Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Panik kereta terbakar

Posted: 02 May 2014 12:44 PM PDT

Kuala Lumpur: Empat lelaki warga Afrika kelam-kabut meninggalkan kenderaan yang dinaiki sejurus menyedari enjin kereta model Proton Pesona itu terbakar berhampiran Lebuh raya Mahameru menghala ke Petaling Jaya, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, keempat-empat lelaki berusia 20-an yang juga penuntut sebuah universiti dikatakan melanggar sebuah teksi menyebabkan bahagian depan kenderaan itu terbakar.

Seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Jamal, 23 berkata, dia yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Shah Alam bersama rakannya terkejut apabila melihat sebuah kereta terbakar di tepi jalan.

"Kejadian itu berlaku dengan pantas sebaik kereta berkenaan merempuh teksi, pemandu segera berhenti di tepi jalan kerana bahagian hadapan kereta berasap sebelum api menyambar keseluruhan kenderaan itu.

Foto

KERETA Proton Pesona milik mangsa yang terbakar.


"Empat lelaki di dalam kereta itu tergopoh gapah keluar menyelamatkan diri sebelum kereta mereka dijilat api," katanya.


Difahamkan, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu penuntut terbabit cuba menukar lorong sebelum melanggar sebuah teksi yang berada di lorong paling kanan lebuh raya menyebabkan teksi itu berpusing beberapa kali.

Teksi itu kemudiannya merempuh besi pembahagi jalan sebelum terbabas di bahu jalan manakala kereta Proton Pesona yang melanggarnya pula terbakar.

Menurut Jamal, pemandu teksi adalah seorang lelaki warga emas berusia 60-an dilaporkan patah leher dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, anggota pasukan bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memadamkan api yang marak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Perompak 'muncul' depan mata

Posted: 02 May 2014 12:42 PM PDT

Ipoh: Seorang lelaki dan ibunya tergamam apabila terserempak seorang penjenayah ketika pulang ke rumah di Taman Seri Bercham, selepas menghantar bapanya ke stesen kereta api di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi Isnin lalu itu, mangsa bersama ibunya keluar dari rumah berkenaan pada jam 4.15 pagi sebelum pulang hampir dua jam kemudian.

Sumber berkata, mangsa berusia 19 tahun bersama ibunya keluar rumah berkenaan menaiki kereta untuk menghantar bapanya.

Menurutnya, sebaik pulang ke rumahnya itu ibu mangsa yang membuka pintu terkejut terserempak dengan suspek.

Katanya, melihat kehadiran pemilik rumah itu, suspek yang panik bertindak melarikan diri dipercayai menerusi pintu belakang.

"Keadaan di rumah mangsa ketika itu agak gelap menyebabkan suspek mudah melarikan diri.

"Suspek dipercayai memecah masuk menerusi pintu belakang rumah berkenaan.

"Mangsa juga tidak dapat melihat dengan jelas wajah suspek yang dipercayai memakai topeng penutup muka," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang ketakutan ketika itu membuat pemeriksaan di sekitar rumahnya dan mendapati beberapa barang berselerak serta pakaian daripada almari turut bertaburan di atas lantai.

"Pemeriksaan di dalam rumah pula mendapati beberapa barang berharga yang hilang antaranya komputer riba, empat unit telefon bimbit, dua jam tangan berjenama serta beberapa dokumen penting peribadi," katanya.

Menurutnya, anggaran kerugian dialami mangsa lebih RM12,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Difahamkan, pihak polis kini berusaha mengumpulkan bukti bagi mengecam, sekali gus menahan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Ikon terbaru Malaysia

Posted: 02 May 2014 12:41 PM PDT

Sepang: Projek ikonik terbaru negara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang memulakan operasi penuh secara rasminya tengah malam semalam dijangka digunakan kira-kira 22 juta penumpang sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, pihaknya gembira kerana pembukaan dan operasi penuh terminal penerbangan tambang murah terbesar di dunia berjalan lancar seperti dirancangkan.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuktikan bahawa semua aspek teknikal dan pengurusan mengikut jadual, malah pihaknya tidak sabar untuk melihat sambutan penumpang dan pengunjung terhadap lapangan terbang itu.

"Kami bangga kerana terminal ini menjadi ikon terbaru negara. Malah, kos pembinaan klia2 juga masih dalam peruntukan disediakan iaitu lingkungan RM4 bilion.

Foto

PESAWAT pertama Malindo Air dari Kota Kinabalu mendarat di klia2.

Foto

PENUMPANG Malindo Air dari Kota Kinabalu mendarat di klia2.

Foto

PENUMPANG melihat papan jadual penerbangan di klia2.


"Kami menjangkakan sejumlah 22 juta penumpang dijangka menggunakan terminal berkenaan pada tahun ini," katanya pada sidang media selepas majlis menyambut ketibaan dan pelepasan pesawat pertama di klia 2, di sini, malam kelmarin.


Turut hadir Pengerusi Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad.

Terminal itu menerima 'pelanggan' pertamanya apabila sebuah pesawat penerbangan Malindo Air 0D1027 dari Kota Kinabalu, Sabah yang membawa seramai 110 penumpang selamat mendarat kira-kira jam 12.05 tengah malam.

Selain itu, pesawat Cebu Pacific Airways 5J502 dari klia2 ke Manila, Filipina menjadi pesawat pertama berlepas dari lapangan terbang itu kira-kira jam 3.45 pagi membawa 147 penumpang.

Abdul Aziz berkata, kementerian juga optimis untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan tambang murah lain untuk menyertai terminal ini pada masa depan.

Beliau berkata, bermula semalam, empat syarikat penerbangan memulakan operasi di klia2 termasuk Malindo Air; Cebu Pacific Airways; Lion Air dan TigerAir manakala, syarikat penerbangan tambang murah tempatan, AirAsia pula akan berpindah ke terminal berkenaan sebelum 9 Mei ini.

Katanya, pihaknya turut menjangkakan seramai 7,000 penumpang akan menggunakan klia2 setiap hari dan ia akan mencecah 50,000 penumpang selepas 9 Mei ini sebaik AirAsia memulakan operasi di terminal itu.

Klia2 mampu mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun, berbanding Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang hanya mengendalikan 15 juta penumpang setahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Pembantu rumah jadi 'selebriti'

Posted: 02 May 2014 12:35 PM PDT

Sepang: Seorang pembantu rumah warga Filipina dilayan bagai 'selebriti' apabila dia disahkan sebagai penumpang pertama yang mendaftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini malam kelmarin.

Lebih manis, Gemma Camarinta, 39, turut menerima kalungan bunga dan ucapan tahniah sebelum diraikan beberapa kenamaan termasuk Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi; Pengerusi Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad di kaunter daftar masuk jam 10.20 malam.

Gemma turut menjadi tumpuan lensa kamera malah, diserbu wartawan yang hadir bagi menemubualnya kerana menjadi individu pertama mendaftar masuk di klia2 pada hari bersejarah itu.

Dia yang ditemani adiknya Nezell Camarinta, 37, berlepas ke Manila, Filipina menggunakan pesawat syarikat penerbangan Cebu Pacific Airways 5J502 kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

Gemma yang ditemui berkata, dia akui teruja dan terkejut serta tidak menyangka diisytiharkan sebagai penumpang pertama yang mendaftar masuk di klia2.

Menurutnya, dia juga memuji kemudahan di klia2 yang disifatkannya cukup selesa bagi sebuah terminal penerbangan tambang murah.

"Saya kerap menggunakan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sebelum ini, namun kemudahan di klia2 jauh lebih baik dan selesa.

"Malah, saya turut mengggunakan kemudahan Express Rail Link (ELR) untuk ke sini tadi (malam kelmarin)," katanya yang akan pulang bercuti ke kampung halamannya di Bohol, Manila.

Foto

GEMMA mendaftar masuk sebagai penumpang pertama ke Manila dari klia2.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

'Nampak lagi hebat'

Posted: 02 May 2014 12:33 PM PDT

Sepang: "Nampak lagi hebat dan canggih," kata kakitangan kerajaan Zaidi Zainal Abidin, 43, ketika ditanya persepsi pertamanya ketika berkunjung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini.

Menurutnya, sebelum klia2 siap dibina dan dibuka kepada orang ramai, dia sering membaca laporan mengenai kecanggihan dan kemudahan lapangan terbang baru itu melalui media.

"Bagaimanapun, sebaik sampai di sini, saya lihat banyak perbezaan memandangkan kemudahan yang disediakan lebih lengkap sekali gus memudahkan pengguna.

"Malah, saya berpendapat ia bukan sahaja lebih selesa berbanding Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), tetapi lebih canggih berbanding KLIA yang sedia ada," katanya.

Zaidi yang ditemui bersama isterinya, Nor Sherizan Darus, 43, berkata, dia berkunjung ke klia2 semata-mata melihat sendiri suasana serta keadaan lapangan terbang berkenaan.

"Hari ini (semalam), saya dan isteri datang ke sini kerana mahu melihat kecanggihan dan kehebatan klia2 dengan mata sendiri.

"Ia sangat selesa, malah banyak kedai disediakan di sini, sekali gus menjadikannya seperti sebuah pusat beli- belah," katanya.

Sementara itu, Hanis Afifi Mohd Alwi, 22, berasal dari Kelantan berkata, dia teruja apabila dapat menaiki pesawat ke Dhaka, Bangladesh melalui klia2.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

No comments:

Post a Comment