Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tutup restoran 'tikus'

Posted: 29 May 2014 12:36 PM PDT

Kuala Lumpur: Sebanyak 73 restoran di kawasan Bukit Bintang diarah tutup sementara bagi tujuan pembersihan sepanjang tahun ini kerana gagal menepati standard kebersihan yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Dr Hayati Abdullah berkata, jumlah itu adalah paling banyak berbanding kawasan lain dalam kawasan pentadbiran DBKL.


Katanya, rata-rata pemilik premis di kawasan ibu kota itu memberi alasan pelanggan ramai menyebabkan mereka tidak berkesempatan membersihkan restoran.

"Walau sesibuk manapun sesebuah restoran itu, pihak pengurusan perlu sekurang-kurangnya membuat jadual tetap untuk membersihkan restoran setiap hari.


"Jika kakitangan premis menangguhkan kerja pembersihan sehingga berbulan-bulan, tidak hairanlah jika restoran dipenuhi lipas dan tikus sehingga menyebabkan keracunan makanan kepada pelanggan," katanya ketika ditemui dalam Operasi Mesra Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL di Lebuh Ampang di sini, semalam.


Dalam operasi berkenaan, tiga premis gagal menonjolkan tahap kebersihan memuaskan sebelum diarahkan menutup sementara, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan premis yang diarah tutup sementara sebanyak 175 restoran.

Foto

ANGGOTA penguat kuasa membuat pemeriksaan pada satu daripada 73 restoran di sekitar ibu kota.

Ketiga-tiga premis berkenaan juga seolah-olah tidak makan saman apabila sudah dua kali berdepan arahan menutup atas kesalahan kotor.


"Premis yang didapati gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan melebihi daripada dua kali, DBKL terpaksa menutup perniagaan mereka bagi tempoh lebih lama berbanding 14 hari yang dikenakan pada kali pertama.

"Restoran yang kotor bukan saja boleh memberi imej yang buruk kepada pelanggan tempatan, malah pelancong juga mengharapkan keadaan yang bersih apabila mereka mengunjungi negara ini," katanya.


Katanya, pemilik restoran harus bertanggungjawab membersihkan restoran secara keseluruhannya dan bukan hanya memaparkan imej yang bersih di tempat saja. "Jangan hanya memaparkan kebersihan di tempat makan, sedangkan dapur dan ruang memasak dipenuhi dengan lipas dan tikus.


"Pelanggan datang dan bayar bagi makanan yang dipesan, jadi berikan perkhidmatan yang baik dari segi kebersihan kerana itu adalah hak mereka sebagai pelanggan," katanya.


Katanya, DBKL tidak akan bertolak ansur dalam hal kebersihan terhadap pemilik premis di seluruh kawasan terbabit dengan pelaksanaan operasi dengan lebih kerap setiap minggu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Janji cari pesawat MH370

Posted: 29 May 2014 12:11 PM PDT

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam memberi jaminan kepada Kerajaan China dan waris penumpang bahawa Malaysia akan terus mencari penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Beliau berkata, usaha itu akan dilakukan bersama berdasarkan perjanjian tiga pihak yang dipersetujui sebelum ini membabitkan Malaysia, Australia dan China. "Saya juga melahirkan rasa simpati kami khususnya kepada ahli keluarga mangsa selain kami juga menyatakan penghargaan kepada kerajaan China yang berjaya menangani isu yang berat ini," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia, di sini, malam tadi, Beliau berada di sini dalam rangka lawatan rasmi sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.


Sebelum itu, beliau diberi sambutan rasmi di Great Hall of People oleh Perdana Menteri China Li Keqiang diikuti mesyuarat dua hala.

Perdana Menteri berkata, Keqiang pula turut memberi jaminan bahawa isu berkenaan tidak akan menjejaskan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.


"Sebaliknya, beliau berpendapat masalah yang dihadapi itu akan memperkukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan China," katanya.


Perdana Menteri China itu dalam ucapan balasnya pada mesyuarat dua hala berharap Malaysia akan terus mengetuai siasatan pesawat malang itu bagi melegakan ahli keluarga dan waris mangsa.

Foto

NAJIB bersama Li memeriksa perbarisan kehormat di Great Hall of People, semalam.

Mengenai mesyuarat dua hala yang diadakan semalam, Perdana Menteri berkata, pertemuan beliau dan delegasi Malaysia dengan rakan sejawatnya, Li Keqiang serta delegasi China berlangsung dalam suasana positif dan mesra.


"Kami mengulangi komitmen untuk terus memajukan hubungan dua hala antara kedua-dua negara berdasarkan kepada ketetapan yang dibuat semasa kunjungan Presiden Xi Jinping ke Malaysia tahun lalu iaitu meningkatkan lagi hubungan dagang secara menyeluruh.

"Perdana Menteri China juga menyatakan hasrat supaya sasaran jumlah perdagangan AS$160 bilion dapat dicapai dan beliau memberi pengakuan akan menggalakkan lebih banyak syarikat China menambah pelaburan di Malaysia," katanya.


Mengenai perkara lain yang dibangkitkan, Najib berkata, pihaknya turut membincangkan masalah pengeksportan produk susu dan tenusu yang terhenti dan meminta kerajaan China menimbang semula keputusannya mengharamkan eksport produk itu.


"Kami juga turut membincangkan beberapa projek usahasama termasuk perkembangan kerjasama antara PROTON dan Geely Group, penubuhan Universiti Xiamen di Malaysia dan beberapa perkara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

China buka dua lagi konsulat di Malaysia

Posted: 29 May 2014 12:11 PM PDT

Kerajaan China bersetuju untuk membuka pejabat konsulnya di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang manakala Malaysia pula akan membuka pejabat konsul kelimanya di China iaitu di Nanning.

Persetujuan berkenaan antara enam perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani sempena mesyuarat dua hala Malaysia-China, di sini, semalam.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatnya, Li Keqiang menyaksikan majlis berkenaan selepas mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara.

Antara perjanjian dan MoU yang ditandatangani adalah berkaitan dengan sains pertahanan, teknologi dan industri dan program eksekutif bagi kerjasama kebudayaan.


Selain itu MoU antara Mofcom, China dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara.


Kumpulan Pos China dan Pos Malaysia pula menandatangani memorandum sama bagi mewujudkan kerjasama antara kedua-dua agensi tersebut.

Najib yang dalam rangka lawatan rasmi enam hari bermula Selasa lalu di Xi'an, kembali ke sini petang semalam selepas pulang ke Malaysia malam kelmarin untuk memberi penghormatan terakhir kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, yang mangkat kelmarin.


Setiba di sini, Perdana Menteri terus ke Great Hall of People bagi menghadiri sambutan rasmi oleh Keqiang dan memeriksa perbarisan hormat, sebelum mengadakan mesyuarat dua hala.

Najib juga dijadual menghadiri acara kemuncak lawatan beliau ke China iaitu majlis sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara esok, diikuti sidang kemuncak ekonomi dengan usahawan China. Sementara itu, sebuah syarikat Malaysia XianDa Group akan melabur RM8 bilion untuk membuka loji penyahgaraman pelepasan sifar cecair bersepadu pertama di dunia di Tianjin, kira-kira 120 km dari sini.


Perdana Menteri berkata, loji berkenaan akan menghasilkan satu juta tan air bersih dan 600,000 tan air sulingan sehari.


"Projek ini, yang dipacu oleh rakyat Malaysia, disokong oleh pelabur Malaysia dan menggunakan teknologi Malaysia, menunjukkan sumbangan kami kepada pertumbuhan menakjubkan China," katanya pada upacara pecah tanah projek pembuatan garam dan penyahgaraman air laut XianDa di bandar pelabuhan itu pagi semalam.


Ucapan beliau dibacakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Turut hadir Setiausaha Tianjin Municipality Party Sun Chunlan, Menteri Pertahanan yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Pengerusi Enersave Group Mah Sau Cheong.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Mah bakal jadi menteri

Posted: 29 May 2014 12:10 PM PDT

Beijing: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong, akan dilantik sebagai Menteri Kabinet jika beliau memenangi kerusi berkenaan.

Perdana Menteri berkata, sebagai presiden parti Gerakan, Mah layak dilantik kerana parti itu sebuah daripada parti pengasas BN ketika ditubuhkan dulu. "Jika Mah menang dalam pilihan raya kecil ini, beliau akan dilantik sebagai Menteri Kabinet, tetapi portfolionya akan ditentukan nanti," katanya kepada wartawan Malaysia di Beijing, malam tadi. PRK Parlimen Teluk Intan yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng pada 1 Mei lalu, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mah dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

Menyelam dalam lumpur elak ditahan

Posted: 29 May 2014 11:28 AM PDT

Petaling Jaya: Taktik seorang kaki judi menyelam dalam takungan lumpur untuk mengelak dicekup polis tidak menjadi apabila dia ditemui kira-kira 15 minit kemudian.

Lelaki itu bersama lapan rakannya yang lain bertempiaran lari ke dalam kawasan semak berhampiran sebaik lokasi perjudian mereka di sebuah rumah kongsi di Kota Damansara diserbu polis, kelmarin.


Dalam serbuan jam 11 malam yang dilakukan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu seorang anggota polis dilaporkan mengalami kecederaan ketika mengejar suspek di dalam semak.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan mendapati dua penganjur aktiviti perjudian itu pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan sama.


"Lebih 30 pekerja kontrak berada di lokasi kejadian ketika serbuan dan pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki warga Bangladesh dan enam warga Indonesia yang berjudi itu tidak mempunyai permit," katanya.


Beliau berkata, risikan mendapati kegiatan judi bola itu dilakukan setiap malam dengan bayaran permulaan taruhan adalah serendah RM1 hingga mencecah RM1,000.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

No comments:

Post a Comment