Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bawa RM30 lari ke Lombok

Posted: 23 May 2014 11:58 AM PDT

Kuala Terengganu: Panggilan telefon terakhir diterima seorang ibu di sini, daripada anak perempuannya yang sudah berada di Lombok kerana mengikut teman lelaki menjadi perbualan terakhir dua beranak itu sehingga kini.

Panggilan jam 7.30 pagi, Selasa lalu tambah merunsingkan Tijah Paksa, 59, memikirkan keselamatan anaknya, Sanija Jusoh, 23, yang dipercayai hidup dalam kesusahan.

Tijah berkata, anaknya menangis memberitahu ingin pulang ke kampung, tetapi tidak tahu cara dan berjanji menghubunginya semula.

"Sebelum menamatkan perbualan, Sanija beritahu mahu memujuk keluarga teman lelakinya Parhan Jayadi, 29, supaya menghantarnya pulang ke kampung di Ladang Sentosa, Tepuh, di sini, dan berjanji menghubungi saya semula.

Foto

CHE Mansur menunjukkan gambar Sanija sambil mendengar aduan Tijah.


"Namun, sehingga kini belum ada panggilan telefon daripadanya. Saya cuba menghubunginya pada jam 9.30 malam Selasa lalu, namun telefon bimbitnya dimatikan.


"Naluri saya kuat mengatakan dia kini dalam kesusahan apatah lagi ketika menghubungi saya, dia hanya ada RM30 saja," katanya yang ditemui ketika membuat aduan di Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, di sini, semalam.

Menurut Tijah, dia menyedari anak kedua daripada empat beradik itu meninggalkan rumah selepas tidak pulang dari bekerja di ladang sehingga jam 6.30 petang Sabtu lalu.

Katanya, dia tidak mengesyaki anaknya mahu meninggalkan rumah kerana ketika keluar pada sebelah pagi, Sanija berpakaian kerja dan bersalaman seperti kebiasaan.

"Apabila dia tidak pulang sehingga jam 6.30 petang, saya menyuruh anak lelaki, Zamani, 15, mencarinya di ladang tetapi gagal sebelum diberitahu pekerja ladang itu anak saya tidak datang bekerja, malah mengambil cuti sakit untuk esok (Ahad).

"Saya mengetahui Sanija ke Lombok bersama teman lelakinya selepas menerima SMS daripadanya memberitahu berada bersama keluarga Parhan di Lombok," katanya yang terkejut dengan berita berkenaan.

Sejak kehilangan anaknya itu, Tijah yang bekerja sebagai buruh di kilang bata, Lingai, Tepuh, di sini, sentiasa menangis mengenangkan nasib anaknya

"Saya sedia memaafkannya dan Parhan serta menerima sekiranya mereka sudah berkahwin. Jika belum berkahwin, saya sedia berbincang dan merestuinya tetapi biarlah perkahwinan itu dilakukan di sini," katanya.

Sementara itu, Penyelaras DUN Teluk Pasu Che Mansur Salleh berkata, pihaknya akan berusaha menyelesaikan masalah Tijah dan membawa anaknya pulang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

DVD RM1.1j

Posted: 23 May 2014 11:51 AM PDT

Shah Alam: Sejumlah 204,614 cakera padat video digital (DVD) cetak rompak bernilai lebih RM1.1 juta milik satu sindiket dirampas dalam serbuan di dua rumah di Tasik Prima, Puchong, petang kelmarin.

Dalam serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, dua rumah berkenaan didapati dijadikan stor dan tempat mencetak DVD berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata, rampasan berkenaan adalah kejayaan terbesar setakat ini apabila jumlahnya hampir separuh daripada jumlah rampasan keseluruhan pada tahun lalu iaitu sebanyak 413,000 keping.

"Polis percaya sindiket ini bukanlah baru menjalankan kerja mencetak DVD filem tempatan dan antarabangsa, tetapi dua buah rumah yang digunakan itu baru saja disewa dua hingga tiga bulan lalu.

Foto

MORTADZA (tiga dari kiri) menunjukkan DVD yang dirampas dalam serbuan.

Foto

MESIN pencetak turut dirampas.


"Sindiket seumpama ini menjalankan kegiatan mereka secara berpindah-randah dan sering menukar lokasi kegiatan setiap beberapa bulan bagi memastikan perbuatan mereka tidak dapat dihidu pihak berkuasa," katanya ketika sidang media IPK Selangor, di sini, semalam.


Katanya, dalam operasi berkenaan juga, polis turut menahan 16 lelaki termasuk 11 warga tempatan berusia antara 21 dan 51 tahun yang bekerja dengan sindiket berkenaan.

Menurutnya, sebuah daripada dua buah rumah yang diserbu digunakan sebagai tempat percetakan manakala sebuah lagi rumah yang terletak bersebelahan dijadikan pusat penyimpanan.

Pihak polis turut merampas 44 mesin pencetak DVD, enam unit mesin pencetak dan pengimbas serta satu unit peralatan komputer yang digunakan dalam proses mencetak DVD berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Hutang langsai masih diganggu

Posted: 23 May 2014 11:49 AM PDT

Klang: "Seluruh badan saya menggigil sebaik melihat cecair merah yang memenuhi lantai dan pintu kedai yang pada mulanya disangkakan darah," kata pemilik restoran Abdul Sattar Mohamed Ibrahim, 53.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, Abdul Sattar dimaklumkan oleh seorang daripada pekerjanya yang menyedari restoran miliknya di Lorong Mahang, Jalan Meru, di sini, 'dibanjiri' cat merah.

Menurutnya, sebaik tiba di restoran, dia melihat cat merah memenuhi ruang depan dan pintu besi kedainya serta kelihatan dua plastik yang dipercayai mengandungi cat berkenaan ditemui dibuang di hadapan kedainya.

"Apabila diperiksa, saya mendapati cecair itu adalah cat merah yang dibaling ke kedai bagaimanapun saya tidak pasti siapa yang bertanggungjawab melakukannya kerana sebelum menutup kedai pada malam kejadian saya tidak lihat individu mencurigakan berada di sekitar kawasan kedai.

"Tetapi, saya juga tidak menolak kemungkinan, ini mungkin perbuatan along yang memberi amaran kerana kira-kira empat tahun lalu ibu mentua ada meminjam wang daripada mereka kerana perniagaan kami berdepan masalah kewangan," katanya yang ditemui semalam.

Menurutnya, disebabkan perniagaan makanan mereka mengalami masalah, ibu mentuanya terpaksa berhutang dengan lima along dengan jumlah pinjaman keseluruhan mencecah RM16,000, namun semuanya sudah dijelaskan.

"Sembilan bulan lalu, ibu mentua sudah melangsai semua hutang berkenaan, tetapi mereka tetap mengganggu kami dengan meminta bayaran serta menghantar SMS ugutan.

"Risau keselamatan kami terancam, saya sudah membuat laporan polis dan mereka tidak lagi mengganggu kami, namun hari ini (semalam) perkara ini terjadi lagi," katanya.

Foto

ABDUL Sattar menunjukkan percikan cat merah yang terkena pintu gerai.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Kantoi curi

Posted: 23 May 2014 11:40 AM PDT

Bangi: Wang tabung wakaf yang dikhaskan untuk pembinaan sebuah masjid lesap selepas dilarikan sekumpulan lelaki dalam kejadian di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.07 pagi berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam masjid itu, kehilangan wang dalam tabung itu disedari jemaah ketika hadir untuk solat Subuh mendapati kunci tabung besi itu dipotong selain beberapa helaian surat khabar turut bersepah.

Difahamkan, tabung itu diwujudkan untuk mengutip sumbangan bagi pembangunan sebuah masjid di Seksyen 1, Bandar Baru Bangi yang sedang dalam pembinaan.

Susulan itu, pihak pengurusan masjid meneliti CCTV dalam masjid itu sebelum menyaksikan perbuatan keji itu dilakukan empat remaja lelaki berusia belasan tahun.

Berdasarkan rakaman CCTV yang dimuat naik ke laman Facebook rasmi masjid berkenaan menunjukkan keempat-empat lelaki terbabit berpakaian gelap dengan membawa lampu picit.

Rakaman CCTV berdurasi 17 minit 24 saat itu turut menunjukkan keempat-empat lelaki terbabit menutup muka mereka dengan kain sebelum dua daripada mereka berusaha membuka kunci tabung besi itu dengan alat pemotong besi.

Dua lelaki itu berjaya memotong kunci tabung itu kurang dari 10 minit lalu dua lagi lelaki membantu memungut wang dari tabung berkenaan sebelum melarikan diri.

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa masjid yang enggan dikenali berkata, sebelum ini sudah beberapa kali kejadian curi duit tabung berlaku di masjid itu.

Foto

RAKAMAN CCTV menunjukkan empat lelaki yang memasuki Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi sebelum melarikan wang tabung wakaf.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Ekori tompokan darah

Posted: 23 May 2014 11:38 AM PDT

Tanah Merah: "Sebelum kejadian saya berada di rumah datuk, tetapi tidak berasa sedap hati lalu pulang jam 5 petang.

"Sebaik sampai ke rumah, saya melihat tompokan darah di lantai garaj dan mengikutnya sebelum melihat abang tertiarap berlumuran darah," kata Kamalrul Haffiz Mohd Sukri, 17, yang abangnya mati ditikam di Kampung Kuala Paku, Gual Ipoh, di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku ketika abangnya, Thana Aizuddin, 23, berada di rumah bersendirian kerana Kamalrul Haffiz ke rumah datuk mereka selepas Zuhur, manakala abang mereka, Mohd Raizul Nazri, 25, tiada di rumah.

Kamalrul Haffiz berkata, ketika melihat kesan darah, dia memanggil abangnya, tetapi tiada jawapan lalu memberanikan diri masuk ke dalam rumah dan menemui abangnya berlumuran darah dengan kesan luka di pinggang.

Foto

ANGGOTA polis mengusung mayat mangsa.


"Ketika itu abang masih bernyawa dan saya bergegas mendapatkan bantuan jiran. Jiran sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum abang meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah (HTM), di sini, malam kelmarin.


Tiga beradik itu tinggal di rumah berkenaan sejak kematian ibu bapa tahun lalu, manakala adik bongsu mereka, Siti Khalijah, 16, menetap di rumah datuk.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Paku, pagi semalam., selepas bedah siasat selesai dilakukan di HTM.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, suspek dipercayai menikam mangsa dari belakang menggunakan senjata tajam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

No comments:

Post a Comment