Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Emas untuk arwah'

Posted: 29 May 2014 11:45 AM PDT

Kangar: "Mohd Asmui (Ali), Mohd Shafiq Imran (Syahril). Emas ini untuk mereka berdua."

Dalam nada sebak, jurulatih skuad berbasikal Terengganu Syed Mohd Husaini Syed Mazlan berkata, emas dimenangi kuartet ujian masa berpasukan (TTT) itu mahu dikongsikan dengan Allahyarham Mohd Asmui dan Mohd Shafiq Imran, dua pelumba muda Terengganu yang maut selepas terbabit kemalangan ketika menjalani latihan tahun lalu.

"Sebenarnya, kemenangan ini juga ingin saya kongsikan dengan arwah dua pelumba muda berkenaan.

"Mereka adalah sebahagian daripada pelumba saya gilap untuk acara ini dan saya mahu menghadiahkan kemenangan ini kepada mereka," katanya.

Foto

PELUMBA Terengganu meraih pingat emas ujian masa berpasukan lelaki, semalam.


Kuartet TTT Terengganu muncul pasukan pilihan untuk memenangi emas acara itu selepas cemerlang menjulang pingat berkenaan sepanjang dua temasya lalu.


Terengganu yang dilepaskan sebagai pasukan terakhir dalam kalangan 12 pasukan bertanding, mempamer kayuhan mantap sepanjang 51.3km di Lebuhraya Kuala Perlis/Changlun untuk mencatat masa 1 jam 06 minit 57.065 saat, mengatasi Johor (1.08:20.496s) manakala Selangor memenangi gangsa (1.08:21.106s).

Syed Mohd Husaini berkata, pemergian dua pelumba muda terbabit mengakibatkan beliau mengambil masa agak lama untuk membentuk pasukan baru, tetapi menyifatkan penantian itu berbaloi.

Beliau berkata, gandingan empat pelumba dalam barisan emas TTT Terengganu, Mohd Nur Aiman Mohd Zariff, Muhammad Badrul Hakimi Hamid, Muhammad Zulfakhri Hamdan dan Norimran Nor In hanya dibentuk dan menjalani latihan bersama sejak Disember lalu.

Beliau yang turut mengiringi pelumba di sepanjang kayuhan berkata, anak buahnya berdepan tiupan angin kuat pada awal perlumbaan sebelum meningkatkan rentak kayuhan pada 20km terakhir.

"Saya sasarkan catatan sekitar 1 jam 5 minit, tapi tiupan angin agak kuat. Namun kami sudah berlatih di laluan ini sejak lima hari lalu dan saya yakin mereka mampu menanganinya.

"Begitupun, saya akui negeri lain terutama Johor, Selangor, Melaka dan Wilayah Persekutuan menunjukkan banyak peningkatan pada SUKMA kali ini," katanya.

Ia adalah emas keempat dari acara berbasikal untuk Terengganu dan kedua dari acara lebuh raya selepas pelumba wanitanya, Nur Aishah Zubir memenangi ujian masa individu wanita (ITT), semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Hajat besar Alice

Posted: 29 May 2014 11:41 AM PDT

Kangar: Abang lincah di padang bola sepak, adiknya pantas mengatur aksi di gelanggang sepak takraw.

Pastinya Ronny Harun, pemain bola sepak Sabah berbangga kerana adiknya, Alice Harun, 21, berjaya mengikut jejak mengharumkan nama negeri dalam sukan pilihan masing-masing.

Alice yang juga penuntut jurusan Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi sandaran skuad sepak takraw Sabah pada temasya SUKMA kali ini.

Alice adalah pemain kebangsaan dan tidak hairanlah mengapa kudratnya amat diharapkan Sabah mendapatkan keputusan positif di Perlis.

Foto


"Saya mula menyertai skuad kebangsaan tahun lalu. Setakat ini, saya sudah tiga kali mewakili negara ke Piala Egat, Piala Raja Thai serta Sukan SEA Myanmar.


"Saya mula bermain sepak takraw pada 2009 ketika temasya Sukan Sabah. Penyertaan saya boleh dikatakan sebagai bidan terjun saja kerana tidak pernah termimpi untuk menjadi pemain sepak takraw," katanya.

Alice berkata, dia mengimpikan untuk menjadi pemain utama negara dan untuk itu, dia menjalani latihan 10 jam sehari setiap kali cuti semester.

Andai ada kelas perlu dihadiri, Alice akan memastikan dia berlatih sekurang-kurangnya tiga jam di bawah bimbingan jurulatih skuad wanita kebangsaan, Md Fikri Md Nor.

"Saya bertuah kerana ibu bapa tidak menghalang minat saya untuk terus bermain sepak takraw. Begitu juga dengan semua ahli keluarga yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Pahang kekal dominasi silat

Posted: 29 May 2014 11:39 AM PDT

Kangar: Pendekar Pahang berjaya mengekalkan kejuaraan acara pencak silat bagi lima penganjuran SUKMA berturut-turut apabila meraih keseluruhan 4 emas, 4 perak dan 4 gangsa pada temasya kali ini.

Berbanding dua tahun lalu di Pahang, skuad pencak silat Tok Gajah itu memenangi 11 emas dan catatan kali ini jauh lebih rendah.

Jurulatih silat Pahang, Suzy Sulaiman mengakui kekurangan itu dan baginya yang lebih penting mereka tetap muncul juara keseluruhan mempertahankan gelaran.

"Memang pungutan emas kami kali ini agak jauh jika dibandingkan dengan dua tahun lalu, tetapi kami masih mengekalkan kejuaraan," katanya.

Semua emas Pahang hadir semalam menerusi acara silat olahraga kategori Putra A (Mohamed Fikry Mohamed Noh), Putri B (Nurul Jannathul Atikah Mohammad Azmi), Putra F (Muhammad Fahmi Romli) dan Putra E (Sh Mohamad Khuzairi Sh Abd Hamid).

Suzy pantas meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan anak buahnya itu selain mengekalkan tradisi sebagai kuasa besar seni silat tanah air.

"Kali ini pesilat kami berada di tahap terbaik walaupun juara sebelum ini tidak dapat beraksi kerana melepasi had umur dibenarkan.

"Kami masih lagi mempunyai pelapis berbakat dan mereka semua mempamerkan persembahan cemerlang," katanya.

Foto

PESILAT Pahang memperaga emas dimenangi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Khairul Azmi tuai emas sulung Kelantan

Posted: 29 May 2014 11:38 AM PDT

Pauh: Selepas seminggu temasya SUKMA bermula, Kelantan akhirnya berjaya memenangi emas pertama menerusi atlet memanah, Mohamad Khairul Azmi Hashim yang mengungguli acara 90 meter compound lelaki di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, semalam.

Bidikan emas Mohamad Khairul Azmi, 21, menjadi lebih bermakna apabila dia turut memecahkan rekod kejohanan yang dilakar Sharir Aizat apabila mengumpul 329 mata, lapan mata mengatasi rekod lama.

"Saya memang sasarkan tiga emas dalam acara memanah dan ini adalah yang pertama.

"Hari ini saya tidak berdepan banyak masalah dan beraksi tanpa tekanan.

Saya harap dapat mencapai sasaran peribadi pada temasya kali ini," katanya.

Dalam acara 70m recurve wanita, Nor Afisa Abd Jalil dari Negeri Sembilan turut meraih emas sambil memecahkan rekod SUKMA berusia 14 tahun dengan mengumpul 309 mata.

Dia yang menyertai empat acara dalam penampilan pertamanya menaruh keyakinan tinggi untuk menang walaupun sedar ramai lagi peserta handalan turut bersaing.

"Tidak ada banyak masalah ketika saingan, cuma saya terpaksa menahan rasa gementar yang boleh mengganggu tumpuan di final," katanya.

Keputusan lain menyaksikan Nurul Iryani Muda dari Terengganu muncul juara acara 70m compound wanita manakala Sabah memenangi perak dan gangsa.

Acara 90m recurve lelaki pula milik Muhamad Aidid Azizi Azmi dari Wilayah Persekutuan manakala perak dan gangsa dimenangi atlet Sabah dan Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Sung Dak pecah rekod SUKMA

Posted: 29 May 2014 11:27 AM PDT

Kangar: Satu lagi rekod baru SUKMA berjaya dicipta pada hari pertama acara olahraga yang membuka tirainya di Stadium Tuanku Syed Sirajuddin, semalam. Rekod itu dilakar dalam acara baling tukul besi lelaki menerusi atlet Sarawak, Inchael Sia Sung Dak (gambar) dengan lontaran sejauh 56.98 meter (m), memadam rekod milik Jackie Wong, 55.25m.

Atlet kelahiran Bintingor, Sarawak berusia 20 tahun itu menjadikan kata-kata semangat buah hatinya sebagai pembakar semangat untuk melakukan lontaran terbaik.

"Saya langsung tidak memikirkan mengenai rekod sebaliknya hanya mahukan pingat emas selepas hanya meraih perak di SUKMA Pahang.

"Ketika ingin melakukan balingan, saya menjadikan kata-kata semangat rakan terutama teman wanita saya sebagai azimat untuk cuba sebaik mungkin," kata atlet pelapis kebangsaan itu yang akan beraksi ke Sukan SEA Singapura tahun depan.

Pingat perak milik rakan senegeri, Jackson Wong Chuen Young (50.05m) dan gangsa Rizhan Rajmi dari Perlis (46.55m).

Dengan kejayaan meraih emas serta rekod baru kejohanan, Inchael bakal menerima insentif RM6,000 dari kerajaan negeri Sarawak hasil pencapaian berganda yang diraihnya dalam acara itu.

Sementara itu atlet Wilayah Persekutuan Yap Sean Yee, 19, menceriakan kontinjen apabila meraih emas menerusi acara lompat tinggi akhir wanita dengan lompatan 1.73 meter.

"Saya gembira kerana berjaya mempertahankan pingat emas dan catatan di sini juga lebih baik daripada SUKMA dua tahun lalu.

"Tetapi catatan 1.73 meter itu jauh lebih rendah berbanding catatan terbaik peribadi 1.78m yang juga rekod kebangsaan," katanya.

Acara 5,000m wanita pula dimenangi atlet Wilayah Persekutuan, Elena Goh (25 minit 59.38 saat), manakala Calvin Boon dari Pulau Pinang mengungguli acara 1,000m lelaki dengan catatan 34:38.70s.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Yi Wei tiada tandingan

Posted: 29 May 2014 11:26 AM PDT

Kangar: Penerjun kebangsaan Chew Yi Wei berjaya mempertahankan emas acara 3 meter (m) papan anjal lelaki di Pusat Akuatik, Komplek Sukan Negeri, semalam.

"Sudah dua tahun saya tidak menyertai kejohanan tempatan, kali terakhir di SUKMA Pahang.

Tambahan pula saya perlu pertahankan kejuaraan yang disandang sebelum ini," kata penerjun Selangoritu.

Yi Wei mencatatkan 389.65 mata untuk meraih emas sementara Muhammad Syafiq Puteh dari Perak menduduki tempat kedua diikuti penerjun Wilayah Persekutuan Hanis Nazirul Jaya Surya.

Bagi acara 3m terjun seirama wanita, pasangan Perak Kam Ling Kar dan Jasmine Lai Pui menggondol pingat emas mengumpul 254.94 mata diikuti Wilayah Persekutuan, Ong Ker Ying dan Megan Elizabeth Teoh, 206.52 mata.

Pingat gangsa dimenangi penerjun Sabah Nur Ain Nadzmi dan Nirfazruyanti Jali, 163.74 mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Daeng tebus kecewa

Posted: 29 May 2014 11:24 AM PDT

Kangar: Atlet Perlis, Daeng Dhadyry menebus kegagalannya di peringkat kumpulan apabila memenangi pingat emas acara individu boling padang di Pusat Lawn Bowls, Kompleks Sukan Negeri, semalam.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Derma itu menewaskan pemain Pulau Pinang, Muhammad Rizal Zakaria.

"Saya gunakan segala kelebihan untuk mengatasinya dan akhirnya berjaya," katanya.

Anak kelima dari enam beradik itu berkata, dia memulakan latihan sebelum ke SUKMA sejak dua tahun lalu dan di Pahang, dia memenangi gangsa acara individu dan perak empat sepasukan.

Atlet Perak, Mohammad Hafiz Mohd Isa dan atlet Terengganu, Amir Muhammad Zulfadhli Mohd Faizal berkongsi pingat gangsa.

Sementara itu bagi individu wanita, Siti Solehah Halim dari Kota Kinabalu, Sabah meraih pingat emas selepas mengalahkan Nor Dalila Azmi dari Perak manakala gangsa dimenangi atlet Wilayah Persekutuan, Nur Farhana Roziman dan atlet Johor, Maisarah Nasimin.

Selangor pula menjuarai acara empat sepasukan lelaki selepas menewaskan Johor sementara Perlis dan Terengganu berkongsi pingat gangsa.

Sarawak mendapat pingat emas empat sepasukan wanita selepas mengalahkan Terengganu diikuti Sabah dan Selangor memenangi gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Paprik ayam basi!

Posted: 29 May 2014 11:24 AM PDT

Kangar: Seramai 55 pegawai dan atlet hoki Sabah, Negeri Sembilan, Perak serta Kedah cirit birit dan muntah dipercayai akibat keracunan makanan selepas makan tengah hari di asrama penginapan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, semua mangsa mengalami cirit birit dan muntah selepas makan lauk ayam paprik yang dihidangkan sebagai makan tengah hari.

Difahamkan, makanan dipercayai basi itu disediakan katerer yang dilantik sempena majlis perasmian SUKMA.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ghazali Othman berkata, semua mangsa mendapatkan rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Kampung Wai dan disahkan mengalami keracunan makanan.

"Mereka diberikan rawatan pesakit luar dan tiada yang ditahan di wad.

Mereka adalah pegawai dan atlet hoki.

Keadaan mereka bagaimanapun dilaporkan tidak serius," katanya.

Menurut Dr Ghazali, pihaknya kini menyiasat kejadian itu termasuk mengambil sampel makanan lain daripada katerer terbabit.

"Pihak kami sudah membuka siasatan terhadat 55 kes membabitkan keracunan makanan itu dan sedang meneliti sampel yang diambil bagi mengesan punca keracunan.

"Tiada kes lain direkodkan hingga kini dan semua sampel makanan termasuk makan tengah hari dan makan malam diambil bagi tujuan siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

'Kami belum sedia'

Posted: 29 May 2014 11:22 AM PDT

Kelana Jaya: Teka-teki pengendali baru Harimau Malaya berterusan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum bersedia mengumumkan pengganti Datuk K Rajagobal yang tidak dilanjutkan kontrak penghujung tahun lalu.

Malah Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar) membayangkan ada kemungkinan calon lain dipertimbangkan walaupun badan induk sudah menyenarai pendek tiga calon sebelum ini.

Tiga calon itu adalah bekas jurulatih Iraq, Wolfgang Sidka, bekas pemain Real Madrid dan Barcelona, Luis Milla bersama jurulatih Mozambique, Gern Engels.

"Kita tidak boleh umumkan kerana terdapat kekangan tertentu, jawatan ketua jurulatih negara akan diumumkan penghujung bulan depan atau awal Julai, mungkin juga ada calon lain selain tiga calon disenarai pendek itu.

Foto


"Ia termasuklah pengumuman mengenai exco yang bakal memimpin sejumlah jawatankuasa tetap di FAM selepas pemilihan barisan kepimpinan yang baru.


"Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (Presiden FAM) sudah mengarahkan saya meneliti perkara ini," kata Hamidin.

Sejak awal tahun ini, jawatan ketua jurulatih negara dipangku Datuk Ong Kim Swee yang juga ketua jurulatih bawah 23 tahun negara yang dilihat memberikan suntikan positif terhadap Harimau Malaya termasuk menewaskan Yemen 2-1 dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2015.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar kelmarin berharap FAM segera melantik pengendali baru skuad negara kerana Harimau Malaya akan beraksi di Piala AFF penghujung tahun nanti dengan saingan domestik juga semakin menghampiri penghujung sekali gus akan menyukarkan jurulatih baru membuat penilaian yang tepat terhadap pemain.

Sementara itu Hamidin menjelaskan FAM akan cuba mendapat satu tiket play-off kepada pasukan tempatan untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia 2015 namun mereka perlu memenuhi beberapa kriteria ditetapkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan menghantar permohonan untuk mendapatkan lesen sebelum 31 Oktober nanti.

"Kemungkinan besar peluang akan diberikan kepada juara Liga Super dan sekiranya mendapat lesen, keputusan terperinci akan diputuskan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

'Saya risau pengadil'

Posted: 29 May 2014 11:20 AM PDT

Johor Bahru: "Saya tidak risaukan pasukan Pahang, tetapi kualiti pengadil pada perlawanan itu harus bersikap terbuka dan tidak memihak mana-mana pasukan,"

Itu pandangan ketua jurulatih Bojan Hodak yang berharap pengadil perlawanan mampu mengadili aksi separuh akhir Piala FA membabitkan Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Pahang di Stadium Darulmakmur, malam ini dengan cekap dan tidak membuat keputusan meragukan.

"Perlawanan akan lebih menarik dan menghiburkan jika mutu pengadil memuaskan malah saya tidak risaukan pasukan Pahang, tetapi biarlah pengadil berkualiti mengawasi perlawanan.

"Kami sudah berdepan Pahang dalam tiga aksi lalu dan sebaik perlawanan berakhir, ada sahaja luahan tidak puas hati dengan mutu pengadilan dan saya berharap ia tidak berulang.

"Bukan sahaja Johor DT malah Pahang juga mahu mempamerkan aksi terbaik di depan ribuan penyokong dan kami akan beraksi dengan corak menyerang untuk memburu kemenangan," katanya.

Skuad Harimau Selatan itu bakal mempertaruhkan kelibat Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa mengemudi jentera serangan manakala barisan tengah diketuai Safiq Rahim bergandingan bersama Shakir Shaari sambil kapten Amri Yahyah dan Amirul Hadi Zainal akan bergerak di sayap kiri dan kanan.

Kekemasan benteng pertahanan Johor DT turut diperkuat kelibat Marcos Antonio dan Fadhli Shas menjadi tonggak utama menyekat penyerang berbisa skuad Tok Gajah, Matias Conti dan Dickson Nwakaeme.

Hodak menambah kemungkinan ada perubahan dalam kesebelasan utama bagi memantapkan pasukan tatkala penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan mengalami kecederaan namun tidak serius.

Tambahnya, dua penjaga gol, Norazlan Razali dan Mohd Al-Hafiz Hamzah sudah bersedia jika kelibat Izham terpaksa diketepikan.

"Kelibat Daudsu Jamaluddin dipertaruhkan untuk menyekat larian pantas R Gopinanthan yang dianggap berbahaya buat Pahang.

"Andai perlawanan diheret ke masa tambahan atau penentuan sepakan penalti, kami sudah bersedia tetapi saya yakin perlawanan itu akan berakhir dalam tempoh 90 minit," kata Hodak.

Foto

DIAZ (kanan) teraju jentera serangan Johor DT.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

No comments:

Post a Comment