yang beraksi 10 pemain, 4-1 untuk merampas tangga ketiga daripada Napoli.

Selepas pendahulu Juventus dipaksa seri tanpa jaringan di laman sendiri oleh Lazio, Sabtu lalu, Inter berpeluang merapatkan jurang dengan juara Serie A itu.


Walaupun Rodrigo Palacio meletakkan tuan rumah di depan, dua gol menakjubkan daripada penyerang, Marco Sau (gambar) membolehkan kelab Sardinia itu di depan dan gol sendiri Davide Astori menyelamatkan Inter.

Inter mencatat kekalahan pertama Juventus dalam 50 perlawanan dua minggu lalu namun gagal bertindak baik dalam pertembungan jiran setempat Nerazzurro minggu lalu apabila kecundang kepada Atalanta.


Jurulatih Andrea Stramaccioni turut dilayang kad merah kerana membantah keputusan pengadil yang enggan memberikan sepakan penalti pada hujung perlawanan dan presiden kelab, Massimo Moratti mendakwa keputusan pengadil boleh dipersoalkan.


"Sudah tiga perlawanan berturut-turut kami alami ketidakadilan dan tidak mendapat keputusan sepatutnya kerana keputusan pengadil," katanya. "Saya sudah tidak boleh tahan lagi. Penalti itu amat berharga!" Keputusan seri pertama Inter dalam 13 perlawanan meninggalkan mereka di tangga kedua dengan 28 mata, empat di belakang Juventus namun satu mata di depan Fiorentina dan Napoli, yang seri 2-2 dengan AC Milan, Sabtu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Atletico rapat kedudukan

Posted: 19 Nov 2012 07:15 AM PST

MADRID: Atletico Madrid masih mampu menang 1-0 ke atas Granada meskipun Mario Suarez dibuang padang, kelmarin sekali gus merapatkan kembali jurang dengan pendahulu La Liga, Barcelona kepada tiga mata.

Kemenangan 3-1 Barca ke atas Real Zaragoza, Sabtu lalu meletakkan mereka enam mata di depan namun Atletico terus mengekori rapat menerusi gol tunggal Arda Turan sekalipun pemain tengah, Suarez dibuang padang pada pertengahan babak kedua.


Anak buah Diego Simeone melakar rekod kelab 31 mata selepas 12 perlawanan, satu mata lebih daripada ketika memenangi kejuaraan dengan bantuan pemain Argentina itu pada 1996.

Juara bertahan Real Madrid di tangga ketiga dengan 26 mata, lapan mata di belakang Barcelona selepas membelasah Athletic Bilbao, 5-1 di Bernabeu, Sabtu lalu.


Pemain tengah Granada, Gabriel Torje kecewa apabila percubaannya terkena tiang pada babak pertama di Los Carmenes sebelum Atletico meraih gol tunggal dalam perlawanan hambar itu pada minit ke-61.


Pemain tengah Turki, Turan merembat masuk gol keempatnya musim ini selepas menerima hantaran silang Koke dari sebelah kanan.

Ujian genting pertama Atletico bagi memburu kejuaraan adalah pada 1 Disember ini apabila berkunjung ke Real dan bertandang ke Barca dua minggu kemudian. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Misi sukar Chelsea

Posted: 19 Nov 2012 07:14 AM PST

LONDON: Juara bertahan, Chelsea perlu membuktikan kehebatan sebenar yang menghadirkan kejayaan buat mereka musim lalu dan bukan aksi buruk seperti dalam kempen Liga Perdana Inggeris sejak akhir-akhir ini jika mahu mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara, minggu ini.

Dengan baki dua perlawanan, bekas juara, Manchester United, Porto dan pendatang baru Malaga sudah mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya meskipun jumlah pasukan yang melepasi halangan awal akan diketahui minggu ini.


Uefa menggunakan sistem rumit menentukan pasukan terakhir yang layak dan ini bermakna senarai penuh pasukan hanya diketahui pada perlawanan terakhir.

Namun atas kertas, Arsenal, Barcelona, Bayern Munich, Celtic, Borussia Dortmund, AC Milan, Paris St Germain, Real Madrid, Schalke 04, Shakhtar Donetsk dan Valencia boleh layak jika mencipta keputusan baik minggu ini.


Chelsea juga akan mara ke pusingan kedua buat musim ke-10 berturut-turut jika menewaskan Juventus di Turin pada pertembungan Kumpulan E, awal pagi esok.


Bagaimanapun skuad kendalian Roberto Di Matteo itu akan bertandang dengan rekod tanpa kemenangan dalam empat perlawanan terakhir Liga Perdana termasuk dikejutkan kekalahan 1-2 oleh West Brom, Sabtu lalu.

"Atas sebab yang tidak diketahui, November bulan yang teruk buat kelab ini," kata pengendali dari Itali itu.


Tidak pernah dalam sejarah juara bertahan gagal melepasi halangan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara tapi andai Chelsea kecundang di Turin, mereka berada dalam kedudukan bahaya.

Kemenangan paling penting Chelsea hadir dua minggu lalu apabila menumpaskan Shakhtar, 3-2 di Stamford Bridge hasil gol kemenangan saat akhir Victor Moses.


Prestasi di peringkat domestik pula agak teruk dengan hanya meraih dua mata daripada empat perlawanan namun peluang dalam Liga Juara-Juara lebih cerah berbanding juara Inggeris, Manchester City. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Celtic idam ulangi kejayaan di Lisbon

Posted: 19 Nov 2012 07:14 AM PST

LISBON: Kejayaan menewaskan Barcelona, 2-1 dua minggu lalu dianggap pencapaian kedua terbaik buat Celtic dan akan kembali ke sebuah lagi bandar raya yang pernah menyaksikan lakaran sejarah iaitu Lisbon, awal pagi esok.

Pada 25 Mei 1967, bandar raya Portugal itu menjadi saksi apabila Celtic menjadi kelab pertama Britain menjuarai Piala Eropah selepas menewaskan Inter Milan, 2-1 di Stadium Nasional.


Pasukan juara itu dibarisi pemain yang dilahirkan dalam lingkungan 30 batu dari Glasgow dan kini kekal dengan gelaran 'Lisbon Lions' berbanding pasukan semasa yang dibarisi pemain beberapa negara.

Mereka boleh mengesahkan tempat ke pusingan kedua Liga Juara-Juara musim ini andai menewaskan Benfica pada perlawanan kedua terakhir kumpulan.


Celtic berkunjung ke Lisbon dengan semangat membara selepas membuat kejutan terhebat musim ini apabila mengalahkan Barcelona untuk mengumpul tujuh mata dalam Kumpulan G, dua mata di belakang kelab Sepanyol itu dan tiga mata mengatasi Benfica. Spartak Moscow di tangga tercorot dengan tiga mata.


Mereka kembali merampas tangga teratas Liga Perdana Scotland selepas menumpaskan Aberdeen, 2-0 Sabtu lalu, kemenangan pertama liga dalam empat perlawanan dengan kedua-dua gol terhasil dalam tempoh empat minit babak kedua menerusi Lassad Nouioui dan Charlie Mulgrew. Sementara itu, Benfica pula mengharapkan kemenangan awal pagi esok bagi menghidupkan peluang memandangkan tugas mereka lebih sukar kerana bertemu Barcelona pada aksi terakhir kumpulan.

"Kami perlu menewaskan Celtic dan kemudian menanti keputusan menentang Barcelona di Nou Camp," kata jurulatih Benfica, Jorge Jesus.


"Amat sukar untuk layak tapi Celtic masih belum pasti akan mengatasi Spartak Moscow." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Tiga mata redakan tekanan Pellegrino

Posted: 19 Nov 2012 07:14 AM PST

MADRID: Jurulatih Valencia, Mauricio Pellegrino masih belum dapat memuaskan hati penyokong kelab La Liga itu namun persembahan terbaik menentang Bayern Munich dalam aksi Kumpulan F Liga Juara-Juara di laman sendiri, awal pagi esok akan dapat mengurangkan tekanan buat pengendali dari Argentina itu.

Pasukannya meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Espanyol dalam aksi La Liga di gelanggang sendiri Sabtu lalu hasil sepakan penalti lewat permainan Roberto Soldado dan kini berkongsi sembilan mata dengan pendahulu kumpulan, Bayern serta berpeluang cerah ke pusingan kalah mati.


Pellegrino, bekas pemain Valencia yang menggantikan Unai Emery sebagai jurulatih hujung musim lalu, pernah melalui detik kecewa apabila penjaga gol Bayern, Oliver Kahn menyelamatkan sepakan penalti pada penentuan final 2001.

Beliau sedar cabaran besar dihadapi dalam dunia bola sepak moden.


"Ia bukan masa sesuai untuk menjadi jurulatih," kata Pellegrino, 41. "Anda seperti meluncur atas ais yang sangat nipis.


"Pemain mempunyai pengaruh yang lebih berbanding jurulatih, inilah cara bola sepak masa kini.

"Pemain memiliki harga di pasaran untuk kelab sedangkan jurulatih tidak." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Ronaldo? ‘Kami tak mampu!’

Posted: 19 Nov 2012 07:13 AM PST

LONDON: Pengurus Red Devils, Alex Ferguson sedia menerima kepulangan Cristiano Ronaldo ke Manchester United namun mengaku penyerang itu kini tidak mungkin mampu dibeli.

Pemain Portugal itu beraksi enam tahun di Old Trafford sebelum berhijrah ke Real Madrid pada 2009 dan menikmati kejayaan individu dan berpasukan bersama kelab yang merampas kejuaraan liga Sepanyol dari Barcelona musim lalu.


Jika tidak kerana kecemerlangan bintang Barcelona, Lionel Messi, Ronaldo pasti memegang tampuk sebagai pemain bola sepak terhebat dunia.

Pemain berusia 27 tahun itu muncul pemain termahal dalam sejarah apabila berpindah ke Bernabeu dengan harga �80 juta (RM389.8 juta) dan Ferguson sedar United tidak mampu membelinya sekalipun menerima dengan tangan terbuka kepulangan Ronaldo.


Meskipun pintu sentiasa terbuka buat pemain itu, Ferguson bagaimanapun percaya ia tidak mungkin berlaku.


"Jumlah wang yang perlu dibelanjakan terlalu besar.

"Apakah nilainya pada masa ini? Tidak mungkin kami mampu membelinya.


"Siapa yang mampu membelinya? Ada yang mendakwa kelab Russia mampu membelinya, mungkin. Tapi apakah dia akan pergi bermain di Russia? "Dia merungut mengenai cuaca di sana, apa lagi ketika musim sejuk di Russia.

"Dia amat berbaloi buat Real kerana memang mahu bermain buat mereka, ia impiannya sejak kecil." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Black Cats temui sentuhan

Posted: 19 Nov 2012 07:12 AM PST

LONDON: Sunderland akhirnya menemui sentuhan apabila mengalahkan Fulham yang beraksi 10 pemain, 3-1 di Craven Cottage sekali gus keluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Anak buah Martin O'Neill yang hanya menjaringkan tujuh gol dan menang sekali dalam 10 perlawanan liga sebelum ini, berjaya menyumbat tiga gol dalam tempoh 20 minit babak kedua.


Jaringan Steven Fletcher, Carlos Cuellar dan Stephane Sessegnon melengkapkan kemenangan berharga ke atas Fulham yang beraksi 10 pemain.

Sunderland mempunyai kelebihan apabila pertahanan tengah Fulham dari Norway, Brede Hangeland dilayang kad merah oleh pengadil, Lee Probert selepas terjahan keras ke atas Lee Cattermole pada minit ke-30.


Sunderland mendahului apabila Fletcher menjaringkan gol pada minit ke-50, 15 saat selepas percubaan pemain Fulham, John Arne-Riise singgah di palang gol.


Fulham menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Mladen Petric yang meledak gol dari jarak dekat namun selepas itu Sunderland menguasai perlawanan dan memperoleh dua gol lagi menerusi Cuellar dan Sessegnon.

Sekalipun hanya melonjak satu anak tangga ke tangga ke-15, Sunderland mengutip 12 mata daripada 11 perlawanan, tiga mata di depan Aston Villa yang berada di tempat ke-18. Fulham di tangga kesembilan dengan 16 mata. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Garuda tersepit

Posted: 19 Nov 2012 07:12 AM PST

NAIB juara Piala Suzuki AFF 2010, Indonesia antara halangan utama skuad negara melepasi ranjau Kumpulan B pada edisi tahun ini yang berbaki beberapa hari lagi.

Skuad Garuda kendalian Nil Maizar sudah menamatkan aksi persahabatan terakhir pada Sabtu lalu apabila mengikat skuad didakwa bawah 23 tahun Cameroon apabila seri tanpa jaringan dan bekas jurulatih kelab Semen Padang itu nyata bimbang dengan prestasi barisan pertahanan dan jentera serangan.


"Selepas perlawanan menentang Cameroon, persembahan pertahanan nyata perlu terus ditingkatkan. Kami perlu mencari jalan penyelesaian agar beraksi lebih baik menjelang kejohanan sebenar yang berbaki beberapa hari lagi," katanya kepada sebuah akhbar tempatan republik itu.

Skuad kendaliannya harus berterima kasih kepada penjaga gol Persebaya Surabaya, Endra Prasetya yang beraksi cemerlang mempertahankan gawangnya dari dibolosi walaupun barisan pertahanan terperangkap dengan kehebatan lawan dari Afrika itu.


Malah Nil turut pening memikirkan ketumpulan jentera serangan yang dilihat belum mencapai tahap maksimum selepas hanya Bambang Pamungkas menjaringkan satu gol dan Irfan Bachdim (tiga) menggegar gawang dalam enam aksi persahabatan terakhir manakala tiga lagi penyerang, Samsul Arif, M Rahmad dan pemain naturalisasi dari Belanda, Johnny van Beukering masih gagal membuktikan ketajaman.


"Kami turut memberikan tumpuan yang lebih kepada jentera serangan bagi memastikan mereka mampu merobek gawang," kata jurulatih berusia 42 tahun itu.

Indonesia dijadual bertolak ke Kuala Lumpur esok dengan Nil masih belum memutuskan senarai 22 pemain yang bakal menggalas cabaran Garuda di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Namun beliau hanya perlu menyingkirkan seorang pemain selepas kehilangan Diego Michiels dan Hengky Ardiles dalam kem latihan pusat dengan pemain naturalisasi dari Belanda, Raphael Maitimo menjadi calon utama untuk disingkirkan.

Indonesia memulakan cabaran Kumpulan B menentang Laos, Ahad ini, diikuti Singapura (28 November) dan Malaysia (1 Disember).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


No comments:

Post a Comment