Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tak makan saman

Posted: 10 May 2014 08:54 AM PDT

Petaling Jaya: Walaupun pernah diserbu dua kali sebelum ini, sebuah pusat hiburan masih berdegil meneruskan operasinya malah turut dikesan menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) kepada pengunjungnya.

Bagaimanapun, pusat hiburan terbabit diserbu sekali lagi kira-kira jam 11.30 malam kelmarin dalam Ops Noda yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sebelum menahan 34 GRO warga Thailand dan tempatan.

Ketua Operasi Asisten Superintendan Mohd Nazri Daud berkata, pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen.

"Daripada 34 GRO terbabit 16 wanita warga Thailand manakala 18 warga tempatan berusia antara 22 hingga 38 tahun.

Foto

ANTARA GRO yang ditahan.


"Ketika serbuan, terdapat 50 pelanggan sedang leka berhibur di pusat yang dibuka dari jam 6 petang hingga 4 pagi ini," katanya.


Beliau berkata, empat GRO warga Thailand terbabit tidak mempunyai pasport. Mereka didapati menyalahguna pas lawatan sosial ke negara ini selain dikesan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan yang dipercayai didalangi oleh ejen.

"Turut ditahan dalam serbuan ini seorang penjaga lelaki warga tempatan berusia 30-an," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini melakukan siasatan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. "Semua yang ditahan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

Bekas suami disyaki dalang

Posted: 10 May 2014 08:48 AM PDT

Alor Setar: Polis mendapat petunjuk baru berhubung dua suspek yang menyimbah asid terhadap sepasang suami isteri dan seorang kanak-kanak di gerai nasi lemak di Jalan Tanah Merah, Pendang, Khamis lalu, selepas bekas suami mangsa berusia 62 tahun disyaki dalang kejadian itu ditahan.

Sumber berkata, dua suspek berusia 20-an kini diburu dan dipercayai mereka diberi upah oleh dalang serangan itu.

"Polis percaya dua suspek terbabit diberi upah oleh bekas suami mangsa memandangkan lelaki itu tidak berupaya melakukan sendiri berikutan faktor usia.

"Suspek direman tujuh hari mulai kelmarin bagi membantu siasatan," katanya di sini, semalam.


Semalam akhbar melaporkan, polis menahan lelaki berusia 62 tahun berhubung kes menyimbah asid terhadap suami isteri dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, awal pagi kelmarin.


Bekas suami mangsa ditahan di rumahnya di Hutan Kampung, Alor Setar, jam 3.30 pagi kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad ketika dihubungi berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana siasatan terperinci sedang dijalankan .

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

Hati berdebar tanda hilang anak sulung

Posted: 10 May 2014 08:41 AM PDT

Pasir Mas: "Ketika kejadian, saya dan suami serta adik bongsunya tiada di rumah kerana menghadiri kenduri kahwin di Kota Bharu dan arwah tinggal sendirian.

"Namun, sepanjang perjalanan, hati saya berdebar-debar sebelum mendapat tahu kami kehilangan anak sulung buat selama-lamanya," kata Aminah Hamid, 29, ibu kepada Muhammad Khairul Hafifi Mokhtar, 10, yang ditemui mati lemas bersama rakan Nur Qamariah Ahmad Najman, 8, dalam tali air dekat Lati, di sini, kelmarin.

Mayat kedua-dua mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lati ditemui terapung oleh penduduk kampung jam 4.30 petang sebelum dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk dibedah siasat.

Aminah berkata, dia dan suami Mokhtar Ramli, 40, serta adik bongsu arwah, Khairunnisa, 3, keluar rumah dari Kampung Batu 7, Tanah Merah jam 4 petang dan sempat melihat kelibat Nur Qamariah berhampiran rumahnya.

Katanya, anak kedua mereka Muhammad Khairul Hisham, 9, juga tiada di rumah kerana keluar bermain bersama rakan dan dia tiga beranak tiba di kenduri kahwin jam 5.30 petang sebelum suami tiba-tiba mengajaknya pulang.

"Anak sulung sendirian di rumah ketika kami keluar.

Ketika suami baru mahu menyuap makanan, dia menerima panggilan dan saya lihat wajahnya berubah.

"Dia tidak memberitahu kejadian sebenar dan cuma memaklumkan mahu pulang.

Selepas tiba di rumah, baru saya dapat tahu anak sulung meninggal dunia akibat lemas," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HPM, semalam.

Ibu Nur Qamariah, Norma Hussin, 44, berkata, dia sempat melihat anaknya keluar rumah dan menghala ke sebuah kedai runcit berhampiran rumah.

Katanya, pemergian anak kelapan daripada 12 beradik itu menyentap perasaan.


"Saya tidak pasti bila dia ke tali air itu sebelum dikejutkan dengan berita buruk.


Saya pilu mengenangkan tiada lagi gelak tawa dan suaranya di rumah selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

Tawaran RM20,000

Posted: 10 May 2014 08:36 AM PDT

Kota Kinabalu: Ahli keluarga Low Min You, 3, kanak-kanak yang dilarikan bersama sebuah kenderaan di depan stesen minyak Kampung Air, di sini, awal pagi kelmarin, menawarkan RM20,000 sebagai ganjaran kepada pihak yang berjaya menemuinya.

Tawaran itu dicetak pada kertas dan diedar kepada orang ramai, termasuk menerusi laman Facebook milik Michelle Lim, dipercayai ahli keluarga kanak-kanak malang terbabit.

Selain itu, menerusi akaun Facebook sama, keluarga mangsa memaparkan status yang menyentuh perasaan dan gambar milik Min You menyatakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan kanak-kanak itu.

Antara status dimuat naik sejak kelmarin adalah 'Si kecil Min You, kamu sudah hilang beberapa jam, kami sangat merinduimu. Saya tertanya-tanya adakah kamu lapar? Nakal? Menangis? Saya tidak boleh berhenti dari memikirkan kamu. Kepada Tuhan, bolehkah Kamu mendengar semua orang sedang berdoa? Tolong kembalikan dia (Ming You) kepada kami, penghibur hati kami. Saya rindu peluk cium dan ketawa manjanya'.

Foto

ANTARA status dan gambar dimuat turun dalam akaun Facebook keluarga Low Min You.


Menerusi akaun Facebook sama, ahli keluarga kanak-kanak terbabit turut meminta orang ramai segera menghubungi talian 013-8685336 atau 013-8605336 jika ada maklumat.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

UMNO masih terkuat

Posted: 10 May 2014 08:32 AM PDT

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, dalam usia UMNO mencecah 68 tahun hari ini, parti itu masih parti terkuat dan berwibawa di negara ini terutama dengan penambahan jumlah kerusi dimenangi dalam pilihan raya lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, UMNO perlu melalui transformasi dan menghadapi cabaran untuk memastikan parti itu terus kekal relevan sepanjang zaman.

Menurutnya, beberapa perubahan dan pembaharuan dilakukan dalam UMNO menampakkan hasil positif, terutama penerimaan lebih baik dalam kalangan anggota parti.

Katanya, dalam pemilihan UMNO tahun lalu misalnya, lebih 160,000 anggota parti memilih pucuk pimpinan di semua peringkat berbanding hanya 2,600 perwakilan sebelum ini.

"Saya akui (transformasi) belum sepenuhnya lagi, tetapi saya anggap ini sebagai satu perjalanan.

Ini mungkin fasa pertama (pemilihan parti).

"Selepas ini, kita perlu melihat apakah kaedah lebih baik dan bagaimana hendak ubah 'mindset' atau sikap dan nilai manusia serta pemimpin dalam konteks peringkat akar umbi.

"Dalam proses peremajaan parti, ia tidak mungkin berlaku dalam tempoh masa satu penggal saja atau kurang daripada satu penggal.


Dalam satu penggal ada penggantian dengan pemimpin lebih muda dan baru.


"Proses ini akan kita teruskan dan kita perlu mengenal pasti bakat atau 'talent' baru yang boleh kita ketengahkan," katanya dalam rancangan Ruang Bicara Khas Bersama Perdana Menteri terbitan Bernama TV sempena ulang tahun UMNO ke-68, hari ini.

Perubahan dilakukan itu susulan pindaan perlembagaan parti pada 2009 antara lain bertujuan mengekang politik wang dalam parti; menjadikan parti itu lebih terbuka, inklusif dan lebih demokratik.

Perdana Menteri berkata, proses peremajaan UMNO perlu dilaksanakan melalui usaha tersusun supaya ia dilihat sebagai parti yang mengiktiraf kepemimpinan baru, intelektual, profesional selain mempunyai gandingan generasi muda atau GenY.

Mengenai pendapat UMNO gagal membudayakan peremajaan dalam parti berikutan tidak banyak muka baru dalam barisan kepemimpinan tahun lalu, beliau berkata, ada perubahan kepemimpinan ketua bahagian membabitkan 35 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

No comments:

Post a Comment