Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kereta di bengkel bertukar besi buruk

Posted: 05 May 2014 12:04 PM PDT

Kajang: Seorang ibu tunggal terkejut apabila mendapati kereta Hyundai Getz miliknya bertukar menjadi 'besi buruk' selepas lebih sebulan dihantar ke sebuah bengkel membaiki kenderaan di Bandar Tun Hussien Onn, di sini.

Mangsa dikatakan menghantar keretanya di bengkel itu pada awal Februari lalu selepas enjin kenderaannya gagal berfungsi ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Normah, 39, berkata, dia meninggalkan keretanya untuk dibaiki tiga pekerja bengkel itu berusia lewat 20-an itu.

"Ketika itu hari sudah lewat petang dan saya perlu segera mengambil anak pulang dari sekolah. Tanpa berfikir panjang saya menyerahkan kereta untuk dibaik pulih.

Foto

NORMAH menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap bengkel berkenaan.


"Selepas memeriksa kereta saya itu, seorang mekanik memberitahu kereta itu mempunyai masalah brek dan meminta saya datang seminggu kemudian," katanya.


Menurutnya, dia bagaimanapun kecewa apabila kereta itu masih belum selesai dibaik pulih.

"Mekanik di bengkel itu mendakwa kereta perlu menjalani proses baik pulih enjin. Saya terpaksa bersetuju dan diarahkan datang semula seminggu lagi.

"Seperti dijanjikan, saya menghubungi mereka untuk bertanyakan keadaan kereta, namun pemilik bengkel berkenaan gagal dihubungi," katanya.

Normah berkata, dia bagaimanapun hanya datang semua ke bengkel itu pada minggu lalu untuk mengambil semula keretanya.

"Namun, saya terperanjat apabila mendapati kereta saya itu hanya tinggal kerangka.

"Mereka memberi alasan enjin dan komponen pentingi kereta saya dihantar ke pekan Kajang untuk pemeriksaan lanjut. Malah, saya diugut apabila mempersoalkan tindakan mereka itu," katanya.

Menurutnya, pemilik bengkel itu bukan saja memarahi saya, malah turut menggunakan kata-kata kesat dan memaki hamun.

Normah berkata, dia juga diarahkan untuk melangsaikan bayaran lebih RM5,000 untuk proses baik pulih berkenaan.

"Saya minta mereka mengeluarkan resit dan bukti pemeriksaan dijalankan untuk rujukan namun mereka tidak mengendahkan permintaan itu.

"Sehingga kini pemilik bengkel itu bukan saja gagal dihubungi, malah kereta saya juga gagal dikesan," katanya yang mengesyaki bengkel itu sudah melerai dan menjual komponen keretanya.

Susulan itu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Batu 9, Cheras, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

Mangsa lemas tersangkut batu

Posted: 05 May 2014 12:02 PM PDT

Kuala Kubu Bharu: Percutian pasangan suami isteri warga India di Air Terjun Sungai Chiling di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui mati lemas dan tersangkut pada batu petang kelmarin.

Difahamkan, mayat wanita dikenali sebagai Kedrthana Karahali Anandatpa, 22, ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang oleh suaminya pada jam 8.45 malam kelmarin.

Cuaca gelap selain faktor muka bumi menyebabkan usaha membawa keluar mayat mangsa mengalami sedikit kesukaran dan mengambil masa selama enam jam untuk sampai ke kawasan selamat.

Suami mangsa dikenali sebagai Umis, 20-an, bagaimanapun dilaporkan selamat manakala mayat isterinya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Foto

KEDRTHANA berkemungkinan tergelincir sebelum dihanyutkan arus.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Penolong Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa datang untuk bermandi-manda di air terjun itu bersama suaminya, kira-kira jam 1 tengah hari petang kelmarin.


"Ketika sedang mandi di lokasi kejadian, kita tidak menolak kemungkinan mangsa tergelincir atau berada di kawasan dalam hingga menyebabkannya tenggelam dan lemas sebelum dihanyutkan arus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

Rentung dalam kebun

Posted: 05 May 2014 12:00 PM PDT

Kuala Terengganu: Kerunsingan seorang wanita warga emas menanti kepulangan suami bertukar pilu apabila lelaki itu ditemui rentung berhampiran kebun kelapa sawit di Kampung Tok Fakir, Merchang, Marang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Wan Abdullah Wan Ibrahim, 95, dipercayai terperangkap dalam kebakaran di kebun kelapa sawit itu ketika membaiki pagar kandang lembu.

Cucunya, Azmi Damat, 38, berkata, neneknya Mek Ismail, 80, yang runsing memikirkan datuknya tidak pulang, meminta bantuan dia dan dua ahli keluarga lain untuk mencari di kebun yang terletak hampir 500 meter dari rumah.

Katanya, sebaik tiba dia terkejut melihat datuknya tertiarap dalam abu ranting kayu yang baru terbakar dan keadaannya hampir rentung.

Foto

WAN Abdullah mati akibat terperangkap dalam kebakaran.

Foto

WAN Abdullah


"Hampir seluruh wajahnya hangus manakala kedua-dua tangannya bengkok mungkin disebabkan sudah lama berada dalam api.


"Tanpa berlengah saya bergegas meminta bantuan ahli keluarga dan penduduk yang berdekatan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, kelmarin.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

Coli jejak wanita berkemban atas loteng

Posted: 05 May 2014 11:57 AM PDT

Jitra: Penemuan sehelai coli dalam sebuah rumah dihuni seorang lelaki warga Indonesia membongkar kehadiran seorang wanita yang ditemui bersembunyi di atas loteng dalam serbuan Jabatan Imigresen Kedah di Kampung Teluk Nibung, di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, pada mulanya lelaki berusia 40 tahun itu mendakwa tinggal bersendirian di rumah sewa berkenaan sebelum anggota penguat kuasa menggeledah berikutan menemui pakaian dalam wanita.

Timbalan Penolong Pengarahnya Othman Mat berkata, pemeriksaan mendapati wanita berusia 30-an itu ditemui dalam keadaan berkemban bersembunyi atas loteng bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana menetap lebih masa di mana boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Kami juga menahan lelaki yang tinggal bersama wanita terbabit atas kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana melindungi warga asing.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 bagi setiap orang yang dilindungi," katanya.

Dalam operasi selama empat jam bermula jam 12 tengah malam disertai 10 anggota penguat kuasa terbabit membuat pemeriksaan ke atas 20 warga asing terdiri daripada warga Indonesia di tiga lokasi berasingan termasuk sebuah bangunan rumah kedai di Alor Setar.

Othman berkata, pihaknya mendapati 18 daripadanya termasuk seorang kanak-kanak perempuan dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mengesan empat lelaki dan dua wanita termasuk seorang kanak-kanak didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Foto

WANITA warga Indonesia yang ditemui di atas loteng yang dihuni seorang lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

Merajuk ditegur anak

Posted: 05 May 2014 11:56 AM PDT

Jitra: Hanya kerana merajuk dengan teguran anak, seorang wanita warga emas keluar dari rumahnya di Kampung Pulau Nyior, Jalan Kodiang, di sini, dan masih gagal dikesan ahli keluarganya sejak seminggu lalu.

Kehilangan Zaiton Mat, 56, disedari anak perempuan sulungnya, Zawiyah Teh, 34, ketika pulang dari tempat kerja jam 2 petang pada 30 April lalu apabila mendapati ibunya tiada dalam bilik.

Zawiyah berkata, ibunya tinggal bersama selepas kematian bapa mereka beberapa tahun lalu, malah kesihatannya ibunya juga terganggu disebabkan faktor usia.

Katanya, dia percaya ibunya merajuk akibat terkilan selepas tindakan adiknya, Siti Asmah, 24, yang lembam menegur disebabkan memakai kasut dalam rumah hingga keadaan berpasir.

"Mungkin disebabkan itu hati ibu tersentuh dan keluar dari rumah kerana sebelum ini kami tidak pernah berselisih faham dengannya.

"Puas kami mencarinya di sekitar kampung termasuk rumah sanak saudara, tetapi gagal mengesannya lalu membuat laporan kehilangan di Balai Polis Jitra jam 9.30 malam pada hari sama," katanya, semalam.

Zawiyah berkata, lebih membimbangkan apabila ibunya tidak membawa MyKad, malah turut memakai rantai leher emas bernilai RM2,000.

Katanya, mereka sekeluarga bimbang keselamatan ibunya kerana warga emas itu mudah lupa selain tidak ingat jalan untuk pulang.

"Sebelum ini dia pernah keluar rumah dengan menunggang basikal sehingga ke Perlis, tetapi mujur ada orang menghantarnya pulang ke rumah berdasarkan alamat pada Mykad," katanya.

Dia berharap orang ramai yang ternampak ibunya menghubungi mereka di talian 011-5348172 (Zaini), 019-4105685 (Sha), 019-4985089 (Yah) dan 012-4176040 (Nana).

Foto

ZAWIYAH menunjukkan poster mencari ibunya yang hilang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

No comments:

Post a Comment