Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bawa budaya kelas kreatif

Posted: 02 May 2014 02:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Kegigihan dan daya kreatif guru memang memainkan peranan penting untuk menarik minat pelajar mendalami apa yang diajar dalam usaha untuk membentuk mereka menjadi generasi serba boleh dan terus berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Setiap guru mempunyai kaedah tersendiri untuk meraih minat pelajar dan ada yang terpaksa mengambil masa bertahun-tahun untuk menghasilkan satu kaedah yang boleh digunakan bukan saja oleh pelajar di sekolahnya malah boleh dikongsi pelajar lain di seluruh negara.

Ini antara kisah yang dikongsi Romiezal Amir Rosdi, 35, yang akhirnya berjaya menghasilkan bantuan pelajaran canggih dan sistematik sesuai dengan kecanggihan teknologi walaupun terpaksa berusaha sejak 2009.

Guru Sekolah Menengah Seri Setia, Teluk Intan, Perak yang menghasilkan video tutorial pembelajaran dan pengajaran dalam kelas itu mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan Pemenang Pertandingan Anugerah Guru Inovatif Peringkat Kebangsaan 2013.

Foto
Foto

SURESH adalah guru kesayangan pelajar SMK Entabuan Tenom, Sabah.


Alat bantuan pengajaran dinamakan LKj Mobile-penghasilan aplikasi android Lukisan kejuruteraan itu merakamkan pengajaran dalam kelas dan boleh diulang tayang bagi memudahkan pelajar membuat ulangkaji.


"Pembelajaran melalui konsep ini amat mudah dan membuat pelajar lebih bersemangat untuk mempelajari sesuatu yang baru," katanya.

Menurutnya, beberapa kaedah yang dihasilkan antaranya Dr-U-Demo, rakam dan ulang tayang dalam pengajaran, lamam web lukisan kejuruteraan (www.cikguromie.net), laman web Matematik (www.vtutor.cikguromie.net), penghasilan USB vcam Image Projektor sebagai alat bantuan pengajaran, penghasilan aplikasi android Lukisan kejuruteraan-LKj Mobile Metematik untuk tingkatan 1 dan 2 dan Moh Kite Solat.

Rosmiezal berkata, banyak pengorbanan dilakukan dalam menghasilkan aplikasi berkenaan tetapi kerana minat dan mahu melihat pelajarnya berjaya, dia sanggup mengharungi semua itu.

Semangat dan kegigihan yang sama dipamerkan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Enam Bandar Baru Bangi, Selangor, Suwaibatullaslamiah Jalaludin, 43, yang sentiasa mencari kelainan untuk memberi nilai tambah bagi membentuk kejayaan semua muridnya.

Dia menjadikan kelab kompang di sekolah itu sebagai platform mendekati muridnya sekaligus sebagai tarikan murid untuk ke sekolah.

Menurut Suwaibatullaslamiah, selepas menempa beberapa kejayaan melalui pertandingan di kawasan Hulu Langat, Kelab Kompang SK Jalan Enam begitu dikenali dan digeruni lawan.

"Saya berpendapat perlunya sebuah kelab seumpama ini bagi memberi peluang murid menjalani aktiviti selain belajar dalam kelas.

"Selepas tamat waktu pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, murid yang berminat akan menjalani latihan dan hasilnya kini ramai murid lelaki khususnya suka ke sekolah dan kurang masalah melepak," katanya

Suwaibatullaslamiah yang pernah menerima Anugerah Guru Inovasi Sempena Hari Guru daripada Kementerian Pendidikan 2009 itu berkata, penubuhan kelab itu mendapat sokongan ibu bapa dan mendapat banyak undangan untuk menyerikan majlis termasuk perkahwinan.

Bagi guru Matematik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entabuan Tenom, Sabah, L Suresh Kumar, 34, menerapkan kaedah kreatif mengikut kesesuaian usia pelajar untuk menarik minat mereka belajar Matematik yang dianggap sebagai subjek yang rumit.

"Matematik antara tiga subjek kritikal termasuk Sains serta Bahasa Inggeris yang diberi penekanan dan menjadi tanggungjawab saya untuk meningkatkan tahap kemahiran matematik pelajar.

"Contohnya, saya gunakan teknik nyanyian untuk menghafal formula selain teknik kawan baik dan kawan biasa untuk mencari x dalam tajuk Persamaan Linear.

"Hasilnya, kebanyakan keputusan pelajar yang sebelum ini merosot meningkat kepada tahap lebih baik," katanya yang juga menjadi Guru Cemerlang (GC) Kategori Matematik Kementerian Pendidikan 2013.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/02

Badan kebas dipatuk tedung

Posted: 01 May 2014 12:22 PM PDT

Sungai Buloh: "Seluruh badan kebas dan hampir rebah sebaik ibu jari tangan saya dipatuk ular tedung," kata pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Yusafri Mohd Yusof, 29.

Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, mangsa dipatuk reptilia berbisa itu ketika sedang bertugas menangkap haiwan itu di Bukit Darah di sini.

Menurutnya, pihak bomba sebelum itu menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk yang mendakwa seekor ular tedung cuba menceroboh masuk rumahnya.

"Saya bersama rakan setugas kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap ular itu. Sebaik tiba di rumah pengadu, saya dapati seekor ular tedung sepanjang satu meter sudah ditangkap dan diikat dengan tali oleh pemilik kediaman itu.

Foto

YUSAFRI dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Foto

KEADAAN ibu jari yang dipatuk tedung.


"Saya cuba membuka ikatan tali, namun ular itu secara tiba-tiba terus mematuk bahagian ibu jari tangan kiri saya. Bagaimanapun saya sempat memindahkan ular itu ke dalam karung guni," katanya ketika ditemui di wad Hospital Sungai Buluh semalam.


Menurutnya, kesan bisa ular itu menyebabkan dia berasa hampir hitam dan nyaris rebah.

"Namun, saya kuatkan semangat sementara mendapatkan bantuan perubatan walaupun tubuh ketika itu kebas sepenuhnya.

"Saya segera dihantar ke Hospital Sungai Buloh dengan menaiki jentera bomba. Sebaik tiba di hospital, doktor segera memberikan suntikan vaksin sebelum saya dimasukkan ke wad hospital," katanya yang kini mula stabil.

Yusafri mendakwa kali pertama dipatuk ular sepanjang lapan tahun berkhidmat sebagai anggota bomba dan penyelamat.

"Bagaimanapun kejadian ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat untuk masyarakat," katanya yang dijangka keluar dari hospital beberapa hari lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/02

Cinta dah luput

Posted: 01 May 2014 12:18 PM PDT

Ampang: Hanya kerana perselisihan faham, seorang suami tergamak mahu melanggar isterinya dengan kereta di pekarangan rumah mereka di Taman Melawati di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 50-an bagaimanapun sempat mengelak sebelum lari menyelamatkan diri.

Sumber polis berkata, kejadian bermula apabila mangsa dan suaminya bertengkar akibat perselisihan faham di luar rumah.

"Pertengkaran selama beberapa minit itu bertukar menjadi ganas apabila lelaki terbabit berlari masuk ke dalam kereta sebelum menghidupkan enjin kenderaan. Lelaki itu kemudian cuba melanggar isterinya sebanyak dua kali.


"Bagaimanapun mangsa yang sempat mengelak bertindak lari ke dalam rumah," katanya.


Menurutnya, suspek yang tidak berpuas hati kemudian terus menyerang isterinya dengan menumbuk di muka dan leher mangsa.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/02

Mayat tersangkut mata ditutup

Posted: 01 May 2014 12:17 PM PDT

Nibong Tebal: Rasa curiga seorang nelayan terhadap objek misteri dilihatnya membawa kepada penemuan mayat lelaki di Sungai Kerian di sini, pada jam 9.30 pagi, semalam.

Mayat lelaki berkenaan ditemui tersangkut di tebing sungai dan terlindung sampah sarap.

Penelitian dilakukan nelayan berkenaan mendapati mayat berseluar panjang dan baju-T warna hitam dengan mata ditutup menggunakan kain dalam keadaan tertiarap.

Ketua Polis Daerah Sebarang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafien Mamat berkata, ketika kejadian nelayan berkenaan dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan di perairan berhampiran.

Foto

ANGGOTA polis membawa naik mayat lelaki yang ditemui di Sungai Kerian, semalam.


"Kami sedang mengesan identiti mayat berkenaan pemeriksaan dilakukan terhadap mangsa juga gagal menemui sebarang dokumen pengenalan diri.


"Keadaan mayat yang sudah membengkak dan berada dalam air untuk tempoh agak lama juga menyukarkan pihak kami untuk mengena lpasti keturunan dan status warga negaranya," katanya.

Shafien berkata, pihaknya juga akan melakukan siasatan terperinci membabitkan pelbagai kemungkinan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian lelaki berkenaan sama ada ia berunsur jenayah atau sebaliknya.

Berikutan itu, orang ramai kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta tampil bagi proses pengecaman mayat terbabit.

Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/02

Drebar maut kereta bergesel motor

Posted: 01 May 2014 12:15 PM PDT

Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandu terbabas dan merempuh sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Istana menghala ke Sungai Besi, di sini.

Dalam kejadian jam 7 pagi semalam, kereta model Hyundai Coupe dipandu mangsa, Samuel Joshua Decruz, 21, dipercayai hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah motosikal ditunggang seorang pengawal keselamatan.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Mohd Fadhli Daud berkata, mangsa yang bergesel dengan motosikal ditunggangi seorang lelaki berusia 59 tahun kemudian merempuh sebatang pokok di bahu jalan.

"Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian dan mayatnya dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Hang Tuah," katanya.

Foto

KERETA mangsa remuk selepas merempuh sebatang pokok.


Menurutnya, penunggang motosikal yang mengalami cedera ringan akibat tercampak dari motosikal ditunggang kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.


Katanya, mayat mangsa juga dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/02

No comments:

Post a Comment