Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Rintihan ibu cari anak OKU

Posted: 08 May 2014 12:17 PM PDT

Shah Alam: Seorang ibu merayu mana-mana individu yang melihat atau terjumpa anak lelakinya, Imran Md Johari, 23, yang juga orang kelainan upaya (OKU) agar menghubunginya segera.

Ibu berkenaan, Rasidah Ghani, 59, berkata, anak kesembilannya itu hilang dari rumah mereka di Padang Jawa, di sini sejak 24 April.


Katanya, sebelum hilang, dia ada melihat anaknya itu bersiar di luar rumah dan ketika memanggilnya masuk ke dalam rumah, anaknya itu terus menghilangkan diri. "Sebaik saya memanggil namanya, anak saya itu terus berlari dan meninggalkan rumah. Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana kebiasaannya anak saya akan pulang semula ke rumah walaupun lewat.

"Sebelum ini, anak saya itu pernah tidak pulang selama lima hari kerana pergi ke rumah saudara di Jalan Kebun Klang, tetapi kerana lupa jalan pulang, anak saya itu tinggal di situ dan kehadirannya dimaklumkan saudara kepada kami," katanya.


Menurutnya, anaknya yang juga menghidap penyakit mental ketika berusia 15 tahun itu, sering berjalan dan merayau berseorangan.


Katanya, laporan sudah dibuat di Balai Polis Seksyen 15 dan meminta orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat mengenai anaknya itu menghubungi keluarga itu di talian 018-2500280 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Foto

RASIDAH merayu orang ramai mencari anaknya yang tidak pulang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

'Tuntutan biar munasabah'

Posted: 08 May 2014 11:13 AM PDT

Shah Alam: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini semalam mengarahkan lima sekeluarga dan juga agensi pelancongan Dasree Travel and Tours (DTT) mengadakan perbincangan semula bagi mencari jalan penyelesaian terbaik tanpa membabitkan tribunal berkaitan tuntutan ganti rugi sebanyak RM125,000 dibuat kelima-lima individu berkenaan terhadap DTT.

Lima sekeluarga terbabit yang diwakili Othman Ahmad, 67, membuat tuntutan sebanyak RM25,000 setiap seorang dengan mendakwa DTT melanggar perjanjian kontrak pakej Umrah dan Ziarah Baitulmaqdis selepas kunjungan mereka dipendekkan daripada 14 hari kepada 12 hari pada 7 Februari lalu.


Presiden TTPM Maznah Haron bagaimanapun berkata, tuntutan dibuat keluarga berkenaan sebanyak RM25,000 setiap seorang terhadap DTT adalah melampaui kos yang dikeluarkan setiap individu terbabit yang hanya membayar RM8,200.

Beliau berkata, melalui TTPM, pengguna hanya boleh menuntut kerugian kos dan bukannya ganti rugi terhadap kesan serta akibat daripada kerugian kos berkenaan.


"Tuntutan kerugian kos yang ingin dibuat perlulah diperincikan dengan nilai yang munasabah. Selain itu, alasan tuntutan juga mestilah kukuh dan memerlukan pembuktian yang lengkap.


"Pengguna juga harus tahu, TTPM hanya boleh menyelesaikan tuntutan berkenaan barang dan perkhidmatan sahaja, apa-apa yang tidak boleh dinilai seperti ganti rugi am, ganti rugi khas, dan juga teladan adalah di luar bidang kuasa tribunal," katanya kepada kedua-dua pihak, di sini, semalam.

Beliau kemudian memutuskan tuntutan akan didengar semula pada 27 Mei ini.


Sementara itu, Pengarah Urusan DTT Zulkifli Wan Ahmad, 42, ketika ditemui selepas perbicaraan berkata, pihaknya akan mengemukakan saman malu terhadap lima sekeluarga terbabit kerana cuba mencalarkan imej agensinya yang telah beroperasi lebih 20 tahun itu.

"Tiada apa yang perlu dibincangkan lagi kerana mereka tidak pernah menghubungi saya mahupun syarikat sebelum membawa perkara ini kepada tribunal pengguna.


"Tuntutan yang dibuat juga tidak berasas kerana mereka tidak terkandas di mana-mana dan polisi syarikat kami juga berhak membuat sebarang perubahan tanpa notis semasa program berjalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Tiga pemilik premis didakwa

Posted: 08 May 2014 11:06 AM PDT

Seremban: Tiga pemilik premis termasuk hotel dan sekolah di negeri ini bakal didakwa di mahkamah selepas didapati gagal mematuhi peraturan keselamatan kebakaran ditetapkan dan tidak memiliki sijil perakuan bomba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Norazam Khamis berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan berkaitan perkara terbabit.


"Kita jangka dalam masa sebulan, kita akan dakwa pemilik premis terbabit antaranya hotel di Port Dickson kerana ingkar mematuhi peraturan keselamatan kebakaran biarpun sudah dikeluarkan notis," katanya dalam sidang media selepas Kempen Derma Darah Sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2014 di pasar raya Aeon Seremban 2, dekat sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

'Kami bukan wanita murahan'

Posted: 08 May 2014 11:03 AM PDT

Kuala Lumpur: "Sudahlah (segelintir) orang pandang hina pada ibu tunggal dan janda seperti saya. Bila mereka buat begini, lagilah orang anggap janda ini murahan, jijik dan low class (kelas bawahan)."

Demikian luahan dramatis popular, Rita Rudaini berhubung tindakan individu tidak dikenali yang menyebarkan nombor telefon palsu 10 janda berhias membabitkan golongan artis popular termasuk dirinya di Internet dan aplikasi sosial.


Ketika dihubungi semalam, Rita atau Rita Rudaini Mokhtar, 38, mengakui pelik dengan mentaliti dan pertimbangan pihak yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Tak tahu kenapa mentaliti orang kita masih tak berubah terhadap golongan janda dan ibu tunggal. Bila ditambah begini, lagilah buruk kesannya.


"Marah memang marah sebab sedikit sebanyak jatuhkan maruah kita walaupun benda itu tak betul," katanya.


Selain Rita, sembilan lagi selebriti yang menjadi mangsa adalah aktres Erra Fazira, Nora Danish, Sarimah Ibrahim, Maya Karin, Jasmin Hamid, Nabila Huda, Noniswara dan penyanyi Fauziah Latiff.

Mesej yang tertera nombor telefon palsu semua selebriti itu bertujuan mempersenda dan mengaibkan mereka tersebar luas di Internet sehingga menarik perhatian ramai baru-baru ini.


Rita berkata, tindakan itu hanya dilakukan individu yang mempunyai masalah jiwa atau otak saja.

"Benda macam ini hanya orang psiko saja buat. Orang normal takkan terfikir buat benda yang mengarut dan tak ada ada masa buat macam ini.


"Tapi bagi orang psiko macam ini mungkin dia puas tengok bila orang ketawa dengan mesej macam itu," katanya.


Rita juga berasa pelik dengan sikap segelintir pihak yang mengambil kesempatan atas kesedihan atau kekurangan dilalui ibu tunggal sepertinya.


Katanya, walaupun ia tidak betul, tetapi penyebaran maklumat palsu itu boleh mengelirukan sesetengah pihak.


"Kalau orang yang berfikiran jauh tahu ini tipu, tapi tak semua berfikiran panjang.


"Kalau yang berfikiran rendah tentu akan percaya dengan gurauan begini sebab sesetengah orang memang mudah percaya contohnya gosip walaupun benda belum tentu betul," katanya.


Manakala, Erra pula berkata, mendoakan individu terbabit mendapat kesedaran atas perbuatan tidak berfaedah yang dilakukannya.


"Semoga Allah SWT membersihkan jiwa individu itu yang punya banyak kelapangan ini. Jika dia seorang lelaki dan jahil mengenai perasaan seorang wanita, dia harus ingat dia mungkin ada kakak, adik atau anak perempuan.


"Jadi berfikir panjanglah sebelum mengaibkan orang lain. Takut Allah buka aib kita pula nanti, wallahualam," katanya.


Sementara itu, penyampai radio Sarimah berkata, tindakan itu adalah kebudak-budakan dan tidak meninggalkan kesan kepadanya.


"Nombor itu pun tak betul dan palsu. Ada yang bersikap kebudak-budakan untuk mencari publisiti.


"Saya rasa sesetengah memang bosan dan bersikap kebudak-budakan dan selalunya memang begitu.


"Bagi mereka, itu satu bentuk hiburan. Ini benda mengarut dan kebudak-budakan tetapi tak ada kesan kepada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

ABPBH2013 berlangsung 24 Mei

Posted: 08 May 2014 11:02 AM PDT

Putrajaya: Malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH2013) akhirnya diumumkan berlangsung pada 24 Mei ini di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, selepas ditangguhkan akibat kehilangan penerbangan MH370.

Masih kekal bertemakan Magis Alam, majlis anugerah berprestij ini disiarkan secara langsung di TV3 jam 9 malam.


Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH) merangkap Penaung ABPBH2013 Mahfar Ali berkata, malam kemuncak gilang -gemilang itu sepatutnya berlangsung 6 April lalu di Arena Of Stars Genting Highlands, tetapi ditangguhkan sebagai menghormati tragedi MH370.

"Apapun, penundaan tarikh dibuat itu juga memberi peluang untuk BH sebagai penganjur bekerjasama buat kali pertama dengan pengurusan PICC," katanya.


Mahfar berkata BH merakamkan setinggi penghargaan kepada PICC di atas sokongan dan kerjasama sebagai penaja lokasi malam kemuncak ABPBH2013 kali ini.


Menurutnya, kedudukan lokasi yang strategik membuatkan PICC juga dipilih kerana imej 'classy' yang bersesuaian dengan malam kemuncak itu.

Hadir sama pada majlis sidang media pengumuman di PICC, di sini, semalam ialah Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat, Pengarang Bersekutu Edisi BH2 dan Hiburan merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH2013, Hanizam Abdullah dan Pengarang Hiburan BH merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH2013, Shamshul Azree Shamshir.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

No comments:

Post a Comment