Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Sepertiga dunia gemuk

Posted: 29 May 2014 09:57 AM PDT

London: Hampir sepertiga penduduk dunia kini gemuk dan tiada negara mampu membendung kadar obesiti sejak 30 tahun lalu.

Menurut satu kajian terbaru lebih dua bilion penduduk di seluruh dunia mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Kadar tertinggi dicatatkan di Asia Barat dan utara Afrika dengan 60 peratus lelaki dan 65 peratus wanita gemuk.

Selain itu, Amerika Syarikat pula mempunyai 13 peratus populasi gemuk dunia, satu jumlah yang tinggi berbanding negara lain.

Foto

GAMBAR hiasan.


Jumlah penduduk gemuk yang digabungkan di China dan India hanya 15 peratus.

Seorang pakar dari Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan Universiti Washington, Christopher Murray menyifatkan keadaan itu sebagai 'menggerunkan.'

Beliau dan rakan penyelidik lain mengkaji lebih 1,700 kajian meliputi 188 negara dari 1980 hingga 2013.

"Ia menggerunkan. Bila kami menyedari tiada satu negara mampu mengurangkan tahap obes, ia pasti menyedarkan kamu betapa sukarnya untuk mengatasi masalah itu," kata Murray.

Murray berkata, terdapat hubungan kukuh antara jumlah pendapatan dan obes, semakin kaya, semakin gemuk,

Dia juga berkata saintis turut mendapati peningkatan dalam kes diabetes dan kanser berkait dengan berat badan.

Kajian baru itu ditaja oleh Yayasan Bill dan Melinda Gates dan diterbitkan dalam talian Khamis melalui jurnal Lancet.

Minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menubuhkan suruhanjaya tinggi untuk menamatkan obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

"Anak-anak kita semakin gemuk. Sebahagian daripada penduduk dunia ini makan sehingga mati," kata Pengarah WHO ketika mesyuarat tahunan agensi itu di Geneva.

Awal tahun ini WHO menegaskan kadar gula yang diambil untuk kalori seharian sepatutnya tidak melebihi lima peratus daripada gula.

Seorang lagi pakar obes dari Universiti Emiriah Arab Bersatu mendedahkan kadar kegemukan itu menjangkau lima kali ganda dari 20 tahun lalu walaupun di kawasan terpencil seperti di Pakistan.

Hasil penyelidikannya dibentangkan di sidang media Bulgaria.

"Permodenan menjejaskan kesihatan. Beberapa tahun lalu manusia terpaksa berjalan berjam-jam untuk membuat panggilan telefon berbanding zaman sekarang yang mempunyai telefon bimbit," katanya.

Di Britain pula, pemerhati kesihatan menggesa orang gemuk dihantar mengikuti kelas penurunan berat badan secara percuma bagi mengurangkan sebanyak tiga peratus berat badan mereka.

Sekurang-kurang dua daripada tiga orang dewasa negara itu terlebih berat, menjadikan ia 'negara tergemuk' di Eropah Barat.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Buaya muntah 3 jam dihempap wanita

Posted: 29 May 2014 09:50 AM PDT

Moscow: Seekor buaya terpaksa dihantar ke hospital selepas dihempap oleh seorang wanita seberat 114 kilogram di dalam sebuah bas.

Fredy, repitilia 2.14 meter panjang itu berada di dalam bas yang penuh dengan anggota sarkas dikatakan tidur apabila kenderaan berkenaan melanggar bonggol berhampiran Severomorsk, menyebabkan wanita terbabit jatuh dan menghempapnya yang tidur berhampiran.

Agensi berita RIA Novosti melaporkan, pihak pengurusan sarkas bimbang keadaan buaya itu selepas ia muntah selama tiga jam berikutan peristiwa itu.

Ia mungkin tanda kecederaan dalaman bagi buaya.


Akauntan terbabit hanya cedera ringan, tetapi ditegur kerana tidak memakai tali pinggang keledar.


Fredy pula dibawa ke hospital dan menjalani pemeriksaan serta rawatan. Semua persembahan hari itu yang membabitkannya juga dibatalkan.

Akhbar Komsomolskaya Pravda melaporkan wanita itu dinasihatkan mengurangkan berat badannya.

Haiwan, termasuk harimau, singa dan monyet masih digunakan dalam persembahan sarkas di Russia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Brad Pitt diserang lelaki

Posted: 29 May 2014 09:48 AM PDT

Hollywood: Seorang lelaki menyerang Brad Pitt ketika pelakon itu menandatangani autograf di majlis tayangan perdana filem Hollywood yang dibintangi temannya Angelina Jolie.

Pitt, pemenang anugerah Golden Globe menghadiri tayangan perdana 'Maleficent' di Panggung El Capitan di Hollywood, California apabila lelaki itu melompat pagar dan memukulnya, kata Sarjan Leonard Calderon dari Jabatan Polis Los Angeles.

Pitt bagaimanapun tidak cedera dan pihak berkuasa berjaya menangkap lelaki terbabit.

"Pegawai yang menguruskan kes itu berkata, lelaki itu sengaja menyerang Pitt dan motifnya masih tidak diketahui," kata Calderon.


'Maleficent' ialah filem moden kisah pari-pari 'Sleeping Beauty' dan Angelina melakonkan watak jahat dalam filem itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Belum masa pilihan raya

Posted: 29 May 2014 09:44 AM PDT

Bangkok: Pemerintah tentera Thailand tidak memberi banyak harapan mengenai kemungkinan pilihan raya diadakan lebih awal.

Seminggu selepas merampas kuasa, pegawai kanan tentera negara itu berkata, keadaan perlu sesuai dan perpecahan harus diatasi sebelum negara itu dapat kembali kepada pemerintahan awam.

Panglima tentera Jeneral Prayuth Chan-ocha menggulingkan kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra 22 Mei lalu bagi menamatkan tunjuk perasaan yang berlarutan selama beberapa bulan hingga menjejaskan ekonomi negara itu.

"Adalah menjadi matlamat majlis untuk mewujudkan keadaan yang sesuai dan membolehkan Thailand mengadakan pilihan raya adil dan bebas," kata Timbalan Ketua Turus Tentera, Jeneral Chatchalerm Chalermsukh.

Foto

TENTERA Thai berkawal berhampiran sebuah stesen bas berdekatan Tugu Kemenangan di Bangkok, semalam.


Rakyat Thailand berpecah antara penyokong Yingluck dan abangnya yang berpengaruh, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinatwatra dengan penyokong diraja yang melihat Thaksin dan dasar properdagangannya sebagai ancaman kepada cara pemerintahan lama.


Chatchalerm tidak memberi butir lanjut mengenai syarat yang diperlukan untuk mengadakan pilihan raya tetapi berkata, tentera mahu rakyat Thai bersatu dan konflik politik yang timbul selepas Thaksin memenangi pilihan raya pertamanya pada 2001 berakhir.

"Saya ingin tahu berapa lama dua kumpulan yang bertelagah sejak 10 tahun lalu akan berbaik-baik semula. Kedua-dua pihak itu tidak perlu bercinta satu sama lain, cukup dengan mereka bertindak secara tenang dan aman. Kami memerlukan masa bagi memastikan semua pihak bertenang," katanya.

Chatchalerm berkata, tentera terpaksa campur tangan kerana tidak ada tanda-tanda konflik politik yang berlarutan selama enam bulan akan berakhir. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Tentera dikerah berjaga-jaga

Posted: 29 May 2014 09:42 AM PDT

Bangkok: Beratus-ratus tentera Thai semalam menutup satu daripada persimpangan jalan raya paling sibuk di Bangkok dalam usaha menggagalkan rancangan mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran.

Beberapa trak membawa tentera menyekat semua laluan menuju ke Tugu Kemenangan menyebabkan kedai di kawasan yang biasanya sesak menutup perniagaan mereka kerana bimbang terhadap operasi ke atas penunjuk perasaan antirampasan kuasa yang hampir setiap hari berada di kawasan itu tanpa mempedulikan pengharaman perhimpunan politik.

Langkah mengerahkan tentera secara besar-besaran itu dilakukan sehari selepas ratusan penunjuk perasaan berhimpun di tujuh kawasan berkenaan, mengatasi jumlah tentera.

Pergelutan berlaku dengan botol air dan objek lain dilontar ke arah tentera sementara sebuah Humvee diconteng dengan slogan antirampasan kuasa.

Jumlah penunjuk perasaan itu kecil dan tidak dipimpin.

Bagaimanapun, mereka merancang meneruskan perhimpunan semalam serta menggesa diadakan perhimpunan besar-besaran Ahad ini.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Yakin Prabowo-Hatta kuasai Jawa Tengah

Posted: 29 May 2014 09:42 AM PDT

Jakarta: Presiden Parti Keadilan Sejahtera (PKS) Anis Matta semalam menyuarakan keyakinan pasangan Prabowo-Hatta akan menang dalam pilihan raya presiden di Jawa Tengah dan Solo, kubu kuat Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang juga kampung halaman Joko (Jokowi) Widodo.

"Prabowo juga berasal dari Jawa Tengah.

Kerana itu saya yakin pengaruh beliau di sana juga kuat, termasuk Solo," kata Anis di lapangan terbang di Jakarta sebelum berangkat ke Solo untuk pengisytiharan pasukan kempen Prabowo-Hatta bagi Jawa Tengah.

Beliau juga berkata, gabungan parti yang menyokong Prabowo-Hatta pada pilihan raya 9 Julai depan juga akan berusaha memastikan pasangan itu menang di Jawa Barat atau seluruh Pulau Jawa keseluruhannya.

Setiausaha Agung PKS, Taufik Ridho berkata, jumlah undi yang diraih parti yang menyokong Prabowo-Hatta iaitu Parti Amanat Nasional (PAN), Parti Pembangunan Persatuan (PPP) Golkar, Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dan PKS pada pilihan raya umum lalu di Jawa Tengah melebihi 50 peratus.

"Ini bermakna, peluang Prabowo-Hatta untuk menguasai Jawa Tengah yang selama ini dianggap kubu PDI-P sangat cerah," katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Prabowo dibayangi kelemahan sendiri

Posted: 29 May 2014 09:42 AM PDT

Jakarta: Tindakan calon presiden Prabowo Subianto menyerang calon lain dalam setiap ucapannya memperlihatkan dia merasa terancam.

Perkara itu dinyatakan penganalisis politik, Arie Sudjito yang menganggap Prabowo menyedari kelemahan yang ada padanya dan menggunakan pentas pidatonya sebagai platform menyerang calon lain bagi menyembunyikan kelemahannya.

"Dia sepatutnya menjelaskan wawasan dan misinya kepada bakal pengundi dan bukan membuat serangan seperti itu.

Jelas dia berasa terancam dengan keadaan sekarang," katanya.

Menurut Arie, sikap yang ditunjukkan Prabowo itu tidak mencerminkan imej seorang pemimpin dan negarawan.

Dia seharusnya menjelaskan hala tuju dan perancangannya untuk membangunkan negara jika terpilih menjadi presiden dan biar rakyat menilai manifestonya.

Penganalisis politik dari Universiti Gadjah Mada itu berkata, kritikan yang dilontarkan melalui kempen adalah perkara biasa dalam politik asalkan visi dan misinya jelas serta tidak menyerang peribadi lawan.

"Siapa pun yang menyerang lawan secara peribadi dan mengamalkan kempen negatif dengan menyebarkan fitnah, bukan negarawan sejati," katanya.

Walaupun kerap menyerang lawannya dalam pilihan raya presiden nanti, Prabowo tidak menyasarkannya secara jelas kepada Joko Widodo dan Jusuf Kalla.

Dia hanya membuat kenyataan secara umum seperti melabelkan lawannya sebagai pengkhianat, ejen asing dan sebagainya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Saman bloger

Posted: 29 May 2014 09:41 AM PDT

Singapura: Perdana Menteri Lee Hsien Loong memfailkan saman fitnah ke atas seorang pengarang laman web yang menuduhnya menyalahgunakan dana awam, menjadikan ia kes mahkamah pertama seumpamanya di negara itu.

Peguam Lee, Davinder Singh memberitahu Mahkamah Tinggi, artikel yang terbitkan pada 15 Mei lalu oleh seorang kakitangan kesihatan kerajaan Ngerng Yi Ling, 33, mengandungi kenyataan yang mendakwa Hsien Loong melakukan 'penyelewengan jenayah.' Lee sebelum ini menolak permohonan maaf dan pampasan yang ditawarkan Ngerng penulis blog 'The Heart Truths.' Dia mempunyai 3,300 pengikut sebaik saman itu difailkan.

Secara amnya, saman awam boleh dikemukakan di Mahkamah Tinggi Singapura apabila nilai tuntutan itu melebihi S$250,000 (RM640,000), menurut garis panduan yang dimuatnaikkan dalam laman web kerajaan.

Mahkamah mempunyai kata muktamad mengenai jumlah yang perlu dibayar.

Ngerng ialah bloger pertama diheret ke mahkamah kerana saman malu oleh seorang pemimpin politik Singapura.

"Kata-kata yang menyinggung perasaan dan imej menunjukkan plaintif, Perdana Menteri Singapura dan Pengerusi GIC seolah-olah bersalah dengan tuduhan menyeleweng wang yang dibayar oleh rakyat negara ini kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF)," menurut tulisan Singh yang difailkan kepada mahkamah.

GIC menguruskan lebih S$100 bilion rizab asing negara itu, manakala CPF adalah dana pencen negara.

Singh berkata, reputasi dan karakter Hsien Loon tercemar dengan fitnah yang disebarkan Ngerng.

Ngerng sebelum ini berkata, artikel itu bertujuan mendesak lebih banyak ketelusan di pihak kerajaan mengenai cara pengurusan dana pencen itu.

Selasa lalu, dia menawarkan S$5,000 (RM12,800) sebagai ganti rugi, namun Lee menolaknya dengan berkata, Ngerng tidak ikhlas.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Terlepas tembakan ketika ceramah

Posted: 29 May 2014 09:40 AM PDT

Beijing: Lima orang cedera apabila satu tembakan dilepaskan secara tidak sengaja ketika ceramah kesihatan di sebuah taska di bandar Zhengzhou, tengah China, semalam.

Mereka yang cedera, termasuk seorang kanak-kanak.

Jurucakap polis berkata dalam satu blog, kejadian berlaku ketika satu demonstrasi dan peluru yang mengena bumi menyebabkan serpihan pada lantai simen, mengena tangan dan kaki beberapa orang berhampiran.

Menurut kenyataan itu, kecederaan yang dialami mangsa bagaimanapun tidak serius.

Susulan kejadian, dua polis yang terbabit dalam kejadian ditahan sebagai hukuman, manakala timbalan pengarah, ketua skuad dan pengajar digantung tugas.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Polis tak halang pembunuhan

Posted: 29 May 2014 09:39 AM PDT

Islamabad: Perdana Menteri Pakistan semalam menyuarakan rasa kesal dengan sikap polis yang berdiam diri ketika seorang wanita hamil direjam dan dipukul oleh keluarganya di depan sebuah mahkamah di negara itu.

Farzana Iqbal, 25, diserang Khamis lalu kerana berkahwin dengan lelaki yang dicintainya.

Suaminya berkata, polis tidak berusaha menghalang keganasan selama 15 minit itu di depan Mahkamah Tinggi Lahore.

"Saya merayu polis membantu kami, tetapi mereka berkata, itu bukan tugas mereka," kata Muhammed Iqbal,

Foto

GAMBAR yang dirakam Selasa lalu menunjukkan anggota polis mengumpulkan bukti berhampiran mayat Farzana yang dibunuh keluarganya di depan Mahkamah Tinggi Lahore.


Jurucakap Nawaz Sharif berkata, perdana menteri itu memandang berat mengenai pembunuhan kejam itu.


"Saya mengarahkan ketua menteri bertindak serta-merta dan satu laporan mesti dikemukakan kepada pejabat saya petang ini (semalam).

"Perbuatan kejam seperti itu tidak boleh diterima sama sekali dan jenayah itu perlu ditangani dengan undang-undang," kata jurucakap berkenaan, memetik kata-kata Nawaz.

Di kebanyakan wilayah di Pakistan, wanita dikehendaki bersetuju dengan perkahwinan yang diatur keluarga. Keengganan mereka berbuat demikian boleh mendorong kepada 'pembunuhan kerana menjaga maruah keluarga.'

Polis sebelum ini berkata, Farzana dilontar batu, tetapi menurut Iqbal, anggota keluarga isterinya memukul wanita itu dengan batu sehingga mati.

Semua suspek, kecuali bapanya yang kini dalam tahanan, melarikan diri. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

No comments:

Post a Comment