Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Anak kecil sudah berjasa

Posted: 28 May 2014 12:33 PM PDT

Kuala Lumpur: Tidak seperti kebanyakan kanak-kanak lain, pada usia masih mentah Mohd Nur Haikal, 6, dan adiknya Mohd Nur Hakimi, 5, sudah mengenal erti tanggungjawab menjaga bapa yang terlantar akibat penyakit arthritis atau chronic tophaceous gout tahap empat ketika ibu mereka keluar bekerja.

Tanpa mengira erti geli, kanak-kanak cilik itu sanggup bergelumang bau hamis darah bapa mereka Dona Marita Amir Naim, 30, yang tidak berdaya kerana kaki serta tangannya membengkak dan membusuk akibat gout kronik.


Setiap hari mereka setia menyuapkan makanan dan minuman kepada Dona Marita bagi menggantikan tugas ibu mereka Siti Salbiah Mustoki, 26, yang terpaksa bekerja untuk menyara mereka empat beranak sejak empat tahun lalu.

Siti Salbiah bekerja di sebuah klinik pergigian di Batu Caves di sini, dengan pendapatan RM850 sebulan.


Menurutnya, dia tidak mempunyai pilihan meninggalkan kedua-dua anak menjaga suaminya dari 7 pagi hingga 5 petang. "Tak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaan saya ini sampaikan sudah tiada air mata untuk menangis lagi.


"Dugaan ini sungguh berat hingga ada orang suruh kami bercerai, namun demi kasih sayang pada mereka bertiga, saya tidak peduli apa orang kata dan perlu kuat teruskan hidup.

Foto

DONA yang terlantar bergantung sepenuhnya kepada isteri dan anak.

"Kalau saya tidak bekerja siapa lagi yang akan sara kami empat beranak?," katanya.


Menurut Siti Salbiah, penyakit suaminya yang sebelum ini menyara mereka sekeluarga sebagai pemandu teksi dikesan pada 2010.

"Suami hendak pergi bekerja pada waktu itu, namun urat kaki dan tangannya kejang dan tidak dapat bergerak.


"Sejak itu, dia tidak mampu bergerak dan hanya terbaring lemah di atas katil, malah semakin hari kaki serta tangannya membengkak, membusuk dan menjadi kehitaman.


"Malah, adakalanya kesabaran saya sebagai isteri teruji apabila melihat kesengsaraan suami ketika penyakitnya datang menyerang," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Wira Damai di sini, semalam.


Keluarga terbabit ditemui selepas menerima kunjungan daripada Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Tengah Lim Yoke Foong serta Pengurus Econsave Cawangan Setapak Azman Mohamad Ali yang bersimpati dengan nasib mereka baru-baru ini.


Pihak pasar raya berkenaan menghulurkan bantuan barangan keperluan harian berjumlah RM1,000 bagi meringankan beban penderitaan keluarga terbabit sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat terhadap masyarakat kurang bernasib baik.


Sementara itu, Dona Marita berkata, dia kini bergantung nasib dengan akar kayu dan ubat tahan sakit yang dibeli dari klinik.


"Boleh dikatakan saya hampir berputus asa kerana selama empat tahun lebih ini sudah bermacam-macam cara kami usahakan termasuk rawatan moden di hospital dan perubatan tradisional, namun sampai sekarang penyakit tidak sembuh, malah semakin teruk.


"Adakalanya apabila penyakit datang menyerang, kaki dan tangan saya sakit seperti dicucuk jarum dan kaca. "Kini, apapun yang terjadi saya bertawakal saja selain berharap isteri dan anak tetap sabar di sisi saya," katanya yang menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

'Disondol' dari belakang

Posted: 28 May 2014 12:17 PM PDT

Kuala Lumpur: Atlet berbasikal kebangsaan yang juga pemenang pingat emas Sukan Sea Kimberly Yap Fui Li, 29, cedera selepas basikal ditunggangi ketika latihan terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Penchala menghala Damansara, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi itu, mangsa sedang menjalani latihan secara berseorangan sebelum basikal yang ditungganginya dirempuh dari belakang oleh kereta jenis Toyota Harrier.


Menurut sumber polis, berikutan kejadian itu, dia mengalami kecederaan di kepala, badan dan kaki sebelum dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa sedang mengayuh basikalnya di tepi jalan selepas melalui terowong Penchala sebelum dirempuh dari belakang.


"Pihak polis sudah mengambil keterangan pemandu kereta itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada terdapat unsur kecuaian daripada pemandu kereta itu atau sebaliknya," katanya.


Difahamkan, Kimberly tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman mahupun patah anggota badan namun masih memerlukan rawatan rapi.

Sementara itu, menurut adik mangsa yang juga perenang kebangsaan, Daniel Beego, kakaknya kebiasaan menjalani latihan seawal jam 7 pagi dan sering menggunakan laluan itu sebagai laluannya.


"Saya diberitahu dia dalam persiapan untuk menyertai latihan dalam beberapa kejohanan akan datang dan kerana itu, dia sering berlatih awal pagi untuk mempersiapkan dirinya," katanya ketika ditemui di PPUM.

Kimberly yang juga atlet triathlon negara sebelum ini pernah menyertai beberapa kejohanan antarabangsa seperti temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) ke-26 di Shenzen, China dan Sukan SEA Jakarta, Indonesia pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

Nahas balik sambutan Pesta Menuai

Posted: 28 May 2014 12:12 PM PDT

Kudat: Tujuh sekeluarga yang baru selesai menghadiri sambutan Pesta Menuai nyaris maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh menghadang jalan di Jalan Dualog, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, pemandu Siun Oniting, 51, dan tiga anaknya Fenny Siun, 3, Harfina Siun, 5, Susan Siun, 10, dan dua sepupunya berusia lima dan 38 tahun hanya mengalami cedera ringan.


Semua mereka ini hanya mengalami luka akibat terkena serpihan kaca dan dirawat di Hospital Kudat, di sini, sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Kudat Superintendan Dawi Ossen berkata, siasatan awal mendapati semua mereka ini menaiki kenderaan Proton Wira dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sambutan pesta menuai.


"Kenderaan yang dipandu oleh Siun dari arah Kampung Dualog menuju ke Kampung Kumbatang selepas menghadiri sambutan Pesta Menuai dan Penyampaian Hadiah di Sekolah Kebangsaan (SK) Dualog, di sini.


"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah jalan sebelum merempuh penghadang jalan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, semua mangsa hanya cedera ringan selepas terkena serpihan kaca.


"Semua mangsa yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kudat, di sini.

"Difahamkan, ketika kejadian keadaan cuaca hujan lebat," katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Kudat, Jasri Ab Jal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4 dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.


"Sebuah jentera bomba dengan kekuatan lima anggota bomba bergegas ke lokasi bagi menjalankan kerja penyelamatan.


"Mangsa yang tersepit kemudian berjaya dikeluarkan sebelum dibawa ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

Dirempuh lori 10 tan

Posted: 28 May 2014 12:11 PM PDT

Kuala Langat: Seorang lelaki berusia 40-an berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya dari arah Puchong menuju ke Plaza Tol Saujana Putra secara tiba-tiba dirempuh sebuah lori bermuatan 10 tan dari arah bertentangan, di sini semalam.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan dan dipercayai gagal dikawal merempuh sebuah kereta jenis Honda Odyssey yang ketika itu baru selesai membayar tol di lorong bertentangan.


Menurut sumber polis, lori berkenaan dipercayai mengalami masalah brek.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis juga sudah mengambil keterangan pemandu lori itu untuk tindakan lanjut," katanya.


Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Selangor Deputi Superintendan Azmi Mansor ketika dihubungi mengesahkan mengenai kemalangan itu dan berkata, satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

Abby dapat cerai SMS

Posted: 28 May 2014 12:11 PM PDT

Kuala Lumpur: Spekulasi pergolakan rumah tangga Abby Abadi terungkai apabila pelakon itu mengesahkan perbicaraan kes cerai dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar akan berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini, kira-kira jam 9 pagi ini.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 37, yang dihubungi berkata, bagaimanapun dia tidak dapat mengulas lanjut dan berharap agar proses itu berjalan dengan lancar.


"Maafkan saya. Esok (hari ini) insya-Allah ya," katanya secara ringkas menerusi mesej WhatsApp di sini, petang semalam.

Abby dan Farhan bernikah pada 9 Julai tahun lalu di selatan Thailand selepas dua minggu berkenalan.


Difahamkan, Abby sudah memfailkan perceraiannya di mahkamah sama pada minggu lalu.


Sumber turut mendakwa lafaz cerai antara mereka sudah berlaku menerusi mesej SMS, baru-baru ini dan perbicaraan pagi ini adalah bagi mengesahkan lafaz yang sudah disebut itu.

Foto

ABBY dan Farhan ketika detik bahagia baru berkahwin tahun lalu.

Terdahulu, konflik dalaman perkahwinan Abby dengan Farhan, 24, mula diperkatakan berikutan status Instagram miliknya pada 17 Mei lalu yang meminta agar peminat mendoakan keadaan rumah tangganya.


Menerusi laporan Harian Metro pada 23 Mei lalu, Abby tidak mahu mengulas lanjut ketika ditanya mengenai kesahihan masalah itu.

Katanya, dia tidak mempunyai apa-apa untuk dikongsikan sehingga tiba waktu yang sesuai untuk mendedahkan perkara itu.


Sebelum berkahwin dengan Farhan, Abby pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Norman Hakim dan mereka dikurniakan tiga anak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

No comments:

Post a Comment