Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Percutian urus jenazah

Posted: 11 May 2014 01:32 PM PDT

Kepulangannya ke rumah keluarga di Kampung Hutan Chengal, Tendong Pasir Mas, di sini, untuk bercuti, tetapi percutian seorang lelaki itu bertukar majlis menguruskan pengebumian adik lelakinya yang maut dalam kemalangan pagi kelmarin.

Dalam kejadian di Kilometer 88.3 Jalan Ayer Jeli, dekat Kampung Gemang, di sini, Mohd Zabri Ismail, 38, terkorban apabila motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya dari arah Tanah Merah, merempuh van yang tiba-tiba melintas memasuki simpang di kiri jalan.

Anak ketujuh daripada sembilan beradik terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami pendarahan teruk di kepala serta dada dan mayatnya dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat.

Ibrahim Ismail, 60, berkata, dia bersama keluarganya pulang ke kampung dari Kuala Lumpur sempena cuti hujung minggu untuk bersama ibu, Zaharah Abdullah, 80, dan Mohd Zabri.

"Saya sempat bersama arwah sebelum dia keluar rumah jam 9 pagi, berkonvoi bersama empat rakan ke Jeli," katanya yang ditemui di sini, kelmarin.

Menurutnya, Mohd Zabri periang dan digemari anak saudara kerana sikapnya yang mesra.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hutan Cengal jam 7.30 malam kelmarin.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan siasatan awal mendapati motosikal ditunggangnya dari arah Tanah Merah menghala Jeli merempuh van dipandu seorang wanita yang melintas untuk memasuki simpang.

"Van terbabit yang juga dalam arah sama, sebelum itu berhenti menjual sayur di laluan bertentangan.

Ketika kejadian van itu mahu kembali ke laluan asal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Foto
Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12

Banglo nyaris musnah bilik spa terbakar

Posted: 11 May 2014 12:53 PM PDT

Kuala Lumpur: Sebuah banglo di Lorong Mayang Off Jalan Ampang, di sini, nyaris musnah selepas bilik spa persendirian di dalam kediaman itu, terbakar, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.52 petang dan tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

Menurutnya, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Hang Tuah, Keramat dan Pudu digegaskan ke lokasi kebakaran.

"Ketika tiba di lokasi, kami mendapati sebuah bilik spa persendirian di dalam rumah banglo itu sedang terbakar.

"Bagaimanapun, kami berjaya memadamkan kebakaran pada jam 7.30 malam dan tidak membabitkan kehilangan nyawa," katanya.

Azizan berkata, setakat ini punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12

Kalungan bunga dosa

Posted: 11 May 2014 12:52 PM PDT

Keasyikan sekumpulan wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Jalan Puchong Mesra, Cheras terbantut apabila premis itu diserbu polis, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam oleh empat pegawai dan 20 anggota dari Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) itu seramai 34 wanita ditahan.

Ketua Operasi Asisten Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, mereka yang ditahan berusia antara 18 dan 35 tahun dan disyaki turut menyediakan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

"Ketika diserbu kira-kira 81 pelanggan berada di dalam pusat hiburan berkenaan termasuk enam daripadanya didapati bawah umur iaitu berusia 21 tahun ke bawah.

"Siasatan awal mendapati premis yang mempunyai lesen itu disyaki menjalankan perkhidmatan seks dan aktiviti tidak bermoral dengan cara memakaikan kalungan bunga kepada pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat mereka," katanya.

Katanya, setiap kalungan bunga berharga RM10 dan khidmat seks bergantung kepada individu dan premis itu dijaga seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun.

Beliau berkata, risikan dilakukan selama seminggu atas maklumat awam dan polis tidak menolak kemungkinan GRO berkenaan dihantar oleh ejen.

"Premis itu dikenakan saman kerana melanggar syarat perniagaan kerana membenarkan pelanggan bawah umur manakala semua wanita Vietnam berkenaan ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan," katanya.

Katanya, semua yang ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12

Selatan Thai bergegar lagi

Posted: 11 May 2014 12:52 PM PDT

Hat Yat: Sekurang-kurangnya dua maut dan sembilan lagi cedera apabila selatan Thailand digegarkan dengan siri serangan bom, semalam.

Setakat ini, belum dapat dipastikan jika ada warga Malaysia terbabit dalam keganasan terbaru itu.

Sumber tempatan berkata, kejadian bermula jam 7.30 malam (waktu tempatan) apabila empat bom meletup di Sungai Golok.

Tiga letupan lain turut dilaporkan di Sungai Padi, manakala sebuah sekolah dan bengkel motosikal dibakar.


Letupan lain dilaporkan berlaku di bandar Tak Bai, menyebabkan dua maut dan beberapa yang lain cedera.


Di Yala, lima bom meletup menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.

Tiga letupan turut dilaporkan di daerah Yaha dan dua lagi di daerah Thanto.

Sumber berkata, kejadian tembakan dan pembakaran tayar dilaporkan di daerah Benang Setar dan Krong Pinang.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12

Menggelupur atas tanah

Posted: 11 May 2014 12:52 PM PDT

"Saya tak sedap hati apabila selepas tiga kali panggilan masih tidak disahut lalu segera turun bagi melihat keadaannya sebelum mendapati dia menggelupur kesakitan akibat terjatuh selain turut disengat lebah, "kata Nazer Abu Bakar, 51, rakan kepada Ramli Lin, 52, yang maut selepas terjatuh dari ketinggian 20 meter ketika menuruni pokok tualang selepas mengambil madu lebah, semalam

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa dikatakan memasuki kawasan Hutan Bukit Salak Estate, Singkir Genting, dekat sini, bersama enam rakannya bagi mengambil madu lebah di pokok berkenaan yang ketinggiannya melebihi 60 meter.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan terjatuh ketika menuruni pokok itu selepas diserang sekumpulan lebah menyebabkannya terlepas pautan lalu terjatuh ke tanah.

Nazer berkata, dia memanjat pokok berkenaan bersama mangsa manakala empat rakan lain hanya menunggu di bawah dan mereka menurunkan empat daripada 16 sarang lebah ketika itu.

Katanya, secara tiba-tiba arwah memberitahu dia mahu turun ke bawah kerana tidak tahan disengat lebah sejurus selesai menurunkan empat sarang berkenaan.

"Selepas beberapa minit arwah turun, saya cuba memanggil namanya tiga kali, namun tidak bersahut menyebabkan timbul perasaan tidak sedap hati.

"Bimbang dengan keadaan itu, saya segera turun dan mendapati dia menggelupur di atas tanah dalam keadaan mengiring, manakala tubuhnya bengkak akibat penuh dengan kesan sengatan lebah, tetapi masih bernafas.

"Saya terus menjerit memanggil rakan lain dan berusaha membawanya keluar, tetapi selang beberapa minit, kami mendapati dia sudah meninggal dunia dan kami menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Mayatnya dibawa Hospital Yan, " katanya ketika ditemui Bilik Mayat Hospital Yan, di sini, semalam.

Menurutnya, hampir 10 tahun rakannya itu berniaga madu lebah, malah arwah memang dikenali sebagai pakar dalam memanjat pokok.

"Arwah pakar dalam memanjat pokok dan pernah bergurau dengan kami bahawa dia mungkin mati jatuh pokok suatu hari nanti kerana sering melakukan aktiviti berkenaan.

"Tak sangka gurauannya benar-benar menjadi kenyataan dan kami kini hilang rakan yang sangat mahir dalam bidang ini," katanya.

Difahamkan, Ramli berasal daripada Kampung Belau, Merbok, tetapi kini menetap di Betong, Thailand bersama isteri ketiga selepas berpisah dengan isteri pertama dan kedua 20 tahun lalu.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Yan berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan dalaman seperti patah tulang rusuk kiri dan kanan selain mempunyai kesan 100 sengatan lebah.

Jenazah Ramli dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Masjid Lama Merbok, Sungai Petani selepas solat Zohor semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12

No comments:

Post a Comment