Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


EMPAT MINIT PEMUSNAH

Posted: 04 May 2014 02:00 PM PDT

Skuad hoki negara melakar sejarah baru walaupun sekadar menduduki tempat ketiga pada kejohanan Cabaran Juara-Juara 1, malam tadi.

Anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang terkandas pada separuh akhir kelmarin tampil bertenaga untuk menewaskan Ireland 4-2 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Ia mengatasi pencapaian 2001 dan 2012 apabila skuad negara menduduki tempat keempat namun kemenangan malam tadi hanya hadir ketika saingan berbaki empat minit.

Kapten negara, Azlan Misron memulakan kebangkitan dengan gol padang pada minit ke-66 sebelum serangan pantas Faizal Saari berjaya disudahkan Firhan Ashari pada minit akhir.

"Kami cuba memberi motivasi kepada pemain selepas terkandas pada separuh akhir dengan kejayaan akan membantu membaiki ranking Malaysia (kedudukan ke-13 dunia).

"Ternyata mereka bermotivasi apabila meledak dua jaringan awal namun turut memberikan dua gol kepada lawan dan mencetuskan keadaan berbahaya.

Namun kemenangan yang diraih ini memberikan sedikit rasa bangga kerana ia permulaan penting kepada kami bagi Piala Dunia hujung bulan ini," kata Dhaarma.

Dhaarma menjelaskan beliau kurang senang dengan sebahagian besar pemain terutamanya bahagian pertahanan yang akan menjadi perhatiannya sebelum ke Belanda.

Beliau mengakui pertahanan skuad negara tidak mantap dan ada kalanya disifatkannya sangat teruk sepanjang kejohanan ini.

"Saya harap pertahanan negara Razie (Abd Rahim) akan pulih dan kembali.

Mungkin dengan adanya dia, kami tidak akan memberikan pukulan sudut penalti dan terperangkap dalam serangan balas yang tidak sepatutnya.

Foto


Ada kesilapan yang boleh dielakkan," ujarnya.

Skuad negara bermula dengan baik apabila mendahului dua gol menerusi pukulan penalti Ahmad Kazamirul Nasruddin (minit ketujuh) dan jaringan padang Muhammad Rashid Baharom (minit ke-11) untuk memulakan rentak positif memburu kedudukan ketiga.

Lawan yang berada di ranking ke-15 dunia bagaimanapun tetap bersemangat dengan melancarkan serangan bertali-arus memburu gol.

Ia berhasil apabila Paul Gleghorne memulakan rentak jaringan lawan pada minit ke-22 ketika anak buah Dhaarma seperti hilang punca dan Chris Cargo menyamakan kedudukan buat Ireland apabila menjaringkan gol pada minit ke-43 sebelum pemain negara bangkit pada lewat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Gol tunggal Giroud julang Gunners

Posted: 04 May 2014 08:50 AM PDT

London: Olivier Giroud menjaringkan gol ke-16 peribadinya musim ini ketika membantu Arsenal mengukuhkan cengkaman di tangga keempat liga - slot terakhir ke Liga Juara-Juara selepas menundukkan West Bromwich Albion 1-0 di Stadium Emirates, malam tadi.

Sebelum turun bermain, skuad kendalian Arsene Wenger itu sudah pun mengesahkan kedudukan selaku pasukan terakhir Liga Perdana Inggeris yang bakal beraksi di Liga Juara-Juara musim depan selepas pesaing terdekat, Everton tumbang 2-3 di tangan Manchester City, kelmarin dan kejayaan ke atas West Brom yang menduduki tangga ke-16 liga itu melengkapkan lagi malam gemilang Gunners.

Giroud menanduk masuk hantaran lintang yang dilakukan Santi Carzola pada minit ke-14.

Carzola hampir menambah kelebihan tuan rumah pada minit ke-34 tetapi cubaannya selepas menerima hantaran Lukas Podolski sedikit tersasar di sebelah kiri gawang West Brom yang dikawal Ben Foster.

Sebelum itu, West Brom turut mempunyai peluang menerusi Saido Berahino tetapi rembatannya melewati palang.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi tidak ada percubaan yang boleh dianggap baik hinggalah pada minit ke-71 apabila rembatan kaki kiri pemain tengah West Brom, Morgan Amalfitano terkena benteng pertahanan Gunners.

Sepuluh minit kemudian, Mesut Ozil hampir menjaringkan gol kedua Arsenal tetapi rembatannya ke arah penjuru kiri gawang West Brom diselamatkan Foster.

Kedudukan 1-0 kekal hingga akhir permainan dan meskipun Arsenal menguasai lebih 60 peratus perlawanan termasuk melakukan 13 percubaan ke arah gawang West Brom, mereka tetap gagal menghasilkan gol tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

REDS TIADA PILIHAN

Posted: 04 May 2014 08:50 AM PDT

Selepas melihat Manchester City mengambil alih takhta Liga Perdana Inggeris, Liverpool pasti tidak mempunyai pilihan selain perlu menang apabila bertandang ke Crystal Palace, awal pagi esok.

Impian Liverpool menjulang Liga Perdana musim ini sedikit terjejas apabila mereka tewas 0-2 di tangan Chelsea hujung minggu lalu dan tersingkir ke tangga kedua apabila City menewaskan Everton 3-2, kelmarin.

Kejayaan City di Goodison Park bermakna mereka berpeluang memenangi gelaran musim ini dengan syarat perlu menang baki dua perlawanan menentang Aston Villa dan West Ham.

Mereka kini memiliki kelebihan jaringan berbanding Liverpool tetapi walaupun dipisahkan dengan sembilan gol, tidak mustahil anak buah Brendan Rodgers mampu melakar kejutan.

Liverpool gagal menembusi benteng pertahanan Chelsea minggu lalu walaupun mencatat 73 peratus penguasaan tetapi Rodgers pantas melaungkan amaran perkara itu tidak akan berlaku lagi.

"Anda pasti menerima kritikan sebegitu gara-gara tidak menjaringkan gol ketika menguasai sebahagian besar perlawanan.

Ia perkara biasa yang sudah saya hadapi sejak mula-mula bergelar jurulatih," katanya.

"Kami seolah-olah hilang sabar ketika menentang Chelsea dan kami melakukan banyak serangan.

Tapi ia sebenarnya bagus untuk kami kerana mulai musim depan, kami akan mengamalkan corak permainan sebegitu dan kami akan turut melakukannya pada Liga Juara-Juara.

"Itulah yang mahu kami tingkatkan.


Ia kekuatan kami.


Apa yang saya banggakan mengenai pemain saya adalah mereka cepat belajar.

"Pemain saya sedar mereka beraksi baik pada sebahagian besar perlawanan musim ini tapi kami cuma hilang sabar pada 20 minit terakhir aksi menentang Chelsea.

Bagi saya, ia perkara biasa terutama ketika menentang pasukan teratas.

"Saya sudah beberapa kali mengingatkan pemain kami tidak sempurna.

Perkara sebegitu akan membantu peningkatan kami."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Tak konsisten punca Red Devils merosot

Posted: 04 May 2014 08:50 AM PDT

Manchester: Pengurus sementara Manchester United, Ryan Giggs (gambar) mengakui pengganti David Moyes akan berdepan tugas sukar untuk mengembalikan imej juara Liga Perdana Inggeris itu musim depan.

Louis van Gaal yang akan mengemudi Belanda pada Piala Dunia Brazil, disebut-sebut sebagai pengganti Moyes dan khabar angin mengatakan beliau akan dilantik secara rasmi esok.

Namun selepas aksi kedua Giggs selaku pengurus berkesudahan dengan kekalahan 0-1 di tangan Sunderland kelmarin, kekalahan ketujuh United di tempat sendiri musim ini, pemain sayap Wales itu mengakui pasukannya sudah kehilangan taraf selaku pasukan elit.

"Anda perlu sentiasa meningkat," kata Giggs.

"Jika kekal konsisten, anda pasti memenangi piala dan kami langsung tidak mampu untuk berbuat demikian musim ini.

"Itulah yang menjadi masalah utama yang perlu diselesaikan musim depan.

"Saya percaya kami masih ada kualiti tapi kami tidak mampu menunjukkannya malam ini (kelmarin).

"Kami tidak konsisten musim ini.

Selagi tidak menunjukkan kualiti itu, kami akan terus mendapat keputusan mengecewakan dan itulah yang paling menjejaskan pasukan.

"Saya percaya kekuatan pasukan masih ada.

Mereka sudah menunjukkannya minggu lalu tapi tidak minggu ini.


Sama ada ia disebabkan kurang yakin atau tumpuan, saya tidak tahu." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Belum masanya

Posted: 04 May 2014 08:48 AM PDT

Manuel Pellegrini enggan mendabik dada apabila mengakui masih banyak perlu dilakukan Manchester City sebelum merangkul gelaran juara kedua dalam tempoh tiga tahun meskipun peluang mereka kini dilihat semakin cerah.

City melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak awal Februari lalu dengan kemenangan 3-2 ke atas Everton, kelmarin.

Peluang mereka tampak kabur apabila kalah di Liverpool dan seri di laman sendiri dengan Sunderland namun tiga kemenangan berturut-turut serta kemenangan Chelsea di Anfield baru-baru ini membolehkan impian City kembali terbuka.

Kunjungan City ke Goodison Park dilihat pembuka peluang buat City tetapi Pellegrini sudah mengingatkan pemainnya sebaik tamat perlawanan kelmarin supaya tidak keciciran mata.

"Ia ujian besar buat kami tapi saingan masih belum berakhir," kata pengurus City itu.

"Kami cuma menang satu daripada tiga baki perlawanan yang mesti kami menangi bagi meraih kejuaraan," jelas Pellegrini.

"Ia perlawanan yang amat sukar kerana anda boleh lihat sejarah City di sini iaitu hanya dua kemenangan dalam 10 tahun.

Everton pula dalam prestasi terbaik dan mereka bermain dengan baik jadi kemenangan ini sangat penting.

"Saya bercakap dengan pemain terutama selepas kami kalah dengan Liverpool dan saya memberitahu mereka saingan merebut kejuaraan masih belum berakhir dan kami perlu terus berjuang." Selepas Ross Barkley menghadiahkan gol pendahuluan Everton menerusi rembatan padu, Sergio Aguero kembali menyamakan kedudukan untuk City sebelum Edin Dzeko menanduk masuk gol kedua sebelum tamat babak pertama.

Dzeko menghasilkan gol kedua peribadi dalam perlawanan itu apabila menolak masuk bola hantaran lintang Samir Nasri namun Romelu Lukaku menyudahkan hantaran Leighton Baines untuk memberi tekanan kepada City pada beberapa minit terakhir perlawanan di Merseyside.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Lewandowski ucap selamat tinggal

Posted: 04 May 2014 08:47 AM PDT

Berlin: Robert Lewandowski sudah beraksi buat kali terakhir bersama Borussia Dortmund di halaman sendiri dan berazam mahu menewaskan bakal majikannya, Bayern Munich pada final Piala Jerman, 17 Mei ini.

Lewandowski gagal mencipta jaringan ketika Borussia menang 3-2 ke atas Hoffenheim kelmarin dan Dortmund dilihat akan menamatkan musim ini selaku naib juara Bundesliga di belakang Bayern.

Lewandowski akan beraksi untuk Bayern musim depan dan pemain Poland itu akan mewakili Dortmund dua perlawanan lagi musim ini, di Hertha Berlin Sabtu ini dan final Piala Jerman.

Pemain berusia 25 tahun itu mendapat tepukan gemuruh penyokong di Westfalenstadion selepas menjaringkan 72 gol peringkat liga sepanjang 130 perlawanan sejak empat tahun di Dortmund dan dia berazam menjulang Piala Jerman bersama kelab itu.

"Saya selalu mengimpikan untuk meninggalkan mana-mana pasukan dengan gelaran," kata Lewandowski.

"Saya mahu mengambil kesempatan ini dengan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak.

"Saya tidak sangka masih mendapat sokongan peminat walaupun saya akan meninggalkan kelab." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Insiden keganasan cemari final

Posted: 04 May 2014 08:46 AM PDT

Rome: Napoli yang beraksi dengan 10 pemain, muncul juara Piala Itali buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun selepas menundukkan Fiorentina 3-1 di Stadium Olimpik, awal pagi semalam.

Beberapa insiden keganasan dilaporkan berlaku sebelum perlawanan akhir itu dan laporan tidak rasmi menyebut sekurang-kurangnya empat penyokong dirawat di hospital selepas terkena tembakan.

Penyokong fanatik Napoli dilihat membaling mercun roket ke arah padang selain turut meminta Napoli tidak bermain selepas tersebarnya khabar angin mendakwa salah seorang penyokong mereka maut akibat ditembak.

Selepas kapten Napoli, Marek Hamsik berbincang dengan ketua kumpulan penyokong mereka, perlawanan itu berjaya diteruskan tetapi lewat 45 minit daripada jadual asal.

Napoli menjaringkan dua gol dalam tempoh 16 minit menerusi Lorenzo Insigne sekali gus menceriakan penyokong yang sebelum itu menunjukkan tanda-tanda untuk terus mengganas.

Napoli menjaringkan gol ketiga selepas Insigne menyempurnakan hantaran lintang Gonzalo Higuain dan pemain kebangsaan Itali itu menewaskan penjaga gol Fiorentina, Neto.

"Dia pasti beraksi pada Piala Dunia.

Tidak ada masalah," kata jurulatih Napoli, Rafael Benitez ketika ditanya mengenai kemungkinan Insigne dipilih mewakili Itali ke Brazil.

"Ia perlawanan yang hebat.

Ia kelihatan mudah pada mulanya tapi kami perlahan-lahan ditekan.


Walaupun terpaksa bermain dengan 10 pemain, kami berjaya bertahan dengan baik dan pemain saya berhak mendapat pujian." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Impian lebur

Posted: 04 May 2014 08:46 AM PDT

Harapan Barcelona untuk mengekalkan kejuaraan La Liga musim ini sudah boleh dianggap musnah selepas diikat dengan keputusan seri 2-2 ketika menentang Getafe pada perlawanan di Nou Camp, awal pagi semalam.

Kelab Catalunya itu kini mengekori pendahulu, Atletico Madrid dengan tiga mata sambil berbaki dua perlawanan manakala Real Madrid tiga mata di belakang mereka tetapi masih mempunyai tiga perlawanan di tangan berbanding Barca.

Lionel Messi membuka jaringan tetapi Barca gagal mengekalkan pendahuluan apabila Angel Lafita menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama.

Juara bertahan itu meningkatkan permainan selepas rehat dan kembali di depan menerusi Alexis Sanchez 23 minit sebelum tamat.

Bagaimanapun, Lafita sekali lagi menjaringkan gol hasil hantaran lintang Jaime Gavilan pada masa kecederaan.

"Kami melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan pemain profesional," kata pemain tengah Barca, Sergio Busquets.

"Masih ada dua perlawanan dan kami akan cuba mempertahankan maruah kami kerana secara matematik, gelaran liga sudah terlepas daripada genggaman.

Kami harap musim depan semua akan berubah." Jurulatih Gerardo Martino turut mengaku kesilapan yang mereka lakukan tidak boleh diterima apatah lagi perlawanan itu berlangsung di tempat sendiri menentang pasukan yang bergelut di kelompok bawahan.

"Realitinya, keputusan ini tidak seperti yang kami jangkakan," katanya.

"Kami berpeluang untuk memenangi liga tapi kami gagal.

Ia bukan kerana kami tidak menang tapi ia berlaku disebabkan kesilapan sendiri.


Hari ini, kesalahan kami memakan diri sendiri."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Mayweather kekal gelaran WBC

Posted: 04 May 2014 08:45 AM PDT

Las Vegas: Floyd Mayweather menang perlawanan 12 pusingan menentang Marcos Maidana semalam sekali gus mencatat rekod bersih 46-0 sepanjang kariernya selaku peninju kategori welterweight dunia.

Peninju Amerika Syarikat berusia 27 tahun itu mengekalkan gelaran Majlis Tinju Dunia (WBC) selain merampas tali pinggang Persatuan Tinju Dunia (WBA) milik Maidana selepas dua daripada tiga juri sependapat Mayweather harus dinobat selaku pemenang.

"Ia perlawanan yang sengit," kata Mayweather.

"Saya berjaya mengekalkan tumpuan dan melakukan beberapa tumbukan baik." Mayweather yang dilabel selaku pilihan pada perlawanan itu, menerima 117 mata berbanding 111 dan 116 berbanding 112.

Juri ketiga memberikan mata sebanyak 114 kepada kedua-dua peninju.

Mayweather tidak menang dengan keputusan sebulat suara seperti yang dijangka peminat selepas Maidana dilihat enggan mengalah dan memberikan tentangan cukup hebat.

Maidana dari Argentina yang mempertahankan gelarannya buat kali pertama, tewas kali keempat sepanjang kariernya.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Marquez tetap unggul

Posted: 04 May 2014 08:45 AM PDT

Juara dunia, Marc Marquez meneruskan permulaan cemerlang musim ini dengan memenangi Grand Prix Sepanyol di Litar Jerez, semalam.

Pelumba berusia 21 tahun itu muncul juara perlumbaan ke-36 baginya sepanjang 100 perlumbaan yang disertainya setakat ini.

Juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi menduduki tangga kedua sambil diekori Dani Pedrosa.

Marquez yang menang semua tiga perlumbaan Grand Prix sebelum ini, semakin menjarakkan diri dengan pesaing terdekat, Ped rosa dan mengumpul lebih 28 mata berbanding lawannya itu.

Dia muncul pelumba pertama sejak Mick Doohan menang semua empat perlumbaan awal musim pada 1992 dan kejayaannya di Jerez juga adalah yang pertama sepanjang kariernya.

"Ia kemenangan istimewa buat saya kerana saya tidak pernah menang di sini sebelum ini.

Hari ini (semalam) saya berjaya menjarakkan diri dengan pelumba lain walaupun pada hakikatnya, kemampuan kami adalah sama," kata Mar quez.

Terdahulu, penunggang Finland, Mika Kallio mengungguli perlumbaan Moto2 selepas mengatasi pelumba Switzerland, Dominique Aegerter dan Jonas Folger dari Jerman manakala Romano Fenati menjuarai perlumbaan Moto3 di depan Efren Vaz quez dan Alex Rins.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

No comments:

Post a Comment